18 August 2014

Mr. Right Forever 18



Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera,

Seperti yang dijanjikan, selamat membaca kisah seterusnya. Entri yang ini belum ada kisah Marina ya..

Rifqi sedang memulakan langkah, misi menawan hati Sarah. Ni baru sikit. 

Sekiranya ada kesilapan dari segi content atau tatabahasa, boleh inform Sha. Mana tau ada yang Sha terlepas pandang kan...

Selamat membaca :) Terima kasih buat semua pembaca.

Salam sayang,
Sha Hashim
 
 

SARAH tidak berani bertanya apa-apa. Namun mindanya sarat dengan persoalan. Siapa Marina? Apa kaitannya dengan Rifqi? Bagaimana mereka kenal? Mengapa Rifqi seperti kurang senang bertemu Marina? Apa terjadi pada hubungan mereka? Jika mereka pernah mempunyai hubungan atau lebih tepat hubungan istimewa, apa punca yang memisahkan mereka? Sarah tidak dapat berhenti memikirkan diri Marina.  


            Rifqi pula mahu segera beredar daripada situ. Dia tidak mahu berada lebih lama di dalam restoran itu. Jika tidak memikirkan Sarah yang berada bersamanya, pasti dia berlalu pergi begitu sahaja. 


            “Ayuh Sarah, we have to go. Papa dah tunggu di rumah,” tegas suara Rifqi di pendengaran Sarah. 


            “Kami pergi dulu,” Sarah berpamitan kepada Marina. Salam dihulur. Marina lambat-lambat menyambut huluran tangan Sarah. Perhatian Marina ke arah kelibat Rifqi yang semakin menjauh.


 “Bye Dina.” Pipi si comel dicuit. Laju Sarah mengekori langkah Rifqi.


Di separuh jalan, Rifqi menoleh ke belakang. Dia menunggu Sarah. Dia nampak Sarah berlari-lari anak mengejar langkah kakinya. 


‘Iqi, this is nothing to do with Sarah. Treat her good.


Rifqi menarik nafas. Dia mengukir senyum apabila Sarah sudah berada di sebelahnya. 


“Nak ke mana tu?” soal Rifqi.


“Nak balik rumahlah,” balas Sarah.


“Kereta saya kat sini.” Rifqi sudah berdri di belakang keretanya.


Sarah senyum. Lupa pula dia, kereta Saiful pasti sudah tiada di tempat parkir tadi. Dia harus pulang bersama Rifqi.


Rifqi sudah pun membuka pintu di tempat duduk penumpang di sebelah pemandu. Dia senyum menunggu Sarah masuk ke dalam kereta.


Thanks,” ucap Sarah sebelum pintu ditutup. ‘Satu lagi tanda right.’


“You are welcome.”


Pintu di sebelah dibuka. Rifqi segera masuk. Dia duduk dengan selesa. Kunci kereta dimasukkan ke tempatnya. Enjin dihidupkan. 


Ringan sahaja mulut Sarah mahu bertanya akan kejadian di dalam restoran tadi. Namun dia tidak mahu merosakkan mood Rifqi. Elok-elok aman damai, tiba-tiba angin ribut melanda. ‘Tak naklah macam tu.’


Rifqi bersandar selesa. Dia diam sahaja.


“Awak,” perlahan suara Sarah memanggil.


Rifqi menoleh ke sisi.


“Kalau awak tak dapat singgah rumah Sarah hari ni, tak apa. Nanti Sarah cakap dengan papa awak ada hal penting.” Sarah senyum sedikit.


“Tak boleh macam tu. Tadi saya dah janji kan nak singgah. Tak elok mungkir janji.” Rifqi kembali memandang ke hadapan. Cermin sisi diperhati. Cermin pandang belakang turut dipandang sebelum gear mengundur ditekan.


Sarah senyum. ‘Tanda right untuk mengotakan janji.’


“Sebelum saya lupa,” ujar Rifqi. Dia menoleh ke tempat duduk penumpang. Dicapai satu beg kertas kecil. “Untuk awak. Hope awak suka.”


Sarah terdiam di kerusi penumpang. Aroma wangi dari badan Rifqi sebentar tadi, menusuk ke rongga bau. 


“Kenapa? Tak suka?” tanya Rifqi.


Sehelai baju T dengan tulisan Redang berada di tangan Sarah. “Suka. Suka sangat.”


“Suka je?” usik Rifqi.


“Opps… lupa. Thank you.” Sarah menoleh ke arah Rifqi.


“Selamat datang.” Rifqi senyum sambil memusing stering. Dia berhati-hati memandu Mazda CX-5 keluar daripada situ.


“Masih ingat jalan ke rumah Sarah?” soal Sarah sebaik sahaja Mazda CX-5 meluncur meninggalkan kawasan Restoran Intai-Intai. 


“Insya-Allah saya ingat,” balas Rifqi yakin. “Kita singgah masjid atau surau dekat-dekat sini dulu, boleh?”


“Awak nak solat zohor? Di rumah saya pun boleh.” Sarah memberi cadangan.


“Seganlah saya,” akui Rifqi jujur.


“Janganlah segan. Awak nak solat kan. Bukan buat perkara yang tak baik.” Sarah senyum.


*******


RIFQI memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu pagar.


       “Betulkan ini rumah Sarah,” tanya Rifqi mahukan kepastian.


    Sarah senyum. “Dah berhenti baru tanya. Kalau salah tadi macam mana?”


        Rifqi turut senyum. “Jadi betullah kan.”


        “Ya. Jom masuk,” ajak Sarah.


      Enjin kereta dimatikan. Rifqi membuka pintu kereta dan keluar. Dia membuka pula pintu kereta di bahagian belakang. Buah-buahan tempatan penuh dalam bakul sederhana besar dikeluarkan oleh Rifqi. Sarah menunggu Rifqi di pintu pagar. Di tangan Sarah beg kertas pemberian Rifqi dipegang kemas. Mereka berjalan beriringan masuk.


   “Assalamualaikum,” ucap Sarah sebelum memasuki rumah. “Jemput masuk. Duduk kejap ya.”


        Sarah berlalu ke tingkat atas mencari mama dan papanya.


    Rifqi memerhati keseluruhan ruang tamu. Gambar keluarga Sarah menarik minatnya sejak pertama kali melihatnya. Ketika majlis ulang tahun kedua-dua ibu bapa Sarah. Siapa sangka memang itulah gadis yang dia cari. Bermula dengan pertemuan di alam maya, kemudian di LCCT, Sepang dan pertemuan di majlis ulangtahun orang tua Sarah membawa hingga pertemuan tengahari tadi. Rifqi senyum ceria. Terlupa akan pertemuannya dengan Marina tadi.


      “Iqi,” suara Dato’ Shamsul menegur.


      “Assalamualaikum uncle, aunty,” ucap Rifqi sambil menghulur salam kepada Dato’ Shamsul. Bakul berisi buah-buahan diunjukkan kepada Datin Kharidah.


       “Waalaikumsalam, jemput duduk Iqi.” Dato’Shamsul duduk di sisi isterinya mengadap Rifqi.  
    

“Susah-susah sahaja bawa buah tangan,” kata Datin Kharidah gembira menerima kunjungan Rifqi.


      “Tak susahlah aunty. Maaflah kalau saya datang pada waktu yang tidak sesuai,” ujar Rifqi. Bimbang juga jika kedatangannya mengganggu waktu rehat kedua-dua pasangan suami isteri itu.


      “Tak adalah ganggu Iqi. Kami senang terima kedatangan Iqi. Senang-senang datanglah ke sini.” Datin Kharidah senang hati melihat Rifqi di rumahnya.


       “Sekejap ya Sarah naik ke atas panggilkan Saiful. Nanti Sarah bawakan kain pelikat. Iqi masuklah solat di bilik solat,” kata Dato’ Shamsul.


        “Terima kasih uncle,” ucap Rifqi.


     “Abah Iqi apa khabar? Macam mana kaki dia?” soal Dato’ Shamsul.


    “Alhamdulillah uncle. Dah semakin baik,” jawapan Rifqi melegakan Dato’ Shamsul.


         “Abah dan mak Iqi sahabat lama kami sejak di universiti. Jadi bila apa-apa jadi pada dia, kami risau juga,” ujar Dato’ Shamsul. 


     “Terima kasih uncle, aunty,” itu sahaja yang mampu Rifqi ucapkan. 


     Selain cinta sejati, persahabatan juga membawa hingga ke hujung nyawa. Benar hubungan dengan A-Khaliq, Maha Pencipta itu kekal abadi. Dengan rahmat dan kasih sayangNya, kita hidup bersaudara seperti mana firman Allah di dalam Surah Al-Hujuraat: Ayat 13 yang bermaksud,


       “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”


      “Iqi, assalamualaikum. Good to see you here.” Saiful melangkah menghampiri Rifqi lalu duduk di sebelah sahabatnya. Mereka berjabat tangan. 


     “Waalaikumsalam Saiful.” Balas Rifqi. Kening Saiful yang terangkat dibalas dengan senyuman. 


         “Sarah tengah bentang sejadah. Kain pelikat pun aku dah bagi dia tadi,” kata Saiful.


     “Eloklah tu. Bolehlah solat berjamaah dengan Sarah sekali. Saiful dah solat?” tanya Dato’ Shamsul.


         “Belum pa.” Saiful senyum.


         “Pergilah temankan Iqi dan Sarah,” sambung Datin Kharidah.


         Dato’ Shamsul dan Datin Kharidah sedar seorang lelaki boleh mengimamkan isterinya atau seorang mahramnya. Tetapi seorang lelaki tidak boleh mengimamkan seorang wanita asing iaitu wanita yang bukan mahramnya berdasarkan hadis riwayat At-Tirmidzi:


“Tidak boleh bagi seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya adalah syaitan.”


 Atas alasan itulah Datin Kharidah menyuruh Saiful menemankan Sarah dan Rifqi solat berjamaah.


    “Uncle, aunty saya tumpang solat dulu,” pinta Rifqi. Dia menunduk sedikit sewaktu melintas di hadapan Dato’ Shamsul dan Datin Kharidah. Dia mengekori Saiful ke bilik solat.


      Sarah sudah pun siap mengambil wuduk. Dia juga sudah siap bertelekung. ‘Siap solat nanti baru panggillah.”


       “Assalamualaikum,” suara Saiful mengejutkan Sarah. Dia baru berdiri betul sebelum memulakan solat zohor.


        “Waalaikumsalam,” balas Sarah. “Abang nak solat sekali ke?”


     “Dengan Iqi sekali.” Saiful sudah senyum senget. “Kita solat berjamaah ya.” 


Saiful membentangkan dua lagi sejadah. Sengaja Saiful membiarkan sejadah di sebelah kirinya kosong. Tanda Rifqi akan mengimamkan solat zohor mereka.


            Bulat mata Sarah memandang Saiful. Sarah berdiri tegak di saf paling belakang. Menunggu Rifqi.


          “Assalamualaikum.” Rifqi melangkah masuk. Dia terus maju ke posisi sebagai imam. 


            Sebelum meneruskan solat, Rifqi menoleh ke kanan dan ke belakang. Dia tidak mahu tergesa-gesa memulakan solat. Bimbang makmum terkejar-kejar mengikutnya nanti. Setelah pasti Saiful dan Sarah telah pun bersiap sedia, Rifqi berdiri tegak mengadap ke arah kiblat untuk berniat semasa takbiratul ihram. 


Sambil mengadap kiblat, Rifqi melakukan takbir dengan mengucapkan Allahu Akbar dan disertakan dengan niat sebagai imam solat zohor kerana Allah Taala. Selepas selesai rukun solat yang kedua, Rifqi meletakkan tangan kanan di antara pergelangan tangan di atas tangan kiri. Dia mula membaca doa iftitah.


Selesai membaca doa iftitah, Rifqi teruskan dengan bacaan surah Al-Fatihah. Rifqi diam sebentar memberi peluang Saiful dan Sarah membaca surah Al-Fatihah. Kemudian dia mula membaca surah Al-Kafirun. Habis sahaja membaca surah pendek, Rifqi mengangkat tangan setinggi telinga sambil mengucapkan Allahu Akbar. Dia meneruskan pergerakan dengan membongkokkan badannya. Tangan memegang lutut yang ditekan sedikit. Dengan posisi ini kepala dan punggung menjadi rata. Mata Rifqi tetap memandang ke tempat sujud. Di posisi ini, Rifqi membaca tasbih sebanyak tiga kali. 


Sesudah melakukan rukuk, Rifqi bangkit dan berdiri tegak sambil mengangkat kedua tangan hingga ke paras telinga seperti waktu dia takbiratul ihram tadi lalu membaca tasmi’. Dalam keadaan berdiri tegak, Rifqi membaca, “rabbana walakalhamdu” dengan mata masih di tempat sujud.


Selepas selesai membaca bacaan semasa I’tidal, rukun seterusnya ialah sujud. Rifqi mengucapkan takbir intiqal, Allahu Akbar sebelum kedua-dua lututnya dijatuhkan ke lantai diikuti dengan meletakkan tapak tangan ke atas sejadah dan seterusnya diikuti dengan dahi dan hidung juga dilekapkan ke lantai. Pada posisi itu Rifqi membaca tasbih sebanyak tiga kali.


Setelah itu, Rifqi mengangkat kepala seraya mengucapkan takbir intiqal, Allahu akbar. Dia duduk antara dua sujud yang juga dipanggil duduk iftirasy  lalu membaca, Rabbighfirlii warhamnii wajburnii war fa’nii warzugnii wahdinii wa ‘aafinii wa’ fu‘anni”


Sesudah selesai duduk antara dua sujud, Rifqi sujud buat kali kedua. Dia mengucapkan takbir intiqal, Allahu akbar dan membaca tasbih seperti pada sujud yang pertama tadi. Alhamdulillah selesai satu rakaat. Masih ada tiga rakaat lagi. Rifqi bangun lalu berdiri tegak. Diulang semula pergerakan seperti mana di rakaat pertama tadi. Bezanya cuma pada rakaat kedua, dibacakan tasyahhud awal selepas sujud yang kedua. Rifqi, Saiful dan Sarah mengulangi semua pergerakan seperti di dalam rakaat pertama sehingga selesai rakaat kedua dan ketiga. 


Pada rakaat keempat atau yang terakhir, tasyahhud akhir dibaca selepas sujud yang kedua. Rifqi memberi salam selepas habis tasyahhud akhir dibaca. Dia memalingkan wajahnya ke kanan. Selepas itu, dia memberi salam yang kedua diikuti dengan menoleh ke kiri.


Rifqi dengan tertib mengerjakan 13 rukun solat dengan khusyuk. Saiful dan Sarah juga melakukan pergerakan yang menjadi rukun solat dengan tertib mengikut imam. Solat berjemaah mereka diakhiri dengan bacaan doa.


       ‘Sepuluh tanda right.’


*******


DI atas meja kopi sudah terhidang minuman panas dan cucur badak. Datin Kharidah dan Dato’ Shamsul menunggu anak-anaknya selesai solat zohor.


    “Jemput duduk Iqi. Kita minum sama-sama,” pelawa Dato’Shamsul.


       “Terima kasih, uncle. Buat apa susah-susah ni,” ujar Rifqi segan dilayan begitu.


           “Tak adalah susah. Benda dah ada, tunggu makan saja,” kata Datin Kharidah pula.


      Saiful dan Sarah turut sama duduk di ruang tamu. Tanpa disuruh, Sarah melutut di tepi meja kopi lalu menuang air teh ke dalam cawan. Cawan yang sudah diisi air teh dihulur kepada mamanya. Cawan tadi diletakkan di hadapan Dato’ Shamsul. Sarah menuang lagi air ke dalam cawan-cawan yang lain untuk semua orang termasuk untuk dirinya juga. Rifqi memerhati perbuatan Sarah. Saat itu dia sedang menahan debar di dada. 


       “Jemput minum Iqi.” Dato’ Shamsul sudah mengangkat cawan lalu dibawa ke mulut. Dicicip sedikit air teh. 


        Melihat tindakan Dato’ Shamsul, Rifqi turut mengambil cawan berisi air teh dan dicicip perlahan.


      “Uncle tak sangka pula Iqi yang bercakap dengan uncle di telefon pagi tadi.” Dato Shamsul memulakan perbualan. “Walau pun Iqi kenalkan diri, tapi uncle masih tak dapat cam itu kamu Iqi.”


          Rifqi senyum sambil cuba mengawal debaran yang mengetuk dadanya. Ditelan liur.


      “Uncle dengan aunty memang kenal semua kawan-kawan Sarah, baik lelaki mahu pun perempuan. Kawan-kawan Sarah pun selalu juga datang ke sini. Itu yang bila Sarah cakap nak keluar makan tengahari dengan kawan dia, uncle minta bawa datang rumah lepas tu. Uncle nak kenal siapa kawan Sarah. Tak sangka pula kan,” ujar Dato’ Shamsul. “Harap tak menyusahkan Iqi.”


          “Oh tak adalah menyusahkan uncle,” balas Rifqi memandang tepat ke wajah Dato’ Shamsul dan Datin Kharidah silih berganti.


      “Bukan sahaja Sarah, malah kawan-kawan Saiful dan Shira pun kami kenal. Bukan kata nak memilih kawan atau control their life, tapi kami cuma mahu kenal dengan siapa mereka berkawan.” Datin Kharidah pula menyambung kata-kata suaminya.


        “Eloklah macam tu uncle, aunty,” sokong Rifqi.


   Sarah hanya diam di tempat duduk. Sewaktu matanya bertembung dengan mata Saiful, dia perasan kening abangnya terjungkit-jungkit. ‘Mahu mengusiklah tu.’


      “Uncle, aunty,” kata-kata Rifqi bagai tersekat di kerongkong. Dia berjeda sebentar sebelum menyambung kata. 

        “Saya ingin meminta kebenaran uncle dan aunty untuk berkawan dengan Sarah. Jika diizinkan saya mungkin akan melawat Sarah di tempat kerja dan mungkin akan mengajaknya keluar. Sebelum saya berbuat begitu, saya beritahu uncle dan aunty dulu dan minta kebenaran uncle dan aunty.”


   ‘Lega.’ Bagaikan hilang satu bebanan. Rifqi menarik nafas. Mujur ucapannya tidak tergagap-gagap.


   Terkejut Sarah mendengar kata-kata Rifqi. ‘Beraninya dia.’ Wajah papa dan mama ditoleh. 


       ‘Satu tanda right.’


     “Kami tiada halangan Iqi. Uncle lagi suka bila Iqi berterus terang macam ni. Barulah gentleman.” Dato’ Shamsul senyum memandang isteri di sisi. Wajah Sarah diperhati sekilas. Dia tahu anak itu sedang menahan malu.


     “Cuma satu pesan aunty, jangan buat perkara tak elok. Kita ada adab ada agama. Jaga nama baik keluarga,” pesan Datin Kharidah.


      “Ya betul tu,” sokong Dato’ Shamsul.


      “Baik aunty, uncle. Saya akan ingat tu.” Janji Rifqi.


       Saiful sudah senyum senget ke arah Sarah. Dia mengenyit mata kepada Sarah yang duduk di hadapannya. Sarah menahan sabar dengan telatah abangnya. Namun bibir tetap senyum membalas pandangan Saiful.


        “Iqi jemput makan kuih tu. Dah sejuk tak sedap nanti,” pelawa Datin Kharidah.


         “Yalah aunty.” Rifqi mengambil sebiji kuih cucur badak. Dia makan perlahan-lahan. Bimbang berterabur pula inti kuih nanti.


           Dato’ Shamsul sekeluarga ramah melayan Rifqi. Sementelah Saiful juga sudah mengenali Rifqi sejak di universiti lagi. Sekarang ini hubungan itu bercambah lagi apabila Rifqi turut mengenali Sarah. Mereka rancak berbual. Dari topik keluarga, hingga ke topik masyarakat, sampailah ke topik luar negara. Orang lelaki kalau tak berborak pasal bola memang tidak sah. Mujur juga Datin Kharidah dan Sarah sering menemankan Dato’ Shamsul menonton perlawanan bola sepak. Jadi mereka juga sama naik berbincang isu bola sepak.


         Pertemuan Rifqi dengan keluarga Sarah berakhir dengan baik. Pada awalnya Rifqi bimbang juga akan penerimaan kedua-dua orang tua Sarah akan permintaannya tadi. Namun melihat sikap positif Dato’ Shamsul dan Datin Kharidah, Rifqi jadi tenang semula. 


*******


SARAH menemani Rifqi hingga ke pintu pagar.


            “Sarah kalau once in a while saya singgah ke tempat Sarah and we go for lunch boleh?” soal Rifqi.


         “Boleh. Tapi call dulu ya. Takut Sarah tak ada ke, ada meeting ke, atau sibuk dengan tugas,” jawab Sarah.


      “Okay then.” Rifqi senyum. Rifqi sudah membuka pintu kereta. 


            “Drive safely and take care,” ucap Sarah.


            “Ya, I will. Thank you Sarah,” ucap Rifqi.


            “Together,” balas Sarah.


            Rifqi sudah ketawa kecil.


            “Saya gerak dulu, assalamualaikum,” kata Rifqi.


       “Waalaikumsalam.” Sarah angguk sedikit. Dia memerhati Mazda CX-5 putih itu meluncur bersama Rifqi di dalamnya. Sarah berjalan perlahan masuk ke dalam rumah.


      “Amboi ada orang tu hati sedang berbunga-bunga cinta nampaknya,” usik Saiful yang sedang tersenyum lebar. 


            “Abanggg…,” satu cubitan hinggap di lengan Saiful.


         “Sakitlah. Nampaknya kenalah abang warning Iqi pasal Sarah yang suka mencubit ni.” Saiful sudah melarikan diri daripada terkena cubitan kedua.


          “Sarah duduk sini sayang,” panggil Datin Kharidah.


         Sarah akur. Dia kembali duduk di sofa yang diduduki tadi. Dia tahu mesti papa dan mamanya mahu tahu bagaimana dia boleh mengenali Rifqi. 


            ‘Sesi soal jawab ni.’ Sarah telan liur.



p.s Setting paragraph ni masih tak okay. Maaf ya..

2 comments:

  1. Wahaha.. Apakah yang papa and mama Sarah akan tanya?? Hihihi... Jangan terus tanya tarikh nak nikah sudah... ;p

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihikkk itu kalau dah mama Sarah yang terlebih excited mau terkeluar juga cadangan tu Suha. almaklum mama Sarah kan nak buat projek bina masjid... Papa Sarah tu cool je,

      Delete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim