11 November 2013

Kasihmu 45

“Assalamualaikum,” ucap Aida bila nombor talian Shaheen tertera.

“Waalaikumsalam Aida. Maaf ganggu awak waktu ni,” kata Shaheen. 


“Oh tak apa. Saya belum tidur lagi pun,” balas Aida. 


Shaheen serba salah sebenarnya. Bimbang jika dia menelefon pada masa yang tidak sesuai. “Begini Aida, saya nak inform awak esok saya tak masuk office sebelah pagi. Mungkin selepas sarapan, baru saya gerak balik dari Sungai Besar. Petang saya ada, insya Allah.”  


Ok noted. Ada apa-apa lagi Cik Sha?” soal Aida. 


“Aida, maaf saya nak minta bantuan awak semak jadual saya esok,” pinta Shaheen. 

“Sekejab ya Cik Sha. Semua info tu dalam galaxy tab saya. Tunggu sekejab ya,” Aida berlalu ke arah meja di sisi katilnya. Telefon bimbitnya masih melekap di telingga. Segera dia membuka planner yang tersimpan semua jadual Shaheen. “Esok sepanjang hari tak ada sebarang janji temu. Lagipun Cik Sha dah remind saya untuk block tarikh, dua hari sebelum mesyuarat dengan Lembaga Pengarah Khamis ni.” 

“Terima kasih Aida. Satu lagi tolong letak semua fail untuk meeting tu. Petang esok saya semak. Termasuk slaid powerpoint,” kata Shaheen mengingatkan Aida. 

“Cik Sha,” panggil Aida. 


“Ya Aida,” Shaheen menunggu kata-kata seterusnya daripada Aida. 

“Cik Sha saya nak kirim mangga boleh tak? Kat sana mangga banyak dijual kat tepi-tepi jalan tu,” Aida membuat permintaan. 

“Insya Allah Aida, untuk awak pokok mangga pun saya boleh belikan,” gurau Shaheen. 

Aida sudah ketawa di hujung sana. “Terima kasih Cik Sha."

“Sama-sama Aida. Maaf ganggu awak Aida malam-malam ni. Good night Aida. Assalamualaikum,” ucap Shaheen mematikan talian. 

“Waalaikumsalam Cik Sha. Good night. 

******* 

“Akim hati-hati bawa kereta, dah sampai nanti telefon Opah ya,” kata Opah Halimah sewaktu Luqman bersalaman dengannya. Pipi Luqman dicium kiri dan kanan. Tubuh cucunya didakap. 

“Baik Opah,” balas Luqman.  

Luqman menuju ke arah Tokki lalu bersalaman. Tubuh Tokki dia peluk erat. 

“Ingat pesan Opah tu. Jangan laju-laju sangat memandu tu,” Tokki Ibrahim pula memberi pesanan.

“Ya Akim ingat Tokki,” kata Luqman. 

Bu Kartika dan Haji Halim senyum. Mereka berdua tidak ikut bersama. Mereka mahu menghabiskan masa bersama kedua orang tua dan juga menziarahi sanak-saudara yang lain. Kesempatan yang ada harus diambil sementelah mereka jarang pulang ke kampung. Jarak memisahkan mereka. Apabila sudah menjejakkan kaki ke kampung, inilah masanya mereka mengukuhkan lagi ikatan silaturrahim sesama ahli keluarga yang lain. 

“Mama, Papa,” Luqman menghampiri mereka. Salam dihulur kepada keduanya. Tangan mereka dikucup lama. Bu Kartika memeluk dan mencium kedua-dua pipi Luqman. Haji Halim turut memeluk Luqman.  

Giliran Afzan dan Shaheen bersalaman dengan Opah Halimah dan Bu Kartika. Lama Opah Halimah menatap wajah Shaheen. Tangan Shaheen yang di dalam gengamannya dipegang lama. Sungguh dia akan rindu. “Kalau senang datanglah lagi ke rumah Opah ni. Bulan depan dah nak puasa. Raya nanti datanglah jengguk Opah. Bawa mak ayah sekali,” pesan Opah Halimah yang masih lagi tidak melepaskan tangan Shaheen. Tubuh Shaheen dirangkul lama. Selepas itu dia mencium kedua-dua pipi Shaheen. 

“Insya Allah Opah,” Shaheen senyum. Terharu dia mahu meninggalkan Opah Halimah. Walau pun hanya tiga hari berada bersama keluarga Luqman, seperti keluarga sendiri suasananya. Dia gembira. 

“Opah jangan risau, Akim akan pastikan Sha akan selalu datang jengguk Opah nanti,” ucap Luqman. Dia senang hati melihat kemesraan Opahnya dan Shaheen. Matanya ralit memerhati Shaheen. Dia berasa senang melihat hubungan mesra yang sudah terjalin di antara Opah dan Tokkinya dengan Afzan dan Shaheen. 

“Kalau tak dapat menjengah pun, telefonlah kami di sini,” Tokki pula memberi pesanan. 

“Insya Allah Tokki,” dalam senyuman Shaheen membalas. 

“Afzan juga. Datanglah lagi rumah Opah. Jangan malu. Jangan serik ya,” Opah Halimah turut memberi pesanan yang sama kepada Afzan. Dia turut memeluk dan mencium pipi Afzan.

“Insya Allah Opah,” kata Afzan sambil mengukir senyum. 

“Terima kasih ya. Udah sampai ke sini, ikut Tante,” ucap Bu Kartika kepada Shaheen. 

“Seharusnya Sha yang ucap terima kasih pada Tante. Sudi menjemput Sha ke sini. Sha suka suasana kat sini,” balas Shaheen sewaktu dia bersalaman dengan Bu Kartika. 

“Kalau suka kena datang lagi tu,” Haji Halim mencelah.  

Mereka semua sudah ketawa bersama.  

Bersalam sudah. Pesan memesan sudah. Masa untuk berangkat.
“Ijan kau duduk depan ya,” kata Shaheen kepada Afzan.
“Maaflah hari ni aku nak jadi Puan Besar,” balas Afzan sambil menjongket kening. Tangannya terlebih dahulu membuka pintu di tempat duduk belakang. Dia masuk dan duduk dengan selesanya. Bibirnya menguntum senyum.
Pintu kereta sudah pun dibukakan. Tentunya Luqman yang berbuat begitu. Shaheen membulatkan matanya ke arah Afzan. Dia tiada pilihan. Mahu tidak mahu dia masuk juga ke dalam kereta di tempat duduk di hadapan. Di sisi Luqman tentunya. Shaheen mengawal debar di dada. Ini kali pertama dia duduk bersebelahan dengan Luqman. Sukar dia gambarkan rasa hatinya. ‘Tenanglah hati,’ bisik Shaheen.
“Kami gerak dulu. Assalamualaikum,” ucap Luqman lalu menekan minyak perlahan-lahan. Dia melambai tangan ke arah Opah dan Tokki serta Mama dan Papanya. Afzan dan Shaheen turut melambai. Semakin lama semakin laju CR-V milik Luqman berlalu meninggalkan Parit 1 Barat, Sungai Besar.
“Sha, awak ada 300 ringgit?” tanya Luqman tiba-tiba sebaik sahaja CR-V putih itu memasuki jalan besar.
“Ada,” jawab Shaheen pelik. ‘Dia nak pinjam duit aku ke?’
“Sekarang...ada?” tanya Luqman lagi.
Shaheen angguk perlahan-lahan. Dia jadi semakin pelik. Afzan di tempat duduk belakang hanya menjadi pendengar.
“Kalau ada bagus. Stand-by ya. Kalau kena tahan polis boleh bayar saman sebab awak tak pakai seat belt,” kata Luqman.
Afzan di tempat duduk belakang sudah ketawa besar. Ditekan perut menahan tawa. Luqman sekadar senyum simpul. Matanya dihala ke depan.
Shaheen terdiam. Dia tidak sangka Luqman akan mengenakan dia dengan bersahaja. Akhirnya dia tersenyum juga. Cepat-cepat dia menarik tali pinggang keledar.
“Cik Ijan suka nampak. Yang duduk belakang pun tak terkecuali,” kata Luqman sambil memandang Afzan dari cermin pandang belakang. Dia senyum melihat wajah Afzan.
Giliran Shaheen pula ketawa besar. Afzan segera memakai tali pinggang keledar. Tawanya tadi mati begitu sahaja.
“Oh ya sebelum terlupa, Rayyan kirim salam pada awak berdua,” Luqman menjeling ke sisi dan juga membuang pandang ke cermin pandang belakang.
“Waalaikumsalam,” balas Afzan dan Shaheen serentak. Shaheen memaling ke belakang memandang wajah Afzan. Dia senyum.
“Mana dia tahu kami berada di kampung?” soal Shaheen.
Luqman senyum. “Dia ke rumah awak. Kakak dia pun ikut sama,” ujar Luqman.
“Oh ya,” kata Shaheen. “Wah seronoknya. Lama Sha tak jumpa Kak Farah. Apa khabar agaknya dia,” Shaheen teruja. Dia lupa dia berada di sebelah Luqman. Luqman menoleh sekilas ke arah Shaheen.
“Kak Farah dah kahwin. Dah dua anaknya," kata Luqman. 

"Oh ya. Mesti comel anak-anak Kak Farah," komen Shaheen.

"Kenapa diam je tu Ijan?” tanya Luqman bila Afzan hanya diam sahaja di tempat duduk belakang.
“Ijan dah kena sawan diam bila dengar nama Rayyan,” usik Shaheen. Dia senyum sambil menoleh Afzan.
“Amboi suka eih korang berdua. Sawan diam bagai. Nanti saya ngadu dengan Rayyan,” kata Afzan seperti satu amaran kepada Shaheen dan Luqman.
Shaheen dan Luqman sudah ketawa. Sedikit pun tidak gentar dengan kata-kata Afzan. “Nak mengadu dengan cik abang ya,” usik Luqman pula.
“Opps... dah pecah rahsia,” Shaheen giat menyakat Afzan.
Afzan menutup mulut. Dia sedar dia sudah terlepas kata. Namun sudah terlambat untuk dia sembunyikan lagi keputusan dan perasaannya terhadap Rayyan.
“Baguslah tu Ijan. Kalau dah suka katakan suka. Jangan biar cik abang awak tu menunggu. Lagi pun perkara yang baik tak elok dilengah-lengahkan,” nasihat Luqman.
“Wah kebetulan pula,” kata Shaheen bila stesen Sinar FM memutarkan lagu dari kumpulan Sweet Charity yang bertajuk Jangan Tunggu Lama Lama. “Ijan aku tujukan lagu ni untuk kau ya.”
Afzan sudah mencebik. Dia tahu, tiada gunanya dia membalas usikan Shaheen. Dia tidak akan menang. Manakan tidak, Luqman turut sama menyokong Shaheen. Dua lawan satu. Dia senyum akhirnya. ‘Lain kali giliran korang pula. Tak apa, ada ubi ada batas’ kata Afzan di dalam hati. Dia diam sambil menghayati bait-bait lirik lagu yang popular sekitar penghujung tahun 70-an.
‘Jangan fikir lama-lama
Nanti lama-lama
Dia diambil orang’ 

“Luq sampai Sekinchan nanti boleh berhenti sekejab? Nak beli mangga,” kata Shaheen. 

“Baik,” balas Luqman. Dia tidak banyak bercakap. Tumpuannya lebih kepada pemanduan. 

“Banyaknya kerepek kat sini,” kata Afzan tiba-tiba. Sepanjang perjalanan ada macam-macam yang dijual di tepi jalan. Afzan jadi teruja melihat banyak gerai yang menjual kerepek dan kuih di kiri kanan jalan. 

“Nanti saya bawa awak ke satu tempat. Boleh borong kerepek dan juga kuih bahulu. Kat sana ada banyak pilihan. Kerepek yang dijual ada banyak perisa,” ucap Luqman. 

Afzan senyum. Shaheen di sebelah Luqman hanya diam. Matanya lebih terarah ke luar tingkap. Sawah padi yang terhampar menghijau menarik perhatiannya. “Subhanallah.” 

“Awak cakap apa Sha?” tegur Luqman. Dia seperti terdengar Shaheen berkata sesuatu. Sesuatu yang kurang jelas di pendengarannya. 

“Kalau awak berdua nak tahu, drama Nur Kasih membuat pengambaran di sini. Menggunakan latar lokasi sawah padi yang indah dan suasana kampung yang permai lagi damai ni,” kata Luqman dengan rasa bangga.  

“Oh ya,” Afzan menjawab ringkas. 

“Hebatkan drama Nur Kasih tu. Dinobatkan sebagai Drama Rantaian Terbaik. Kalau tak salah itu drama bertemakan Islamik yang pertama yang mendapat rating tertinggi,” sambung Shaheen. 

“Memang hebat. Sampai dibuat filem dan filem Nur Kasih tetap meletup. Suka sangat. Akan adakah kisah cinta macam kisah cinta Nur Amina - Adam dan Aidil - Alya,” ucap Afzan.

“Insya Allah ada. Semua tu bergantung kepada diri kita sendiri,” balas Luqman. “Kita yang bertanggungjawab dalam mengemudi rumahtangga kita ke arah yang diredai olehNya.” 

Afzan dan Shaheen mengangguk tanda setuju.  

“Proses menuju keluarga bahagia berlandaskan Islam bermula dari awal lagi,” Luqman memberikan pendapatnya.  

“Maksud awak?” soal Shaheen.  

“Islam menitik-beratkan hal-hal berkaitan membina keluarga. Bagaimana kita menentukan siapa pasangan kita? Bagaimana proses perkenalan yang menepati syariat Islam? Semuanya ada panduan. Islam agama yang syumul. Lengkap semuanya tentang kehidupan manusia. 

Afzan dan Shaheen tekun mendengar. “Ya teruskan.” Shaheen menunggu Luqman menyambung perbincangan mereka. 

Luqman menarik nafas. Dia cuba mengingatkan kembali hadis sahih yang pernah dia baca berkaitan panduan pemilihan calon isteri dan calon suami. “Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya, “Seorang wanita dinikahi kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah wanita yang mempunyai agama, kamu akan beroleh keuntungan.” (HR. Bukhari dan Muslim) 

“Ya pernah dengar hadis ni,” Afzan berkata sambil merapatkan diri ke depan. Mahu mendengar kata-kata Luqman dengan lebih jelas. 

“Ada satu lagi hadis yang boleh dijadikan panduan di dalam memilih bakal suami,” kata Luqman sambil senyum sedikit. “Apabila datang kepada kalian seorang laki-laki yang kalian redai agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia, dan jika tidak, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (HR Tirmidzi, Ibn Maah dan Al-Hakim) 

“Luq boleh Ijan tanya something?” soal Afzan. 

“Boleh. Tanyalah,” balas Luqman. 

“Luqman, di mana awak belajar mengenai Islam? Saya kagum mendengar awak mampu berhujah dengan baik. Awak mampu kaitan isu yang dibincangkan dengan hadis atau Al-Quran,” kata Afzan. 

“Ijan, ilmu yang saya ada tu sangat sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah,” kata Luqman merendah diri. “Cuba bayangkan kalau jari kita dicelup ke dalam laut. Air yang melekat di jari kita tu umpama ilmu yang ada pada kita, sedangkan ilmu Allah itu seluas lautan.” 

Shaheen mendengar kata-kata Luqman. Rasa kagum terbit di hatinya. Dia yakin Luqman mampu menjadi imam keluarga yang baik.  

“Sebenarnya Sha, Ijan saya bukanlah tiba-tiba sahaja penuh ilmu di dada. Ilmu yang saya ada ni saya belajar berperingkat-peringkat,” luah Luqman. 

“Apa maksud awak berperingkat-peringkat?” tanya Shaheen. 

Luqman memandang sekilas ke arah Shaheen. “Selepas arwah tiada, saya membawa diri ke Malaysia. Saya tinggal dengan Opah dan Tokki. Hanya kesedihan dan rasa kehilangan dalam dada. Alhamdulillah Tokki tidak pernah gagal membawa saya berjamaah di surau berdekatan. Saya punya kesempatan mengikuti kuliah subuh atau maghrib. Berada di dalam majlis ilmu seperti itu membuatkan saya jadi tenang.” 

“Alhamdulillah. Majlis ilmukan umpama taman syurga,” kata Shaheen. 

“Ya betul. Menuntut ilmu itu fardhu ain kepada semua orang seperti mana yang terdapat di dalam hadis baginda Rasulullah SAW yang bermaksud; 

Menuntut ilmu adalah fardhu bagi tiap-tiap Muslim, baik laki-laki mahu pun perempuan.” (HR Ibn Abdulbari)

Afzan dan Shaheen mengangguk.  

“Hari demi hari, jiwa saya yang sebelumnya dipenuhi dengan kekosongan, kesedihan mula dipenuhi dengan ilmu. Saya jadi lebih tenang dan reda menerima ketentuan dariNya. Alhamdulillah rezeki saya menunaikan haji itu dipermudahkan olehNya. Proses pembelajaran itu perlu berterusan,” sambung Luqman. 

“Ilmu itu sungguh luas. Adakalanya kita rasa kita sudah cukup ilmu, tapi rupanya ada lagi yang kita belum tahu,” Afzan memberikan pandangannya. 

Perbualan mereka bertiga semakin rancak. Paling penting tiada lagi kebisuan sepanjang perjalanan. Shaheen sungguh bersyukur ditemukan dengan Luqman Hakim. Lelaki itu benar-benar menarik perhatiannya. Dia bersyukur berada di dalam kalangan kawan-kawan yang baik.  

“Ok kita dah sampai,” kata Luqman.  

Afzan dan Shaheen memerhati bangunan berwarna jingga yang tersergam. Tertera perkataan ‘Wisma Masri’ di puncak bangunan. Mendongak Afzan dan Shaheen. Luqman menunggu Afzan dan Shaheen di pintu masuk. 

“Jom masuk,” ajak Shaheen.  

Melangkah masuk ke dalam Pusat Jualan Masri, Afzan dan Shaheen sudah teruja.  

“Pilih la ya mana yang berkenan,” ujar Luqman memasuki ruang yang tersusun kemas dengan pelbagai kerepek dan juga kuih-kuih tradisi seperti bahulu, kuih bangkit, kuih ros dan dodol. Luqman hilang di balik rak-rak makanan ringan di situ. 

“Wah banyaknya. Rambang mata,” kata Afzan.

“Yalah Ijan. Pilih mana yang kau suka. Jangan membazir,” jawab Shaheen. Tangannya sudah memegang satu plastik berisi kerepek ubi berperisa lada hitam. Dimasukkan ke dalam raga. Dicapai pula kerepek pisang, ‘ Umi suka kerepek pisang ni.’ 

Afzan senyum. Dia turut memilih beberapa jenis kerepek dan bahulu cermai. 

“Sha tak abis lagi ke?” soal Afzan.

“Ni aku nak bawa ke office sikit. Tolong pilihkan boleh?” pinta Shaheen. 

Luqman yang sudah siap memilih memerhati sahaja Afzan dan Shaheen.

“Ok cukup la ni,” kata Shaheen apabila raga yang dipegangnya penuh dengan kerepek dan bahulu. 

Afzan mengekori Shaheen menuju ke kaunter pembayaran. Selesai membuat bayaran, mereka menuju ke arah Luqman yang sedang bersandar elok di CR-Vnya. 

“Banyaknya borong,” tegur Luqman.
  
“Untuk kawan-kawan pejabat ni,” balas Afzan. 

“Oh patutlah banyak. Lepas ni boleh la kita singgah kat mana-mana gerai yang jual mangga. Sha awak nak beli mangga kan?” Luqman memandang Shaheen yang sedang membetulkan tali pinggang keledarnya. 

“Ya untuk Aida. Semalam dia pesan nak mangga Sekinchan,” kata Shaheen. 

“Oklah kalau gitu. Kat sepanjang jalan di Sekinchan ni banyak orang jual mangga,” kata Luqman. 

******* 

“Terima kasih Luq. Hantar Ijan sampai office. Elok-elok hantar Sha. Make sure sampai rumah tau,” sengaja Afzan mengusik Luqman. 

“Ya sama-sama Cik Ijan. Kan saya dah janji dengan Abi Sha. Saya akan jaga awak berdua dengan baik. Lepas ni saya akan hantar Sha terus ke rumah. Tak ada melencong ke mana-mana. Saya janji,” kata Luqman sambil mengangkat tangan kanannya separas bahu. 

Afzan sudah senyum.  

“Ijan jumpa petang ni kat office ya,” kata Shaheen. Afzan mengangguk sambil membuat isyarat bagus. 

“Kami gerak dulu,” kata Luqman. “Assalamualaikum.” 

“Waalaikumsalam,’ balas Afzan. 

Dari The Strands, Kota Damansara, Luqman memandu keluar ke arah Lebuhraya Persekutuan. Dia mahu menghantar Shaheen pulang. Perjalanan ke Shah Alam lancar. Tiada banyak kereta ketika itu. 

“Awak,” serentak Shaheen dan Luqman bersuara. 

“Hmm awak cakap dulu. Lady first,” kata Luqman. 

Shaheen senyum. Dia jadi malu. “Saya nak ucapkan terima kasih Luq. Keluarga awak layan saya dan Ijan dengan baik. Saya happy tinggal di kampung awak.” 

“Kasihmu...ku terima,” balas Luqman. 

Merona merah wajah Shaheen. Dia melarikan wajahnya ke luar tingkap. “Your turn.” 

Luqman menarik nafas. “Sha, awak dah berpunya?” 

“Hah!” Shaheen langsung menoleh ke sisi kanan. Dia memandang tepat ke wajah Luqman. “Kenapa awak tanya macam tu?” 

“Awak jawab dulu,” pinta Luqman. 

“Saya kepunyaan Abi dan Umi,” jawab Shaheen. 

Luqman tersenyum. Dia faham kata-kata Shaheen. “Kalau begitu saya nak datang merisik awak.” 

“Hah!” sekali lagi Shaheen dikejutkan dengan kata-kata Luqman. Jantungnya berdegup laju. 

“Kalau awak setuju saya akan bincang hal ni dengan Mama dan Papa saya. Dan mereka akan berbincang dengan Abi dan Umi awak,” sambung Luqman. 

Shaheen kelu. Perasaan malu dan terkejut bercampur baur. Dia tidak dapat berfikir dengan baik ketika itu. Dia tidak tahu jawaban bagaimana harus dia berikan. 

“Kalau awak nak fikir dulu, ambillah masa awak. Saya akan tunggu jawaban awak,” kata Luqman. Dia tenang sahaja memandu menghala ke Shah Alam. 

Shaheen hanya mengangguk. Segera dia teringat kembali mimpi yang dia alami sejak dua hari lepas. Shaheen cuba mengaitkan Rayyan yang berada di dalam mimpinya dan Luqman yang berada di sisinya kini. Adakah mimpi itu bakal menjadi jawaban kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Luqman tadi.


p.s.: Maaf ya kawan-kawan yang mengikut Kasihmu, atas kelewatan entry baru. Enjoy reading ya...tq

5 comments:

  1. trbaik la kak..konsisten sgt kak sha menulis..all da best ya

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Athiqi...

    Alhamdulillah bila ada masa terluang tu bolehlah menulis di sini..

    ReplyDelete
  3. masih baru dalam bidang penulisan ni..sedang menulis novel..belum ada dalam versi cetak...semuanya di dalam blog sahaja buat masa ini..in sha Allah doakan ya..

    tq Athiqi singgah ke sini..

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim