24 October 2014

Mr. Right Forever 20

SARAH selesai menunaikan solat asar. Dia masih duduk di atas tikar sembahyang. Pesanan Ustaz Badrul dalam satu sesi tazkirah yang dihadirinya menjadi amalan.

       “Selepas solat, berwiridlah sebentar. Jangan kita terus bangun.”

Bibir Sarah masih terkumat-kamit menyebut zikrullah mengingati Allah. Berzikir dan berwirid memuji-muji Allah merupakan salah satu tanda kita bersyukur atas begitu banyak nikmat yang diberi olehNya.

Kata-kata Ustaz Badrul yang turut diingati oleh Sarah ialah memohon doa ke hadrat Ilahi. Setelah selesai berwirid, berdoalah dahulu sebelum kita bangun meninggalkan sejadah.

Sarah menadah tangan berdoa kepadaNya. Dia mengucapkan segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Dia tidak lupa membaca selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat Baginda SAW. Sarah juga berdoa agar dirinya dikurniakan dengan hidayah dan  iman yang berpanjangan, janganlah dipesongkan imannya, pintanya juga agar dimatikan dalam  iman serta dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama iman. Keampunan yang dipinta bagi segala dosa dan kesalahan yang dilakukan bukan hanya untuk dirinya, malah untuk kedua-dua ibu bapanya juga. Dipohon rahmatNya agar Allah mengasihani dan  mengampunkan dosa serta kesalahan kedua-dua orang tuanya. Sudah pasti dia turut memohon kesejahteraan di dunia dan akhirat untuk seluruh keluarga dan muslimin muslimat di akhir bacaan doanya. Usai berdoa, kedua-dua tapak tangannya diraup ke wajah.

Sarah membuka telekung yang membaluti tubuhnya. Dilipat kemas sebelum disangkut ke tempatnya. Sejadah yang digunakan turut dilipat dan disangkut di tempat yang sama.

Sarah duduk di birai katil. Telefon bimbit di atas meja di tepi katil dicapai. Kiriman pesanan ringkas yang dihantar oleh Rifqi tadi dibaca lagi. Satu perasaan ceria mengasak hati kecilnya. Tidak sama rasa itu tatkala menerima pesanan ringkas kiriman Faris. Mengapa? Ya itulah soalan yang menjentik tangkai hati Sarah. Perasaan gembira menyelinap masuk lantas mindanya mula mengimbau kembali saat-saat dia menikmati makan tengahari pada hari itu. Hati yang ceria nampak di bibir. Terukir senyuman manis.

Tidak lama rupanya perasaan indah itu bertamu. Marina! Ya sepotong nama itu meragut rasa bahagianya tadi. Sarah masih tidak dapat berhenti daripada memikirkan gerangan wanita itu. Siapa dia? Soalan itu masih belum berjawab.

‘Ask him?’

Sarah menggeleng-gelengkan kepala. Tanda tidak setuju. Mana mungkin dia bertanya soalan itu kepada Rifqi. Biar pun jiwanya meronta ingin tahu. Bimbang andai soalannya itu tidak disenangi oleh Rifqi. Nanti dia dikatakan sibuk menjaga tepi kain orang pula. Tidak semena Sarah tersenyum.

‘Rifqi mana pakai kain. Dia pakai seluar.’

Ligat mindanya memerah idea mencari jalan agar persoalan yang berada di fikirannya terjawab.

‘Siapa boleh bantu? Oh please, any lifeline?

Berkerut wajah Sarah. Hampir bercantum kening. Jari-jemari sudah dibuat menongkat dagu.

‘Abang Saiful!’

Sarah bingkas bangun. Laju langkahnya dihayun ke bilik Saiful. Diketuk pitu bilik Saiful. Senyap. Diketuk lagi. Kali ini lebih lama. Masih tiada jawapan.

‘Mana pulak abang ni?’ omel Sarah di hadapan pintu bilik Saiful.

Tombol pintu dipulas. Tidak berkunci. Diintai sedikit. Saiful tiada di dalam bilik.

‘Mana pula dia pergi. Takkanlah lari dari rumah lepas kena usik dengan mama dan papa tadi,’ guman Sarah sambil menutup kembali daun pintu yang dibuka.

Sarah menuruni anak-anak tangga. Dia berjalan ke ruang tamu. Tiada sesiapa di situ. Dia berpusing menuju ke dapur. Aroma kuih kaswi menusuk ke hidung.

‘Ni mesti mama,’ ujar Sarah melangkah ke dapur.

Benarlah tekaannya. Datin Kharidah sedang leka di dapur. Memang itu kesukaan Datin Kharidah. Tugas memasak dan menghias memang bidang kepakaran mamanya. Rupanya mamanya tidak keseorangan di dapur. Papa turut berada di dapur membantu mama. Sarah suka melihat kemesraan dan keakraban kedua-dua mama dan papanya.

“Errmmm…sedapnya bau,” Sarah sudah menarik nafas dengan meninggikan sedikit hidungnya di udara. Terpejam matanya menikmati bau kuih kaswi yang sudah siap dimasak.

“Tengoklah siapa yang masak,” ujar Dato’ Shamsul. ‘The best chef in d’house!”

Sarah sudah senyum kecil melihat aksi papanya yang seolah-olah sedang memperkenalkan seorang tukang masak terkenal. Mama juga tak kurang aksinya seperti seorang ratu sambil membongkokkan sedikit badannya.

“Ini yang Sarah suka ni.” Matanya memerhati papanya menggangkat loyang panas berisi kuih kaswi yang sudah masak.

“Sarah ambil lekar tu. Papa nak letak loyang panas ni,” arah Dato’ Shamsul.

“Baik pa.” Sarah mencapai alas yang diperbuat daripada rotan. Diletak di atas meja berdekatan dengan papanya.

Loyang kedua dimasukkan ke dalam periuk kukus. Berhati-hati Dato’ Shamsul membantu isteri di dapur. Tidak nampak dia kekok melakukan tugasan itu. Bak kata pepatah alah bisa, tegal biasa. Walau pun sesibuk mana, Dato’ Shamsul pasti akan membantu isterinya. Tidak kiralah di dapur dengan tugasan memasak, di ruang tamu mengemas atau menyapu sampah dan paling sering dilakukannya ialah menjemur kain. Sarah sudah biasa melihat papanya melakukan kerja-kerja rumah. Ringan sedikit jawatan surirumah bagi mamanya. Hubungan mesra mama dan papanya turut berjaya dikekalkan.

Sarah kagum melihat usaha papanya yang ringan tulang membantu mamanya. Dia juga mengimpikan suami yang punya rasa tanggungjawab serta penyayang seperti papanya.

‘Rifqi pandai tak buat kerja rumah?’ Entah kenapa tiba-tiba soalan itu menerpa di fikiran Sarah. Tanpa sedar bibirnya menguntum senyuman. Lupa sebentar persoalan berkaitan Marina yang ingin ditanya kepada Saiful tadi. Malah tujuan asalnya mahu mencari Saiful juga sudah dia tidak ingat.

“Sayang, dah kenapa ni senyum sorang-sorang?” soalan Datin Kharidah mengembalikan Sarah daripada terus berkhayal.

“Ai…kenapa ni? Merah muka.” Dato’ Shamsul pula bertanya dalam nada hairan.

“Eh mana ada,” segera tangan Sarah menyapu keseluruhan wajahnya. Diraba pipi sendiri. Doanya agar rona merah tadi segera menghilang. “Ha berangan lagi. Kan dah tertangkap. Malunya. Rifqi ini awak punya pasal.”

“Sarah are you okay dear,” soal Dato’ Shamsul lalu mendekati anak gadisnya.

“Ya Sarah okay pa,” balas Sarah pantas. Dia tidak mahu mama atau papanya dapat menghidu punca dia berangan sebantar tadi.

Segera Sarah cuba mengalih perhatian mama dan papanya. “Ni dah boleh makan ke ma?”

“Belum sayang. Panas lagi ni. Tunggu sejuk sikit baru boleh potong,” jawab Datin Kharidah. Dalam masa yang sama matanya melirik ke arah si suami. Mereka saling berpandangan.

Dato’ Shamsul segera memahami isyarat yang dihantar oleh si isteri. Bahasa mata yang dihantar oleh isterinya dibalas dengan senyuman. Sungguh hanya mereka berdua sahaja yang mampu merungkai komunikasi dua hala tanpa suara itu.

“Sayang kuih ni bukan favourite Rozi ke?” Dato’ Shamsul mula memainkan peranan.

“Betullah tu bang. Ini yang buat lebih. Nanti kita ziarah mereka bang. Rindu pula saya dengan Rozi,” sambung Datin Kharidah.

“Elok juga tu,” Dato’ Shamsul bersetuju.

Sarah terdiam mendengar nama yang didengarinya.

Di waktu yang sama Dato’ Shamsul dan Datin Kharidah memerhati raut wajah Sarah. Mereka senyum. ‘Got-cha!

*******
SENYUM lebar Puan Ruziah menyambut kedatangan sahabat baiknya. Mereka bersalaman mesra. Sarah turut bersalaman dengan sahabat mamanya. Mereka berbalas senyuman.

            “Ya Allah apa susah-susah ni Kay,” ujar Puan Ruziah sewaktu menyambut huluran bekas berisi kuih kaswi dari tangan Sarah.

            “Tak adalah susah mana Rozi. I buat kuih ni tadi. Terus teringatkan you. This is your favourite kuih kan.”

            “Kuih kesukaan Iqi juga ni,” pintas Encik Qamaruzzaman.

            “Oh ya ker? Hmmm… mana dia. Tak nampak pun,” kata Dato’ Shamsul.

            “Oh dia dah keluar. Hantar adik-adik balik asrama. Kejap lagi baliklah tu.” Puan Ruziah menjawab soalan yang ditanya.

            Sarah hanya diam di sofa putih. Dari ekor mata, Sarah yakin ada dua pasang mata yang sedang terarah ke wajahnya. Matanya segera menoleh. Sah! Mama dan papanya sedang tersenyum memerhati raut wajah Sarah yang tidak beriak. Tiada perasaan.

            ‘Kenapa? Apa yang tak kena?’ Sarah cepat-cepat meraba wajahnya. Ada apa di wajahnya sehinggakan wajahnya menjadi tumpuan dua pasang mata itu serentak.

            “Duduklah dulu Kay, I ke dapur sekejap.” Puan Ruziah berlalu ke dapur.

            “I ikut.” Datin Kharidah mengekori langkah Puan Ruziah.

            Sarah turut melangkah menuju ke dapur. Biasalah, anak gadis kenalah ringan tulang. Baharulah bakal mertua makin berkenan.

            Di dapur Puan Ruziah mencapai sebiji teko.

            “Boleh Sarah tolong aunty?” Sarah menawarkan diri membantu.

            “Biar aunty buat air. Sarah tolong ambil piring dengan cawan. Piring kuih sekali.” Puan Ruziah meminta bantuan Sarah. “Kay maaflah. I suruh-suruh Sarah bantu I.”

            “Ala tak apa Rozi. Anak dara kenalah rajin di dapur,” balas Datin Kharidah.

            ‘Dah mula dah.’ Sarah menekur lantai. Dadanya kuat menahan debar.

Sementara kaum wanita berada di dapur, kaum bapa rancak berbual di ruang tamu. Sesekali diselangi dengan ketawa besar. Entah apalah yang dibualkan agaknya.

            “Assalamualaikum,” satu suara dari luar rumah.

            “Panjang umur. Baru sebut tadi, dah sampai pun,” ujar Encik Qamaruzzaman.       

            Uncle apa khabar? Bila sampai?” mesra sapaan daripada Rifqi. Tangan kirinya menampung tangan kanan yang dihulur kepada Dato’ Shamsul.

            “Alhamdulillah baik. Ni baru je sampai, tempat duduk pun belum panas,” seloroh Dato’ Shamsul menjawab pertanyaan Rifqi.

            Rifqi turut melabuhkan punggung di sofa. Dipanjangkan leher memandang ke dapur. Suara orang bercakap-cakap di dapur jelas kedengaran.

            “Iqi, ni Aunty Kay ada bawakan kuih kaswi,” kata Puan Ruziah yang muncul dari arah dapur.

            Datin Kharidah senyum sambil melangkah menghampri sofa di sebelah suaminya. Sarah mengekori dari belakang. Perlahan-lahan dia melangkah sambil menatang dulang. Dengan tertib dulang diletak di atas meja kecil.

            “Siapa buat ni? Sarah ke?” pertanyaan yang begitu polos di pendengaran. Matanya dijeling sekilas ke arah Sarah.

            “Kalau Iqi nak makan kuih kaswi air tangan Sarah, kenalah Sarah belajar dengan aunty lepas ni,” balas Datin Kharidah. Bibirnya menguntum senyum. Isyarat mata dihantar kepada sahabatnya Ruziah. Mereka berbalas senyum.

            Membahang rasanya wajah Sarah. Dia tidak mampu menggangkat wajah. Matanya melekat di cawan. Tangannya laju menuang air teh ke dalam cawan. Ketika itu seolah-olah semua mata sedang fokus ke arahnya. Debaran yang dirasakan sedari tadi semakin mengganas di jiwa.

            ‘Ya Allah, tenangkanlah hati ini,’ doa Sarah di dalam hati.

            “Elok sangatlah tu. Iqi ni senang nak jaga. Makan pun tak cerewet. Tolak batu dengan kayu je,” giliran Puan Ruziah menyakat anak bujangnya.

            Meriah sungguh apabila semua ketawa di akhir kata-kata Puan Ruziah. Nampaknya acara usik-mengusik bakal berterusan.

Rifqi dengan lagak bersahaja memasukkan kuih kaswi kegemarannya ke mulut. Usikan si ibu tidak sedikit pun membuatnya terasa hati.

“Sarah jemput minum,” tegur Puan Ruziah. Matanya tepat ke wajah Sarah. Berkenan sungguh dia pada anak gadis sahabatnya. Namun dia tidak mahu memaksa. Andai jodoh anaknya dengan Sarah, dia memanjatkan syukur pada Ilahi. Jika tiada pun, dia reda. Semuanya sudah tertulis di Luh Mahfuz. Jodoh, ya rahsia Allah itu tiada siapa yang tahu. Hanya DIA yang Maha Mengetahui.

5 comments:

  1. Salam Kak sha ;)

    Huarghhh tak puas baca... Hehe... Bila Kak sha post entry baru org pun bersemangat nk post, tapi malangnya org ni jenis take time menaip... Wuwuwu

    BTW kak, meraut wajah atau meraup wajah yang tepat? Org pun confuse dah.. Hee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Suha.

      Terima kasih, Suha betul. Sepatutnya meraup, bukan meraut. Typo yang akak tak perasan sebelum post cerita ni.

      Delete
    2. Hihi, Suha biar lambat asal post, boleh ke gitu? Tak apa Suha akak tunggu Suha siap menaip..

      Delete
    3. Itulah, buat lambat asal post.. Hehe.. Tp minggu ni busy sikit.. Lepas 1 Nov nnt baru boleh sambung menaip semula.. Insya Allah..

      Delete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim