23 April 2014

Cinta Milikmu Selamanya 10

MENCERLUNG MATA DATO’ HARRITH. Hilang senyuman yang selalunya menghiasi bibir. Kata-katanya bagai tersekat di kerongkong. Memang pantang bagi Dato Harrith orang yang tidak menepati masa. Tidak berkenan dia orang yang tidak menghormati masa. Baginya jika tidak boleh menghormati masa sekali pun, tetapi hormatlah pada orang lain yang menunggu. Biar kita menunggu orang, jangan orang menunggu kita. Itu yang ditekankan kepada semua pekerjanya. Tidak kira apa jawatan sekali pun. Hormati masa.
 
Meeting dismissed,” selesai perjumpaan dan perbincangan pagi itu. Dato’ Harrith bangun lalu menuju ke pintu keluar.


“Dato’ jemput minum,” ajak Kirana sewaktu Dato’ Harrith berselisih dengannya.
Thank you but no thanks Kirana,” balas Dato’ Harrith tegas. “Miss Delisha Ahmad Danial, come and see me in my office, please...right now. I would like to have a word with you.”
Delisha kaget apabila nama penuhnya disebut oleh Dato’ Harrith. Dia baru sahaja melabuhkan punggung di kerusi di bilik tersebut. Belum panas lagi duduknya. Melihat wajah Dato’ Harrith yang serius, Delisha bingkas bangun. Mini skirt yang dipakainya dibetulkan agar kemas melekap di tubuhnya.
Puan Liza sudah menjungkit kening ke arah Kirana. Staf yang lain diam membisu. Tidak berani mahu masuk campur.
Kirana menarik tangan Ammara ke sudut sebelah kiri bilik berhadapan dengan tingkap. Panorama Kuala Lumpur boleh dilihat dari situ. Hanya hutan batu yang mengapai pandangan mata. 38 tingkat di bawah seperti semut sahaja saiznya kenderaan yang bertali arus. Suasana kota yang sentiasa sibuk.
“Cik Ammara jemput makan.” Kirana mempelawa Ammara menikmati hidangan ringan. Dia tahu Ammara pasti masih malu-malu. Inikan hari pertamanya di sini.
“Awak tak makan sama Kira?” soal Ammara apabila melihat Kirana sibuk memasukkan dua biji kuih ke dalam dua piring kecil masing-masing. Kirana turut menuang air ke dalam dua cawan. Piring kuih dan cawan tadi diletakkan ke dalam dulang. Ammara memerhati tindakan pantas Kirana.
“Tunggu sekejap ya Cik Ammara. Nak hantar ke bilik Dato’. Nanti saya kembali,” janji Kirana.
Ammara senyum dengan anggukan kecil.
*******
PLEASE SHUT THE DOOR AND SIT DOWN,” ARAH DATO’ HARRITH. Dia sudah bersandar selesa di kerusi.
Delisha akur.
Lama baru Dato’ Harrith bersuara. “Why were you late? Meeting dah hampir tamat baru muncul?”
Delisha tidak berani bersuara. Dia tahu memang salahnya. Dia yang tidak ambil pusing. Jika Kirana tidak menghubungi dan mengingatkannya akan perjumpaan tadi, sah dia masih enak diulit lena di atas tilam empuk. Jika semalam dia tidak berlibur di kelab, pasti dia tidak kesiangan pagi tadi.
“Walau pun Isya anak saudara uncle, please... during working hours uncle nak Isya lebih professional. Isya juga yang pujuk uncle terima Isya kerja di firma uncle. So now you are here. Please Isya behave like one,” ujar Dato’ Harrith menasihati satu-satunya anak saudara perempuan yang dia ada.
So sorry uncle. Isya tak sengaja. I promise this will not happen again.” Delisha sudah mengangkat lima jarinya separas bahu. Tanda dia akan mengotakan janjinya.
Dato’ Harrith tidak dapat menyembunyikan segaris senyuman di bibirnya. Delisha sedikit lega melihat Dato’ Harrith sudah memberikan senyuman kecil.
Tok! Tok! Tok!
Perbualan di antara Dato’ Harrith dan Delisha terhenti seketika.
“Ya masuk,” panggil Dato’ Harrith.
Susah payah Kirana membuka pintu. Dia berhati-hati menatang dulang di tangan.
“Ya Kirana,” tegur Dato’ Harrith. Delisha berpusing ke belakang.
“Minuman untuk Dato’ dan Cik Delisha,” kata Kirana sopan sambil meletakkan dulang tersebut di atas meja kopi di dalam bilik Dato’ Harrith.
“Terima kasih Kirana,” ucap Dato’ Harrith.
“Sama-sama Dato’, seperti biasa teh o tanpa gula untuk Dato’ dan ini untuk Cik Delisha,” ujar Kirana. “Saya keluar dulu Dato.”
Dato’ Harrith senyum. “Isya, mari teman uncle minum.”
Delisha menghampiri lelaki yang sudah dianggap seperti ayah. Malah adik kepada ibunya itu lebih banyak meluangkan masa bersamanya berbanding ayah kandung sendiri. Usianya hanyalah 17 tahun ketika ibunya pergi dijemput Ilahi. Datin Yasmin yang bersungguh mahu menjaganya ketika itu. Mujur juga kedua-dua sepupunya, Kakak Sofia dan Abang Yusman menerimanya dengan baik.
“Isya,” panggil Dato’ Harrith.
“Ya,” sepatah kata dilontarkan oleh Delisha bila mana dia tersedar dari lamunan yang membawanya ke masa lalu.
“Isya, kalau boleh uncle tak suka Isya datang lewat ke tempat kerja. Kita orang berniaga. Masa itu bagaikan duit. Isha pernah dengarkan orang kata masa itu emas. Sangat berhargakan,” nasihat Dato’ Harrith. “To be fair enough to all, Isya kenalah ikut peraturan.”
Dato’ Harrith sedar Delisha hanya akan menurut jika ditegur dengan berhemah. Andai kekerasan yang digunakan, anak itu pasti lebih jauh perginya. Seperti kayu yang bengkok. Jika cuba diluruskan dengan cara yang keras pasti patah jadinya. Jadi cara terbaik adalah dengan memberi bimbingan yang sewajarnya.
“Oh ya, Isya uncle letakkan di bawah penyeliaan Encik Hafiz Ismail. Dia Ketua Jabatan Pentadbiran dan Kewangan. Uncle mahu Isya belajar dari Encik Hafiz. From there I will monitor your progress. Isya kan ada BBA. Jadi bila lagi nak apply apa yang dah Isya belajar di universiti dulu.” Dato Harrith menyampaikan keputusan yang tidak sempat Delisha dengar akibat kelewatan Delisha hadir tepat pada waktunya, pada perjumpaan yang diatur pagi tadi.
Delisha menggangguk perlahan. Dia tiada halangan. Memang itu bidangnya.
“Satu lagi uncle nak pesan ni,” kata Dato Harrith.
“Apa uncle?” soal Delisha.
Uncle kurang suka Isya pakai macam ni. Pakaian seperti ini tidak sesuai datang ke tempat kerja,” ujar Dato’ Harrith.
“Tapi uncle, Isya kan biasa pakai macam ni,” protes Delisha.
Dato’ Harrith membuat isyarat tidak dengan mengoyangkan jari telunjuknya beberapa kali.
“Tapi uncle...” Delisha mahu meraih simpati bapa saudaranya.
“Kalau Isya nak kerja di firma uncle, that is the rule. We start with your attire. Please wear the appropriate attire to the office. This is an order,” tegas Dato’ Harrith.
Delisha tiada pilihan. Jika itu syarat yang dia harus ikut untuk berada hampir dengan Zaim, dia sanggup.
“Baiklah uncle,” jawab Delisha perlahan.
Good girl. That is my girl,” kata Dato’ Harrith. Dia mahu membentuk Delisha menjadi pekerja yang disegani dan dihormati di kalangan pekerjanya yang lain. Dia mahu melihat Delisha menerima pengiktirafan itu berdasarkan personaliti dan kecekapannya menjalankan tugas dan bukan disebabkan Delisha adalah anak saudara Dato’ Harrith. Dato’ Harrith yakin dia mampu mengubah Delisha menjadi gadis yang lebih baik. Harapannya hanyalah pada Delisha memandangkan anak-anaknya tidak berminat di dalam bidang perniagaan dan menguruskan firmanya.

No comments:

Post a Comment

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim