11 August 2012

Kasihmu 9

Suasana petang yang nyaman. Shaheen ambil angin di beranda. Terasa lapang fikirannya. Sesekali luruh dedaun kering dari pohon manggis di halaman rumah. Begitulah lumrah hidup. Yang muda akan merasa tua dan yang tua akan menghadapi mati. Bagaikan daun kering itu. Tersungkur ke bumi. Dimamah alam. Shaheen bersyukur dia masih berupaya menikmati anugerah Ilahi serta bersaing untuk kesenangan di hari tua.

Pon! Pon! Pon!
 
Ketenangan Shaheen terganggu. Shaheen sedikit terkejut. Kereta kelabu di halaman rumah amat dikenalinya. Citroen Xsara WBY7727 menginggatkannya pada seseorang. Teman yang sudah lama tidak ketemu. Shaheen masih terpempan di kerusi rotan di beranda. Hatinya berdebar-debar.

“Sha apa yang tercegat di situ. Itu anak buah Mak Ngah sebelah Pak Ngah kau tu,” ucap Mak Ngah Sofi.
Shaheen bagaikan tidak percaya apaila anak muda itu keluar dari kereta, menuju ke bonet kereta. Mengeluarkan beg dan barang-barangnya. Mak Ngah Sofi lebih dulu menuruni anak tangga menyambut tetamu yang datang.
“Sha mari ambilkan barang-barang ni. Bawa masuk,” pinta Mak Ngah Sofi.
Shaheen bagaikan anak kecil, akur. Dituruni anak tangga perlahan-lahan. Barang-barang keperluan dapur bertukar tangan. Wajahnya ditundukkan. Tanpa kata Shaheen terus naik ke atas menuju ke dapur. Dari dapur terdengar perbualan Mak Ngah Sofi yang bertanya itu ini pada tetamu muda itu.
“Mak Ngah apa khabar? Mak dan Abah sekeluarga berkirim salam,” sapa anak muda itu sewaktu menyalami tangan tua itu.
“Waalaikumsalam. Mak Ngah sihat. Macam nilah.”
“Eh Syam marilah naik.”
Hisyam mengikut Mak Ngah Sofi naik ke atas rumah. Di ruang tamu Hisyam melabuhkan punggungnya. Melepaskan lelah selepas penat memandu tadi.
“Apa mimpi kau datang jengguk Mak Ngah ni. Telefon tidak, alih-alih muncul je.”
”Saja nak abiskan cuti. Duduk di KL tu runsing jadinya.”
Shaheen di dapur hanya mendengar perbualan Mak Ngah Sofi dan Hisyam. Tangannya ligat mengacau air teh panas di dalam teko. Dikeluarkan juga bingka ubi lalu disusun di atas piring. Ditatangnya dulang berisi minuman bersama bingka ubi dengan hati-hati. Hatinya masih berdebar.
“Mak Ngah ni airnya.”
Mak Ngahnya senyum. Shaheen terasa langkahnya cangguh. Langkahnya terasa tempang. Tetamu yang tidak diduga bagaikan memandangnya. Dulang diletakkan di atas meja kopi di depan Mak Ngah Sofi dan Hisyam dengan tertib. Dituangnya air teh ke dalam kedua-dua cawan di depan mata. Waktu dia hendak berlalu, Mak Ngah Sofi memanggilnya.
“Sha mari duduk sama. Boleh kenal-kenal dengan anak buah Mak Ngah.”
Langkahnya mati di situ. Shaheen berpatah semula lalu duduk di sebelah Mak Ngah Sofi. Berhadapan dengan Hisyam.“Ni Hisyam anak buah Pak Ngah. Anak abang Pak Ngah kau,” ujar Mak Ngah Sofi.
Shaheen terkesima. Shaheen memandang wajah Mak Ngahnya. Sebelum matanya beralih memandang Hisyam. Senyuman nipis terukir di bibir Shaheen bagi menutup debar di dada. Hisyam turut senyum. ‘Lama kau menyepi. Akhirnya di rumah Mak Ngah kita bertemu,” ucap Hisyam di dalam hati. Hisyam masih ingat wajah ayu itu. Wajah yang pernah dan masih mengganggu hidupnya selama ini.
“Apa khabar?” tanya Hisyam berbahasa.
“Baik,” sepatah kata terucap dari bibir Shaheen.
Suasana sepi lagi. Shaheen tunduk memandang kaki meja kecil di hadapannya. Terasa sedikit tenang dia begitu. Hisyam mencuri-curi pandang wajah gadis di depan mata.
“Syam minum ya, nanti sejuk,” Mak Ngah Sofi bersuara lembut. “Macam tau-tau aja kau nak datang. Ni ha kuih kesukaan kau. Rasa la,” pelawa Mak Ngah Sofi.
Shaheen resah di situ. Terasa sepasang mata itu masih menatapnya.
“Mak Ngah Sha masuk dulu ya,” pintanya lantas bangun dan berlalu ke dapur semula. Lega hatinya.
Hisyam mengikuti langkah Shaheen dengan ekor matanya. ‘Banyak masa lagi,’ Hisyam memujuk dirinya. Rancak Mak Ngah Sofi dan Hisyam berbual sambil menikmati minum petang.
“Lama Syam tak datang rumah Mak Ngah. Ingatkan dah lupakan Mak Ngah,” seloroh Mak Ngah Sofi.
Hisyam tersenyum. “Mana ada lupa Mak Ngah. Cuma sekarang banyak kerja sejak Syam tukar deparment ni. Dari marketing ke finance. Hmm penat la Mak Ngah. Nak sesuaikan diri lagi,” adu Hisyam. “Mana boleh lupakan Mak Ngah kan. Syam tak ingat jer,” sambung Hisyam lagi.
Serentak Mak Ngah Sofi dan Hisyam ketawa. Meski pun Pak Ngah Yassin telah pun meninggal dunia, namun Hisyam tetap mengunjungi Mak Ngah Sofi. Hubungan Hisyam dan keluarga arwah Pak Ngah Yassin rapat. Hisyam bagaikan anak sendiri buat Mak Ngan Sofi. Sementelah Mak Ngah Sofi tidak dikurniakan zuriat selepas Mak Ngah Sofi terjatuh dan keguguran 25 tahun yang lalu. Kehadiran Hisyam dan Shaheen menjadi penawar buat Mak Ngah Sofi dan Arwah Pak Ngah Yassin semasa hayatnya. Anak-anak saudara menjadi tempat bermanja dan menumpahkan kasih sayang.
“Mak abah kau apa khabar Syam?”
“Mak dengan Abah sihat Mak Ngah. Cuma Abah tu sesekali semputnya datang juga. Abah kan ada lelah.”
“Kenapa tak bawak Mak Abah sama Syam. Lama juga Mak Ngah tak jumpa Mak Abah Syam tu.”
“Mak Ngah bukan tak tau Mak dengan Abah tu. Mana mau jalan jauh-jauh. Nanti sakit pinggang la. Kesian nak tinggalkan si kucing Oren tu. Nanti takde orang bagi makan la. Sudahnya Syam sorang je la datang jengguk Mak Ngah,” beritahu Hisyam.
Mak Ngah Sofi hanya angguk. Diperhatinya Hisyam. Terdetik di hati jika anaknya masih hidup, pasti anaknya juga sebaya Hisyam mahupun Shaheen. Tentulah hidupnya tidak sunyi. Namun cepat-ceat dia sedar. ‘Astaghfirullah,’ ucap Mak Ngah Sofi. Dia sedar itu semua ketentuan Yang Maha Esa. Sesungguhnya dia redha dan berlapang dada menerima ujian dariNya.
“Mak Ngah sedap bingka ni.”
“Sha yang buat ni tadi. Semalam kami cabut ubi kat belakang tu. Ni yang buat bingka ni ha. Bukan senang nak rasa air tangan anak saudara Mak Ngah ni tau.”
Hisyam menyuap lagi bingka ubi ke mulut. ‘Pandai dia buat kuih favourite aku ni,’ puji Hisyam dalam diam.
“Eh Syam, naper kau senyum-senyum tu,”tegur Mak Ngah Sofi.
“Tak ada lah. Ni ha bingka ni sedap.”
Mak Ngah Sofi senyum cuma. “Berapa hari cuti kali ni.”
“Lebih kurang seminggu Mak Ngah.”
“Bagus la. Boleh temankan Mak Ngah.”
Hisyam senyum. “Mak Ngah…”
“Ada apa Syam. Kau nak tambah bingka lagi ke?”
Pecah tawa Hisyam. “Eh ke situ pulak Mak Ngah ni. Tak la. Syam nak tanya Mak Ngah, kenapa selama ni Mak Ngah tak cerita pun yang Mak Ngah ada anak saudara sebesar itu. Tak pernah pun Syam terjumpa dia masa Syam ke sini.”
“Shaheen tu selalu juga datang sini. Cuma tak ada rezeki jumpa kau la tu. Mak Ngah ingat kau tak reti nak tanya hal-hal keluarga sebelah Mak Ngah. Jadi tak ada lah Mak Ngah cerita.”
“Sha tu dah keje ke Mak Ngah.”
“Lepas habis belajar dulu dia tolong uruskan perusahaan keluarga. Adik Mak Ngah orang berniaga. Apa ya..pot..pot..itu la jual beli kayu jati,” kata-kata Mak Ngah Sofi mengundang tawa Hisyam.
“Oh import eksport la Mak Ngah,” balas Hisyam dengan ketawa yang masih bersisa.
“Itu kereta bawah pokok manggis tu kereta dia la tu. Baru je beli hasil titik peluh dia bekerja,” ucap Mak Ngah bangga.
Hisyam mendengar penuh minat. Dia masih ingat suatu ketika dahulu mereka pernah bertekak hanya disebabkan pilihan kereta yang ingin dibeli oleh si gadis. Akhirnya dia mengalah dan akur tatkala si gadis nekad mahu memiliki Proton Perdana biar pun banyak kereta lain yang Hisyam cadangkan. Rupanya impian tersebut berjaya dicapai. Buktinya di depan mata. Perdana impian si gadis.
Jika diikutkan rasa ingin tahunya, banyak lagi yang mahu ditanya perihal Shaheen yang hilang dari hidupnya sejak 7 tahun yang lalu. Silapnya juga hinggakan Shaheen menyepi tanpa berita. Jika bukan ego dan sikapnya yang pentingkan kerjaya pada masa itu, pastinya Shaheen sudah dimilikinya. Apa kan daya, sesalnya kini tiada gunanya. Peluang kedua ini jangan disia-siakan. Begitulah Hisyam berkira-kira di dalam hati.
“Syam kenapa ni, Mak Ngah tanya kau diam je.”
“Penat sikit la Mak Ngah. Erm dah lama ke Sha kat sini, Mak Ngah.”
Dah dua hari. Esok lusa balik Kolumpo la tu. Kerja.”
Hisyam angguk. Sambil itu ligat dia berfikir. Cara terbaik untuk mendekati Shaheen agar dia tidak kecewa kali ini.

*******

Malam itu Shaheen rasa kurang selesa. Sekejab dia duduk, sekejab dia berdiri. Akhirnya dia menuju ke jendela. Memerhati dada langit yang ditaburi bintang serta bulan separa penuh. Hatinya resah. Memikirkan Hisyam itu rupanya ada hubungan keluarga dengan Mak Ngah Sofi. Pelariannya belum selesai. Dia ingin lari jauh dari anak muda itu. Benar juga kata orang, dunia ini kecil sahaja. Hampir 7 tahun dia berjaya menjauhkan diri, apatah lagi melupakan insan yang pernah menghuni dan beraja di hatinya. Kini tanpa dirancang, bertemu lagi mereka setelah berpisah tanpa ucapan selamat tinggal. Shaheen memandang ke langit nan luas. Andai dia mampu membawa diri sejauh langit dan bumi, itulah yang akan dia lakukan.
Insiden 8 tahun lalu kembali berputar di dalam ingatan Shaheen. Bagaikan sebuah filem yang dimainkan semula. Semuanya bermula di malam terakhir minggu suai kenal Shaheen di Kolej Keenam.
“Malam Penutup Minggu Suai Kenal: Tak Kenal Maka Tak Cinta ini nampaknya akan diakhiri dengan satu penyampaian anugerah khas,” pengumuman dari  Hisyam selaku Yang Dipertua Persatuan Pelajar (IPTPM). Seluruh isi dewan sunyi sepi. “Ok adik-adi semua, sila semak kad pengenalan masing-masing. Ada tak dalam purse,” ucap Hisyam lagi. Kalau takde tu maknanya IC yang kat tangan saya ni la dia punya. Saya tak akan baca nama. Saya akan bacakan nombornya sahaja,” sambung Hisyam lagi.
Shaheen sudah panik. Kad pengenalan yang dipegang oleh Hisyam itu pasti miliknya. ‘Aduh..malang betul. Malunya,’Shaheen berkata perlahan. Afzan di sebelah kanan Shaheen sedar keresahan Shaheen. Dia memandang Shaheen dengan matanya yang sengaja dibesarkan. Bibirnya menguntum senyum walaupun hati terasa kasihan melihat Shaheen yang serba tak kena.
Hisyam melirik gambar kad pengenalan di tangan. ‘Comel,’ guman Hisyam sambil senyum. “Saya minta pemilik kad pengenalan ni tampil ke hadapan. Baik saya bacakan nombornya, kita lihat siapa yang kena,  A35..05..2..2..5.,” Hisyam menunggu dengan sabar.
Sekali lagi seisi dewan diam membantu. ‘Nak pegi ke tak ni,” Shaheen masih mendiamkan diri di tempat duduk.
“ Hai takkan tak ada tuan kad ni. Baiklah kalau tak nak ambil tak apa. Rasanya ramai yang nak kenal ni kalau saya edarkan ke Blok Putra. Orangnya cun juga,” kata Hisyam menutup sesi ‘penyampaian anugerah’.
Selepas majlis selesai, terkocoh-kocoh, Shaheen mencari Hisyam. Dilihatnya Hisyam berada tidak jauh dari pentas utama. Dalam debar dia menuju ke arah Hisyam yang leka menguruskan PA System.
“Abang Hisyam,” panggil Shaheen takut-takut.
Hisyam menoleh ke arah Shaheen. “Ya ada apa?”
“Saya nak ambil IC saya.”
“ Lain kali hati-hati ya. Susah kalau hilang IC ni,” nasihat Hisyam. “ Oh by the way, minggu orientasi awak akan bertambah lagi 2 hari. Kalau awak tak setuju saya simpan je la IC ni,” ucap Hisyam sambil senyum.
Bermula dari hari tersebut, hubungan Hisyam dan Shaheen semakin baik. Hari demi hari hubungan baik bertukar kepada hubungan cinta. Namun panas yang disangka hingga ke petang, rupanya angin badai menguji mereka. Ketika Shaheen di semester kedua, Hisyam telah pun tamat pengajian dan telah memulakan kerjaya di sebuah bank di ibu kota. Kesibukan kerja dengan peluang kerjaya yang terbentang luas, Hisyam mula mengabaikan hubungannya bersama Shaheen.
“Maafkan Abang ya. Abang hargai perasaan Sha. Abang harap Sha akan bertemu lelaki yang sesuai dengan Sha nanti,” ucap Hisyam pada pertemuan yang menghancur luluhkan hati Shaheen.
Shaheen tertunduk membisu. Dia terdiam. Perasaan sedih mula bercambah di dalam hati. Mujur emosinya dapat dikawal.Tiada setitik air mata pun yang menitis di hadapan Hisyam, lelaki yang telah mengecewakannya.
“Abang harap Sha masih sudi berkawan dengan Abang. Jangan lah kerana hal ni, Sha jauhkan diri dari Abang,” pinta Hisyam.
Awalnya Shaheen masih berhubung dengan Hisyam sehinggalah Hisyam sering bekerja di luar kawasan. Shaheen terasa Hisyam semakin jauh dari hidupnya. Sejak itu Shaheen mula belajar melupakan Hisyam. Biarpun perit dirasakan Shaheen sungguh-sungguh memadamkan semua kenangan indah bersama Hisyam. Hanya Afzan yang setia menjadi tempatnya mengadu.
Tumpuannya lebih terarah kepada pengajiannya.  Sejak itu bermulalah perjuangan tanpa kenal erti jemu dalam kamus hidupnya. Seluruh masa dan tenaga dicurahkan kepada pengajiannya. Berkat kesabaran dan penat lelahnya, Shaheen berjaya mengharungi saat-saat sukar dalam tempoh pengajiannya. Tamat sahaja pengajian, Shaheen terus menyahut cabaran Abinya untuk menguruskan Perusahaan Jati Holding. Afzan juga turut menerima tawaran bekerja dengan Encik Suffian. Mereka sama-sama berganding bahu memajukan perniagaan keluarga Shaheen.


Gadis Itu
Masa beredar terus
Tiada hentinya
Kini aku
Bukan lagi gadis itu
Gadis hingusan suatu ketika dahulu

Aku sudah dewasa
Seiring arus kehidupan

Pengalaman lalu
Ku jadikan azimat
Buat titipan di hari mendatang

Aku tahu
Kejayaan memohon pengorbanan
Bukan sedikit
Namun aku sudah sedia
Menghadapi dunia penuh cubaan

Akan ku pastikan
Aku di garisan penamat

                                                                Shaheen’99
                                                                 7 Mei 1999
*******
Terasa panas matanya. Baru Shaheen tersedar dia menangis rupanya. Dilirik jam di dinding. Sudah 10.30 malam. Cepat-cepat tingkap ditutup. Langkah dihayun ke bilik air. Mengambil wuduk. Solat isyak belum lagi dikerjakan. Akibat terlalu melayan perasaan. Tadi selepas makan malam, terus sahaja dia berkurung di dalam bilik.
Selesai mengambil wuduk, dia bingkas ke bilik. Langkahnya diperhatikan oleh Hisyam yang berada di ruang tamu. Suasana yang suram membuatkan Shaheen tidak menyedari kewujudan Hisyam yang sedang berehat di situ.
Perasaan kesal menerpa ke dalam hati Hisyam. Dia akur, semuanya salah sendiri. Keegoan diri menjadi punca dia terlepas orang yang dicintainya. Hanya selepas tiada berita daripada Shaheen barulah Hisyam sedar gadis itu sebenarnya sangat dekat di hatinya. Hisyam berjanji untuk membetulkan kesilapannya. Matanya masih memandang bilik Shaheen yang masih terang-benderang.

No comments:

Post a Comment

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim