05 August 2012

Kasihmu 8

“Mak Teh, Een ada call ke,” tanya Puan Asyikin pada pembantu rumahnya.

“Ada minggu lepas. Tapi Puan dan Tuan tak ada masa tu. Een ikut kawannya ke Arau,” jawab Mak Teh lancar. “Katanya lagi mungkin dia lama di sana. Dia kirim salam pada Puan dan Tuan,” sambung Mak Teh.

“Waalaikumsalam,” Puan Asyikin menjawab salam. 

Puan Asyikin merenung jauh. Terdetik juga rasa bersalah di hati. Anaknya seorang yang sering ditinggalkan. Seingatnya sejak suaminya bergelar usahawan kayu jati, dari mula suaminya berjinak-jinak dengan perniagaan sudah 5 tahun berlalu. Tiada masa bersama anak tunggalnya. Apa kan daya dia sentiasa perlu di sisi suaminya. Encik Sufian sentiasa ke luar daerah hinggakan ke luar negara. Semuanya untuk tujuan mengembangkan perniagaan milik suaminya. Puan Asyikin akur dengan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Tempatnya di sisi suami tercinta. Malah Encik Suffian sendiri mahu isterinya mengikut ke mana sahaja dia berurusan di kala dia menguruskan perniagaan mereka. Puan Asyikin juga terkilan tidak dapat melihat perkembangan Shaheen. Dia juga terlepas saat menghantar anaknya ke menara gading. Kasihan Shaheen. Bahkan sudah beberapa kali Shaheen merajuk panjang akibat keterlupaan Puan Asyikin menunaikan janji yang dibuat bersama anak kesayangannya.

Kesal bertamu di hati Puan Asyikin. Selama 5 tahun itu hanya hadiah serta wang ringgit yang mengantikan kasih sayang terhadap Shaheen. ‘Ada masa akan kuhabiskan dengan permata hatiku,’ bisik Puan Asyikin berjanji pada diri dengan penuh keazaman.

“Jauh mengelamun pagi-pagi ni,” tegur Encik Sufian.

Tersentak seketika Puan Asyikin. Namun senyum terukir di bibir. “Teringatkan Een,” ringkas jawapan Puan Asyikin.

“Anak dah besar panjang. Usah risau,” bersahaja Encik Suffian berbicara. Tangannya mencapai surat khabar di atas meja. Matanya laju membaca tajuk-tajuk utama akhbar.

“Bang sebab dia dah besar la Qin risau,” balas Puan Asyikin. Tangannya lincah menuang kopi dan menyendukkan nasi goreng kegemaran suaminya. Matanya memandang tepat ke muka sang suami. Tiada reaksi. Encik Sufian masih leka dengan akhbar di tangan. Ruangan ekonomi menarik minat Encik Suffian untuk terus membaca. Kata-kata Puan Asyikin berlalu begitu sahaja.

“Ada dia telefon?” tanya Encik Suffian sebelum menghirup air kopi yang masih berasap itu. Aroma kopi itu sudah cukup membangkitkan selera Encik Suffian di pagi minggu itu. Ditambah lagi dengan bau nasi goreng kegemarannya. Surat khabar dilipat dan diletak ke tepi.

“Ada. Een di Perlis. Rumah kawan,” ucap Puan Asyikin. Pandangan matanya masih lagi ke arah suaminya yang sedang menyudu nasi goreng ke mulut. “Dia kirim salam pada abang.”

“Waalaikumsalam,” jawab Encik Suffian sambil meneruskan suapan. “Bagus la tu. Biar la dia berjalan. Suasana baru, kenal tempat orang. Tak lama lagi balik la tu. Usah la sayang risaukan. Anak kita tu dah besar.Tau la dia jaga diri,” kata Encik Suffian menenangkan Puan Asyikin.

“Abang semalam Puan Sri Sofia ada call. Dia ingatkan kita untuk hadir ke majlis ulang tahun perkahwinannya dengan Tan Sri Amirrudin tu. Abang nak pergi,” tanya Puan Asyikin.

Encik Sufian yang baru selesai menjamu selera paginya tunduk sambil tangan kirinya memegang dagunya yang berlekuk. “Elok la kita pergi. Lagi pun awal-awal lagi Tan Sri dah jemput kita,” putus Encik Suffian.

Puan Asyikin hanya mengangguk. Kemudian Mak Teh dipanggilnya. “Mak Teh malam ni saya dan tuan akan makan di luar. Di rumah Tan Sri Amirrudin. Masak untuk Mak Teh, Pak Akob dan Amat sudah la,” beritahu Puan Asyikin lembut. Wanita separuh abad itu mengangguk faham dan terus berlalu ke dapur menyambung kerja-kerja yang terhenti tadi.

No comments:

Post a Comment

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim