17 October 2013

Kasihmu 43

“Terima kasih Opah,” ucap Afzan dan Shaheen serentak.
 
“Sama-sama. Opah masuk tidur dulu. Kamu berdua pun tidurlah. Tentu penatkan cucu Opah ni,” kata Opah Halimah. Sengaja dia menjengah ke bilik Afzan dan Shaheen.. Sebelum beredar, Opah Halimah mencium pipi dan ubun-ubun Afzan dan Shaheen. Dia melayan mereka berdua seperti cucunya sendiri.
 
“Selamat malam Opah, assalamualaikum,” ucap Afzan dan Shaheen. Mereka berasa selesa. Opah Halimah dan Tokki Ibrahim mesra melayan mereka.
 
“Selamat malam, waalaikumsalam,” balas Opah Halimah sambil menutup pintu.


“Cepat betul rasa mengantuk,” kata Shaheen.
 
“Mestilah. Suasana kampung lebih nyaman. Tenang saja, itu yang senang nak tidur,” Afzan membalas.
 
Shaheen akui kata-kata Afzan itu ada benarnya. Suasana kampung di malam hari cukup tenang. Bunyi cangkerik umpama muzik alam. Mengasyikkan.
 
“Bertuahlah badan,” kata Afzan sambil tersenyum ke arah Shaheen.
 
“Bertuah? Kenapa?” soal Shaheen.
 
“Yalah. Bakal mak mertua dah bagi green light. Bakal nenek mertua pun sporting. Macam setuju saja nampaknya, ujar Afzan.
 
Segera jari runcing Shaheen mencubit lengan Afzan. Mengaduh Afzan sambil menggosok lengannya.
 
“Eh! Betul apa aku cakap ni. Hari tu masa kau call aku and Abi kau nak cakap dengan aku tu. Aku yakin parents kau pun dah berkenan dengan Haji Luqman kan. Kalau tak, takkanlah parents kau benarkan kau datang sini,” Afzan meluahkan apa yang difikirkannya.
 
“Aku pun terkejut juga masa Abi cakap dia benarkan aku ke sini. Nasib baiklah syaratnya tu tak berat. Aku pun nak ucapkan terima kasih Ijan. Sudi temankan aku kat sini,” ucap Shaheen.
 
“Sama-sama kasih. Yakah terkejut ke kau suka,” usik Afzan.
 
Shaheen senyum. “Mestilah suka. Aku kan tak ada kampung. Kalau nak rasa suasana kampung, aku pergilah rumah Mak Ngah Sofi. Itu ajalah kampung yang aku ada,” luah Shaheen.
 
“Een sampai sana, jaga diri. Pergi rumah orang, jaga kelakuan, jaga nama baik keluarga,” pesan Encik Suffian.
 
“Jangan buat macam Een tu tetamu, walau pun memang Een tu tetamu kat sana. Ringan-ringankan tangan tu tolong apa-apa yang patut. Jangan nak goyang kaki pula. Nanti apa pula mereka fikir pasal anak dara Umi ni. Pemalas,” bersungguh Puan Asyiqin memberikan peringatan kepada Shaheen.
 
Shaheen angguk. “Baik Umi, Abi.”
 
“Satu lagi anak dara tak elok bangun lambat. Pagi bangun awal. Lepas solat subuh tu jangan nak bermalas-malasan. Bangun pergi ke dapur. Tengok apa yang boleh Een buat. Jangan pula Een susahkan tuan rumah,” pesan Puan Asyiqin lagi. “Kalau boleh sama-sama tolong siapkan sarapan.”
 
Shaheen senyum mendengar kata-kata pesanan dari Uminya.
 
“Sha apa yang kau senyum sorang-sorang ni?” tegur Afzan.
 
“Ni aku teringat pesanan Abi dengan Umi aku malam semalam,” kata Shaheen.
 
“Oh aku ingat kau senyum sebab teringat Haji Luqman tu,” usik Afzan.
 
“Ijan kau ni,” cepat sahaja Shaheen mahu mencubit Afzan. Apa lagi segera Afzan bangun dari katil.Mahu mengelak dari dicubit oleh Shaheen. Afzan duduk di atas kerusi kecil di tepi katil. Bibirnya masih mengukir senyum mengejek ke arah Shaheen.
 
“Amboi ni sejak bila tangan jadi ketam ni? Asyik nak mencubit je kerjanya,” kata Afzan.
 
“Eh dah la. Tak nak layan kau,” balas Shaheen. Selimut di hujung kaki ditarik. Dia merebahkan kepalanya ke bantal.
 
“Takkan nak tidur dah Sha,” tegur Afzan bila Shaheen menutup mata.
 
“Dah-dah. Jom tidur. Esok nak bangun awal, kata Shaheen.
 
“Yalah,” Afzan akur.
 
“Ha sebelum tu tolong tutup lampu,” pesan Shaheen.
 
“Afzan bangun menuju ke arah suis lampu berdekatan pintu bilik. Suis lampu ditutup. Cahaya lampu tidur yang terpancar dari luar bilik menerpa masuk. Tiadalah gelap gelita. Afzan kembali ke birai katil. Selimut di hujung katil dicapai. Dia turut merebahkan badannya di sebelah Shaheen. ‘Hmm selesanya tidur berbantalkan kekabu ni.’
 
“Sha kau dah tidur,” soal Afzan di dalam cahaya suram.
 
“Hmmm,” itu sahaja yang kedengaran.
 
“Aku rasakan Haji Luqman tu memang sukakan kau la. Sesuai dengan kau,” ucap Afzan.
 
Shaheen diam sahaja.
 
“Aku yakin Haji Luqman tu mampu jadi ketua keluarga yang baik. Aku tengokkan cara dia layan ahli keluarga dia, sweet sangat. Aku percaya dia akan jaga kau dengan baik bila tengok cara dia layan mama dia,” Afzan berkata seorang diri. Hakikatnya Shaheen sudahpun berada di alam mimpi.
 
Tiada respon daripada Shaheen. Afzan menoleh ke kiri. “La dah tidur rupanya,” kata Afzan. Dia lalu menutup mata selepas membaca ayat Kursi, surah tiga Qul serta doa tidur. Dia memohon perlindungan dariNya.
 
*******
Shaheen dikelilingi oleh ahli keluarganya. Begitu ramai orang di ruang legar Tabung Haji. Mak Ngah Sofi juga ada di situ. Afzan, Bu Kartika, Haji Halim, Luqman dan juga Rayyan. Mereka semua turut berada di situ. Menunggu dia dan keluarganya bertolak ke KLIA untuk menunaikan Haji di Tanah Suci.
 
“Sha,” panggil Rayyan.
 
Shaheen berpaling ke arah Rayyan. Dia mengukir senyum. “Ya Rayyan,” Shaheen menunggu kata-kata Rayyan.
 
“Ini untuk awak,” Rayyan menghulurkan satu beg plastik kecil kepada Shaheen.
 
“Apa ni? Buat susah-susah saja,” balas Shaheen. Isi plastik kecil tersebut dikeluarkan. “Cantiknya,” kata Shaheen bila seutas tasbih berwarna merah hati berada di dalam gengamannya.
 
“Ambillah. Untuk kegunaan awak di sana,” kata Rayyan. “Ini tasbih yang paling saya sayang.”
 
“Eh kalau gitu tak elok saya ambil. Elok awak simpan,” Shaheen serba salah mahu mengambil tasbih yang masih berada di dalam gengamannya.
 
“Tak apa. Awak ambillah. Simpan. Kalau nak beri hadiah, lebih baik berikan hadiah yang paling kita sayang atau yang paling baik. Ini bukan kata saya tau, tapi Allah kata, seperti di dalam firmanNya di dalam ayat 97 Surah Ali Imran.
 
“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahui.”
 
“Seelok-elok pemberian itu adalah yang terbaik, umpama korban Habil yang diterima oleh Allah,” kata Rayyan lagi.
 
Shaheen senyum. Tasbih di tangan direnung.
 
Shaheen tersedar. Segera mimpinya tadi terlayar kembali di ruang mata. ‘Astaghfirullahal azim.’ Dia bangun lalu menuju ke bilik air. Wuduk diambil. Dia kembali ke bilik. Solat sunat Tahajjud dua rakaat dilaksanakan dengan hati yang tenang. Usai solat dia berdoa memohon keampunan dari Yang Maha Esa. Dia juga berdoa memohon agar dirinya serta keluarga dan seluruh muslimin dan muslimat di dalam peliharaan Allah. Selesai berdoa, dia bangun lalu melipat sejadah dan telekung yang dipakai. Dia kembali duduk di birai katil.Afzan dilihatnya masih nyenyak tidurnya. Tidak dia bercadang mahu mengejutkan Afzan dari tidurnya yang lena.
 
Sedang duduk di birai katil, Shaheen teringat kembali mimpinya malam tadi. Dia gembira bila mengenangkan dia akan pergi menunaikan ibadah haji. Menjadi tetamu Allah meski pun hanya di dalam mimpi. Lantas dia memanjatkan doa agar impiannya untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu tercapai. Cuma Shaheen agak pelik mengapa Rayyan turut berada di dalam mimpinya. Rayyan memberikan seutas tasbih kepadanya. Tasbih yang paling disayanginya pula. Puas Shaheen cuba mentafsir maksud mimpinya tadi. Maksud di sebalik pemberian tasbih merah hati itu. Dia masih tidak bertemu jawabannya. Mimpi itu tetap berlegar-legar di mindanya. Jelas di ruang matanya.
 
Tidak mahu memeningkan kepala, Shaheen lantas menarik selimut. Ditutup kakinya dengan selimut. Suasana sejuk pagi itu ingin diusirnya. Selimut ditarik hingga ke paras pinggang. Badannya sudah pun enak berbaring di atas tilam empuk yang diperbuat daripada gentian kekabu. Namun, matanya masih berkelip. Tidak mahu lena. Jam di dinding dilirik. Hampir ke pukul lima pagi. ‘Ya Allah, lama aku berangan tadi.’
 
Tidak jadi dia mahu melelapkan mata. Dia bangun semula. Tuala dicapai. Dia sarungkan tudung ke kepala. Sebelum keluar dari bilik, berus gigi dan pencuci muka dibawa bersama. ‘Mandi teruslah. Then solat subuh,’ getus Shaheen sendirian. Dia mengejutkan Afzan sebelum keluar dari bilik. Afzan terpisat-pisat sambil menggosok mata.
 
“Eh Opah. Awal Opah bangun,” tegur Shaheen sewaktu bertembung dengan Opah di depan pintu biliknya. Opah sudah pun siap mandi.
 
“Opah dah biasa Sha. Pergilah mandi dulu. Kejab lagi kita berjamaah sama-sama,” pesan Opah Halimah.
 
“Baik Opah,” ucap Shaheen. Dia kemuadiannya berlalu ke dapur. Menuruni tangga kayu berhati-hati.
 
Di dapur kelihatan Luqman sedang duduk di kerusi meja makan. Menunggu giliran untuk mandi.
 
“Assalamualaikum Sha, selamat pagi,” ucap Luqman. Tuala putih tersangkut kemas di leher Luqman.
 
“Waalaikumsalam. Selamat pagi Luqman,” jawab Shaheen turut duduk di kerusi berdekatan. Dia sangkakan dia bangun awal. Rupanya ada yang lebih awal daripadanya.
 
“Tokki kat dalam tu,” kata Luqman. “Nanti awak masuklah. Saya mandi di perigi kat luar,” Luqman bangun lalu keluar ikut pintu dapur. Di luar masih gelap.
 
Sebaik sahaja Luqman keluar, Tokki turut keluar dari bilik air. Tokki senyum. “Elok-elok, bilik air ni licin,” pesan Tokki.
 
“Baik Tok,” balas Shaheen. Dia masuk ke bilik air. Sejuk terasa hingga ke tulang. Dia mencelup sedikit jarinya ke dalam kolah. “Sejuknya,” cepat-cepat Shaheen mengosok gigi. Seterusnya dia mandi. Berlaga giginya menahan sejuk. Selesai mandi, Shaheen mengambil wuduk. Sebelum keluar dari bilik mandi, dia mengenakan kembali tudung ke kepala. Di luar Afzan sedang menunggu giliran untuk mandi. “Masuklah. Hati-hati ya, licin.”
 
Afzan angguk.
 
Pintu dapur ditolak dari luar. Terjengguk Luqman di situ. Laju sahaja Luqman melangkah. Baju T dan kain pelikat di tangan diletakkan ke dalam bldi di luar bilik air. Luqman hanya bertuala separas pinggang hingga ke betis. Shaheen terdiam. Dia tunduk menekur lantai. Wajahnya sudah merona merah. Malu melihat Luqman begitu. Tidak berani dia mahu memandang Luqman yang tidak berbaju.
 
“Maaf, saya naik dulu,” cepat-cepat Luqman melangkah menaiki tangga. Tangannya menyilang ke dada. Shaheen turut menaiki tangga perlahan-lahan selepas Luqman menghilang ke dalam biliknya.
 
Di bilik Shaheen segera bersiap. Dia menukar baju yang dipakai. Baju T lengan panjang bersama seluar sukan. Telekung disarung ke badan. Shaheen teringat sabda Rasulullah,
 
“Berpagi-pagianlah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan kejayaan (HR at-Tabarani)
 
Dalam sebuah hadis, Rasulullah mengucapkan doa lain seperti berikut:
 
“Ya Allah, berkatilah ummatku di saat mereka bangun pagi.” (Abu Daud)
 
Shaheen sudah siap bertelekung sewaktu Afzan kembali ke bilik. Segera Afzan bersiap untuk sama-sama menunaikan solat subuh berjamaah.
 
“Jom,” ajak Shaheen apabila Afzan sudah siap mengenakan telekung ke badan. Mereka berdua keluar ke ruang di tengah rumah. Di situ Opah Halimah sedang mengaji. Sejadah juga sudah pun siap terbentang. Mereka duduk berdekatan Opah Halimah.
 
Tidak lama, azan subuh berkumandang dari surau berdekatan. Usai masing-masing selesai membacakan doa selepas azan dan iqamah, mereka berdiri dan merapatkan saf. Luqman mengambil tanggungjawab menjadi imam solat subuh.
 
Sejuk rasa hati. Lancar bacaan Luqman yang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Meresap ke kalbu. Shaheen diapit oleh Bu Kartika dan Afzan. Tenang dia menunaikan solat subuh bersama keluarga Luqman.
 
*******
Bu Kartika berada di dapur. Dia sibuk memotong ayam.
 
“Tante mau masak apa ni?” sapa Afzan. Shaheen juga turut berada di sebelah Bu Kartika.
 
“Tante mau masak gulai ayam khas Padang special mau disaji sama lempeng kelapa. Ya lempeng itu, Tante diajar sama Oma. Enak sekali,” balas Bu Kartika.
 
“Bolehlah Sha belajar dengan Tante,” kata Shaheen.
 
“Boleh aja. Sebentar ya, Tante mau potong ayam ini, mau dicuci bersih lalu tiriskan,” kata Bu Kartika.
 
Siap membersihkan ayam, Bu Kartika memotong halus cili merah sebanyak 10 biji, lengkuas satu ruas dan kunyit juga satu ruas. Laju Bu Kartika membuat kerja-kerja memasak.
 
“Lalu kita tumis bawang merah, bawang putih dan kayu manis dengan minyak samin sampai kering dan kuning. Jangan lupa masukkan cabe lalu goreng sebentar,” Bu Kartika berkata sambil tangannya melakukan tugas-tugas tersebut. Afzan dan Shaheen memerhati.
 
“Tante berapa banyak bawang merah, bawang putih untuk masakan ini?” soal Shaheen.
 
“Bawang merah 10 butir, dihiris-hiris, bawang putih empat suing juga dihiris halus. Kulit kayu manis itu satu potong. Ini ngga usah lama, masukkan ketumbar halus, potongan ayam. Beri air secukupnya, lalu rebus hingga empuk,” jawab Bu Kartika. “Ini santan sama air asam jawa jangan lupa. Bila udah didih, ya udah bisa diangkat. Siap.”
 
“Hmm sedap bau,” puji Afzan. Aroma gulai ayam memenuhi ruang dapur.
 
“Terima kasih. Harus coba dulu. Gi mana rasanya,” balas Bu Kartika. “Yuk kita masak lempengnya.
 
Laju Afzan dan Shaheen mengangguk.
 
“Tolong Tante, ambilkan kelapa parutnya,” pinta Bu Kartika. “Sha kamu tolong ambilkan Tante 3 cawan tepung, juga satu sudu kecil baking powder.”
 
Sementara menunggu Afzan dan Shaheen mengambil bahan-ahan yang diminta tadi, Bu Kartika mengambil garam dan air.
 
“Tante berapa banyak kelapa,” soal Afzan sambil mengeluarkan kelapa yang sudah siap diparut dari dalam peti sejuk.
 
“Ambil dua cawan,” kata Bu Kartika.
 
Apabila semua bahan telah pun berada di meja, Bu Kartika menunjukkan cara membancuh lempeng kelapa. Afzan dan Shaheen melihat Bu Kartika memasukkan tepung gandum, baking powder dan kelapa parut ke dalam satu bekas. Semua bahan digaul rata sebelum dituang air. Bahan-bahan tadi dibancuh sehingga sebati. Akhir sekali Bu Kartika memasukkan garam secukup rasa.
 
“Dah siap,” kata Bu Kartika. Dicapai sebiji kuali leper. Tidak mahu lempeng melekat, sedikit minyak dileser ke permukaan kuali. “Begini caranya.”
 
Bu Kartika mencedok satu pertiga cawan bancuhan lempeng dan dituang ke atas kuali leper tadi. Dia meratakan adunan di atas kuali. Lempeng diterbalikkan dan dimasak hingga garing atau warnanya menjadi perang keemasan.
 
“Tante boleh Sha cuba?” Shaheen menawarkan diri membantu.
 
“Oh ya. Silakan,” Bu Kartika menyerahkan senduk yang dipegang kepada Shaheen.
 
Shaheen mengulang semula seperti mana yang ditunjukkan olah Bu Kartika. Dia senyum. ‘Hmm senang je.’ Shaheen mengulang kerjanya sehingga habis adunan lempeng.
 
“Tante mahu Ijan bantu buatkan air?” tanya Afzan.
 
“Ya boleh juga. Air panas di sana ya,” kata Bu Kartika. Dia senang hati bila Afzan dan Shaheen rajin membantunya di dapur.
 
“Mana yang lain Tante?” soal Shaheen.
 
“Semuanya udah keluar. Lepas solat tadi, semuanya langsung keluar jogging. Luqman teman in Papanya, Omanya sama Tokki. Itu sudah jadi acara wajib mereka semua saat awal pagi seperti ini,” jawab Bu Kartika. “Udah siap semuanya, letakkan di meja ya.”
 
“Baik Tante,” kata Shaheen. Afzan juga sudah siapkan teh dan kopi O. 
 
"Kita tunggu mereka di depan sana yuk," ajak Bu Kartika. Afzan dan Shaheen mengekori Bu Kartika hingga ke beranda. Mereka duduk di kerusi rotan menunggu kepulangan Tokki Ibrahim, Opah Halimah, Haji Halim dan Luqman.



Suasana pagi yang sejuk dan segar. Titisan embun masih belum kering sepenuhnya. Cahaya matahari seolah-olah malu memancarkan sinarnya. Angin pagi menghembus lembut pagi itu.

"Gi mana, suka di sini," tanya Bu Kartika.


"Suka Tante," jawab Shaheen. Afzan senyum sambil mengangguk. "Terima kasih Tante jemput Sha ke sini."

"Hal kecil itu," balas Bu Kartika. Wajah Shaheen direnung lama. "Kalau aja Alisa masih ada," omel Bu Kartika di dalam hati. Ada rasa sendu di hati Bu Kartika. Dia membayangkan jika waktu itu dia sudah punya ramai cucu. Anak-anak Luqman dan Alisa yang akan membuatkan hari-hari tuanya lebih bermakna. "Astaghfirullahal azim," ucap Bu Kartika.

"Ada apa Tante?" tanya Shaheen sambil memegang tangan Bu Kartika yang duduk di sebelahnya.

"Ngga apa-apa kok," balas Bu Kartika menyembunyikan rasa bersalah mempersoalkan takdir Ilahi yang telah menjemput Alisa, anak saudaranya.

"Ha tu pun mereka dah balik," kata Afzan bila kelibat Luqman berada di hujung jalan masuk ke kawasan rumah Opah Halimah.




"Assalamualaikum," dari jauh Luqman sudah memberi salam. Kelihatan Tokki Ibrahim, Opah Halimah dan Haji Halim berjalan seiring dengan Luqman. Baru habis pusing satu kampunglah tu.

"Oh pusing-pusing satu kampung tak ajak ya?" kata Afzan bila Luqman sudah hampir di tangga rumah.

"Pusing-pusing? Kalo pusing-pusing, istirehat aja di rumah," tiba-tiba Bu Kartika mencelah.

Luqman sudah ketawa. Haji Halim, Opah Halimah dan juga Tokki Ibrahim turut ketawa sebaik sahaja mereka dapat menangkap maksud kata-kata Bu Kartika tadi. Shaheen yang duduk di sebelah Afzan sedang menutup mulut menahan tawa. Afzan diserbu kehairanan. 'Apa yang lucu sangat ni,' kata Afzan di dalam hati.


"Bukan Ma. Maksud Afzan itu wisata, jalan-jalan sekitar desa ini Ma. Mama usah pusing deh, tenang ya" ucap Luqman selepas reda tawanya tadi.

“Oh. Mama fikir pusing-pusing itu headache. Bukan ya?” soal Bu Kartika.

“Bukan Ma,” balas Luqman lembut.
 
Akhirnya Afzan turut tersenyum.
 
“Esok kita keluar jalan-jalan sama-sama ya,” kata Luqman sambil memandang Afzan dan Shaheen silih berganti. “Saya tunjuk sekitar kawasan kampung.”
 
“Janji. Esok kami tuntut janji awak tu Luq,” kata Afzan.
 
Shaheen teruja mahu mengelilingi kampung. Melihat sawah bendang. Berlari di atas batas sawah serta bermain di tali air sambil menangkap ikan keli atau puyu. Semua itu hanya dibaca di dalam buku atau pun di dalam dokumentari di televisyen. Esok dia akan mengalaminya sendiri.
 
“Ibu, Abah mau sarapan sekarang, Tika siap in,” tanya Bu Kartika.
 
Opah Halimah duduk di sebelah Bu Kartika. Tanggannya dikibas-kibas perlahan. Menghalau rasa panas berbahang.
 
“Elok juga tu. Abang pun dah lapar,” balas Haji Halim. “Lama tak excersize, penat juga.”
 
Opah Halimah dan Tokki Ibrahim senyum sesama sendiri. Mereka sudah biasa berjalan kaki keliling kampung di waktu pagi. Itu sudah menjadi rutin harian mereka berdua.
 
“Kalau gitu, ayuh kita ke dapur semuanya,” kata Luqman dalam nada ceria.
 
*******                                                                                                                                                                                            
"Opah nak ke mana tu?” tanya Luqman. Selepas selesai bersarapan, Opah Halimah berjalan ke pintu dapur. Pintu dapur ditarik ke dalam.
 
“Opah nak ke luar. Nak kutip buah-buah kekabu,” jawab Opah Halimah.
 
“Akim ikut Opah,” kata Luqman.
 
Afzan dan Shaheen sedang mengemas meja makan. Mereka turut mencuci pinggan dan mangkuk serta cawan-cawan yang digunakan tadi. Setelah siap, mereka berdua turut berlalu ke laman rumah. Bu Kartika dan Haji Halim sudah menghilang ke atas rumah.
 
“Masya Allah, cantiknya. Macam salji,” ucap Shaheen bila laman rumah dan jalan raya di depan rumah dipenuhi kekabu yang berterbangan dibawa angin.
 
Di bawah pokok kekabu, kelihatan Luqman dan Opah Halimah sedang mengutip buah-buah kekabu yang gugur di perdunya.

“Jom ke sana,” ajak Shaheen.

Afzan dan Shaheen menyarung selipar dan berjalan ke arah Opah Halimah dan Luqman.
 
“Wah banyaknya Opah,” tegur Afzan. Dia turut menunduk dan mengutip buah-buah kekabu di atas tanah.
 
“Ini banyak yang jatuhnya. Tokki yang goyangkan dahan kekabu tadi,” ujar Opah Halimah.
 
“Opah, pokok kekabu ni hampir matikah? Daun pun gugur semua,” soal Shaheen.
 
“Luqman sudah ketawa besar. “Bukanlah.”
 
‘Amboi sukanya dia gelakkan aku,’ getus Shaheen di dalam hati.
 
“Bila tiba musim berbuah, daun-daunnya memang akan gugur serentak. Nampak macam pokok matikan,” kata Opah Halimah. “Lepas habis musimnya nanti, daun-daun ni akan tumbuh balik.”
 
“Oh begitu ya Opah. Sha tak tau pula macam tu. Ingatkan pokok ni nak mati,” luah Shaheen.
 
“Dahlah tu. Esok kita kutip lagi. Akim tolong Opah angkat raga ni, bawa ke bawah rumah,” arah Opah Halimah.
 
Opah Halimah, Afzan dan Shaheen berjalan perlahan meninggalkan pohon kekabu menuju ke bawah rumah. Baru beberapa langkah berjalan, Shaheen berpaling ke belakang. Dia berpatah semula. “Saya tolong awak,” kata Shaheen.
 
“Ha elok juga tu,” kata Luqman lalu meletakkan semula raga ke tanah. Tanggan kirinya memegang telinga raga di sebelah kanan dan Shaheen memegang telinga raga di sebelah kiri. Mereka berjalan seiring.
 
Di bawah rumah tersedia satu pangkin yang agak besar. Opah Halimah duduk di atas pangkin sambil menunggu Luqman dan Shaheen tiba bersama raga berisi buah kekabu.
 
“Banyak ni Opah,” kata Afzan. Ada banyak kekabu yang belum diproses.
 
“Selalunya Opah dengan Tokki berdua saja yang proses buah-buah ni semua. Dalam sehari dapatlah tiga ke empat kilo kekabu. Nak asingkan biji kekabu ni, elok waktu pagi. Cuaca dengan angin lembab lagi. Kekabu tak berterbangan.”
 
“Tak ada mesinkah Opah?” soal Afzan lagi.
 
Opah guna tangan saja. Tak ada mesin,” jawab Opah Halimah.”Letak situ dulu buah kekabu tu.”
 
Luqman dan Shaheen meletakkan raga yang dijinjing bersama tadi.
 
“Di sini rupanya semua orang,” Tokki menjenggah ke bawah rumah.

“Macam mana nak buat ni Opah, Tokki,” tanya Luqman.
 
“Macam ni,” Tokki menunjukkan cara mengupas kulit.
 
“Macam buah koko,” kata Afzan.
 
“Yalah,” akui Shaheen. “Lepas ni buat apa pula Tokki?”
 
“Nak asingkan biji kena buang empulur kekabu ni dulu. Lepas tu masukkan kekabu ni dalam bekas ni. Dengan biji-bijinya sekali. Kita guna penggesek ni untuk asingkan biji dengan kekabu.”
 
“Apa ni Tokki?” tanya Shaheen.

“Ni namanya penggesek,” kata Tokki merujuk kepada sejenis alat berbentuk T yang diperbuat dari buluh.
 
“Proses menggesek ni mudahkan kita asingkan biji kekabu dengan kekabu. Kekabu ni akan naik ke atas, bijinya pula akan tinggal di dasar bekas ni,” kata Opah Halimah.
 
“Opah berapa harga kekabu ni kalau dijual?” soal Luqman.
 
“Sekilo dapatlah 15 ringgit. Selalunya dapatlah lebih kurang 30 kilo kekabu semusim,” jawab Tokki.
 
“Banyak juga tu. Patutlah Papa kata pokok kekabu tu banyak jasanya,” luah Luqman memandang wajah Opah Halimah dan Tokki silih berganti.
 
“Itulah sumber rezeki Opah dengan Tokki sebelum bendang boleh dituai,” kata Opah Halimah.
 
Kelihatan Bu Kartika mengeluarkan bantal-bantal kekabu untuk dijemur di bawah terik mentari. Haji Halim turut sama membawa turun tilam-tilam kekabu untuk dijemur sama. Bantal dan tilam kekabu itu Bu Kartika pukul dengan rotan. Mahu buat bantal dan tilam jadi gebu semula.
 
“Opah buat tilam dengan bantal juga ya?” soal Shaheen.
 
“Kalau ada yang tempah, Opah buatlah. Dapat juga duit lebih. Satu bantal tu antara lima ringgit hingga 30 ringgit. Kalau tilam tu cecah 80 ringgit sampai 500 ringgit juga Sha,” kata Opah Halimah.
 
”Wah lumayan juga tu Opah. Berapa lama Opah siapkan tempahan tu?” tanya Shaheen lagi.

“Dalam satu ke dua jam, Opah siaplah satu tilam bayi. Dalam sehari Opah boleh buat empat buah tilam bayi. Kalau tilam saiz besar tu, lebih kurang setengah hari siaplah.”
 
Sambil berbual, tangan masing-masing ligat mengupas buah kekabu. Tokki sibuk dengan proses menggesek kekabu. Luqman pula sibuk mengupas dan mengasingkan empulur kekabu sebelum dimasukkan ke dalam bekas di depan Tokki.
 
Afzan dan Shaheen seronok berkunjung ke rumah Opah Halimah. Banyak yang mereka pelajari. Mereka teruja belajar perkara baru yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka sebelum ini.
 
*******
p.s.: Sha mohon maaf atas kelewatan entry ini.
Nak lihat macam mana rupa penggesek tu, boleh visit Membuat Tilam Kekabu
 

No comments:

Post a Comment

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim