28 September 2013

Kasihmu 41

“Eh Kak Ngah, waalaikumsalam,” jawab Puan Asyiqin sebaik sahaja membuka pintu. Tangan Kak Ngah disalam. Tubuh itu dipeluk mesra. “Masuk Kak Ngah.”
 
“Siapa datang Sayang?” Encik Suffian bertanya dari ruang tamu.
 
“Abang ni Kak Ngah Sofi datang,” balas Puan Asyiqin.
 
Encik Sufian segera menuju ke muka pintu. Kakaknya dipeluk dan dicium pipinya. “Kak Ngah kenapa tak cakap nak datang, boleh Yan jemput akak tadi.”
 
Puan Sofi senyum. Gembira dia dapat bertandang ke rumah adik bongsunya. “Tak apa Yan. Kak Ngah datang ni pun berdua. Dengan Hisyam.”
 
Encik Sufian dan Puan Asyiqin saling berpandangan. “Kak Ngah bawa calon suamikah?”

“Ya Kak Ngah bawa calon suami,” balas Puan Sofi diiringi senyum.

“Mana orangnya,” tanya Puan Asyikin.
 
“Ya Allah lupa pula Kak Ngah. Dia di luar nak ambil angin katanya. Tadi dia tengah keluarkan barang dari bonet kereta. Kejab Kak Ngah tengok,” kata Puan Sofi.
 
Puan Sofi melangkah ke muka pintu. Matanya mencari kelibat Hisyam. ‘Oh duduk di bawah pergola rupanya.’ Puan Sofi menyarung selipar lalu berjalan ke arah Hisyam.
 
(Di dalam rumah)
 
“Abang, ada Kak Ngah bagi tau dia nak kahwin?” tanya Puan Asyiqin.

“Tak ada pula. Abang pun terkejut ni,” luah Encik Suffian.

“Mungkin Kak Ngah sunyi bang. Elok la. Sekurang-kurangnya ada juga teman berbual di rumah tu. Kak Ngah dah la tinggal sorang-sorang kat sana. Kalau ada apa-apa, ada juga yang tengok-tengokkan, sakit pening dia ada yang jaga bang,” Puan Asyiqin memberi pendapat.
 
Encik Sufian mengangguk. Dia memandang ke muka pintu. Menunggu kemunculan bakal suami yang dikatakan oleh kakaknya tadi. Terasa seperti lama menunggu.

“Kejab Sayang. Abang pergi tengok. Malu barangkali dia nak masuk,” Encik Suffian sudah bangun menuju ke pintu rumah. Dari muka pintu dia menjengah ke kiri dan kanan. Pandangan matanya ternampak kakaknya bersama seorang lelaki di bawah pergola. Dia lantas menyarung selipar lalu menuju ke situ. “ Assalamualaikum.”

Hisyam menjawab salam. Dia lantas bangun lalu bersalaman dengan Encik Suffian.
 
“Yan ini Hisyam. Syam ni Abinya Shaheen,” Puan Sofi memperkenalkan mereka berdua.
 
“Apa khabar Pakcik?” sapa Hisyam.
 
“Alhamdulillah, sihat,” balas Encik Suffian.
 
Encik Suffian diserbu tanda tanya. Mindanya penuh dengan soalan. ‘Siapa pemuda ini? Takkan Kak Ngah nak bersuamikan anak muda yang sebaya Een. Ish tak mungkin. Kenapa Kak Ngah kenalkan aku sebagai Abi Een? Kenapa Kak Ngah tak cakap aku ni adik dia? Pemuda ni panggil aku Pakcik pula tu,’
 
“Eih marilah masuk. Boleh kita berbual panjang di dalam,” Encik Suffian mempelawa tetamu masuk ke rumah. Soalan yang berlegar tadi masih belum berjawab.
 
“Ya Syam. Jom kita masuk. Lebih elok berbincang di dalam,” sokong Puan Sofi.
 
Hisyam mengekori langkah Encik Suffian. Beg pakaian dan buah tangan yang dibawa dijinjing bersama.
 
Puan Asyiqin memandang Hisyam. Dia sedikit terkejut. Namun segera dia memaniskan muka menyambut tetamu yang pertama kali datang. “Jemputlah duduk.”

“Ni Kak Ngah ada buat kuih baulu sikit,” Puan Sofi menghulurkan buah tangan kepada adik iparnya.
 
“Buat susah-susah saja Kak Ngah ni,” Puan Asyiqin menyambut kuih baulu air tangan kakak iparnya. “Duduk berbual dulu ya Kak Ngah. Iqin ke dapur kejab.”
 
“Yelah,” balas Puan Sofi sepatah.
 
“Yan plan nak ke rumah Kak Ngah hujung minggu ni. Dah Kak Ngah sampai ni, elok juga. Yan ada benda nak cerita dengan Kak Ngah ni,” Encik Suffian bersuara ceria.
 
“Kak Ngah pun ada perkara nak bincang. Nak sampaikan hajat. Itu yang Kak Ngah datang ni,” luah Puan Sofi.
 
Encik Suffian menganggukkan kepala. Dia harap segala soalannya tadi bakal berjawab nanti. Hajat Kak Ngahnya menarik perhatian Encik Suffian. Dia mahu mendengar kata-kata seterusnya dari Kak Ngahnya.

“Yan cakap dululah. Apa ceritanya?” soal Puan Sofi.
 
“Gini Kak. Tahun ni kalau tak ada aral, insya Allah Yan dan keluarga akan menunaikan ibadah Haji. Simpanan pun dah cukup. Cuma Yan belum lagi dapat surat hitam putih dari Tabung Haji,” kata Encik Suffian.

“Ya ke ni? Alhamdulillah Yan. Elok la tu. Masa sihat ni elok la pergi. Badan masih bertenaga. Senang nak beribadat kat sana nanti,” Puan Sofi gembira mendengar berita tersebut.

“Yan nak bawa Kak Ngah sama. Iqin pun setuju Kak Ngah. Masa buat pendaftaran dulu, Yan daftarkan nama Kak Ngah sekali. Lebih baik Kak Ngah pergi dengan Yan kan. Bermahram,” sambung Encik Suffian.

 
Puan Sofi gembira tidak terkata. Sudah lama juga dia memasang niat untuk menunaikan ibadah Rukun Islam kelima itu. Kewangan untuk ke sana sudah pun dikumpul. Cuma niat di hati Puan Sofi tertangguh bila suaminya, Yassin meninggal dunia.
 
“Alhamdulillah. Yan pasal duit tu jangan risau Kak Ngah pun ada mengumpul juga. Boleh la buat menambah di sana,” kata Puan Sofi.

“Tak apa Kak Ngah. Yan memang dah niat nak bawa Kak Ngah guna duit Yan. Duit Kak Ngah tu Kak Ngah guna la untuk Kak Ngah shopping,” kata Encik Suffian sambil tersenyum.

“Apa sangat la yang Kak Ngah nak shopping di sana tu. Paling banyak pun air zam-zam, buah kurma, buah-buah kering. Mungkin jubah sepasang dua Yan. Lagi pun tujuan asal nak beribadah,” sambung Puan Sofi. “Een?”
 
“Ya Kak Ngah. Een pun akan ikut sama,” jawab Encik Sufian.
 
“Maksudnya kita pergi berempat la ya,” tanya Puan Sofi.
 
“Begitulah Kak Ngah,” balas Encik Suffian.

Baru Puan Sofi sedar Shaheen tidak menyambut kedatangannya tadi. “Een mana? Tak nampak dari tadi,” soal Puan Sofi.
 
Hisyam sudah bersinar matanya mendengar nama Shaheen disebut. Dia juga turut meninjau. Namun kelibat Shaheen langsung tiada.
 
“Kak Ngah, Een tak ada,” jawab Puan Asyiqin yang datang dari arah dapur.

Hisyam memandang Mak Ngah Sofi. Ada rasa kecewa menerpa hatinya.
 
“Ke mana Een pergi?” soal Puan Sofi lagi.
 
“Baru pagi tadi Een ke rumah kawannya di Sungai Besar,” Encik Suffian menjawab.
 
“Rindu Kak Ngah dengan Een,” luah Puan Sofi.
 
“Dua tiga hari lagi balik la tu. Dia ke sana dengan Afzan,” kata Puan Asyiqin. “Kak Ngah pun tidur la di sini sementara tunggu Een balik.”
 
Isu bakal suami masih lagi belum disentuh oleh Puan Sofi. Encik Suffian menunggu kakaknya membuka mulut. Persoalan bakal suami tadi masih berlegar-legar di dalam kepalanya. Dia segan mahu bertanya. ‘Biar Kak Ngah la mulakan.’
 
Hisyam masih diam di tempat duduk. Dia juga rindu mahu menatap wajah Shaheen yang sudah lama tidap ditemuinya. Kali terakhir itulah di pejabatnya tempoh hari. Tidak puas rasanya. Air jambu merah diminum perlahan. Terasa segar menjalar ke kerongkong.
 
“Hisyam pun bolehlah bermalam di sini,” Encik Suffian mempelawa.
 
“Tak apa Pakcik. Saya ke sini cuma untuk hantar Mak Ngah Sofi,” balas Hisyam.
 
“Mak Ngah Sofi?” Encik Suffian dan Puan Asyiqin bersuara serentak.

Puan Sofi terkejut melihat reaksi adik dan iparnya. “Kenapa?”

“Jadi ini bukan bakal suami Kak Ngah?” tanya Encik Suffian.

Puan Sofi sudah tergelak mendengar kata-kata adiknya. “Bila pula Kak Ngah cakap Kak Ngah nak kahwin.”

“Habis tadi tu, Kak Ngah kata bawa bakal suami,” balas Encik Suffian.

Puan Asyiqin mencedok kuew teow goreng ke dalam piring sederhana besar. Selepas itu air jambu merah dituang ke dalam gelas. “Jemput makan Kak Ngah, Hisyam. Abang pun makan la sikit,” pelawa Puan Asyiqin.

“Terima kasih Makcik,” jawab Hisyam menyambut piring berisi kuew teow goreng.

Puan Sofi memandang Hisyam. Anak saudaranya itu nampak sedikit gugup. “Bukan Kak Ngah la. Ni si Hisyam yang bawa hajat.”

“Hajat? Tak faham Yan Kak Ngah,” balas Encik Suffian.

“Apa maksud Kak Ngah,” tanya Puan Asyiqin pula.
 
“Begini, Kak Ngah ni wakil saja. Mak dan Ayah Hisyam ni tak dapat hadir. Ayah Hisyam ni sakit kaki. Susah nak berjalan. Itu yang mereka wakilkan pada Kak Ngah. Mereka berkirim salam. Hisyam ni datang nak merisik Een. Dia berkenan dengan si Een ni dari zaman mereka di universiti lagi. Tapi hubungan mereka terputus lepas Hisyam ni dah abis belajar dan berkerja,” luah Kak Ngah.
 
“Waalaikumsalam. Oh barulah saya faham,” kata Encik Suffian. “Jadi Hisyam ni satu universiti dengan Een la ya?”
 
“Ya Pakcik,” jawab Hisyam.
 
“Hisyam ni anak buah arwah Abang Yassin,” beritahu Kak Ngah. “Ini pun mereka terjumpa masa Een datang rumah Kak Ngah. Kebetulan Hisyam pun datang jengguk Kak Ngah masa tu.”

Puan Asyiqin memandang Hisyam. Tidak pernah pula anaknya menceritakan kisah Hisyam padanya sebelum ini. Hanya Afzan yang selalu menjadi topik perbualannya dengan Shaheen setiap kali mereka berbual. Soal kerja lebih banyak dibualkan bila mereka berkumpul satu keluarga.
 
“Hisyam kerja di mana?” tanya Encik Suffian.
 
“Saya kerja di Bank Islam KL Pakcik,” jawab Hisyam.

“Kebetulan pula. Kalau tak salah Pakcik, Een ada Ke Bank Islam di Jalan Tun Perak untuk satu urusniaga kat sana,” kata Encik Suffian.
 
“Ya betul Pakcik. Saya ada berjumpa Shaheen. Saya turut serta semasa sesi perbincangan dengan Shaheen waktu tu,” ucap Hisyam.
 
Encik Suffian menggangguk. Puan Asyiqin hanya menjadi pemerhati.
 
“Mak Ngah,” Hisyam menghulurkan satu kotak kecil berwarna merah.
 
Puan Sofi menyambut kotak kecil dari tangan Hisyam lalu dibuka. Sebentuk cincin belah rotan cantik terletak di dalam kotak kecil itu disua kepada adik Iparnya. “Yan, Iqin ni cincin merisik.”
 
Puan Asyiqin tidak terkata apa-apa. Kotak berisi cincin itu diserahkan kepada suaminya.

“Macam nilah Kak Ngah, Yan tak boleh nak beri kata putus. Lagi pun tuan punya diri pun tak ada. Yan tak boleh nak beri keputusan sekarang,” Encik Suffian memberi kata putus begitu. Dia tidak mahu mengecewakan hati tetamu yang datang dengan niat yang baik.
 
Hisyam berasa lega. Niat dan tujuan kedatangannya telah pun disampaikan. Debar di dada tadi juga telah berkurangan. Melihat sikap mesra tuan rumah sedikit sebanyak membantu Hisyam bertenang.
 
“Ya Yan, Kak Ngah faham,” balas Puan Sofi bagi pihak anak saudaranya.

“Pakcik, Makcik elok la saya beransur dulu,” Hisyam bangun lalu menghulur salam kepada Encik Suffian. “Mak Ngah Syam balik dulu.”
 
Puan Sofi menyambut huluran salam anak saudaranya. Tangannya dicium oleh Hisyam. Sungguh Hisyam sudah seperti anaknya.
 
“Hisyam, bila senang datanglah ke sini. Jangan segan,” Encik Suffian mengiringi Hisyam hingga ke luar rumah.
 
“Lain kali datang boleh bawa Mak Ayah sama,” pesan Puan Asyiqin pula.

“Insya Allah Pakcik, Makcik” jawab Hisyam.

Hisyam menghidupkan enjin keretanya. “Saya gerak dulu, assalamualaikum.”

Encik Hisyam, Puan Asyiqin dan Puan Sofi masuk ke dalam rumah sebaik sahaja kereta Hisyam hilang dari pandangan mereka.
 
“Kak Ngah rajinnya buat baulu ni,” ucap Puan Asyiqin selepas digigit separuh baulu ke mulut.

“Kak Ngah buat ni kebetulan nak datang sini. Tau si Een suka. Itu yang Kak Ngah buat tu,” balas Puan Sofi. “Apa pendapat kamu?”
 
“Soal merisik tadi ke Kak Ngah?” tanya Encik Suffian.

Puan Sofi mengangguk.
 
“Macam Yan cakap tadilah Kak Ngah. Yan serahkan kepada Een. Elok dia yang buat keputusan. Ini masa depan dia Kak Ngah," balas Encik Suffian. Fikirannya melayang teringatkan Haji Luqman.

“Kalau dah jodoh tak ke mana Kak Ngah kan,” Puan Asyiqin mencelah.
 
“Ke Een dah ada calon?” soal Puan Sofi ingin tahu.

Encik Suffian dan Puan Asyiqin tersenyum sahaja.
 
“Entahlah Kak Ngah. Calon yang kami berkenan tu ada la. Cuma Een berkenan ke tidak, Yan pun tak pasti,” balas Encik Suffian.
 
“Kalau gitu sama-sama kita doakan jodoh yang baik untuk Een nanti,” kata Puan Sofi.
 
“Aamin,” serentak Encik Suffian dan Puan Asyiqin bersuara mengaminkan kata-kata Puan Sofi.
 
*******
 
“Apa pendapat Abang pasal budak Hisyam tu?” soal Puan Asyiqin sewaktu mereka berdua di bilik.
 
“Abang tengok baik budaknya,” balas Encik Suffian.
 
“Een pun fikir gitu. Lagi pun anak buah Kak Ngah kan. Macam mana pun elok la nanti kita bincang dengan Een. Tanya pendapat dia,” luah Puan Asyiqin.
 
“Eloklah tu,” kata Encik Suffian. “Kak Ngah dah masuk tidur ya?”

“Dah lepas solat isyak berjamaah tadi. Katanya mata dah ngantuk,” kata Puan Asyiqin.

“Nasib baik kita makan malam awal malam ni,” tambah Encik Suffian.
 
“Kak Ngah tolong Qin masak tadi. Itu yang cepat,” kata Puan Asyiqin.
 
“Tadi Kak Ngah tanya pasal Een. Tak ada ke Een kenalkan kita dengan mana-mana kawan lelaki dia,” beritahu Puan Asyiqin.
 
“Sayang cakap apa?” soal Encik Suffian.
 
“Qin cakap la kenal pun ada dua orang. Itulah Haji Luqman dengan Rayyan kawan bisnes Een tu,” sambung Puan Asyiqin.
 
“Apa kata Kak Ngah?” tanya Encik Suffian.

“Dia senyum je. Tak ada pula dia cakap apa-apa,” jawab Puan Asyiqin.

“Sayang tak risik pasal Hisyam?” tanya Encik Suffian lagi.
 
“Kata Kak Ngah, Hisyam tu dah macam anak sendiri. Rajin dia jengguk Kak Ngah. Kalau ada cuti memang Hisyam tu akan pergi rumah Kak Ngah. Memang rapat la sejak dari arwah Abang Yassin ada lagi. Hisyam tu anak kepada abang arwah Abang Yassin,” kata Puan Asyiqin.
 
“Oh,” balas Encik Suffian ringkas sahaja. “Ada Een call?”
 
“Ada petang tadi. Sempat juga Een bersembang dengan Kak Ngah,” kata Puan Asyiqin.
 
“Sayang atau Kak Ngah ada bagi tau Een pasal hal merisik tadi?” tanya Encik Suffian.
 
“Tak ada. Qin fikir biarlah dulu. Nanti Een balik sini baru kita bagi tau dia. Takut nanti tak tenang pula dia kat sana. Fikirkan hal ni pula,” balas Puan Asyiqin.
 
“Betul juga tu,” kata Encik Suffian.
 
“Keluarga Haji Luqman sampaikan salam kata Een,” Puan Asyiqin menyampaikan pesanan dari Shaheen. “Dengar suara Een happy je kata sana.”
 
“Waalaikumsalam. Baguslah tu. Abang tak risau sangat dia kat sana. Ijan kan ada,” kata Encik Suffian diiringi senyuman. “I wish everything is great over there.”
 
“Itulah. Tak sabar tunggu Een balik. Rindu pula bila Een tak ada ni,” kata Puan Asyiqin.
 
“Sayang tak tengok Putih tadi. Macam tau je Een tak ada. Putih tu menunggu Een bagi dia makan. Dah lapar, makan juga la tadi,” kata Encik Suffian.

“Mana taknya. Putih tu memang manja dengan Een. Tau juga rindu pada tuan yang menjaga,” tambah Puan Asyiqin.
 
“Binatang pun tau erti kasih sayang, tau balas budi tuannya, Sayang,” ucap Encik Suffian.

“Ni dua tiga hari Een tak ada, mesti Putih mencari,” sambung Puan Asyiqin.
 
“Tengoklah nanti bila Een balik. Asyik mengekor Een la nampaknya,” Encik Suffian senyum teringat gelagat Putih.
 
“Hmm terbatuk-batuk la Een kat sana. Kita asyik menyebut nama dia dari petang tadi,” kata Puan Asyiqin.
 
Encik Suffian sudah ketawa kecil. “Dah la tu Sayang. Jom tidur. Dah lewat ni,” Encik Suffian meletakkan buku yang dibaca. Bantal di kepala diambil lalu ditepuk-tepuk beberapa kali.
 
“Abang, Qin minta maaf andai ada salah dan silap Qin hari ni,” ucap Puan Asyiqin. “Selamat malam abang. Assalamualaikum.”

Encik Suffian mengangguk. Salam dijawab. Dahi isteri dikucup. Begitulah rutin setiap malam. Sebelum tidur pasti Puan Asyiqin memohon maaf dari suaminya. Bimbang jika umurnya tidak panjang, tidak sempat dia mahu memohon maaf dari suaminya.

Puan Asyiqin masih ingat satu kuliah maghrib yang dihadirinya, seorang ustaz ada menyebut berkenaan tidur itu disifatkan sebagai mati kecil. Kata ustaz itu, Rasulullah SAW mengumpamakan tidur itu sebagai mati kecil. Tidur yang terakhir barangkali. Pergi mengadap Ilahi tanpa sempat memohon maaf atau dimaafkan.

“Ya Allah Ya Tuhanku, jika tidurku ini tidur yang penghabisan, maka ampunkanlah segala dosaku, maafkanlah segala kesalahanku dan redalah pada diriku."

No comments:

Post a Comment

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim