05 October 2013

Kasihmu 42

“Opah, Opah,” Luqman memanggil Opahnya. Dia laju menaiki tangga menuju ke tengah rumah.

Suasana terasa tenang. Laman rumah yang luas. Sawah bendang terhampar saujana mata memandang. Shaheen tersenyum menikmati panorama kampung. Udara desa yang segar. Sedikit sebanyak mengingatkan Shaheen akan Mak Ngah Sofinya. ‘Apa khabar agaknya Mak Ngah,’ Shaheen bertanya sendiri. Rasa rindu yang bertamu sedikit terubat bila matanya menjamu suasana desa.

“Seronok kan ada kampung,” luah Shaheen.

Afzan senyum. “Tak apa Sha, lepas ni kau ada la kampung. Best ni,” balas Afzan.

Shaheen membulatkan matanya memandang Afzan. Afzan buat muka tidak faham dengan reaksi Shaheen.


“Sha, Afzan mari naik,” pelawa Haji Halim. “Ini la rumah Opah Luqman.”

Shaheen berpaling mengadap Haji Halim yang sudah pun naik ke beranda rumah kayu. Senyum dihadiahkan kepada Haji Halim yang sebaya Abinya.

“Baik Pakcik," Shaheen melangkah menaiki tangga kayu di hadapannya dengan hati-hati. Beg pakaiannya tadi sudah diangkat oleh Luqman.

“Ibu apa khabar?” sapa Haji Halim sebaik Opah Halimah muncul dari dalam rumah. Tangan ibunya disalam dan dicium. Lantas dipeluk tubuh ibunya. Pipi ibunya dikucup kiri dan kanan. “Rindunya Lim dengan ibu.”

“Alhamdulillah Ibu baik-baik saja. Beginilah sihat orang tua Lim,” balas Opah Halimah. Dia mencium dahi Haji Halim. “Allah… lama kamu tak balik. Nasib baik la ada Akim ni rajin datang menjengguk ibu.”

Giliran Bu Kartika bersalaman dengan ibu mertuanya. Dia turut memeluk ibu mertuanya. “Ini untuk ibu,” Bu Kartika menghulur sepasang jubah dan sepasang batik Jawa kepada Puan Halimah.

“Allah…terima kasih Tika. Kenapa susah-susah ni?” kata Opah Halimah.

“Nga la Ibu,” balas Bu Kartika. “Ayah mana Ibu?”

“Ayah kamu keluar ke kedai. Beli barang dapur,” ucap Opah Halimah.

Sebaik terlihat Shaheen, “Alisa, cucu Opah,” laung Opah Halimah menerpa ke arah Shaheen.

Shaheen tergaman. Dia terkejut bila tubuhnya dipeluk kemas. Opah Halimah mencium kedua-dua pipi Shaheen. Wajah Shaheen direnung penuh rasa kasih dan rindu.

“Apa khabar cucu Opah? Lama tak jenguk Opah,” sapa Opah Halimah selepas puas merenung wajah Shaheen.

Haji Halim yang menyaksikan reaksi ibunya tidak terkata apa-apa. Dia faham. Ibunya sangat rindukan arwah Alisa, cucu perempuan yang paling manja.

Afzan juga diam. Matanya memerhati sahaja tindakan Opah Luqman. Timbul rasa sayu di hatinya. Bayangan Arwah Abang Bai menerpa di ruang mata. Rasa sayu yang mula bertamu diusir jauh. Dia tidak mahu menitiskan air mata lagi.

“Opah, ini Sha, kawan Akim, yang ini pula Afzan” Luqman mendekati Opahnya sambil memeluk bahu Opahnya.

Opah Halimah masih menilik wajah Shaheen. ‘Saling tak tumpah,’ bisik hati tuanya.

“Maafkan Opah ya cu. Opah tak sengaja,” ucap Opah Halimah menarik tangan Shaheen dekat dengannya. “Mari duduk sini.”

Shaheen ikut duduk di kerusi rotan di sisi Opah Halimah. Dari tadi Opah Halimah tidak melepaskan tangan Shaheen. Sedikit terubat rasa rindu yang sekian lama menebal di dada.

“Ayuh minum semua,” tiba-tiba sahaja Bu Kartika muncul bersama satu dulang besar berisi air minuman dan juga kerepek pisang. “Luq, tolong ambilkan Oma air putih. Mama udah siap in.”

“Baik Mama,” Luqman bangun menuju ke dapur. Tidak lama selepas itu Luqman kembali semula dengan segelas air suam buat Opah Halimah.

Bu Kartika duduk di sebelah Opah Halimah.

“Jemput makan Afzan, Shaheen. Jangan malu,” kata Haji Halim.

Afzan yang duduk di sebelah Shaheen senyum. Afzan dan Shaheen mencapai cawan berisi air teh panas. Dicicip dengan hati-hati. Kerepek pisang diambil lalu dikunyah perlahan. Shaheen masih terasa dirinya diperhatikan lalu dia menoleh ke arah Opah Halimah.

“Opah buat apa tadi?” Shaheen bertanya.

“Opah tengah asingkan biji-biji kekabu tadi. Elok buat waktu pagi. Tak ada la kekabu ditiup dek angin,” jawab Opah Halimah.

“Banyak kekabu tahun ni Ibu?” tanya Haji Halim. Terimbas kembali kenangan semasa kecil. Sama-sama membantu ibunya memproses kekabu.

“Banyak juga. Dah lebih enam kampit Ibu jual,” kata Opah Halimah.

“Oh banyak tu Ibu. Sekampit ada 20 kilo kan,” ucap Haji Halim.

Opah Halimah mengangguk. “Itu pun ada lagi tu yang belom gugur semua.”

Shaheen dan Afzan sama-sama melanggut memerhati pokok-pokok kekabu yang sedang lebat berbuah.

“Nanti Akim tolong Opah yer,” Luqman menawarkan diri membantu.

“Esok tolong Opah angkat semua kampit tu. Hantar ke kedai Mak Biah,” pinta Opah Halimah.

“Baik Opah,” kata Luqman sambil mengangkat tangan separas dahinya. Dah macam tentera pula lagaknya.

“Opah jahit bantal?” soal Afzan.

“Ada juga. Bantal kekabu ni lagi selesa. Itu yang Opah buat sendiri. Kalau ada yang nak beli Opah jual je,” balas Opah Halimah.

“Patutlah banyak bantal yang dijemur depan tu,” tambah Shaheen.

“Sha, itulah antara sumber pendapatan yang menyara kami sekeluarga. Kalau musim hujan, tak boleh nak menoreh. Sawah pula ada musimnya. Jadi pokok kekabu ni banyak jasanya,” luah Haji Halim.
 
“Kalau musim buah, jual buah pula kat peraih di pekan tu,” tambah Opah Halimah. “Duduk di kampung ni macam-macam boleh buat. Janji rajin usaha.”

Afzan dan Shaheen mengangguk. Sungguh pengalaman melalui semua itu tidak pernah dirasai. Rasa seronok dapat berkunjung ke kampung Luqman segera bercambah di hati. ‘Mujur Abi benarkan aku ke sini. Menikmati suasana kampung.’

“Ibu nak ke belakang. Kutip pucuk paku. Boleh buat kerabu. Kamu anak beranak rehatlah dulu. Tengahari ni kita makan masak lemak nangka,” kata Opah Halimah bangun menuruni tangga kayu.

“Sha ikut Opah boleh?” tanya Shaheen.

“Hmm marilah. Baik-baik turun tangga,” kata Opah Halimah.

Afzan turut mengekori Shaheen turun ke tanah.

“Opah, Akim pun nak ikut,” tergesa-gesa Luqman meletakkan cawan di meja. Laju sahaja dia menuruni tangga. Mengejar kelibat Opahnya.

Haji Halim dan Bu Kartika tergeleng-geleng kepala melihat gelagat anak teruna mereka. “Baik-baik Luq, usah ribut-ribut,” pesan Bu Kartika.

*******
“Opah tanam semua ni?” tanya Afzan.

“Opah dengan Tokki yang tanam. Pagi-pagi berkebun. Elok keluarkan peluh. Kalau tak dapat pagi, petang-petang Opah dengan Tokki habiskan masa kat sini,” jawab Opah Halimah.

“Rajinnya Opah,” kata Shaheen.

“Tak rugi berbudi pada tanah ni Cu. Hilang rasa penat bila tanaman keluarkan hasil,” kata Opah Halimah.

Opah Halimah mengutip pucuk paku. Laju tangannya bekerja. Secekak pucuk paku sudah pun berada dalam gengaman Opah Halimah. “Nah pegang ni,” Opah Halimah menghulurkan pucuk paku yang dikutip kepada Afzan. Opah Halimah masih lagi mengutip pucuk paku yang tumbuh meliar di belakang rumahnya.

“Opah kata nak buat masak lemak nangka. Nak Akim tolong Opah ambil nangka tu?” tanya Luqman.

“Ha elok kamu masuk dalam ambil parang, senang kerja Opah,” balas Opah Halimah.

“Opah ni pokok apa,” tanya Shaheen.

“Baik-baik Cu. Pokok ni berduri. Ini namanya pokok delima,” jawab Opah Halimah.

“First time tengok pokok delima. Macam ni rupanya,” ucap Afzan.

Shaheen dan Afzan mendonggak sedikit melihat pokok delima yang dikatakan oleh Opah tadi. Pokoknya tinggi dan kecil sahaja tapi berbuah banyak. Lebih kurang 30 biji juga. Afzan mengira bilangan buah yang berbalut.

“Apa yang lucu sangat tu Afzan?” soal Shaheen.

“Ni ha sekali pandang dah macam pokok krismas pun ada,” balas Afzan.

Shaheen tergelak mendengar kata-kata Afzan.

“Amboi apa yang seronok sangat tu?” tegur Luqman. Di tangannya sebilah parang kecil.

“Ni ha tengok pokok krismas,” jawab Shaheen.

“Mana-mana?” Luqman tertoleh-toleh mencari pokok krismas.

Serentak Opah Halimah, Afzan dan Shaheen menghamburkan tawa. Luqman menggaru kepala.

“Kamu ni Akim, mana ada pokok krismas kat kebun Opah ni. Itu ha pokok delima tu, cuba kamu tengok. Ada rupa pokok krismas kata kawan kamu ni,” Opah Halimah berkata sebaik reda tawanya.

“Oh ingat apa la tadi,” Luqman puas hati dengan jawapan daripada Opah Halimah. “Opah ni nak ambil yang mana?”

“Nak buat masak lemak ambil nangka muda tu Akim. Ambil yang atas tu sikit. Yang itu Opah tak sampai,” kata Opah Halimah.

Luqman senyum. Segera dia memangkas nangka muda yang dimaksudkan oleh Opahnya.

“Baik-baik getah nangka tu. Kena baju susah nak hilang,” pesan Opah Halimah.

“Ya Opah,” sahut Luqman.

“Lisa, tolong Opah petik cili padi tu,” kata Opah Halimah. “Tu ambil raga plastik tepi perigi tu. Letak cili dalam tu.”

Shaheen tidak berkata apa-apa. Dia tidak berkecil hati. Dia faham Opah Halimah tentu rindukan arwah. Tanpa banyak soal, Shaheen memetik cili padi.

“Aaah,” tiba-tiba Shaheen menjerit.

“Kenapa?” Luqman sudah berada di sisi Shaheen.

“Tu,” Shaheen menunjuk ke arah ulat bulu berwarna hitam oren sederhana besar di balik daun cili. Terjerit dia bila tangannya tersentuh benda lembik tadi.

Segera Luqman mencuit ulat bulu. Jatuh ke tanah ulat bulu tadi. Segera dikuis jauh dari pokok cili.

“Hmm dah ok. Ulat bulu je. Kena tangan ke? Kalau tak nak gatal, lurut tempat kena ulat bulu tu kat rambut,” kata Luqman. “Jangan sentuh tempat lain nanti merebak gatalnya.”

Shaheen membulatkan matanya memandang Luqman. Afzan sudah ketawa.

“Betul apa saya cakap,” Luqman terpingga-pinga melihat gelagat Afzan dan Shaheen.

“Betul la apa awak cakap tu sayang. Tapi rambut saya dalam tudung ni ha. So macam mana?” soal Shaheen.

Afzan menyambung tawa.

“Sayang?? Sedap pula awak panggil saya macam tu,” Luqman sudah senyum lebar.

‘Aku panggil dia sayang ke tadi.’ Shaheen terdiam. Malu menerpa. Merah wajahnya. “Macam mana ni?” soal Shaheen.

“Macam mana apa?” soal Luqman kembali.

“Ni nak hilangkan gatal kena ulat bulu tadi,” kata Shaheen menukar topik.

"Kalau tak malu, awak gosok je tangan awak kat rambut saya,” balas Luqman.

Shaheen terkejut mendengar kata-kata Luqman. Afzan kembali ketawa.

“Ha Ijan tak abis gelak lagi ke? Putus saraf gelak nanti,” usik Luqman. “Dah simpan sikit untuk esok.”

Tawa Afzan makin galak. Bukan berhenti, bersambung lagi ada.

Shaheen mendekati Luqman. Ragu-ragu dia mahu menggosok tangannya ke rambut Luqman.

“Saya offer sekali je. Kalau tangan awak gatal saya tak tanggung ya,” ucap Luqman bila Shaheen teragak-agak menggosok tangan ke rambutnya.

“Betul ke ni,” kata Shaheen sambil melurut tangannya ke rambut Luqman. Terasa lembut rambut menyentuh telapak tangan Shaheen. Darah menyerbu ke muka. Merah wajah Shaheen menaham malu.

Opah Halimah yang memerhati tidak jauh dari situ hanya tersenyum. Teringat dia pada arwah Alisa.

“Eh Ijan apa yang hitam kat ibu jari tu?” soal Shaheen memerhati ke kaki Afzan.

“Mana Sha?” soal Afzan pula.

“Tu kat kaki kanan kau?” jawab Shaheen.

“Aaaaa pacat,” giliran Afzan pula menjerit. Opah Halimah tersenyum melihat gelagat Afzan dan Shaheen.

Sekali lagi Luqman segera mendekati Afzan dan Shaheen. “Kenapa ni?”

“Tu pacat…aaaa tolong. Gelilah,” Afzan seperti terkena histeria.

Shaheen mula memeriksa kakinya. Dia mengangkat sedikit seluar jeans yang dipakai. Puas hati tiada. Shaheen sudah menjauh dari kawasan berumput dan semak.

Luqman segera menarik pacat yang sedang enak menghisap darah. ‘Sebelum betul-betul histeria baik aku cabut cepat.’

“Dah ke belum?” tanya Afzan.

“Dah,” jawab Luqman ringkas.

“Cukup la ni. Jom masuk. Tunggu Tokki balik, kejab lagi sampai la tu,” ajak Opah Halimah. “Mai tolong Opah sedia bahan masak.”

Shaheen dan Afzan menolong Opah Halimah membawa pucuk paku, cili padi dan belimbing buluh. Luqman membawa nangka muda dan pisang abu yang sudah kekuningan.

“Opah nanti boleh ajar Sha masak nangka ni,” Shaheen berhasrat mahu belajar memasak dari Opah Halimah.

“Boleh Cu. Nanti kita masak sama-sama,” balas Opah Halimah senang hati.

“Ijan pun Opah. Nak belajar buat masak lemak nangka,” kata Afzan.

“Ni resepi dari arwah nenek Opah. Nangka masak lemak ikan masin,” kata Opah Halimah.

Mendengar nama resepinya saja sudah membuatkan Afzan dan Shaheen kecur liur. Tidak sabar mahu menuntut ilmu memasak dari Opah Halimah.

“Opah panjang umur Tokki. Baru sebut dah sampai tu,” kata Luqman sebaik mendengar bunyi enjin motosikal Honda Tokkinya. Honda antik keluaran tahun 1980. Lampu berbentuk bulat. Masih elok motosikal Tokki. Motosikal itu dijaga dengan baik. Enjinnya pun tak pernah meragam.

Luqman sudah berjalan laju ke depan. Rindu dia pada Tokki.

*******
“Opah buat macam ni ke?” soal Shaheen. Tangannya sudah penuh berlumur minyak. Gara-gara mahu elakkan getah nangka melekat di tangan dan pisau.

“Dah elok la tu, pi cuci. Lepas tu masuk dalam periuk. Kena rebus sampai empuk. Letak garam sikit,” pesan Opah Halimah.

“Opah buat apa tu?” Luqman turut turun ke dapur.

“Opah nak sediakan bahan kisar masak lemak. Akim tolong Opah ambil serai kat luar. Dua batang cukuplah,” pinta Opah Halimah.

“Baik Opah,” Luqman sudah mencapai sebilah pisau. Dia keluar dari pintu dapur mencari serai.

“Opah dah siap,” Afzan menghulurkan satu bekas berisi santan kepada Opah Halimah.

“Terima kasih Cu,” ucap Opah Halimah.

“Kalau ya pun cuci la dulu serai tu Akim,” tegur Opah Halimah bila dua batang serai itu dihulur kepadanya.

Opah Halimah sudah bersedia untuk mengisar kunyit hidup, bawang besar, bawang putih dan cili merah. Sebelum bahan-bahan itu dikisar Opah Halimah memasukkan sedikit air. Opah Halimah segera mengisar bahan-bahan tadi. Siap dikisar lalu dituang ke dalam mangkuk. Mesin pengisar diletak ke dalam singki. Mangkuk tadi diletak bersama bahan-bahan lain. Ada ikan masin kurau, serai, santan, garam, asam keping, air dalam sukatan tiga cawan dan minyak masak. Opah Halimah susun bedekatan tempat memasak. Mudah. Gaya dah macam chef terkenal nak memasak sahaja.

“Opah kata nak ajar kami masak?” Afzan sudah pun berdiri di sisi Opah Halimah.

Opah Halimah senyum. Dia gembira dikelilingi anak cucu. Meriah rasanya. Jika sebelum ini hanya dia berdua sahaja dengan suaminya.

“Ni Opah nak tunjuk,” Opah Halimah mahu mula memasak.

Shaheen mendekati Opah Halimah. Dia jadi teruja. Belajar masak dengan orang lama. Air tangan Opah Halimah pasti sedap.

Mula-mula Opah Halimah masukkan minyak masak. Lebih kurang satu senduk. Kata Opah Halimah api jangan kuat sangat. Kalau kuat sangat nanti hangus.Tidak sempat bahan-bahan kisar tadi naik minyak.

“Sha hulurkan pada Opah santan tu,” pinta Opah Halimah. “Bila dah pecah minyak baru kita masukkan santan. Kacau perlahan-lahan.”

“Opah boleh ke tukarkan santan dengan susu?” tanya Shaheen.

“Boleh juga. Kan orang sekarang nak jaga badan. Tak nak makan bersantan. Tapi Opah lagi suka kalau letak santan. Rasanya lebih asli,” terang Opah Halimah.

Selepas itu Opah Halimah capai serai yang telah diketuk. Dimasukkan kedua-dua batang serai tadi ke dalam periuk. “Serai ni nak bagi wangi.”

Afzan dan Shaheen menganggukkan kepala.

“Lepas ni masukkan apa Opah?”tanya Shaheen.

“Ikan masin kurau tu ambil,” kata Opah Halimah. "Sebelum tu tolong Opah asingkan masak lemak ni untuk Akim."
 
Afzan mengambil satu mangkuk lalu dihulur kepada Opah Halimah. Opah Halimah menceduk masak lemak nangka. Mangkuk tersebut dihulur kepada Afzan.

“Biar Sha tolong Opah masukkan dalam periuk,” Shaheen memasukkan ikan masin dengan hati-hati. Tidak mahu kuah bersantan terpercik ke tangan. “Sha tolong Opah kacau ya.”

Senduk di tangan Opah Halimah dihulur kepada Shaheen. Dia mengacau perlahan isi ikan di dalam periuk.

“Boleh la masukkan air,” arah Opah Halimah.

Afzan membantu Shaheen memasukkan air ke dalam periuk. Shaheen mengacau perlahan.

“Bila nak masukkan nangka ni Opah,” tanya Shaheen.

“Dah boleh dah. Ha masukkan sekali nangka tu,” jawab Opah Halimah.

“Garam ni Opah?” soal Afzan.

Opah Halimah menghulurkan bekas garam. Asam keping juga dihulurkan kepada Afzan. “Masukkan garam dengan asam keping tu. Kacau sebati. Biar kuah mendidih sekejab dah boleh tutup api. Tak payah lama-lama. Kan nangka ni dah kita rebus tadi. Dah empuk kan,” kata Opah Halimah. Dia gembira dapat menurunkan resepi masakan kepada Afzan dan Shaheen.

“Oh,” jawab Afzan dan Shaheen serentak.

“Amboi sedapnya bau,” tegur Luqman. Dia sudah berdiri di tepi Opahnya. “Siapa masak?” 

“Cuba rasa ok tak?” Shaheen menghulurkan sedikit kuah masak lemak yang dicedok ke dalam piring kecil kepada Luqman. 

Berasap kuah masak lemak berwarna sedikit kuning itu. “Awak masak ke ni?”

“Kenapa? Tak sedap ke?” berkerut wajah Shaheen mendengar pertanyaan Luqman tadi. 

Afzan dan Opah Halimah juga sedang menunggu jawapan Luqman.

“Sedap. Macam Opah buat,” Luqman berkata jujur. “Betul ke awak buat?”

Shaheen tidak berani mengaku. “Taklah. Saya tolong Opah je. Ni Opah yang masak.”

Opah Halimah sudah senyum simpul. Dia tidak berkata apa-apa. Tidak mahu merosakkan mood cucu-cucunya. Luqman senyum penuh makna.

“Opah kerabu pucuk paku tu Opah jangan lupa ya,” pesan Luqman. “Kalau tak ada, makan tak kenyang Akim nanti.”

“Opah tau. Kamu kalau tak tanya kerabu pucuk paku, bukan kamu namanya,” usik Opah Halimah.

“Mestilah. Kerabu Opah paling best in the world tau. Tak ada kat tempat lain,” ucap Luqman sambil memeluk bahu Opahnya. Kepala dilentokkan ke bahu Opahnya.

Opah Halimah senyum dipuji cucu kesayangannya. Gembira rasa hati.

Shaheen memerhati sahaja lagak manja Luqman. Dia senyum.

*******
“Akim pergi panggil Tokki, Papa dengan Mama kamu. Kita makan tengahari sama-sama,” arah Opah Halimah.

Afzan dan Shaheen sudah pun menyiapkan meja makan. Mereka berdua tidak membenarkan Opah Halimah mahu pun Bu Kartika membantu walau pun sudah berkali-kali Opah Halimah melarang.

“Malu Opah, tetamu pula yang tolong hidang,” ucap Opah Halimah.

“Opah biarlah kami berdua yang tolong Opah. Bukan selalu kan,” pujuk Shaheen.

“Patutnya tuan rumah layan tetamu,” luah Opah Halimah lagi sekali.

“Tak apalah Opah. Lagi pun bukan susah pun. Ni kan kerja orang perempuan,” kata Afzan pula. 

“Dah la tadi kamu berdua tolong Opah masak,” kata Opah Halimah.

“Jangan risau la Opah. Kami berdua dengan senang hati nak buat. Nanti entah bila pula Sha dengan Ijan nak datang sini kan,” kata Shaheen sambil memegang tangan Opah Halimah.

Opah Halimah senyum. Dia gembira dengan kedatangan cucu barunya.  

“Amboi seronok nampak,” tegur Luqman. 

“Ha jealous la tu,” usik Afzan. Sengaja Afzan memeluk bahu Opah Halimah. 

Opah Halimah rasa bahagia. Sudah lama rumahnya tidak semeriah ini. Gurau senda bersama cucu-cucunya. 

“Ibu masak apa ni? Sedapnya bau,” Haji Halim menyedut aroma masakan ke rongga pernafasannya. 

“Ini lauk kegemaran kamu dengan Luqman la,” balas Opah Halimah. 

“Masak lemak nangka dengan ikan masin ya,” teka Haji Halim. 

Opah Halimah menggangguk.  

“Ni kerabu pucuk paku dengan kerang pun ada. Akim kejab lagi entah berapa pinggan yang dimakannya?” usik Tokki Ibrahim. 

“Tokki ni. Jangan la pecah rahsia. Malu Akim,” ucap Luqman seperti orang berbisik ke telinga Tokki.  

“Mah ambilkan Abang air suam,” pinta Tokki kepada isterinya. 

“Tokki ni air suam Tokki,” Shaheen sudah pun menghulurkan air suam kepada Tokki. 

“Amboi cepatnya. Kalah kedai mamak. Minta je terus sampai,” kata Tokki dalam nada mengusik. 

Mereka semua sudah tergelak besar. Shaheen tersenyum malu. Dia teringat pesanan Opah Halimah sebentar tadi. Tokki hanya minum air panas suam.

“Eh kenapa berdiri lagi tu. Duduklah Ijan, Sha. Kita makan sama-sama. Sejuk lauk ni tak sedap pula,” kata Tokki yang sudah duduk di meja bulat.  

Luqman mengangkat tangan lalu membacakan doa makan. Habis doa dibaca, Haji Halim mengambil sepotong buah betik. Pinggan buah dihulur kepada Bu Kartika di sebelahnya. 

“Manis,” kata Bu Kartika.

“Ini pokok kat belakang rumah ni. Ayah kamu tanam,” Opah Halimah berkata sambil menjeling ke arah Tokki. 

“Ai Akim, senyap je,” Tokki sengaja menegur Luqman yang sedang asyik dengan kerabu pucuk paku. 

“Sedih la Tokki,” kata Luqman. “Tak boleh makan masak lemak tu. Ada ikan.” 

“Ala lupa saya. Kejab ya,” Shaheen sudah bangun menuju ke dapur. Tidak lama, Shaheen kembali dengan semangkuk masak lemak nangka. Bezanya yang ini tidak dicampur ikan masin. 

Luqman sudah senyum gembira. “Ha macam ni baru Akim berselera nak makan,” luah Luqman girang. 

“Macam mana tau Akim tak makan ikan?”Tokki bertanya hairan. 

“Sebelum ni kami pernah keluar makan sama-sama. Itu yang Sha tau,” Haji Halim yang menjawab.
 
“Oh,” Tokki pandang Shaheen. Teringat dia kepada arwah Alisa. Tadi sangkanya dia berhalusinasi. Sangkanya dia yang tersalah tengok dek kerana terlalu rindu pada arwah Alisa. Hampir sahaja dia tidak mengendahkan teguran Shaheen sewaktu dia baru balik dari kedai tadi. Selepas dicuit isterinya, barulah dia sedar di depannya bukan bayangan arwah Alisa. Di dalam hati Tokki mengucap syukur. Allah mengirimkan seorang hambanya sebagai pengubat rindu dia sekeluarga. Mata tuanya menjeling ke arah Luqman. Barulah dia faham. Luqman nampaknya kembali bersemangat. Jadi inilah puncanya.

6 comments:

  1. kelakar baca part luq suh Sha gosok tangan kena ulat bulu tu ke rambut

    ReplyDelete
  2. hihikk petua tu dah betul..tu jer caranya...lurut kat rambut luqman

    ReplyDelete
  3. bergenang mata baca part Opah teringat arwah alisa, then ijan pulak teringat arwah abg bai..sedih baca

    ReplyDelete
  4. terima kasih membaca sambil menghayati kisah ini...teruskan menyokong kisah ini.

    ReplyDelete
  5. mana ye chapter baru... dah byk kali bukak...tapi masih 42...mana 43..(-:

    ReplyDelete
  6. :) chapter 43 dah pun sha upload, just sha lupa nak masukkan link Kasihmu 43.. tq sdr/i remind sha..

    Selamat membaca ya.. :)

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim