23 June 2013

Kasihmu 36

“Mak, Pak orang pi dulu,” ucap Afzan seraya mencium tangan kedua orang tuanya.

Afzan memandu dengan tenang menuju ke Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka. Tanah perkuburan itu betul-betul terletak di belakang Balai Bomba, Kangar. Niatnya mahu menziarahi pusara Arwah Abang Bai. Biar pun baru semalam Arwah dikebumikan, perasaan rindu yang bertamu membawa Afzan kembali ke tanah perkuburan itu.

Walaupun perasaan takut menyelubungi, namun dek kerana ingatan kuat kepada Arwah memaksa Afzan melupakan perasaannya yang satu itu. Dia tidak peduli dengan momokan kisah misteri atau berhantu di perkuburan.



Semasa sampai, memang Afzan tidak merasa apa-apa. Dia memandang dari jauh kubur Arwah. Langkah diatur masuk ke tanah perkuburan. Rasa itu bertandang. Sebak. Apabila bersendirian di situ, emosinya menguasai diri. Tiba di pusara arwah Abang Bai, tikar dihamparkan lalu Afzan duduk sambil membuka dan membaca surah Yassin. Bacaannya lancar di permulaannya, sampai sahaja di pertengahan surah, perasaan sebak mula berkumpul di dada. Perasaan sedih sudah tidak dapat ditahan lagi. Afzan ditemani air mata. Terasa panas di pipi bila air matanya turun perlahan.

Ketika itu Afzan teringat kembali kisah suka duka, gelak tawa bersama Arwah. Semuanya bermain di fikirannya. Cepat-cepat Afzan menyapu air mata. Dia mahu segera menyudahkan bacaan yassin yang tertangguh tadi. Sambil menahan sendu, bacaan diteruskan. Usai bacaan yassin, Afzan merenung tanah yang masih merah itu.

Perasaan sedih tadi bertukar kepada perasaan kehilangan. Kehilangan seorang lelaki yang bakal memimpin dirinya, menjadi imam buat dirinya dan bakal anak-anaknya nanti. Dia sedar kehilangan yang dirasakannya itu bukan untuk sehari, seminggu, sebulan, setahun, tetapi untuk selama-lamanya. Hanya bayangan dan kenangan bersama Arwah yang tinggal.

‘Abang, semoga abang ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan mendapat ganjaran syurga, insya Allah. Aamiin,’ doa Afzan di dalam hati.

Afzan merintih di dalam hati, “Ya Allah, begitu berat ujian yang engkau berikan buat hambamu ini. Aku tak kuat ya Allah. Aku insan yang lemah. Tapi aku tahu, Engkau takkan membebani hambanya melebihi kemampuan hambanya. Aku rasa aku tak mampu menghadapi semua ni, tapi ya Allah, Engkau yakin aku mampu, sebab itu Engkau turunkan ujian yang maha hebat ini untuk aku. Dan aku juga yakin, Engkau tidak menjadikan sesuatu tanpa sebab.’

Afzan menyapu lagi air matanya. Memang pahit terasa. Hati Afzan berkata-kata lagi, ‘Insya Allah, jika aku mampu menghadapi semuanya dengan sabar, pasti akan ada manis pada akhirnya.’ Afzan mengukir satu senyuman untuk memujuk hatinya.

Bacaan yassin sudah lama disudahinya. Dicapai bekas air berisi rendaman bunga mawar lalu disiram ke atas batu nisan sambil tangannya menyapu-nyapu nisan tersebut. Matanya yang berair memandang ke arah batu nisan dengan pandangan kosong. Semakin sesak dadanya. Tangannya menabur bunga-bunga yang dipotong bersama hirisan daun pandan ke atas kubur Arwah.

“Ijan sangka hubungan kita akan berakhir sebagai suami isteri, tapi takdir penentu segalanya,” ucap Afzan perlahan.

Linangan air mata serta sendu  di dada kian bertambah. “Ijan sayang Abang,” ucap Afzan lagi.

Afzan menahan sendu. Dia bangun sambil mengemas barang yang dibawa. Tikar digulung semula. Matanya merenung pusara yang masih merah itu. Berat kakinya mahu melangkah. Namun digagahkan juga berlalu dari situ. Baru beberapa langkah, Afzan kembali berpaling ke arah kubur yang akan ditinggalkan. Tidak mahu menambah rasa sedih di hati, Afzan segera melangkah menuju ke kereta yang di parkir di tepi jalan.

Sebaik berada di dalam kereta, Afzan bersandar lesu. Hatinya sarat menanggug rasa rindu buat Arwah. Di saat dia dan Arwah sedang membuat persiapan hari bahagia mereka, Arwah dijemput Ilahi. Walau berat hatinya menerima semua itu, namun dia redha. Sudah begitu takdir yang ditentukan olehNya buat mereka berdua. Afzan mengesat air mata yang masih bersisa di pipi.

Enjin kereta dihidupkan. Sewaktu brek tangan mahu dilepaskan, telefon bimbit Afzan berdering nyaring. Melihat nama pemanggil yang tertera di skrin, Afzan segera mengangkat talian.

“Assalamualaikum Sha,” ucap Afzan.

“Waalaikumsalam Ijan. Apa khabar Ijan? Macam mana keadaan kau di sana?” balas Shaheen.

“Alhamdulillah aku ok. Kau macam mana Sha?” pertanyaan balas Afzan.

“Aku pun sihat alhamdulillah. Rindu kat kau la Ijan.”

“Iya ke ni? Hmm aku pun sama.”

“Kenapa suara kau serak je ni. Baru bangun tidurkah? Aku ganggu kau ke?” tanya Shaheen.

“Oh tak la Sha. Aku masih di tanah perkuburan ni. Aku ziarah pusara ABang Bai, Sha.”

“Sabar ya Ijan. Aku harap kau tabah hadapi semua ni. Aku tunggu kepulangan kau ke sini Ijan. Aku mahu bertemu sahabat aku yang dulu,” kata Shaheen di hujung talian.

Afzan diterpa rasa sebak. Dia tahu Shaheen risau akan dirinya. Sahabatnya itu sering sahaja memberikan kata-kata peransang agar dia lebih kuat hadapi semua ujian yang melanda dirinya.

“Afzan jangan menangis lagi. Kalau aku ada di sana, aku sedia tumpangkan bahu aku untuk kau sandar,” ucap Shaheen. Dia tahu Afzan memerlukan sokongan. Emosinya rapuh tatkala ini.

“Terima kasih Sha. Aku ok,” balas Afzan menyembunyikan sebak di dada. “Oh ya pukul berapa kau sampai KL semalam?”

“Lepas Asar juga kami sampai. Lebih kurang pukul lima juga Jan. Tu pun sebab Rayyan minta berhenti, nak makan nasi lemak katanya. Dia segan nak menambah masa makan kat rumah kau tu,” Shaheen membuka cerita. Kisah Rayyan dan nasi lemak. Lepas tu kami berhenti sekejab isi minyak dan singgah ke toilet.”

“Hah! Ya ke?” Afzan sudah mengukir senyum. Mata yang berair dikesat laju.

“Ya. Aku dengan Luqman ikutkan sahaja.”

Afzan teringat kata-kata Rayyan malam kelmarin. Dia tidak tahu jawapan bagaimana harus dia berikan kepada pemuda itu. Adakah patut dia menerima lamaran Rayyan. Pemergan Arwah tak sampai seminggu. Sesak fikirannya.

“Ijan..hello..Ijan kau dengar tak ni,” Shaheen sudah terjerit di hujang talian.

“Sha maaf aku tak dengar. Kau cakap apa tadi?” tanya Afzan.

“Aku tak cakap apa-apalah. Tapi kau tu tiba-tiba diam. Risau tau aku kat sini.”

“Maaf Ijan. Aku teringat lamaran Rayyan tempoh hari.”

“Oh. Jadi macam mana Ijan. Kau dah fikir. Dah ada keputusan?”

“Aku tak tahu Sha. Fikiran aku buntu.Semuanya berlaku dengan cepat. Aku tak sangka Rayyan akan membuat lamaran seperti itu di hadapan keluarga aku, Sha.”

“Ijan, aku yakin Rayyan lelaki yang baik. Aku yakin dia ikhlas dalam setiap kata-katanya. Keikhlasan tu jelas bila dia berani meluahkan isi hatinya di depan semua orang,” Shaheen menyampaikan pendapatnya.

“Entahlah Sha. Aku tak tahu.”

“Ijan, aku harap kau fikirkan dengan sebaik-baiknya sebelum apa pun keputusan yang akan kau ambil nanti. Mohonlah padaNya agar keputusan kau nanti adalah yang terbaik dan sesuai untuk kehidupan kau di masa akan datang,” nasihat Shaheen. Cubalah kau buat solat istikharah, mohon petunjuk darinya.”

Afzan terdiam di tempat duduk pemandu. “Terima kasih Sha.”

“Sama-sama Ijan. Oh sebelum aku terlupa. Abi dan Ummi aku kirim salam assalamualaikum buat kau,” kata Shaheen. Terdengar gelak kecil Shaheen.

“Waalaikumsalam. Sampaikan salam aku pada mereka juga.”

“Insya Allah Ijan. Ok aku nak kena beredar ni. Pagi ni ada meeting dengan pembantu Tuan Malik di pejabat dia. Adelia dah tunggu kat depan ni,” kata Shaheen ingin mengakhiri perbualannya.

“Sampaikan salam aku pada Adelia,” ucap Ijan. “Ok Sha, aku pun nak kena gerak balik rumah ni. Takut risau pula mak aku nanti.”

“Baik Ijan. Jangan lupa kirimkan juga salam aku pada mak ayah dan keluarga kau ya. Rindu aku kat Mak Tok kau,” kata Shaheen. “Ijan take care. Ingat ya pesan aku tadi.”

“Insya Allah aku ingat. Sha, terima kasih. Kau sahabat aku yang paling baik. Hati-hati drive ya Sha. Assalamualaikum.”

“Sama-sama kasih Ijan. You too drive carefully. Daaa.. waalaikumsalam.”

*******
“Ijan tak payah masak. Tengahari ni kita makan kat rumah Mak Tok,” tegur Puan Rohani bila Afzan sudah mencapai periuk nasi.

“Ada apa kat sana mak?” tanya Afzan.

“Mak Tok tak habaq apa pun. Dia kata lagu tu ja. Tadi lepaih hang pi, Mak Tok singgah sat. Dan la dia minum kopi sat-sat ni,” balas Puan Rohani.

“Orang pi rumah Mak Tok sat. Pi tengok apa dia dok buat.”

“Ha elok tu. Pi tengok kot ada benda buleh tulong,” kata Puan Rohani.

“Sha kirim salam kat Mak. Pagi tadi masa orang nak balik dari kuboq, dia call.”

“Ha. Waalaikumsalam.”

“Mak, orang pi dulu na.”

Puan Rohani angguk. Matanya memerhati langkah Afzan, anaknya keduanya.

*******
“Assalamualaikum. Mak Tok.. Mak Tok,” Afzan melangkah masuk melalui pintu dapur rumah yang terbuka.

“Waalaikumsalam. Jan, ni Mak Tok kat sini,” Mak Tok menjerit dari atas rumah.

“Dok buat apa tu Mak Tok,” tanya Afzan lalu mendaki anak-anak tangga ke tengah rumah.

Tangan dihulur kepada Mak Tok. Tangan itu dicium.

“Ni Mak Tok nak kemas depan ni. Tikaq ni nak gulung-gulung simpan la,” kata Mak Tok sambil tangannya memegang bucu tikar mengkuang.

“La awat tak panggil orang. Orang buleh tolong Mak Tok,” ucap Afzan sambil menarik tikar mengkuang di lantai.

“Tak pa aih. Bukan banyak pun. Ni pun semalam Mak Long hang kemaih dah. Jangan dok gaduh la. Sikit ja,” balas Mak Tok.

“Depa semua balik dah ka?” tanya Afzan sambil matanya mencari saudara maranya yang lain.

“Dak aih. Depa pi nat. Cari pasemboq. Mak Njang hang mengidam nak makan. Tu yang depa pi semua.”

“Mak Njang mengidam? Ada apa-apa ka?” soal Afzan teruja.

“Baru sebulan lebih berisi,” balas Mak Tok.

“Ya ka ni Mak Tok. Bertambah lagi sorang orang baru taun ni,” Afzan bersuara dalam senyuman.

“Lagu tu la nampaknya. Alhamdulillah,” ucap Mak Tok syukur.

“Mak Tok nak buh mana tikaq ni?”

“Pi buh kat bilik belakang. Susun tepi lemari tu.”

“Ijan mai pi dapoq. Teman Mak Tok minum ayaq kopi,” ajak Mak Tok.

Afzan mengekori langkah Mak Tok yang perlahan. Tangan Mak Tok dicapai. Afzan berjalan seiring dengan Mak Tok menuju ke dapur.

“Mak Tok dok la. Biaq orang buat kopi. Mak Tok buat apa pagi ni,” soal Afzan.

“Pulut ayam. Bukan Mak Tok buat. Mak Uda yang buat pagi tadi. Ni pun sebab Mak Njang dok habaq teringin nak makan. Mak Uda hang rajin dok layan. Ambik pinggan mai makan,” kata Mak Tok yang duduk di hujung meja makan.

“Amboi sedapnya. Hmm lama dah tak makan pulut ayam. Amboi Mak Tok ikan masin pun ada. Sedap ni lawan dengan pulut,” ucap Afzan dengan senyum ceria.

“Ni Mak Tok. Ayaq kopi.”

“Ijan makan la. Mak Tok dah makan sat-sat ni,” kata Mak Tok apabila Afzan menghulur sepiring pulut.

Afzan mengangkat tangan membaca doa. Suapan pulut bersama ayam goreng dikunyah perlahan. ‘Sedap.’

“Ijan cuti berapa hari?” soal Mak Tok.

“Orang ingat nak ambil cuti panjang. Minggu depan baru nak mula kerja.”

“Cuti lama-lama bos tak marah ka?” soal Mak Tok lagi.

“Orang dah habaq kat bos. Lagi pun orang jarang la ambik cuti lama-lama,”

Mak Tok Ramlah memerhati Afzan. Dia ingin bertanya hal berkaitan Rayyan. Namun bibirnya terasa berat. Bimbang jika pertanyaannya nanti mengundang rasa sedih di hati Afzan.

Afzan bangun mengangkat piring ke sinki lalu dicuci. Dia kembali ke meja makan. Duduk bersebelahan Mak Tok yang sedang menyisip kopi panas. Cawan kopi dibawa ke mulut. Aroma kopi menerpa ke hidung.

“Ijan, Mak Tok nak tanya sikit,” kata Mak Tok.

“Tanyalah Mak Tok,” balas Afzan. Dia sudah bersedia jika soalan Mak Toknya ada kaitan dengan lamaran Rayyan.

Mak Tok Ramlah berjeda seketika. Nafas ditarik dan dihembus perlahan.

“Mak tok nak tanya Ijan dah buat keputusan?”

“Dak lagi Mak Tok. Ijan tak tau nak habaq lagu mana. Cepat sangat semua ni. Arwah Abang Bai pun baru ja pi.”

“Ijan kalau ada jodoh hat baik tu, syukur. Allah selalunya temukan kita dengan orang yang sesuai, terbaik tepat pada masanya.”

Afzan diam.

“Mak Tok berkenan dengan budak tu. Sejuk mata Mak Tok dok perati. Baik budaknya.”

Afzan masih diam.

“Yang pi tu biaq la dia pi dengan tenang. Kita yang dok ada ni kena teruskan hidup kita ni. Tak baik dok meratap, menanggheh dok ingat orang yang tak dak.”

“Mak Tok, orang tak tau. Rasa kosong bila Arwah tak dak. Orang rindu dia Mak Tok. Orang sayang dia. Macam mana orang nak terima lelaki lain dalam hati orang ni Mak Tok,” Afzan menyampaikan apa yang terbuku di hatinya.

“Ijan kena cuba. Takkan Ijan nak jadi lagu ni. Sampai bila? Mana nak tau kalau Ijan tak cuba. Mana nak tau kot Rayyan tu jodoh Ijan. Mak Tok tumpang seronok bila ada laki-laki yang mau bertanggungjawab menjaga cucu Mak Tok. Laki-laki yang berani nak pimpin cucu Mak Tok,” luah Mak Tok.

Afzan senyum dalam terpaksa. Wajah Mak Tok direnung lama.

“Lagu ni la Ijan, Ijan buat solat istikharah. Berdoa dan mintak dariNya petunjuk. Dengan berdoa padaNya, moga segala yang kusut terungkai,” pesan Mak Tok.

Afzan teringat pesanan yang sama turut diberikan kepadanya oleh Shaheen pagi tadi.

“Insya Allah Mak Tok, orang akan buat nanti.” Afzan membuat janji.

“Allah beri kita sesuatu yang berkadaran dengan apa yang kita minta, sesuai dengan kita. Kadang-kadang tu apa yang kita minta belum tentu terbaik untuk kita. Jadi Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Mintalah dariNya,” pesanan daripada Luqman dua hari lepas menerpa benaknya.

“Mak tok mau tengok Ijan bahagia. Mak Tok tak mau Ijan sedih. Jangan ikut sangat kata hati tu. Banyak berdoa. Kalau Ijan dok teringat Arwah, Ijan baca la Al-Fatihah. Sedekah kat dia. Moga Ijan lebih tenang. Perjalanan hidup kita ni jauh lagi,” pesan Mak Tok.

“Baik Mak Tok. Terima kasih ingatkan orang,” ucap Afzan dalam nada sayu.

“Dah tak mau sedih-sedih lagi. Mak Tok tak suka tengok muka tak berseri ni. Tak lawa,” seloroh Mak Tok. Afzan tersenyum mendengar kata-kata Mak Toknya.

“Ha lagu tu la. Senyum tu penawar duka,” sambung Mak Tok lagi.

*******
Manusia itu diciptakan mempunyai perasaan gelisah dan keliru dan tidak sabar. Apabila ditimpa kesusahan dia keluh kesah, apabila dianugerahkan kebaikan dia jadi sombong, kecuali orang yang solat dan tetap melakukan solat. (Surah Al-Ma’arij: 19-23)

Afzan terjaga dari lena. Tangannya mencapai jam loceng di tepi katil. Pukul dua pagi. Matanya sudah terbuka luas. Afzan bangun menuju ke bilik air. Menyuci diri dan mengambil wuduk.

Sebelum menunaikan solat sunat, Afzan membaca surrah yassin. Usai bacaan Yassin Afzan memulakan solat istikharah. Solat dua rakaat itu dimulakan dengan tertib. Pada rakaat pertama selepas membaca Al-Fatihah, Afzan membaca pula surah Al-Kafirun., dan pada rakaat kedua surah Al-Ikhlas.

Usai solat istikharahnya, Afzan membaca doa. Dimulai dengan a’uzu billahi minas syaitanir rajim, seterusnya dikuti dengan basmallah. Afzan teruskan dengan bertahmid serta bersalawat. Tidak dilupakan Afzan turut menyeru nama Allah yang indah di dalam Asmaul Husna. Akhir sekali Afzan mula berdoa menyatakan permohonannya kepada Allah. Hatinya terasa tenang di saat itu.

Doa Afzan:

‘Ya Allah, seandainya telah kau catatkan dia milikku, tercipta buatku, dekatkan dia padaku, satukanlah hatinya dengan hatiku, titipkanlah kemesraan di antara kami agar kebahagiaan itu adalah abadi dan Ya Allah, Tuhanku Yang Maha Pengasih seiringkanlah kami dalam melayari kehidupan yang sejahtera seperti yang Engkau kehendaki, aamiin ya rabbal alamin.’

*******
Keesokkan harinya Afzan merasa lebih tenang. Namun dia belum menemui jawapan yang dia harapkan. Malam itu sekali lagi dia menunaikan solat istikharah memohon petunjuk dariNya. Kali ini dia benar-benar mengharapkan agar usahanya itu diperkenankan lalu memimpin dia untuk membuat pilihan yang terbaik.

“Ya Allah aku bersyukur padaMu,” ucap Afzan.

Buat kali kedua dia menunaikan solat istikharah di malam hari sebelumnya, pagi itu sebaik sahaja dia bangun dari tidur yang lena, bayangan wajah Rayyan menerpa di ruang mata. Afzan sedikit terkejut. Namun bibirnya mengukir senyuman lantas ucapan alhamdulillah meluncur di bibirnya. Hatinya juga berbunga riang.

Di dalam solat subuhnya dia memanjatkan kesyukuran kepada Allah, Ya Arhamar rahimin. Terasa hatinya tenang. Dia yakin ilham yang diberikan olehNya sudah cukup menyakinkan dia untuk membuat keputusan terbaik. Tidak sabar dia mahu mengkhabarkan berita itu kepada Rayyan yang sudah pasti sedang menunggu jawapan daripadanya.

No comments:

Post a Comment

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim