18 April 2014

Cinta Milikmu Selamanya 9

(SEMINGGU SEBELUM)

“Ma, dah dapat!” Ammara meluru mendapatkan mamanya.

Puan Marissa yang berada di dapur mengerutkan dahi saat suara jeritan Ammara memenuhi ruang dapur.

“Ma, Ammara dah dapat call dari Harris Architect,” ujar Ammara sambil memegang tangan Mamanya. “Ammara berjaya ma.”

Puan Marrisa gembira. Dirangkul tubuh Ammara.

“Alhamdulillah sayang,” ucap Puan Marissa sambil membalas pelukan si anak. “Bila lapor dirinya?”

“In sha Allah next week ma. Tak sabar nak mula kerja. Lama-lama duduk di rumah bosan la ma,” kata Ammara sambil tersenyum.

Puan Marissa menjeling anak gadisnya. “Bosan tengok mamalah tu.”

Ammara sudah ketawa kecil.



“Ammara kalau boleh hari-hari nak berkepit bawah ketiak mama.” Ammara mengemaskan rangkulan ke tubuh Puan Marissa. “Mana boleh Ammara bosan. Mama cuma seorang saja. Mama tak ada gantinya. Ammara tak akan pernah bosan kalau dengan mama,” Pipi kanan Puan Marissa menerima ciuman kasih Ammara.

Puan Marissa sedikit sebak mendengar pengakuan Ammara. Sekarang ini bolehlah anaknya berkata begitu. Dia yakin suatu masa nanti anak gadisnya pasti akan berjauhan dengannya. Masa akan tiba apabila anaknya akan memulakan hidup bekeluarga. Saat itu dia tidak mampu lagi menahan anaknya daripada mengikut suaminya.

“Eh! Kenapa ni ma?” soal Ammara. Dia nampak perubahan wajah mamanya.

Puan Marissa segera memaniskan wajah. “Tak ada apa-apa sayang. Mama cuma terfikirkan jika Ammara jauh dari mama suatu hari nanti.”

Ammara memerhati raut wajah mamanya. Ditatap wajah itu dengan penuh kasih.

“Mama, Ammara kan ada sebelah mama ni. Selagi nafas masih ada, Ammara akan selalu ada dengan mama. Percayalah…” ucap Ammara sambil menyanyikan sepatah lirik yang dipetik dari lagu Percayalah nyanyian penyanyi nombor satu negara.

Puan Marissa tidak dapat menahan tawa.

“Assalamualaikum, ada berita apakah ini?” Encik Ammar menegur.

“Abah,” Ammara sudah menghampiri Encik Ammar. Cuba abah teka?”

Encik Ammar menggurut dagu. Matanya dilirik ke arah isteri kesayangan yang tersenyum mesra.

“Abang, Ammara dah nak masuk kerja minggu depan.” Puan Marissa yang memahami lirikan mata suaminya segera memaklumkan berita itu.

Encik Ammar senyum gembira. Wajah anak gadisnya ditatap lama. “Alhamdulillah.”

“Nanti tinggallah mama kat rumah dengan Kak Limah,” kata Puan Marissa.

“Tengah hari abang baliklah. Teman sayang makan kat rumah.” Encik Ammar menghampiri isterinya. Tangan isteri dicapai. Mereka berbalas pandang. Ammara melihat sahaja perilaku abah dan mamanya.

Menyedari Ammara berada di sisi, timbul pula rasa segan, lantas Puan Marissa mengajak suami dan anaknya ke meja makan.

“Sayang masak apa hari ni. Bau macam asam pedas,” Encik Ammar meneka.

“Betullah tu,” balas Puan Marissa.

“Mari kita makan,” ajak Encik Ammara. “Panggil Kak Limah sekali.”

Ammara berjalan ke arah bilik Kak Limah. Sudah kebiasaan Kak Limah akan makan bersama. Encik Ammar, Puan Marissa, Ammara mahu pun Amri tidak pernah melayan Kak Limah seperti orang gaji. Wanita yang hampir sebaya dengan Puan Marissa itu sudah dianggap seperti keluarga. Malah Ammara dan Amri membesar di depan mata Kak Limah.

*******
(HARI INI)

“Assalamualaikum Dato’” sapa Kirana sebaik sahaja Dato’ Harrith tiba di pintu masuk.

“Waalaikumsalam Kirana. Awak apa khabar?” balas Dato Harrith ramah. Wajahnya ceria dihiasi senyuman. Memang begitulah setiap hari, Dato’ Harrith sentiasa tampil dengan senyuman di wajahnya. Peribadinya yang mesra itu disenangi semua pekerja.

“Saya sihat Dato’, alhamdulillah. Saya tengok Dato’, dah tahu Dato’ pun sihat kan,” ujar Kirana.

Kata-kata Kirana disambut dengan senyuman. “Alhamdulillah Kirana. Sihat orang tua. Macam nilah.” Dato’ Harrith membalas kata-kata Kirana.

“Dato’ pagi ni ada staf baru yang akan melapor diri. Dato’ nak jumpa mereka sebelah pagi atau petang?” soal Kirana mengingatkan Dato’ Harrith.

“Kirana, do me a favour. Please arrange a meeting with all the Head of Department. Better this morning. Afternoon I have to go to the hospital. My regular check-up.” Dato’ Harrith mengeluarkan arahan.

Tidak mahu terlupa atau terlepas pandang, Kirana mencatat pesanan Dato’Harrith ke dalam List To Do hari ini. Hal itu yang perlu dia selesaikan terlebih dahulu. Bukan senang mahu mengumpulkan semua orang untuk perjumpaan tergempar seperti itu.

“Baik Dato’. Ada apa-apa lagi Dato’” tanya Kirana.

“Itu sahaja. Kalau mereka dah sampai, just lead them to Archi Room. Terima kasih Kirana..” Dato’ Harrith berjalan masuk menuju ke pejabatnya.

Kirana duduk di kerusinya semula. Dia mula merancang tindakan yang harus dilakukan untuk hari itu. Semuanya dia catat di dalam buku catatannya. Mula-mula dia mahu menghantar emel dahulu kepada semua yang terlibat untuk perjumpaan pagi ini. Selepas itu dia akan hubungi setiap seorang yang berkenaan. Risau juga andai ada yang tidak membuka emel pagi itu. Sudahnya maklumat tidak sampai pula kepada penerima. Sebelum perkara itu berlaku, Kirana sudah berkira-kira mahu menghubungi mereka seorang demi seorang.

*******
AMBOI cantik anak mama,” tegur Puan Marrisa apabila Ammara tiba di meja makan.

“Terima kasih mama.” Ammara yang berbusana baju kurung pesak senyum mendengar pujian mamanya.

“Abah, Amri  mana ma?” soal Ammara.

“Abah belum turun, Amri ada kat luar tu. Sibuk dengan kucing-kucing dia. Pagi ni dia nak balik kolej, itu yang sibuk melayan Teddy dan Tiger” jawab Puan Marissa.

“Oh.” Ammara berjalan ke dapur. Niatnya mahu membantu.

“Nak ke mana tu Ammara?” soal Puan Marissa.

Ammara berhenti melangkah. “Nak ke dapur ma. Tolong ambil air atau apa-apa yang Ammara boleh tolong.”

“Hari ni biar mama dengan Kak Limah yang buat. Nanti kotor pula baju Ammara. Hari ni dahlah first day Ammara nak ke pejabat,” kata Puan Marissa.

“Mama ni, bukan susah. Ammara tolong ya,” pujuk Ammara sambil beriringan dengan Puan Marissa ke dapur.

“Yalah. Ammara bawa teko air dengan cawan-cawan tu.” Puan Marissa mengalah.

Ammara kembali ke meja makan dengan satu dulang berisi teko air dan cawan. Sewaktu dia menuang air kopi ke dalam cawan, Encik Ammar sampai di meja makan.

“Assalamualaikum abah,” sapa Ammara.

“Waalaikumsalam sayang. Dah ready masuk kerja hari ni,” tanya Encik Ammara.

“In sha Allah abah. Ammara tak sabar nak mula kerja,” balas Ammara.

“Selamat pagi, assalamualaikum.” Amri menyusul menghampiri meja makan.

Serentak Encik Ammar dan Ammara menjawab salam Amri.

“Kakak selamat bertugas, all the best,” ucap Amri sambil duduk di kerusi berhadapan dengan Encik Ammar.

Thanks Am. Hari ni Am balik kolej kan. Sorry kakak tak dapat hantar Am.” Ammara memandang wajah Amri.

“Abah boleh hantar Am pagi ni,” kata Encik Ammar.

Amri senyum. “Terima kasih abah.”

“Semua dah ada,” Puan Marissa muncul dari arah dapur. Tangannya membawa semangkuk nasi lemak. Di belakang Puan Marissa, Kak Limah bersama satu dulang berisi sambal ikan bilis, ayam goreng, potongan timun, telur rebus dan kacang goreng.

“Kak Limah, jemput duduk,” kata Encik Ammara.

Mereka sekeluarga bersarapan bersama.

“Ammara sikit je makan,” tegur Encik Ammar.

“Hari ni first day Ammara, takut meragam pula perut pagi-pagi ni.” Ammara membalas perlahan.

“Mama dah siapkan bekal untuk Ammara. Your favourite sandwich, in case you need a snack during the day,” ujar Puan Marissa.

Thank you mama. I love you,” ucap Ammara.

I love you too sayang,” balas Puan Marissa.

“Ammara kena gerak ni. Takut lewat pula. KL is always having heavy traffic congestion.” Ammara bangun lalu membawa pinggan dan cawan yang digunakan.

“Tinggal sahaja di situ. Biar akak cuci nanti,” Kak Limah turut menyusul ke dapur mengekori Ammara.

“Sikit saja ni,” Ammara sudah menyinsing lengan bajunya.

“Nanti basah baju Ammara,” kata Kak Limah berdiri di sebelah Ammara.

Ammara senyum sahaja. Dia segera membilas cawan dan pinggan. Kain pengelap tangan dicapai. Tangan yang basah dilap.

Okay dah siap.” Ammara senyum sebelum meninggalkan Kak Limah meneruskan tugas-tugas mencuci di dapur.

*******
“ASSALAMUALAIKUM Kirana? Masih ingat saya?” sapa Ammara ceria.

Kirana memanggung kepala. Salam dijawab. Dia terus tersenyum manis menyambut kedatangan Ammara.

“Mana boleh lupa, Cik Ammara. Siap kena buli dengan saya tempoh hari. Mestilah saya ingat.” Kirana menghulurkan tangan bersalaman dengan Ammara.

Mereka berdua berbalas salam.

“Ehem-ehem.”

Kirana sudah menjengulkan kepala melihat gerangan yang berdehem di belakang Ammara. Ammara turut berpusing ke belakang.

Zaim.

“Awal hari ni?” tegur Kirana.

“Ada special mission,” ujar Zaim bersama seulas senyuman di bibir.

Ammara berdiri kaku di sebelah Kirana. Tidak pasti bagaimana dia mahu berdepan dengan Zaim. ‘Tak mungkin nak mulakan perang dingin pula. Nanti jadi rakan sekerja, kerja satu bumbung lagi. Tak eloklah bermasam muka.’

“Cik Ammara ingat lagi Arkitek Zaim?” soal Kirana apabila mereka bertiga diselubungi suasana bisu.

Ammara menggangguk.

“Oh hampir lupa. Pagi ni ada perjumpaan dengan Dato’. Saya baru nak call tuan,” kata Kirana sambil memandang Zaim yang sudah membesarkan matanya.

“Perjumpaan dengan Dato’? Ada apa?” soal Zaim sedikit serius.

“Tak pasti Zaim. Adalah tu apa-apa amanat daripada Dato’. Semua HOD akan masuk dalam perjumpaan ni nanti. Cik Ammara juga dikehendaki turut serta.” Kirana mengalih pandangan ke arah Ammara yang diam di sisi.

“Nasib baik saya datang awal. If not, for sure i will miss this great moment,” ucap Zaim menujukan kata-katanya kepada Ammara.

“Zaim, boleh tolong bawa Cik Ammara ke Archi Room? I have to call someone. Takut dia lewat pula pagi ni,” kata Kirana.

Sure, it is my pleasure,” akur Zaim.

“Terima kasih Zaim. And selamat datang ke Harris Architect Cik Ammara,” ucap Kirana dengan senyuman di bibir.

“Cik Ammara, this way. Zaim sudah menghalakan tangan kanannya ke arah Bilik Archi.

Ammara berjalan di sisi Zaim. Dia hanya diam mengikut langkah kaki Zaim.

“Dah sampai.” Zaim membukakan pintu dan memberi laluan kepada Ammara untuk masuk.

“Assalamualaikum and good morning,” ucap Zaim lalu berjabat tangan dengan Encik Shaiful dan Arkitek Danny yang sudah pun berada di situ.

Hey Zaim. Waalaikumsalam  and selamat pagi. Awal pagi ni?” sambut Encik Shaiful.

Morning Zaim.” Arkitek Danny turut membalas sapaan Zaim.

Zaim senyum. ‘From now on you will see me early in the morning in this office.’

“Ammara jemput duduk. You ingat lagi Danny?” soal Zaim merujuk kepada Arkitek Danny Ong.

“Ya ingat,” balas Ammara ringkas.

Welcome to the company Miss Ammara. Great pleasure to see you here,” ujar Arkitek Danny mesra.

“Tahniah Cik Ammara. Selamat datang,” ucap Encik Shaiful.

“Terima kasih.” Ammara senyum. Dia lega kerana kehadirannya disenangi.

“Assalamualaikum, selamat pagi semua.” Puan Liza muncul di muka pintu. “Awalnya you all sampai.”

“Mana ada awal. Macam biasa saja except for Zaim,” Encik Shaiful sudah melirik ke arah Zaim.

“I awal ni pun sebab Kirana call. Kalau tak I macam biasa la.” Zaim membalas.

"Ada apa ya Dato’ panggil ni?” soal Puan Liza.

Semua yang ada di situ menjungkit bahu.

“Kirana just said Dato’ want to meet up with all HOD. No reason is given.” Arkitek Danny menjawab bagi pihak rakan-rakannya.

Seorang demi seorang memasuki Bilik Archi. Suasana mula riuh. Jam sudah menginjak ke pukul 8.20 pagi. Kirana turut memasuki bilik mesyuarat. Dia akan mengambil minit mesyuarat nanti. Tempat Kirana diganti oleh Emma.

“Assalamualaikum semua dan salam sejahtera,” Dato’ Harrith berjalan masuk melalui pintu yang ditolak dari luar. Dia maju ke tempat duduk di hujung meja. Sebaik duduk di kerusi, Dato’ Harrith memerhati semua wajah di hadapannya. “Kirana semua dah sampai?”

“Cik Delisha sahaja yang belum sampai.”

Zaim memandang tepat ke wajah Kirana. Mulutnya menyebut nama Delisha tanpa suara. Kirana yang memandang Zaim hanya mengelipkan matanya.

‘Apa perempuan tu buat di sini?’ Zaim menyoal dirinya sendiri.

“Elok kita mulakan.” Dato’ Harrith tidak mahu membuang masa. Perjumpaan pagi itu berlangsung tanpa kehadiran Delisha.

1 comment:


  1. Very interesting and rewarding. many thanks I love it

    Friv 2

    kizi

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim