03 June 2013

Kasihmu 32

“Dah siap ka?” Puan Rohani menjenguk ke dalam bilik.

“Sat Mak. Ijan pakai tudung sat,” jawab Afzan.

Semua yang lain sudah siap menunggu di ruang tamu. 

“Dah.”

Afzan sebetulnya tiada hati mahu berkumpul bersama semua ahli keluarga besarnya. Dia belum cukup kuat untuk menghadapi mereka semua. Bimbang air mata akan menjadi temannya sepanjang majlis itu nanti. Dia tidak sanggup untuk menerima ucapan takziah dan berkongsi kesedihan bersama keluarga Mak Long Khadijahnya. Baginya pemergian Abang Bai benar-benar menyentap semangat dalam dirinya. Seolah-olah semangat itu mengiringi malah turut sama berkubur sebaik sahaja jasad Arwah selamat disemadikan. Namun dek pujukan emaknya, dia gagahkan juga. Ditambah lagi dengan adanya Shaheen, sahabat yang banyak menyalurkan kata-kata semangat buatnya. Malah kehadiran Rayyan dan Luqman sedikit sebanyak menyuntik kekuatan baharu buat dirinya.

“Mai nak Rayyan, Luqman,” ajak Encik Ghazali mendahului langkah menuju ke rumah ibunya.

“Tadi Mak Tok habaq depa nak buat juga la sikit bacaan Yassin dengan Tahlil. Pasai Pak Uda sanggup nak jadi kepala. Ni majlis keluarga kita saja la,” Puan Rohani bersuara memaklumkan kepada Afzan dan Shaheen.

20 langkah sahaja keluarga Afzan sudah sampai ke rumah Mak Tok. 


“Assalamualaikum,” Encik Ghazali memberi salam.

“Waalaikumsalam,” salam dijawab oleh semua saudara-mara yang berkumpul memenuhi ruang rumah.

“Ha ni dia orang kuat kita. Tukang masak. Mai-mai masuk,” sambut Pak Uda Kamal yang bertindak selaku ketua rumah pada malam itu.

Encik Ghazali masuk diiringi oleh Rayyan dan Luqman. Dia bersalaman dan berpelukan dengan sanak-saudaranya yang turun dari Kuala Lumpur, Perak dan sekitar Perlis. Di kesempatan itu mereka dapat berkumpul dan berjumpa sambil bertanya khabar. Encik Ghazali turut memperkenalkan Rayyan dan Luqman sebagai kawan-kawan Afzan merangkap anak-anak angkatnya. Rayyan dan Luqman turut sama bersalaman dengan ahli keluarga Encik Ghazali. Mereka mengekori Encik Ghazali yang akhirnya duduk di tengah rumah. 

Puan Rohani, Afzan dan Shaheen sudah melangkah ke ruang tengah yang menempatkan kaum ibu. Selepas bersalaman serta peluk cium sesama sanak saudara, mereka duduk bersimpuh menunggu majlis dimulakan. Surah Yassin sudah diedarkan. 

“Dok tunggu sapa lagi?” Pak Uda Kamal bertanya. Matanya memerhati semua yang ada di depannya.

“Buleh la mula,” Mak Tok memberi kata putus.

Bacaan Yassin dan Tahlil dimulakan dengan dipimpin oleh Pak Uda Kamal. Mak Uda Asiah kebetulan duduk di sebelah Afzan. Dia mencapai tangan Afzan lalu digengam erat. Afzan senyum memandang Mak Udanya.

Usai bacaan Yassin dan doa selamat, semua ahli keluarga Afzan berkumpul di ruang tengah rumah. Kaum wanita sibuk di dapur menghulurkan juadah makan malam. Semuanya diletakkan di dalam talam. Ada gulai kawah daging, ayam masak merah, ayam goreng, jelatah timun dan nenas, sayur campur goreng dan ikan masin goreng. Tidak lupa sambal belacan dilawan dengan ulam-ulaman kampung seperti pucuk betik, daun tenggek burung, ulam raja, bendi muda, kacang panjang, timun dan ulam pegaga.

Ruang tengah agak riuh. Masing-masing sibuk berborak sambil makan. Banyak kenangan serta memori lama yang terimbau kembali. Kisah kenakalan adik-beradik Encik Ghazali semasa kecil. Malah kisah-kisah zaman remaja tatkala sudah mengenal cinta turut dibualkan. Kisah-kisah cinta monyet mereka sekeluarga. Gelak tawa memenuhi ruang rumah bila kisah-kisah lucu diceritakan kembali. Namun bila tiba kisah susah-payah, pahit maung membesarkan mereka anak beranak, suasana menjadi syahdu. Mak Tok sesekali mengesat air mata dengan hujung baju kurung Kedahnya. Puan Rohani selaku menantu perempuan sulung Mak Tok, mengusap perlahan tangan ibu mertuanya.

Afzan di sisi Puan Rohani, diam sahaja menghadapi hidangan makan malam. Di antara saudara mara yang berkumpul malam itu, ada juga yang tidak Afzan kenali. Maklumlah bukan selalu dapat bertemu seperti ini. Masing-masing duduk berjauhan. Jika bukan disebabkan ada majlis sepert ini, belum tentu dapat bersua muka dan berkenal-kenalan. Mahu ditunggu hari raya kunjung tiba, setahun sekali pun susah nak berjumpa.

“Ijan seronoknya berkumpul macam ni,” ulas Shaheen yang berada hampir dengan Afzan.

“Seronok. Ada juga yang aku tak kenal Sha,” balas Afzan sambil menjeling ke seluruh ruang rumah. Matanya menangkap kelibat keluarga Mak Usunya. Mereka berbalas senyum.

“Nampaknya Rayyan dengan Luqman elok je kat tengah tu,” kata Shaheen.

Afzan memerhati kedua-dua orang rakan yang sedari awal menemaninya. Dia bersyukur pada Allah kerana mengirimkan dua orang teman yang sama-sama sanggup bersusah payah untuknya. Menghantarnya balik ke rumah sehinggalah malam ini. Mereka benar-benar memberi kekuatan dan semangat baharu buat dirinya.

“Sha tambah nasi tu, awat makan sikit sangat. Tak sedap ka Pakcik masak,” tegur Encik Ghazali sewaktu dia melintas untuk ke dapur.

Shaheen tersenyum. “Sedap sangat. Pandai Pakcik masak. Nanti Sha nak resepi gulai kawah Pakcik ni, boleh,” ucap Shaheen.

“Buleh sangat. Ni ambik nasi, tambah lagi. Ijan teman Sha makan. Hang berenti, gerenti Sha pun berenti makan satgi,” kata Encik Ghazali sambil menghulurkan mangkuk nasi tambah kepada Shaheen.

“Ha tambah Sha. Jangan dok segan la. Ni semua anak-beranak kami. Bukan orang lain,” Puan Rohani pula berkata sambil menceduk jelatah ke dalam pinggan.

Shaheen sudah menjeling Afzan.

“Ok-ok aku tambah nasi,” kata Afzan memahami maksud jelingan Shaheen tadi.

Shaheen senyum gembira. Dia tahu Afzan sudah dapat menerima takdir Ilahi yang ditimpakan ke atasnya. Dia mahu Afzan kembali seperti dahulu. Dia mahu perasaan murung dan sedih itu berlalu pergi dari Afzan. Dia turut mendoakan kebahagian buat Afzan dan sinar ceria selalu mengiringi Afzan.

Shaheen menceduk daging ke pinggan Afzan. Afzan senyum. Mulutnya penuh dengan nasi menyukarkan dia untuk bersuara.

“Eh Pakcik dah sudah makan?” tanya Shaheen bila dilihatnya Encik Ghazali sudah duduk bersebelahan Puan Rohani.

“Pakcik tak buleh makan nasi banyak. Makan kena jaga. Tak mau penyakit tiga serangkai mai,” ucap Encik Ghazali.

“Oh,” ringkas Shaheen bersuara sambil menyuap ayam goreng ke mulut. Lantas dia teringat Luqman juga sangat suka ayam goreng. ‘Macam Upin Ipin saja,’ guman Shaheen.

“Ai..awat sengih sorang tu, ayam tu hidup lagi ka? Apa ayam tu kata?” Encik Ghazali mengusik Shaheen.

“Eh mana ada,” balas Shaheen malu diusik begitu. Malu dirinya tertangkap sedang mengelamun semasa makan.

“Orang kata kalau anak dara senyum sorang-sorang, maknanya dia teringat abang sayang,” Puan Rohani membuat telahan.

“Ya Allah. Kenapa ni Sha, sampai tersedak,” Afzan di sebelah Shaheen mengosok-gosok perlahan belakang Shaheen.

Shaheen mencapai tisu. Mengelap bibirnya. Perit terasa di kerongkong akibat tersedak air sirap.

“Ha betui la tu,” Encik Ghazali pula membuat spekulasi.

Shaheen sudah tertunduk menahan malu. Terasa kebas wajahnya. Afzan di sisi memerhati telatah Shaheen. Lantas matanya dibawa ke ruang tengah rumah. Saat itu matanya berlaga dengan Rayyan yang sedang menyusun dan mengemas lauk-pauk. Hampir semua sudah selesai makan. Rayyan nampaknya tidak kekok membuat kerja-kerja mengemas tempat makan. Rayyan senyum ke arah Afzan.

“Amboi rajinnya anak teruna sapa ni,” tegur Mak Tok bila Luqman maju ke dapur dengan sedulang pinggan dan mangkuk berisi makanan lebihan yang telah disatukan dalam satu bekas. Di belakang Luqman, Rayyan pula masuk ke dapur dengan sedulang gelas kotor.

“Ni awat tetamu dok buat kerja ni,” tegur Mak Tok lagi. “ Pi dok depan. Tak pa satgi kami semua pi kemas. Hampa pi dok depan. Zali, awat hang biaq depa ni dok kalut mengemas ni,” Mak Tok menegur anak keduanya, Encik Ghazali.

“Eh tak apa Tok. Sikit ja ni. Tak susah pun,” balas Rayyan. Dia ke singki membersihkan tangan.

 “Hampa dua orang mai pi depan,” ajak Encik Ghazali memanggil Rayyan dan Luqman.

 Rayyan dan Luqman mengekori Encik Ghazali menuju ke ruang tamu di tengah rumah. Rayyan menjeling ke arah Afzan bila dia berselisih dengan Afzan. Hatinya lega melihat senyuman terukir di bibir Afzan. Dia susah hati juga bila semalam seharian air mata menuruni pipi Afzan. Jika tidak difikirkan batas-batas agama sudah ringan jari-jarinya mahu mengesat air mata yang membasahi wajah gadis itu. Dia jadi luluh melihat tangisan Afzan semalam. Hatinya turut terusik. Namun dia belum punya kesempatan berbual secara empat mata dengan Afzan, gadis yang mula menduduki ruang di hatinya.

 Di dapur Kak Hanim sedang sibuk mencuci pinggan. Kak Hanim anak sulung Mak Long Khadijah. Orangnya sedikit pendiam. Namun sudah pun berumahtangga. Sudah tiga orang anaknya. Semua hero belaka. Tugas mencuci pinggan sudah sinonim dengan Kak Hanim. Biasanya setiap kali ada kenduri keluarga atau semasa hari raya, Kak Hanim seperti sudah menandatangani kontrak mencuci pinggan. Afzan sudah sedia maklum dengan tugas Kak Hanim yang satu itu.

 “Kak nak Ijan bantu,” sapa Afzan pada sepupunya yang tua lima tahun daripadanya.

 “Ijan tolong akak pindahkan pinggan dengan gelas ni ke meja. Keringkan dan susun atas meja.”

 Afzan mencapai dua tuala kering di dalam kabinet di dapur rumah Mak Toknya. Satu dihulur kepada Shaheen. Mereka mengelap pinggan dan gelas bersama-sama.

Sudah separuh kerja mereka selesai. Tiba-tiba Puan Rohani memanggil nama Afzan.

“Mai naik ataih sat. Ni nak bincang pasai barang-barang hantaran tu,” Puan Rohani menjelaskan tujuan Afzan dipanggil naik ke ruang tengah rumah.

Afzan sudah terdiam. Terlupa dia hal itu. Rasa sebak mula bertandang bila mendengar kata emaknya tadi. ‘Barang hantaran.’ Apalah guna barang-barang itu semua. Dia tidak jadi bertunang.

Shaheen merapati Afzan. Dipeluk bahu Afzan. Shaheen menganggukkan kepala. Mereka berdua naik ke atas rumah. 

“Mai duk sini,” panggil Mak Tok bila Afzan muncul di ruang tamu. Ruang itu cukup besar. Mak Long Khadijah, Encik Ghazali, Puan Rohani, Pak Uda Kamal, Mak Uda Asiah, Mak Njang Faridah, Pak Njang Khalid, Pak Ndak Amin, Mak Ndak Rodiah dan Mak Usu Fazilah dan Pak Usu Azlan sudah menunggu duduk di tengah rumah. Bincang-bincang anak-beranak.

Afzan memandang kesemua ahli keluarganya. Dadanya berdebar.

“Mak lagu mana dengan barang-barang tu semua,” Mak Long Khadijah membuka bicara memulakan perbincangan keluarga.

Mak Tok diam. Matanya dihala kepada Afzan. Rasa sedih bila melihat wajah Afzan yang sudah tunduk menekur lantai.

“Mak rasa elok la sedekah kat sapa-sapa yang perlu. Kalau nak simpan pun,” Mak Tok meluahkan apa yang berada di fikirannya.

“Sayang sungguh. Majlis tak lama lagi. Tak sampai sebulan ja,” kata Mak Njang Faridah. 

“Ani barang-barang semua dah beli ka?” tanya Mak Tok.

“Ada dua tiga barang lagi. Tak siap semua lagi pun,” balas Puan Rohani.

Mak Tok diam. Matanya sekali lagi jatuh ke wajah Afzan. Ditahan agar air matanya tidak tumpah. Dia tidak mahu air matanya nanti mengugat semangat Afzan, cucunya yang sedang bersedih ketika ini.

“Jadi macam mana dengan barang-barang tu semua? Apa pendapat Abang Ngah,” tanya Pak Uda Kamal pada Encik Ghazali.

“Kalau ikut kata Mak tu betui la. Kat sapa kita nak bagi pun. Nak simpan pun nak tungu turn sapa pulak. Sampai masa tu dah pesyen lain dah,” ulas Encik Ghazali.

“Ha tu la. Nak gu dengan anak teruna Cu Ilah baru 15 taun,” ucap Mak Usu Fazilah.

Shaheen mahu ketawa mendengar kata-kata Mak Usu Afzan. Namun melihatkan orang lain semuanya serius sahaja, dia berusaha keras menyimpan tawanya.

“Ni lagu mana? Jiran-jiran dah tau kan?” tanya Mak Njang Faridah pula.

“Ha tu la. Kena pi habaq kat depa la majlis tak jadi. Nak buat lagu mana,” Puan Rohani bersuara perlahan.

Shaheen memegang tangan Afzan. Dia mahu Afzan tabah hadapi semua itu. Ajal maut di tangan Tuhan. Begitu juga soal jodoh.

Suasana bertukar menjadi suram. Masing-masing sedang memikirkan Afzan. Rasa kasihan melihat nasib yang menimpa Afzan. Mereka semua sudah tahu kisah cinta Afzan dan Arwah yang membesar bersama dan cinta itu berkembang sedari mereka kecil lagi. Namun saat mereka akan diikat dengan ikatan pertunangan, Arwah telah kembali ke Rahmatullah. Tiada sesiapa dapat menahan. 

“Andak rasa kalau ada pengganti kan baguih. Tapi sapa nak ganti?” Kalau tak dak kira hanguih lagu tu ja la barang-barang tu semua,” Pak Ndak Amin pula memberikan pendapatnya.

“Hang ingat senang nak ganti-ganti ni. Ni soal jodoh Andak,” tegur Mak Long Khadijah yang diam dari tadi.

“Saya sanggup ganti tempat Arwah,” tiba-tiba Rayyan bersuara dengan yakin.

Afzan sudah memanggung kepala. Matanya yang bergenang dek air mata menatap Rayyan yang berjalan menghampirinya. Rayyan duduk di hadapan Encik Ghazali. Semua ahli keluarga Afzan memusatkan pandangan ke arah Rayyan.

“Rayyan, ni bukan hai kecik. Hang dah pikiaq masak-masak ka?” Puan Rohani bertanya dalam nada terkejut.

“Pakcik, Makcik berilah saya peluang. Saya yakin saya mampu membahagiakan Afzan,” ucap Rayyan tenang.

“Tapi Rayyan, jangan sebab awak simpati dengan nasib saya, awak buat keputusan ni. Apa kata keluarga awak nanti,” Afzan bersuara selepas sekian lama dia hanya diam. Dia perlu berkata sesuatu. Ini semua akan menentukan masa hadapannya. Tangannya mengesat air mata yang meleleh menuruni pipi.

Rayyan tidak sanggup melihat Afzan menangis lagi. Dia mahu menjadi pelindung gadis itu. Malah dia juga mahu menjadi lelaki yang akan sentiasa ada di sisi Afzan sebagai pendamping, penawar duka, pembimbing serta sahabat di masa suka mahupun duka, di saat senang mahu pun susah. Dia mahu berkongsi segalanya dengan Afzan. 

En Ghazali terdiam. Dia tidak sangka Rayyan sanggup menawarkan diri menggantikan tempat Arwah. Namun di dalam hati dia bersyukur kerana Rayyan sudi menjadi galang-ganti demi kebahagiaan anaknya. Cuma dia tidak sanggup mengucapkan kata-kata itu secara lisan. Dia tidak mahu dianggap mengambil kesempatan ke atas Rayyan. Orang boleh sahaja menganggap tindakan Rayyan itu sebagai langkah menutup malu keluarga bila majlis pertunangan itu tidak jadi.

“Rayyan, fikir dahulu sebelum buat keputusan ni,” Mak Tok menasihati Rayyan.

“Tok, saya dah buat keputusan. Saya nekad. Bulan depan saya akan datang hantar rombongan masuk meminang jika Tok dan semua di sini setuju. Saya juga mohon maaf jika saya dianggap sebagai tidak beradap dalam hal ini. Tapi saya nekad,” ucap Rayyan jujur.

“Mak apa kata jiran-jiran nanti,” kata Pak Njang Khalid.

“Mulut orang Anjang, mana boleh tutup,” bidas Mak Usu Fazilah.

“Mak Tok mau Ijan bahagia. Abang Bai tak dak dah. Jadi Mak Tok rasa biaqla Ijan buat keputusan. Kita yang tua ni buleh bagi nasihat saja. Yang penting tuan punya badan. Dia yang menanggung,” kata Mak Tok mengambil jalan tengah agar tiada yang tersinggung dengan keputusan yang diambil nanti.

“Ijan, Mak Long serahkan pada Ijan. Apa pun keputusan Ijan Mak Long setuju,” Mak Long Khadijah memberi restunya.

“Mak Long,” Afzan sudah memeluk Mak Longnya. Air mata tidak dapat ditahan lagi.

Masing-masing sudah diam mendengar kata-kata Mak Tok dan Mak Long Khadijah. Kalau Mak Long Khadijah sudah pun merestui keputusan yang akan diambil oleh Afzan, siapalah mereka untuk membantah. Arwah itu anak kepada Mak Long Khadijah. Sudah tentu dialah orang yang paling sedih. Namun kerana redhanya atas pemergian Arwah, Mak Long Khadijah dengan dada terbuka memberi restunya. Dia juga mahu melihat Afzan bahagia. Kalau bukan bersama Arwah, pasti ada insan lain yang Allah tentukan buat Afzan, fikir Mak Long Khadijah begitu.

“Sudahla Ijan jangan menangis lagi,” Pujuk Mak Long Khadijah. Belakang Afzan digosok perlahan.

*******

“Betul ke ni nak balik hari ni semuanya,” Puan Rohani bertanya lagi untuk ke sekian kalinya.

“Ya Makcik. Lagipun esok lusa Papa dan Mama saya akan sampai. Saya harus balik,” balas Luqman.

“Yalah Makcik. Eloklah kami balik dulu. Lain kali kami datang lagi,” janji Shaheen.
“Makcik, Pakcik terima kasih la. Dua hari kami di sini, kalau boleh saya tak nak balik. Layanan Makcik sekeluarga tak kan saya lupa,” ucap Rayyan.

“Bila senang datanglah ke sini,” kata Encik Ghazali.

“Pakcik, Makcik hal semalam tu saya serius. Saya tunggu kata putus dari Afzan. Kalau Afzan setuju, insya Allah saya akan wakilkan kepada kakak sulung saya untuk masuk meminang. Orang tua saya sudah tiada. Jadi kakak la tempat saya bermanja,” ucap Rayyan.

“Yalah nak Rayyan. Pakcik serahkan pada Ijan. Sama-samalah kita doakan yang terbaik untuk kamu semua,” Encik Ghazali berjalan menghampiri Rayyan dan Luqman.

Rayyan dan Luqman menghulur tangan bersalaman dengan Encik Ghazali. Shaheen turut bersalaman dengan Puan Rohani dan adik beradik Afzan. Tiba di depan Afzan, sahabat itu dipeluk lama.

“Afzan jaga diri ya. Kau ambil la cuti. Rehatkan fikiran. Dah ok nanti masuk kerja ya,” Shaheen berkata sambil memegang kedua-dua tangan Afzan.

“Kami balik dulu Pakcik, Makcik, Afzan dan semua,” ucap Luqman.

“Afzan saya balik dulu. Awak fikirlah masak-masak. Saya tunggu jawapan awak,” ucap Rayyan merenung wajah Afzan.

“Insya Allah. Awak hati-hati memandu,” balas Afzan.

“Assalamualaikum,” ucap Luqman bagi pihak kawan-kawannya saat Toyota Vios Rayyan bergerak meninggalkan keluarga Afzan.

“Waalaikumsalam,” jawab Encik Ghazali sekeluarga serentak.

3 comments:

  1. OH MY!!! Sha..tolong sambung lg...Rayyan betul2 dah buat hati sy terjatuh....atas tanah! erk..sbb dia nk smbut hati ijan jer...suka! Rayyan mmg BAIK sgt2...Rayyan dh terlebih beradat dah tu...hi2..lebih2 plak suka Rayyan..

    ps: Family Ijan mmg kelakar...diorg kena usik tp sy plak dok senyum malu2..heh2..xsbr nk tau smbgn kisah ijan n Rayyan..i like!!

    ReplyDelete
  2. tq Cik Shiroe.. baca komen Cik Shiroe buat sha bersemangat menulis lagi..

    Rayyan oh Rayyan..hihik lepas ni kisah Luqman-Shaheen pula..insya Allah.. akan ada sambungannya

    Family ijan itu memang wujud di Perlis..memang seronok sgt bila duduk dengan mereka sekeluarga.. ada je yg kena sakat..

    Al-Fatihah buat Encik Ghazali

    ReplyDelete
  3. Salam takziah utk keluarga arwah

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim