05 August 2012

Kasihmu 5

'Apasal belum sampai ni.’ Shaheen resah. Dilirik lagi jam di tangan. ‘Kejab lagi Encik Yaakob sampai.’ Shaheen benar-benar risau. Linda dan Emily belum sampai. Biasanya mereka tidak selambat ini. Lagi 5 minit cukup masa. Jangan harap dapat masuk ke dalam kelas Encik Yaakob bila mana dirinya telah pun berada di dalam kelas. Kalau mahu menadah telinga mendengar leteran Encik Yaakob, cubalah. Hiruk-pikuk suara rakan-rakan sekelas tidak dihiraukannya. Matanya memandang lagi ke arah pintu kelas. Jam di tangan dilirik sekali lagi.


Shaheen ingat lagi hari pertama mengikuti kelas di bawah seliaan Encik Yaakob. Panjang lebar Encik Yaakob berleter petang itu. Ada teman-teman sekuliah Shaheen menggelarkan Encik Yaakob sebagai ‘singa’ hanya disebabkan sikap dan sifatnya yang tegas serta garang. Disiplin amat dititikberatkan. Tiada pelajar yang dibenarkan masuk lewat ke kelas hatta 10 saat sekali pun. Pelajar lelaki mesti memakai baju berkolar jika tidak berkemeja. Selipar jangan sesekali dibawa pakai ke kelas. Begitu teliti Encik Yaakob mendidik pelajar-pelajarnya yang masing-masing bakal bergelar pegawai pengurusan, akauntan, ahli perniagaan, ahli ekonomi mahupun pensyarah atau kerani sekalipun suatu masa nanti.

“Awak bertiga ni kawan?”

Shaheen, Linda dan Emily mengangguk serentak.

“Kawan baik ker?”

Sekali lagi ketiga-tiga mereka mengangguk serentak.

“Hmm patutla kasut pun sama. Sepesen je,” ucap Encik Yaakob bersahaja.

Lantas Shaheen, Linda dan Emily tunduk memandang kasut masing-masing. Mereka saling berpandangan sambil tersenyum.

“Ish.. tu pun nak jadi isu ker,” bisik Emily perlahan semasa En Yaakob menulis sesuatu di white board.

“Aaah la. Kan trend kasut camni sekarang. Apa yang kecoh sangat kan,” runggut Linda pula. “Ala relax aar, warna lain-lain kan,” sambung Linda.

Shaheen tidak terkata apa-apa. Bibirnya menguntum senyum. Kata-kata sahabatnya itu mencuit hati. Namun dia gembira. Sekurang-kurangnya pensyarah itu menyedari kewujudan mereka.

Shaheen tersedar dari lamunannya bila Amir pelajar paling tinggi di kelasnya tiba-tiba masuk dan mengumumkan ketibaan Encik Yaakob. “Mana la Linda, Emily ni. Masa dah suntuk benar.” Shaheen bangun menuju ke muka pintu. Baru selangkah dia menapak, muncul Linda dan Emily berlari-lari anak masuk ke kelas. Menuju ke arah Shaheen. Tadi Shaheen bagaikan berada di atas bara api. Kini Shaheen berasa lega. “Eh apsal lambat sangat? Risau tau. Nasib Encik Yaakob belum sampai. Kalau tidak abisla korang. Bukan korang tak tau cam mana nasib orang lambat ni,” Shaheen mula membebel.

Linda dan Emily tersandar keletihan di kerusi. Masing-masing diam membisu. Turun naik nafas mereka. “Penat tau. Ni semua Emily la punya pasal. Aku dah siap awal. Minah ni bersolek macam nak keluar dating,”balas Linda sambil menjeling Emily yang duduk di sebelah kanannya.

Belum sempat Emily meneruskan ayat-ayat bela diri, Encik Yaakob muncul di muka pintu. Seperti biasa Encik Yaakob melangkah penuh gaya di hadapan kelas. Wajahnya serius. Kelas yang tadinya riuh kini tiada satu suara pun kedengaran. Seisi kelas diam. Sunyi sepi. Emily, Linda dan Shaheen berpandangan.

“Eh Linda, apsal Encik Yaakob bawa botol besar air mineral tu,” tanya Emily. “ Siap dengan mug lagi,”sambungnya lagi.

Linda angkat bahu. Matanya terus tertumpu ke arah Encik Yaakob. Pelajar lain juga begitu.

“Saya tak berapa sihat hari ini.”

Semua pelajar berpandangan sesama sendiri. Ada yang tersenyum, ada yang berbisik. Majoritinya mereka suka hati. Ada peluang kelas habis awal. Semua berharap dapat pulang awal pada petang itu.

“Walau pun begitu, kelas saya berjalan macam biasa.”

Hancur harapan. Ada yang mengeluh tanpa sedar. Harapan yang dianyam sebentar tadi hilang begitu sahaja. Begitulah Encik Yaakob. Penuh dedikasi. Biar pun dirinya kurang sihat, tugas seorang pensyarah digalas sehabis baik. Tugasnya tidak diabaikan. Sesuai benar dengan jawatan Encik Yaakob Ibrahim sebagai Penyelaras Pengurusan Sumber Manusia di Jabatan Pengurusan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Di dalam hati Shaheen terbit rasa kagum. Sejak itu, Shaheen menanamkan azam agar sikap yang baik hasil didikan pensyarah berusia 40-an itu akan menjadi satu amalan yang boleh dicontohi. “Pekerja yang betul ada 4 ciri iaitu pengetahuan yang betul, kemahiran yang betul, sikap yang betul dan kesihatan yang baik,” tergiang-ngiang kata-kata Encik Yaakob semasa kelas Pengurusan Sumber Manusia di awal semester dahulu.

Kelas diteruskan. Sesekali diiringi batuk-batuk kecil Encik Yaakob. Ada ketika Encik Yaakob terpaksa meneguk air untuk membasahkan tekak yang kering. Tiba-tiba Encik Yaakob berhenti bercakap. Matanya memandang jam dinding. Lantas beg kulit jenama Kenneth Cole dibuka. Sampul-sampul putih berisi ubat dikeluarkan.

“Doktor kata saya kena makan ubat tepat pada masanya.”

Seluruh kelas gelak besar dengan telatah Encik Yaakob manakala En Yaakob hanya tersenyum. Kelas diteruskan selepas itu. Kelas tamat tepat pada pukul 4 petang.

Habis sahaja kelas Encik Yaakob, Emily, Linda dan Shaheen bergegas keluar. Kejar masa. Linda paling laju di hadapan. Masing-masing ada kelas Operation Management selepas itu.

"Linda kalau ya pun tak kan kau nak tinggalkan si Emily tu," Shaheen menjerit memanggil Linda yang telah pun menuruni anak-anak tangga.

Linda berhenti melangkah. Berpusing ke belakang. “Cepat la sikit.”

“Aku tau la kau nak kejar Abang Salman kau tu. Tapi sabar la. Sempat lagi ni. Jatuh tangga nanti. Ha baru kau tau. Mahu aku gelak tergolek-golek kat sini,” balas Shaheen.

Linda tidak menghiraukan kata-kata Shaheen. Laju dituruni anak tangga. Malang tidak berbau kata orang. Entah apa silapnya. Linda terjelepok di anak tangga terakhir. Apa lagi terburai juga tawa Shaheen diikuti oleh Emily. Beberapa orang pelajar yang berdekatan terkejut melihat Linda tiba-tiba terduduk di atas tangga.

“Are you ok?”

Linda cepat-cepat bangun. Malunya jatuh di khalayak ramai. “Korang ni bukan nak simpati. Gelak lagi ada.”

“Kan aku dah kasi warning tadi. Kau yang tak nak dengar.”

Linda memandang Emily dan Shaheen silih berganti. Akhirnya dia turut ketawa. Dia yang cuai. Bukan salah sesiapa. “Eh nasib baik tak ramai orang kat sini. Kalau Dr. Salman lalu sini tadi, malu ni beb,” kata Linda sambil mengutip failnya yang jatuh bersama tadi.

“Dah la Linda. Lain kali jangan tinggalkan aku tau. Ni maknanya berdosa dengan aku la,” balas Emily masih tersenyum.

Ketiga-tiga gadis ceria itu menghayun langkah ke Bilik Kuliah G08. Masa untuk Dr. Salman Lutfi , pensyarah muda yang menjadi kegilaan Linda ini baru kembali dari cuti belajar di negara matahari terbit yang terkenal dengan bunga sakuranya. Dr. Salman Lutfi baru 3 bulan bertugas di Jabatan Pengurusan.

Linda mengambil tempat duduk paling hadapan. Emily dan Shaheen duduk bersebelahan Linda. Sementara menanti Dr Salman, mereka berbual-bual kosong.

“Kenapa lambat tadi,”tanya Shaheen memulakan bicara.

“Emily ni bersolek lama sangat. Dah nak keluar telefon pula berbunyi. Call dari buah hati si Emily ni.”

“Erm patut la lambat. Layan borak dengan buah hati ya Emily.”

Emily hanya senyum. “Jangan la kecoh sangat. Kan kita sampai on time tadi,” balas Emily dengan pelat Sabah. Emily Johnny berketurunan Kadazan ini telah lama menetap di Semenanjung. Bapanya seorang guru. Jadi Emily sekeluarga mengikut bapanya yang ditugaskan di semenanjung semasa Emily berusia 8 tahun lagi.

“On time kau kata. Tak ingat cam ribut kita pecut tadi,” pintas Linda. Shaheen yang mendengar jawapan Linda sudah ketawa. “Mana taknya masa sampai tadi, kita orang nampak Encik Yaakob tu dah naik tangga depan. Apa lagi aku dengan Emily amik langkah seribu kat naik ikut tangga tengah tu. Nasib baik sampai dulu,” sambung Linda.

“Haha..patut la macam pelari pecut je aku tengok tadi. Sampai kelas tercunggap-cunggap. Berlumba dengan Encik Yaakob lagi tu. Wah kira hebat la korang. Encik Yaakob pun kalah,”usik Shaheen. Ketawanya masih bersisa.

“Sha kau jangan perli kita orang ya. Kang aku cepuk baru kau tau,” kata Linda. Linda memang terkenal dengan lagak boyish. Tidak pernah berbaju kurung. Baju rasmi Linda adalah kemeja kotak-kotak dan jeans. Berbeza 360 darjah dengan Emily yang ayu serta sopan orangnya.

“Hai marah ke Cik Senah. Relaks la. Emily ok je tu,” ucap Shaheen memandang Emily yang tenang di sebelah kiri Linda.

“Eh dah-dah. Ni Mr. Charming aku blom sampai. Mana pulak dia ni. Sesat ke.”


Emily dan Shaheen sama-sama senyum. Sejak kelas Pengurusan Operasi diambil alih oleh Dr. Salman Lutfi, Linda paling rajin ke kelas. Berbeza sewaktu kelas dikendalikan oleh Prof. Ali. Prof. Ali mengambil Cuti Sabatikal dan kini berada di Netherland. Jadi sepanjang tempoh ketiadaan Prof. Ali Dr. Salman Lutfi yang akan mengantikan tempat Prof. Dr. Ali.

“Ala Prof. Ali tu dah veteran. Perut buncit. Kepala pun dah boleh buat landing helicopter,” ulas Linda bila ditanya perubahan mendadak dirinya. “Yang ni baru best. Semangat aku datang. Baru feel nak masuk kelas."

“Amboi baik punyer kutuk. Tak berkat tau ilmu yang dia curahkan pada kau. Tak baik cakap cam tu,” Emily mengingatkan Linda. Linda hanya senyum ditegur Emily. Shaheen menyokong kata-kata Emily.

Yang ditunggu telah tiba. Kelas yang dulunya cukup membosankan, subjek yang paling dibenci Linda. Namun disebabkan kehadiran Dr. Salman Lutfi, Linda berubah habis. Emily dan Shaheen yang selalu score pun boleh kalah kalau macam ni. Bagus juga kan. Makin sengit persaingan di antara mereka.

2 comments:

  1. watak lelaki .. mr salman :) hee~~ *cm ne agaknya rupa dia* hek8

    ReplyDelete
  2. :)Mr. Salman yang diminati oleh Linda rupanya seperti Ahmad Idham. Masa tu tengah kecoh drama Cinderella lakonan Ahmad Idham dan Haliza Misbun.

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim