08 February 2014

Mr. Right Forever 6

(Sehari sebelum)

Deringan telefon bimbit Sarah berbunyi nyaring. Segera dia menjawab panggilan dari mamanya.

“Assalamualaikum mama,” sapa Sarah.

“Waalaikumsalam sayang. Masih di hospital?” tanya Datin Kharidah.

“Tak mama. Sarah kat luar ni, teman Faris makan. Ada apa mama?” soal Sarah kembali. 

“Petang ni Sarah pulang awal ya sayang.” Datin Kharidah memberi pesanan.

Sarah terdiam. Teringat dia akan kertas kerja yang masih tertangguh.  Kalau balik awal pasti kertas kerja itu terpaksalah dia siapkan juga malam nanti. Melintas tanda tanya di dalam fikirannya. ‘Kenapa mama pesan balik awal?’

“Sarah Khalishah Dato’ Shamsul,” seru Datin Kharidah, sengaja dia menyebut nama penuh anaknya. Dia tahu anak-anaknya akan segera memberi perhatian apabila mendengar dia menyebut nama penuh mereka.

“Ya mama,” segera Sarah menyahut panggilan mamanya.

“Ingat ya petang nanti balik awal. Papa nak ajak kita ke rumah kawannya,” sekali lagi Datin Kharidah memesan.

“Baik mama. Sarah ingat,” jawab Sarah.

“Sampaikan salam mama pada Faris. Bila senang ajaklah dia datang ke rumah,” kata Datin Kharidah mesra.

“In sha Allah mama. Nanti Sarah sampaikan.” Sarah senyum.

“Sarah balik nanti drive elok-elok ya sayang. Mama tunggu di rumah," kata Datin Kharidah. 

Okay, I will ma. Assalamualaikum,” janji Sarah.

“Waalaikumsalasalam.” Datin Kharidah menamatkan perbualan.

Faris sudah pun selesai menghabiskan nasi goreng kampungnya. Dia menjongket kening bila Sarah diam selepas menjawab panggilan telefon tadi. Air teh ais disedut perlahan.

“Mama kirim salam,” kata Sarah.

“Waalaikumsalam. Apa kisahnya ni? Lepas jawab call diam je ni,” soal Faris.

“Mama minta Sarah balik awal,” jawab Sarah.

“La itu je,” kata Faris sambil mengukir senyum. “Ingatkan ada orang masuk merisik awak tadi.”

Sarah membesarkan matanya memandang Faris. Faris sudah gelak besar.

“Awak tahu tak awak sangat comel bila buat macam tu,” usik Faris. Senyum masih bersisa di bibirnya.

Sarah tidak ambil serius kata-kata Faris. Dia tahu sikap Faris yang suka bergurau.

“Faris, kalau Sarah balik awal, tertangguhlah lagi kertas kerja tu,” kata Sarah.

Sarah teringat haiwan comel yang tidak sempat dia lawati petang nanti jika dia pulang awal.

“Esok-esok kan boleh siapkan kertas kerja tu. Lagi pun apa yang lebih penting daripada bersama keluarga,” nasihat Faris.

Sarah diam. Dia akui kebenaran kata-kata Faris. Tiada yang lebih utama dari seorang mama. Tiada yang lebih penting daripada bersama dengan ahli keluarga.

“Kalau macam tu, jom kita balik. Saya pun dah habis makan ni,” kata Faris. “Sekejap ya.” Faris bangun dan berlalu ke bahagian belakang restoran.

Sarah menunggu Faris yang sudah pun berlalu ke kaunter pembayaran.

“Okay, jom,” ajak Faris yang sudah berdiri di sisi Sarah. Mereka berjalan seiring menuju ke tempat parkir. Faris segera membukakan pintu untuk Sarah. Dia kemudian melangkah ke tempat pemandu. Mereka meninggalkan kawasan Medan Selera, Kampung Abu Bakar Baginda.

“Faris terima kasih,” ucap Sarah perlahan.

“Patutnya saya yang ucapkan terima kasih. Temankan saya makan tadi,” balas Faris.

Sarah senyum.
*******

“Assalamualaikum Mama,” sapa Sarah sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah.

“Waalaikumsalam sayang,” jawab Datin Kharidah ceria melihat anak gadisnya sudah pulang.

“Amboi cantiknya mama. Ada orang tempah ke ni?” soal Sarah melihat mamanya sedang asyik menggubah bunga.

“Ni Aunty Aini tu minta mama gubahkan. Bunga ni pun dia yang bawa tadi,” jawab Datin Kharidah.

“Kenapa dia tak beli je kat kedai mama?” soal Sarah leka melihat mamanya menyusun bunga ke dalam pasu porcelin kecil.

“Ini dari kedai mamalah ni Sarah. Dia nak mama juga yang gubah,” kata Datin Kharidah.

“Tangan mama kan berseni. Itu yang Aunty Aini suka. Cantiknya mama,” kata Sarah ceria.

“Mama yang cantik atau bunga ni yang cantik?” soal Datin Kharidah.

“Mama memang tentu-tentu cantik. Bunga ni pun cantik,” balas Sarah sambil ketawa kecil. “Mama, papa mana?”

“Papa kat atas. Papa pun baru je sampai dari office.” Datin Kharidah meneliti bunga yang digubah. “Sarah dah solat?”

“Belum Ma. Sarah naik atas dulu ya,” kata Sarah.

“Sayang jangan lupa ya malam ni kita ke rumah kawan papa, Uncle Qamar dan Aunty Rozi,” kata Datin Kharidah mengingatkan Sarah.

“Baik ma. Pukul berapa kita nak gerak ma?” tanya Sarah.

“Papa kata lepas dinner dan kita gerak lepas maghrib,” jawab Datin Kharidah.

“Okay mama.” Sarah berlalu ke biliknya. Kewajipan solat segera ditunaikan.

*******

“Mama rumah siapa ni?” tanya Sarah sebaik sahaja mereka tiba di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di BK8 Sapphire Bandar Kinrara. 

“Ini rumah kawan papa,” jawab Datin Kharidah.

Sarah memandang sekitar rumah yang cantik dengan warna coklat gelap. Sarah cuba mengingat kembali jika dia pernah datang ke sini. ‘Macam pernah datang.’

“Sebelum ini Uncle Qamar dan keluarga dia tinggal di Puncak Jalil. Then dia baru pindah sini a year ago,” kata Datin Kharidah sambil membuka pintu kereta Honda Accord. “Sarah tak nak turun?”

Segera Sarah keluar dari perut Honda Accord papanya. Dato’ Shamsul sudah pun menekan loceng berdekatan pintu pagar. Mereka bertiga menunggu pintu pagar automatik dibuka.

Sebaik pintu pagar terbuka, mereka bertiga melangkah menghampiri tuan rumah yang sedang berdiri di pintu rumahnya dengan senyuman mesra.

“Assalamualaikum,” sapa Dato' Shamsul.

“Waalaikumsalam. Jemput masuk Kay, Sham.” Puan Ruziah menyambut dan menjemput sahabat lamanya masuk ke rumah.

“Dato’ Shamsul, jemput masuk. Lama tak jumpa, apa khabar?” sapa Encik Qamaruzzaman.

“Qamar jangan mengada. Tak payah dato'-dato’. Aku ni kawan kau tau,” kata Dato’ Shamsul. “Eh Qamar, kenapa kaki tu?”

“Luka sikit.” Encik Qamaruzzaman menunduk memandang jari kakinya.

“Kaki tu retak. Tu yang tak boleh gerak sangat,” kata Puan Ruziah.

“La ya ke ni,” balas Dato’ Shamsul. Segera Dato’ Shamsul memimpin sahabatnya lalu duduk di sofa empuk berwarna putih gading.

Sarah senyum melihat mama dan papanya bersalaman dengan tuan rumah.

“Sarah, salam Aunty Rozi,” kata Datin Kharidah lembut.

Sarah bersalaman dan mencium tangan Puan Ruziah.

“Kay, ini anak bongsu you?” soal Puan Ruziah seperti tidak percaya.

Datin Kharidah senyum. “Ya betul la tu. Ini la Sarah. Anak bongsu I.”

Puan Ruziah memandang Sarah. Ralit dipandang. “Eh jemput duduk.”

Sarah memerhati hiasan dalaman ruang tamu. Kemas. Sedap mata memandang. Dia masih tertanya-tanya bila dia pernah datang ke sini. Sungguh dia seperti pernah sampai ke rumah ini. Kenal benar dia dengan hiasan kristal di meja hiasan di bawah cermin besar itu.

‘Kata mama, baru setahun Uncle Qamar tinggal di sini. Mustahillah aku datang ke rumah ni dengan mama dan papa,’ kata Sarah di dalam hati. ‘Tak mungkinlah aku datang ke sini dalam mimpi pula.’ Sarah masih memikirkan bagaimana dia seperti pernah sampai ke rumah dua tingkat ini.

“Sarah, Aunty Rozi tanya tu, Sarah kerja di mana?” cuitan mamanya menyedarkan Sarah dari monolognya tadi.

“Oh..Sarah kerja di Fakulti Perubatan Veterinar di UPM Aunty,” jawab Sarah malu-malu.

“Pensyarah?” soal Puan Ruziah lagi.

“Bukan Aunty. Sarah kerja di Klinik Haiwan Kesayangan.” Sarah senyum memandang Puan Ruziah.

“Maksud Sarah doktor haiwan?” tanya Puan Ruziah.

“Ya aunty macam tulah,” balas Sarah.

“Ingatkan Sarah ni pensyarah. Anak sulung aunty, Iqi pensyarah di MMU Cyberjaya. Ni students tengah cuti, jadi Iqi terlibat dengan program sekolah angkat. Ada seminar dengan pelajar sekolah. Pagi tadi dia bertolak,” terang Puan Ruziah.

“Mak,” panggil Qairina yang sedang menatang dulang. Qaisara di belakangnnya dengan satu mangkuk besar di tangan. Mereka meletakkan hidangan di meja makan tidak jauh dari ruang tamu.

“Sara, Rina mari sini sayang. Salam Datin Kharidah. Ni anak datin, kakak Sarah.”  Puan Ruziah memperkenalkan tetamu yang datang. “Yang itu Dato’ Shamsul.”

“Rozi, apa yang dato’ datinnya. Panggil Uncle Sham dan Aunty Kay sudah,” kata Datin Kharidah sambil bersalaman dengan Qaisara dan Qairina.

“Doktor Sarah?” sapa Qairina.

Sarah terkejut disapa begitu.

“Doktor tak ingat kami? Kan kita pernah jumpa di hospital masa lawatan ke Klinik Haiwan Kesayangan,” Qaisara cuba mengingatkan Sarah akan pertemuan mereka sebelum ini.

“Student dari UiTM?” soal Sarah inginkan kepastian.

“Ya betullah tu. Tak sangka jumpa doktor kat sini,” ucap Qaisara.

“Ya Allah budak-budak ni dah kenal rupanya.” Puan Ruziah senyum memandang Datin Kharidah. Encik Qamaruzzaman dan Dato’ Shamsul turut senyum melihat gelagat anak-anak masing-masing.

“Doktor lepas ni bolehlah jumpa Mickey dan Minie,” ucap Qairina.

“Siapa tu?” soal Sarah. “Oh ya, panggil je kakak Sarah.”

Our lovely cute bunny,” jawab Qairina.

“Baik kakak,” ucap Qaisara dan Qairina serentak.

“Sembang-sembang juga, jemput jamah hidangan yang anak dara ni masak. Tak tau la apa rasanya,” kata Puan Ruziah menjemput tetamunya ke meja makan.

“Rozi kenapa susah-susah ni. We had dinner dah kat rumah tadi,” kata Dato’ Shamsul melihat di meja, hidangan makan malam sudah terhidang.

“Sham itu di rumah kamu. Ini di rumah kami,” kata Encik Qamaruzzaman.

Puan Ruziah segera menyendukkan nasi ke pinggan. Semua sudah mengambil tempat. Mereka menikmati hidangan makan malam sambil berbual kisah keluarga masing-masing. Sesekali meletus tawa mereka apabila kisah-kisah lama diungkit kembali.

“Sarah tak usah basuh pinggan tu. Biar Rina dengan Sara je yang buat,” tegah Puan Ruziah apabila Sarah sudah menyinsing lengan bajunya mahu mencuci pinggan kotor.

“Tak apa aunty. Sikit je ni,” balas Sarah.

“Akak Sarah, biar kami basuh. Akak kalau nak tolong juga, boleh. Tapi tolong tengok saja,” kata Qaisara segera mengambil tempat di sebelah Sarah.

Sarah senyum sahaja. Sudahnya dia duduk di meja menemani kembar Qairina dan Qaisara menyudahkan tugas mencuci.

Ibu bapa masing-masing rancak berbual dan disulami dengan gelak ketawa di ruang tamu.

“Okay dah siap,” kata Qairina. Tugas mencuci menjadi cepat apabila Qaisara mencuci dan Qairina membilas. Laju sahaja mereka bekerja.

Sekali lagi Sarah seperti pernah berada dalam situasi yang sama. Dia berasa binggung seketika. Dari permulaan Puan Ruziah menegurnya tadi hinggalah ke saat Qaisara dan Qairina siap mencuci pinggan, semuanya sama seperti yang pernah dia alami.

 “Jom Kak Sarah, kita tengok Mickey dan Minie.” Qaisara mengajak Sarah ke ruang belakang rumah.

‘Kalau betul aku pernah alami situasi ni, mesti arnab tu dari jenis Holland Lop,’ kata Sarah meneka di dalam hati.

 “Comelnya.” Sarah yang memang sukakan haiwan teruja melihat haiwan kesayangan Qairina dan Qaisara. Dua ekor arnab induk dengan empat ekor anak arnab yang masih kecil. Melihat kepada saiz anak-anak arnab tersebut Sarah yakin usianya baru mencecah dua minggu.

“Ini baka Holland Lop kan,” kata Sarah. Sarah mendekati dua buah sangkar yang agak besar.

“Ya Kak Sarah. Ini abang Iqi yang belikan as a birthday gift,” beritahu Qaisara.

‘Oh Iqi tu lelaki,’ kata hati Sarah.

Perasaan pelik yang menerpa tadi segera hilang. Sarah leka memerhati anak-anak arnab yang sedang menyusu.

“Sarah.” Datin Kharidah sudah menyusul Sarah. “Papa dah nak balik.”

Sarah segera masuk ke dalam rumah, diikuti oleh Qaisara dan Qairina.

“Ada masa datanglah ke sini lagi,” ucap Puan Ruziah sewaktu dia bersalaman dengan Datin Kharidah.

“Awak pun datanglah ke rumah kami. Bawa anak-anak sama,” pesan Datin Kharidah.

Sarah senyum ke arah Puan Ruziah sebelum dia bersalaman dengan sahabat mamanya. Dia kemudian bersalaman dengan Qaisara dan Qairina.

“Jaga kesihatan,” pesan Dato’ Shamsul kepada sahabatnya. Mereka berpelukan lama.

“Terima kasih Sham. Datang menjengguk aku,” kata Encik Qamaruzzaman.

“Lain kali giliran kau pula ke rumah kami. Baiklah kami gerak dulu. Assalamualaikum,” ucap Dato’ Shamsul.

Dato’ Shamsul dan keluarganya berjalan menuju ke kereta yang diparkir di luar pagar. Kereta dipandu meninggalkan kawasan perumahan Bandar Kinrara.

2 comments:

  1. wahh3 parents mereka dah lama kenal :)

    ReplyDelete
  2. :) Iqi dan Sarah belum kenal..nantikan ya kisah pertemuan mereka nanti

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim