20 July 2013

Kasihmu 37

“Rayyan macam mana? Ada apa-apa berita dari Afzan?” soal Luqman sebaik sahaja mereka masuk ke pejabat pagi itu.

 “Belum lagi Luq. Berilah dia sedikit masa untuk memikirkan lamaran aku tu,” ulas Rayyan.

Luqman menganggukkan kepala mengiayakan kata-kata Rayyan.

“Luq jom makan dulu. Ni kakak aku ada sediakan breakfast untuk kita berdua,” Rayyan mempelawa Luqman.

“Biar benar ni,” kata Luqman kurang percaya.

“Apa tak benarnya, ni ha mangkuk tingkat bekal untuk kita berdua,” ucap Rayyan sambil mengangkat mangkuk tingkat yang dipegang di tangan kanannya.

“Alhamdulillah. Rezeki jangan ditolak,” balas Luqman seraya berlalu ke pantri. Dia mencapai dua biji mug. Dua paket kopi tiga dalam satu cap Hang Tuah dikeluarkan dari balang kaca. Dimasukkan ke dalam mug setiap satu. Air panas dari water dispenser dicampurkan ke dalam mug. Sudu kecil digunakan untuk mengacau sebati campuran air dan serbuk kopi.

“Ok Rayyan, ni untuk kau,” Luqman mengunjukkan mug ke arah Rayyan.

“Thanks Luq. Ni kakak aku masak mihun goreng. Jemput makan,” ajak Rayyan.

Selepas selesai membaca doa makan, mereka berdua menikmati sarapan sambil berbual-bual.

“Rayyan, aku nak tanya kau sikit,” ucap Luqman.

“Tanya la Luq. Kalau kau tak tanya macam mana aku nak jawab,” balas Rayyan.

Luqman mengukir senyuman di wajahnya. “Macam mana kalau Afzan tolak lamaran kau?”

Rayyan diam. Matanya memandang tepat ke arah Luqman. Tidak pernah terlintas di fikirannya kemungkinan itu. Dia berharap agar lamarannya diterima. Itu sahaja.

“Aku tak terfikir pula hal ni,” kata Rayyan. 

“Kalau ya macam mana?” soal Luqman lagi.

“Aku serahkan padaNya. Jika ada jodoh kami, tentu ada jalannya. Aku yakin,” kata Rayyan. Tangannya mencapai mug lalu menghirup sedikit air kopi. 

Luqman sekadar mahu melihat sejauh mana tindakan dan reaksi Rayyan sekiranya mendapat menerima berita kurang baik dari Afzan. Dia tidak mahu Rayyan terlalu berharap. Bimbang sahabatnya itu kecewa.

“Baguslah kalau kau cakap macam tu. Aku tak nak kau frust menonggeng je. Hope kau tak salah anggap soalan aku tadi,” Luqman menyampaikan tujuan pertanyaannya tadi.

“Aku faham Luq. Kita berkawan bukan sehari dua. Aku tau kau selalu ambil berat pasal aku. Terima kasih Luq. Kau sedarkan aku yang aku ada dua pilihan jawapan dari Afzan. Sama ada ya setuju atau tidak setuju. Aku pun tak nak Afzan buat keputusan terburu-buru. Aku memang harap kata ya. Tapi kalau sebaliknya yang aku dapat, maka aku harus redha. Pasti ada aturan lain dari Allah buat aku Luq. Aku akan hormati apa sahaja jawapan dari Afzan nanti,” kata Rayyan lagi.

“Betul ni kau tak kecewa,” tanya Luqman.

Rayyan hanya senyum. Tiada jawapan yang meletus keluar dari bibirnya.

“Kau tak berdebar tunggu jawapan dari Afzan. Kiranya dah dua hari kan,” tanya Luqman sengaja mahu melihat reaksi Rayyan.

“Mau aku tak berdebar. Risau pun ada. Tapi macam aku cakap tadilah Luq. Semua tu sudah disuratkan olehNya. Soal jodoh ni hanya Allah yang tau. Jodoh ni salah satu dari rahsia Allah kan Luq,” kata Rayyan.

“Ya betul tu Rayyan. Selain jodoh, rezeki, hidup dan mati juga adalah rahsia Allah. Sebagai hambaNya, kita wajar mempersiapkan diri dengan secukup-cukupnya. Kita tidak tahu apa yang ada di masa hadapan. Semuanya sudah diatur oleh Allah Yang Maha Pengatur,” ucap Luqman.

Rayyan senyum mendengar kata-kata Luqman. Dia kagum kerana Luqman sentiasa mengaitkan urusan harian dengan hukum Allah. Dia sangat bersyukur ditemukan dengan sahabat seperti Luqman.

“Di antara ketiga-tiga rahsia Allah ni, ada dua rahsia yang perlu kita cari bagi menampung kehidupan kita di dunia ini,” sambung Luqman.

“Apakah dua rahsia tu Luq?” tanya Rayyan.

“Itulah rezeki dan jodoh,” jawab Luqman.

“Maksudnya?” tanya Rayyan lagi.

“Rezeki perlu dicari kerana manusia perlu makan, minum dan menanggung keperluan-keperluan lain seperti rumah dan tempat tinggal. Itulah sebabnya kita perlu bekerja bagi mendapatkan rezeki yang halal lagi berkat,” ulas Luqman. “Kesihatan, ilmu yang bermanfaat, jiwa yang tenang juga merupakan rezeki,” tambah Rayyan lagi.

“Maksudnya rezeki bukan hanya dalam bentuk wang,” soal Rayyan.

Luqman mengangguk. “Ya betul. Pekerjaan, rumah, kenderaan mahu pun benda-benda berbentuk kebendaan atau materialistik itu juga dikira sebagai rezeki,” kata Luqman lagi.

“Satu lagi apa?” Rayyan bertanya.

“Jodoh. Kita juga perlu mencari jodoh bagi memenuhi keperluan biologi, kasih sayang dan keturunan yang berterusan,” Luqman menyampaikan apa yang dia tahu. Ilmu yang sedikit itu dia kongsikan bersama Rayyan.

Rayyan mengangguk tanda faham.

“Nak tau tak satu cara mudah mendapatkan rezeki?” tanya Luqman.

 “Bagaimana?” respon Rayyan dengan cepat.

“Solat duha. Ia memberikan kita keseimbangan dari sudut rohani dan juga jasmani. Jika kita istiqomah melakukan solat duha, Allah akan permudahkan kita, insya Allah. Kemudahan datangnya rezeki daripada setiap usaha yang kita lakukan. Solat duha ni dianggap sebagai magnet rezeki,” kata Luqman sambil senyum.

“Oh ya. Aku tahu tapi aku tak pernah amalkan,” Rayyan berkata jujur.

 “Elok kau mula buat solat duha ni. Banyak kebaikannya,” pesan Luqman.

 “Insya Allah,” janji Rayyan.

 “Dengarkan hadis yang meriwayatkan hikmah di sebalik solat duha ni yang aku baca dari sebuah buku bertajuk Magnet Rezeki Dengan Solat Duha,” kata Luqman.


'Dalam tubuh manusia terdapat 360 sendi yang setiap satu daripadanya wajib mengeluarkan sedekah. Lantas para sahabat bertanya, ‘Ya Rasullullah, siapa yang mampu melakukan hal itu?’ Nabi menjawab, ‘Sepercik kahak di dalam masjid yang kau bersihkan dan benda di tengah jalan yang mengganggu laluan orang yang kamu singkirkan, adalah sedekah. Apabila kamu tidak mampu melakukannya, maka solat duha dua rakaat memcukupi kewajiban sedekahmu.’ (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hiban daripada Buraidah)
 
Setiap sendi kamu pada setiap hari mengeluarkan sedekah. Setiap bacaan tasbih adalah sedekah, setiap bacaan tahmid adalah sedekah, setiap bacaan tahlil itu adalah sedekah, setiap bacaan takbir adalah sedekah, mengajak kepada kebajikan adalah sedekah dan mencegah kemungkaran juga adalah sedekah. Semua amalan itu boleh diganti dengan mengerjakan solat duha dua rakaat” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Dzar).

“Bagaimana pula cara terbaik untuk mendapat jodoh Luq,” Rayyan menyoal.

“Jodoh yang Allah rahsiakan tu memerlukan kita berdoa secara berterusan ataupun maksud lain istiqomah. Keikhlasan dalam kita berdoa tu mudah-mudahan kita dikurniakan pasangan yang akan membahagiakan kita dunia dan akhirat. Kita kena yakin pada qada dan qadar Allah,” pesan Luqman.

“Luq apa pendapat kau jika perempuan yang memulakan langkah dahulu,” tanya Rayyan.

“Usaha,” ringkas sahaja balas Luqman.

 “Maksudnya?” Rayyan kurang faham.

 “Perempuan yang memulakan langkah dahulu dengan matlamat sebuah pernikahan termasuk dalam melakukan usaha. Di pandangan Allah tiada salah silapnya. Cuma di pandangan manusia sedikit janggal,” kata Luqman.

 “Jadi kau boleh terima kalau benda ni berlaku pada kau Luq?” soal Rayyan lagi.

 “Setiap perkara yang kita lalui ni sudah pun ditetapkan oleh Allah. Apa yang telah berlaku, sedang berlaku, bakal berlaku. Termasuk juga hal jodoh ni Rayyan. Jika sudah tertulis aku bakal dilamar atau dirisik oleh wanita yang sesuai, aku reda. Aku terima seadanya,” jawab Luqman tenang.

 Rayyan senyum mendengar kata-kata Luqman. “Jadi kau setujulah.”

“Jika ada perempuan yang berani melamar aku, aku bersyukur Rayyan. Awal-awal lagi perempuan tu menerima segala kekurangan aku dan kelebihan aku. Aku yakin perempuan tu akan menghargai aku dengan sebaiknya. Selain tu aku lihat usaha perempuan tu sebagai satu gambaran keikhlasan dia menerima aku. Hal ni akan buat aku ingat sampai bila-bila. Bukan mudah tau perempuan nak lamar lelaki. Bukan calang-calang perempuan mampu dan berani melakukan hal ni,” balas Luqman.

 “Kau tak rasa ke yang perempuan tu tak ada rasa malu atau kurang adab?” tanya Rayyan.

 “Rayyan jika perempuan yang memulakan langkah dahulu tidak sedikit pun merendahkan maruah diri atau martabat perempuan tu. Kau tahu kan yang Saidatina Khadijah Radiallahu Anha melamar Nabi Muhammad SAW. Itu tidak bermakna jatuhnya martabat beliau sebagai seorang wanita mulia. Tiada apa yang yang hendak dimalukan jika tepat cara dan tindakannya,” Luqman memberikan pandangannya.

 “Tepat cara dan tindakan, aku tak faham,” ucap Rayyan.

“Begini, dalam hal lamaran Saidatina Khadijah Radiallahu Anha itu dilakukan oleh orang tengah. Dapatkan bantuan orang tengah yang boleh dipercayai. Penting untuk pilih seseorang yang benarbenar dipercayai, jujur dan ikhlas nak bantu,” ulas Rayyan.

“Oh begitu,” Rayyan angguk tanda faham.

“Pada aku jika usaha perempuan tadi berteraskan iman, bertunjangkan tawakal, aku percaya hal ini tidak sesekali akan menjadikan dia rendah, lemah atau pun kalah. Malah setiap usaha demi memenuhi matlamat yang baik akan dinilai oleh Allah. Kalau dah Allah tentukan dia milik kita, tidak kiralah bagaimana cara sekali pun yang digunakan, lambat laun pasti akan bersatu juga kan,” ucap Luqman dengan senyuman terukir di bibir.

“Thanks Luq. Penjelasan kau tu dah ubah persepsi aku dalam melihat isu perigi cari timba ni,” balas Rayyan.

“Sama-sama Rayyan. Alhamdulillah. Aku sekadar berkongsi apa yang aku tahu. Semua yang baik itu dari Allah Rayyan. Yang kurang itu dari diri kita sendiri,” kata Luqman.

 Rayyan menggangguk tanda faham. Persoalan jodoh yang dibincangkan terhenti di situ. Mihun goreng disuap ke mulut. Luqman juga diam menikmati rezeki di depan mata.

“Luq parents kau bila sampai?” soal Rayyan seusai dia menghirup kopi panas.

“Mereka sampai petang ni. Rayyan, petang ni aku tak masuk pejabat. Aku nak ke KLIA. Jemput Mama dan Papa.”

 “Kirim salam aku pada parents kau ya.”

“Insya Allah Rayyan.”

No comments:

Post a Comment

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim