30 November 2013

CINTA Milikmu Selamanya Bab 2

“Ma, Ma,” Ammara menjerit sambil berlari masuk ke dapur.

Puan Marissa di dapur sedikit terkejut mendengar suara anak sulungnya.

“Kenapa ni Ammara. Malu la jiran-jiran dengar suara Ammara terjerit-jerit macam ni,” tegur Puan Marissa. Anak gadisnya direnung penuh kasih.

“Ni Ma. Surat dari UiTM,” kata Ammara sambil meluru memeluk mamanya.

Puan Marissa senyum gembira. “Ammara dapat kat mana? Kursus apa? Bila daftarnya?” Puan Marissa pula yang terlebih gembira. Bertubi-tubi soalan meluru keluar dari bibirnya.

“Ma, banyaknya soalan. Ni belum lagi dapat sepenuhnya. Ni baru surat panggilan untuk interview. Ammara kan mohon Perancangan Bandar dan Wilayah tapi Ammara dapat offer Senibina. Ok la. Janji Ammara tetap bawah Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur,” ucap Ammara dalam nada gembira.

“Alhamdulillah,” Puan Marrisa turut gembira.

“Kena attend interview dulu Ma. Next week Ma di UiTM Seri Iskandar, Perak. Tak sabar Ammara,” luah Ammara sambil memeluk erat sampul surat berwarna coklat ke dadanya.

Puan Marissa mengucap syukur. Dia berdoa agar semua urusan anaknya berjalan lancar.

“Eh apa yang berbau ni, Ma ikan ni,” sekali lagi Ammara menjerit.

“Alahai ikan Mama,” Puan Marissa segera membalikkan ikan di dalam kuali.

“Ah..nasib baik tak hangus teruk. Ni garing gini ok la,” Ammara senyum memeluk bahu mamanya.

“Itu la. Nasib baik tak hangus ikan goreng Mama. Kalau tak tentu Milo pun tak nak makan ikan ni. Sayang je,” luah Puan Marissa menjeling Ammara di sisi.

“Ala belum hangus kan. Ok Ma biar Ammara jagakan ikan ni untuk Ma ya,” pujuk Ammara. Sudip di tangan Mamanya diambil. Sampul surat tadi masih erat dipegang di tangan kirinya.

Puan Marissa senyum bahagia. Anak gadisnya pandai mengambil hati. Tiap kali dia mahu merajuk, cepat-cepat Ammara memujuknya. Rajuknya tidak pernah menjadi andai Ammara yang memujuk.

“Ma tak sabar nak bagi tau Abah berita ni. Kalau ikutkan hati, mahu saja Ammara call Abah right now,” ucap Ammara.

Sampul surat diletakkan di atas peti sejuk. Langkah dibawa ke rak pinggan lalu piring sederhana besar dicapai. Ikan goreng yang sudah masak garing diangkat ke dalam piring di tangan kirinya.

“Sabar ya sayang. Tengahari ni kan Abah balik makan. Kejab lagi sampai la tu. Kalau Ammara call Abah, entah-entah Abah tengah drive. Dah on the way la agaknya,” pesan Puan Marissa.

“Betul juga tu Ma,” akui Ammara. Ikan goreng tadi diletak di meja makan di bawah tudung saji daun mengkuang.

“Ammara tolong Ma siapkan meja sayang,” pinta Puan Marrisa.

“Baik Ma.”

*******

“Abah jangan risau. Ammara akan ke sana dengan Eryna. Kami tumpang rumah emak saudara Eryna di Kampung Gajah. Nanti Abah hantar kami ke Puduraya boleh? Ammara memujuk Abahnya.

“Abah bukan apa Ammara. Abah tak mahu nanti menyusahkan pula keluarga emak saudara Eryna tu,” Encik Ammar bersuara memberikan alasannya.

“Eryna dah pun bagi tau emak saudaranya tu. Dia setuju. Lagi pun dia tinggal berdua saja dengan anak perempuannya, Abah,” kata Ammara.

Encik Ammar diam. Puan Marissa juga diam Dia membiarkan suaminya membuat keputusan. Selaku ketua keluarga, dia yakin suaminya punya alasan atas setiap tindakannya.

“Ammara betul ni tak nak abah hantar sampai ke UiTM Seri Iskandar?” sekali lagi soalan itu ditanya.

“Betul Abah. Abah, Mama jangan risau. Ammara ke sana dengan Eryna. Dia pun dah biasa dengan tempat tu,” Ammara memandang wajah Abah dan Mamanya silih berganti. Dia berharap agar Abahnya bersetuju.

“Baiklah. Nanti dah sampai sana jangan lupa call Abah. Apa-apa call Abah,” pesan Encik Ammar.

Ammara senyum puas hati. Dia sebenarnya tidak mahu menyusahkan Abahnya. Dia mahu berdikari. Dia yakin dia mampu uruskan semuanya. Namun bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar dari Abah dan Mamanya masih diperlukan. Malah mereka sentiasa menjadi insan pertama yang Ammara jadikan sumber rujukannya. Dia tahu ibubapanya lebih dahulu menjalani kehidupan, lebih dulu makan garam kata orang tua-tua. Mereka lebih arif apa yang terbaik untuknya. Ammara benar-benar bersyukur, Abah dan Mamanya sentiasa memberi sokongan di dalam apa sahaja minat dan kesukaannya. Alhamdulillah.

*******

“Apa yang kau senyum sorang-sorang ni Ammara?” tegur Eryna.

“Senyum pun tak boleh ke?” tanya Ammara.

“Bukan tak boleh. Buruk je rupanya,” usik Eryna.

“Apa yang peliknya. Comel apa aku senyum, kalau aku masam ke nangis ke ha tu baru buruk namanya,” balas Ammara.

“Apsal kau senyum tadi,” tanya Eryna.

“La tak abis lagi isu senyum. Aku senyum sebab senang hati la Eryna. Tak ada apa-apa yang menariknya,” balas Ammara menjeling sahabatnya itu.

Eryna senyum juga sudahnya. Di hatinya sedikit risau untuk menghadapi sesi temuduga sebentar lagi. Mujur dia ditempatkan di tempat yang sama dengan Ammara. Tidak la dia seperti rusa masuk kampung sahaja. Jika ada apa-apa, dia ada Ammara. Ammara yang sentiasa tenang menghadapi apa sahaja situasi.

“Ha kenapa pula ni?” tanya Ammara.

“Aku takut la,” akui Eryna jujur.

“Eryna bawa bertenang ok. Buat seperti biasa je,” nasihat Ammara.

“Penat juga berjalan ni, nasib baik la ada signage ni, kalau tak sesat agaknya dalam ni,” ucap Eryna.

Ammara senyum sahaja mendengar kata-kata Eryna. Matanya memerhati sekeliling. Terasa nyaman. Angin pagi bertiup perlahan. Cantik dan bersih persekitarannya. ‘Boleh tahan. Sedap mata memandang.’

“Hmm dah sampai pun kita,” langkah Ammara berhenti betul-betul di hadapan bangunan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur.

Ahad, keadaan lenggang sahaja di sekitar kawasan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur.

“Jom Eryna. Kita masuk,” ajak Ammara.

Mereka berdua melangkah masuk ke dalam bangunan utama. Sudah ramai yang beratur di meja pendaftaran. Ammara berada di barisan kelima sementara Eryna berada di hadapannya. Sekejap sahaja proses pendaftaran. Mereka hanya menyemak nama, nombor kad pengenalan dan seterusnya dimaklumkan bilik untuk menduduki ujian melukis.

“Ala tak best kita tak sama bilik,” ucap Eryna saat Ammara membuat isyarat satu dengan jarinya.

“Mestilah tak sama Eryna. Kaukan course lain. Budak Perancangan Bandar dan Wilayah bilik sebelah kan,” sambut Ammara.

Erryna hanya menganggukkan kepalanya. “Good luck Ammara,” ucap Eryna sebelum berlalu ke bilik nombor dua.

You too, good luck ya Eryna,” balas Ammara dengan senyuman.

Ammara masuk ke bilik nombor satu dengan langkah perlahan. Dia memerhati ruang di dalam bilik tersebut. Ramai lelaki daripada perempuan nampaknya. Dia melemparkan senyuman kepada seorang gadis comel di hadapannya. Gadis itu menunjukkan tempat duduk di sebelahnya. Meja yang betul-betul berhadapan dengan satu kotak di atas meja di tengah-tengah bilik. Meja-meja di situ sudah pun disusun secara membulat. Hanya ada satu meja di tengah-tengah bilik. Terdapat satu kotak besar yang menutupi objek di atas meja tersebut.

Ammara perhatikan rata-rata yang datang berpakaian sangat kemas. Terdapat hampir 25 orang pelajar di bilik tersebut. Pelajar lelaki yang datang ke sesi temuduga itu, semuanya dengan kemeja lengan panjang, bertali leher, malah ada yang berkot. Kasut juga berkilat. Memang mereka sungguh bergaya di mata Ammara. Pelajar perempuan hanya dia dan gadis comel itu sahaja. Mereka berdua hanya berbaju kurung. Pakaian tradisi gadis Melayu. Cantik dipakai walau di mana sahaja. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

“Ammara,” huluran tangan Ammara disambut dengan senyuman.

“Saya Tihani. Selamat berkenalan,” balas gadis comel itu. Manis orangnya.

“Selamat berkenalan juga. Dah lama awak sampai,” balas Ammara.

“Baru la juga. Tak lama lepas saya duduk, awak pun sampai,” kata Tihani ramah.

“Awak dari mana Tihani?”

“Saya dari Taipng. Awak?”

“Saya dari Shah Alam.”

Selang sepuluh minit, seorang petugas wanita masuk ke bilik tersebut. “Ujian Melukis akan bermula lima minit lagi. Sila keluarkan peralatan melukis awak semua.”

Dalam masa yang sama seorang lagi petugas lelaki sedang mengagihkan kertas putih bersaiz A3.

“Jangan lupa tulis nama dan nombor kad pengenalan masing-masing di belakang kertas,” tegas sahaja intonasi suara petugas wanita yang berbaju kurung batik hitam putih itu. Wajahnya juga serius. Sebaik sahaja jarum jam menunjukkan ke angka 8.58 pagi, kotak di tengah-tengah meja dibuka.

“Sila lukis objek-objek ini mengikut sudut pandangan anda. Gunakan juga kreativiti anda bagi mencantik dan memperkemaskan lagi lukisan anda. Selamat melukis semua. Anda boleh bermula sekarang. Masa 60 minit.”




 “Good luck Tihani,” ucap Ammara.

“Awak juga, good luck,” balas Tihani.

Ammara masih ingat pesanan Abahnya. Dalam ujian melukis, kayu pembaris tidak dibenarkan digunapakai. Ammara memulakan lukisannya dengan banyak berselawat dan beristigfar. Dia mahu melukis dengan tenang. Sambil itu dia juga berdoa agar semuanya berjalan lancar sepanjang proses temuduga hari itu.

Mulanya Ammara rasakan seperti susah sahaja. Sudah tiga empat kali dia memadam. Lukis dan padam lagi. Tangannya juga menggigil. Garisan lurus habis senget jadinya. Sekali lagi pemadam digosok bagi menghilangkan kesan pensel. Mulutnya terkumat-kamit membaca selawat. Matanya melirih objek di atas meja di hadapannya berulang kali.

Pesanan Abahnya menerpa di mindanya.

“Lukis dahulu keseluruhan bentuk. Jangan buat satu-satu bentuk dulu.”

“Ammara tak faham la Abah,” Ammara mengerutkan dahi tanda tidak faham kata-kata Abahnya.

“Ammara kena buat rangka dahulu supaya boleh agihkan sama rata semua bentuk tu dalam kertas lukisan nanti, muat ke tidak. Kalau Ammara siapkan satu bentuk, then sambung second object, bimbang last sekali ruang untuk lukis objek tu tak muat kertas lukisan. Saiznya pun tak sesuai dengan bentuk terdahulu. Dah tak proportionate lah nanti,” ulas Encik Ammar.

“Oh macam tu ke Abah. Maksudnya Ammara kena buat outline objek guna pensel je kan. Nasib baik Abah ada. Boleh juga bagi Ammara tips masa melukis nanti. Thanks Abah,” ucap Ammara dengan senyum di bibir.

Encik Ammar mengangguk. “Abah kongsikan pengalaman Abah saja. Hope dapat bantu Ammara nanti. Biasanya bila melukis untuk ujian, lukisan tu kena la realistik. Jangan pula lukis macam ala-ala kartun pula. Ujian melukis tu nak tengok kebolehan melukis seseorang mengikut proportion. Misalnya, imbangan tinggi dan rendah. Then skill menggunakan pensel mengikut kepekatan medium juga diambil kira.”

“Abah macam mana nak buat bentuk melengkung tu nampak lebih ‘hidup’?” soal Ammara.

“Cuba guna teknik hatching atau rendering. Teknik ni untuk dapatkan efek 3D. Kalau objek yang melengkung, Ammara gunakan teknik hatching. Jadi tak adalah kaku sangat lukisan Ammara tu,” terang Encik Ammar.

“Abah untuk teknik hatching tu guna pensil yang mana?”

“Ammara kena guna pensel yang pekat sikit. Baru menjadi,” jawab Encik Ammar.

“Perlukah Ammara tambah shadow casting?”

Kalau Ammara nak cantikkan drawing tu, better Ammara buat teknik bayang tu.”

“Abah nanti tolong Ammara ya, bagi markah untuk drawing ni,” pinta Ammara.

“Baik. Ok Abah keluar dulu. Ammara teruskan practice. Dah siap nanti, Abah ada kat bawah ya,” pesan Encik Ammar berjalan meninggalkan bilik anak sulungnya. Pintu ditutup rapat.

Ammara masih bersungguh melukis. Pesanan Abahnya seolah-olah baru sahaja diucapkan oleh Abahnya. Walhal itu kejadian dua hari lepas. Sehari sebelum dia bertolak ke Kampung Gajah bersama Eryna. Ada pelajar yang sudah pun siap. Mereka dibenarkan keluar dan menunggu untuk temuduga lisan pula. Masa masih ada 10 minit lagi. Tihani juga masih tekun di mejanya.

Lima minit sebelum masa tamat, Ammara baru siap melukis. Dia menarik nafas lega. Pensel-pensel Faber Castelnya dan pemadam dimasukkan ke dalam kotak. Dia bangun menyerahkan kertas A3 kepada petugas di situ.

Sebaik sahaja Ammara keluar dari bilik ujian melukis tadi, dia terpandang senarai nama di papan kenyataan di dinding sebelah kanannya. Di situ dia menyemak namanya.

Panel 1, Giliran 6

Mujur juga senarai nama disusun mengikut susunan abjad. Jika tidak pastinya dia terpaksa menunggu lama. Kelibat Eryna langsung tiada di sekitar situ. Ammara mencari-cari juga bayangan sahabatnya itu. Yakinlah dia yang mereka pastinya ditempatkan di bilik yang berbeza sementelah sahabatnya itu berlainan kursus dengannya.

Ammara duduk di kerusi yang diletakkan di bilik menunggu bersebelahan dengan bilik temuduga. Perasaan gementar mula bertamu. ‘Duppdupp…duppdupp,’ Ammara seakan mendengar bunyi degup jantungnya.

Tepat jam 12.05 tengahari nombor Ammara dipanggil. “Nombor empat course Sarjana Muda Sains Senibina, sila masuk.”

Ammara memulakan langkah dengan kaki kanan dan ucapan bismillah meniti di bibirnya. Dia melangkah dengan yakin. Ammara masuk ke bilik temuduga. Lapan buah meja dengan lapan orang panel telah pun bersedia menunggu. Ammara sudah gusar. Adakah lapan orang panel akan menemuduga seorang calon. Oh tidak. Rupanya empat orang calon akan ditemuduga serentak tapi bukan secara berkumpulan. Sebaliknya secara individu.

Ammara sedikit lega bila dia ditemuduga oleh seorang pensyarah wanita yang sangat manis dan lembut orangnya. Bersifat keibuan. Temuduga juga tidak dalam bahasa Ingeris sepenuhnya. Namun sesekali terselit juga soalan bahasa Inggeris dari penemuduga yang fasih berbahasa Inggeris.

Mula-mula sekali penemuduga berkata, “Please introduce yourself.” Kemudian dia bertanyakan soalan-soalan yang bersifat santai. Sampaikan penemuduga ingatkan Ammara berasal dari utara tanah air disebabkan Ammara bersekolah di MRSM Balik Pulau.

“Apa second choice awak dalam UPU?”

“Saya apply Sarjana Muda Sains Senibina.”

“Universiti mana?”

“Saya pilih UiTM.”

“Awak tak boring ke asyik MARA sahaja. Dulu sekolah di Maktab Rendah Sains MARA kan. Kan ada banyak lagi universiti lain,” provok pensyarah yang bercakap dengan senyuman itu.

“Saya tak bosan. Selama ini MARA dah banyak membantu saya.”

“Sementara tunggu nak masuk universiti ni, awak buat apa?”

“Saya kerja di firma arkitek sebagai front desk staf di kaunter. Jawab telefon. Sambung line,” balas Ammara.

Pensyarah wanita itu tergelak mendengar jawapan Ammara. Entah apa yang lucunya, Ammara tidak pasti. Dia diam sahaja sambil memaniskan muka.

“Why do you choose architecture?”

Ammara terdiam seketika. Ligat dia mencari jawapan paling sesuai.

“I chose architecture because I want to change people perspective that architecture is man’s world. Nowadays women also capable working together side by side with men in any field. In fact we learn and can be better. I believe women’s idea is also needed to achieve future development in Malaysia. I hope to be one of well-known Malaysian women architect one day, in shaa Allahjawab Ammara dengan yakin

“Who is your favourite architect?”

“Antaranya Antoni Gaudi. His design are all over Spain. I wish to travel to Spain one day. Besides my favourite architect is Caesar Pelli, he design the Petronas Tower.”

“What is your favourite building?”

“Casa Battlo, Barcelona. It was designed by Antoni Gaudi.”

“Apa keistimewaan bangunan ini?”

“Casa maksudnya rumah dalam bahasa Spanish. Rumah ini milik Josep Battlo iaitu seorang ahli pernigaan yang berjaya. Beliau telah melantik Gaudi untuk melakukan renovasi ke atas rumahnya agar rumah tersebut lebih hebat dengan rekabentuk yang unik. Casa Battlo ini berinspirasikan dalam laut. Rekabentuk silingnya berombak dan tingkap-tingkapnya berwarna-warni menggunakan kaca. Ini memberi impak seperti buih-buih di dalam laut. Rekaan Gaudi sangat mementingkan pencahayaan dan pengudaraan secara semulajadi. Selain itu Gaudi banyak menggunakan konsep ergonomik. Rumah ini memang nampak pelik tetapi di dalamnya cukup menarik. Terdapat banyak ubin atau tiles yang berwarna-warni di dalamnya. Dindingnya juga berwarna-warni seperti karang di dalam laut.”

Wanita di hadapan Ammara menganggukkan kepala mendengar penerangan Ammara. Setelah beberapa soalan ditanya, pesyarah wanita yang berwajah keibuan itu menerangkan sedikit sebanyak berkenaan kursus yang bakal Ammara ikuti. Sesekali meletus tawa Ammara bila ada bahagian yang kelakar diucapkan oleh pensyarah itu. Katanya, jika Ammara menerima tawaran kursus ini, kena buat banyak tugasan yang perlu disiapkan, kena panjat bangunan. “Awak sanggup lalui ini semua?”

“Saya sanggup,” yakin Ammara menjawab soalan pensyarah tersebut.

“Sila semak secara online sama ada awak diterima atau tidak ke kursus ini. Surat tawaran akan menyusul jika awak berjaya dalam temuduga ini.”

Banyak juga pesanan dan kata-kata yang dikongsikan bersama Ammara. “Terima kasih Dr.,” Ammara mengambil semula failnya. Sebelum meninggalkan bilik temuduga, pensyarah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. Sharifah menghulurkan tangan bersalaman dengan Ammara.

Ammara melangkah keluar dengan ucapan alhamdulillah. Perasaan lega menyelinap ke hatinya. Sesi temuduganya berjalan lancar.

2 comments:

  1. Hai dear Sha... nice entry! i like! ;)

    -salsha-

    ReplyDelete
  2. hai Wawa..terima kasih singgah :)

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim