04 August 2013

Cerpen: Kembalilah

“Buat masa ni I dalam proses mengenali seseorang, atas permintaan abah.”

Terasa seperti kaca jatuh terhempas. Berderai dan bertabur di mana-mana. Seperti itu juga perasaan Iman. Dia masih berlagak biasa walau pun hatinya sudah berdegup kencang. Terasa seperti nafasnya tidak lancar. Namun dia masih berusaha untuk tersenyum bila mendengar luahan kata teman baiknya.

“Iman, you tau kan my dad tak sihat. Dan dia buat permintaan itu. I tak sampai hati nak hampakan my dad. So I ikutkan saja.”

Rezza senyum dalam terpaksa. “Entahlah Iman. I tak ada hati sebenarnya. Tapi mengenangkan itu permintaan my dad, I jadi serba salah. I belum bagi kata putus sebenarnya,” keluh Rezza memandang jauh ke dalam mata Nur Iman yang nampak tenang sahaja. Tiada riaknya.

“Baguslah macam tu Rezza. Semasa abah you masih ada, inilah masa untuk you berbakti kepada orang tua. I sokong keputusan you,” ujar Nur Iman. 

“Rezza, I akan selalu doakan yang terbaik untuk you. I nak you bahagia. Insya Allah I yakin pilihan orang tua selalunya tepat,” doa Nur Iman walau hati merintih sayu.


“Thanks Iman. Tapi I tak selesa la bila ‘dia’ asyik call, sms I. I jadi rimas,” luah Reza dengan mimik muka tidak sukanya.


Nur Iman hanya senyum. Walau hati terasa sakit menerima perkhabaran itu, dia lebih rela mengukir senyuman buat teman baiknya daripada dia terpaksa menerangkan kepada Rezza mengapa dia bersedih. ‘Biarlah,’ bisik Nur Iman sendirian. ‘Aku yakin aku mampu teruskan hidup aku tanpa dia. Kebahagiaan dia lebih penting bagi aku,’ rintih Nur Iman memujuk hatinya sendiri.

“Iman, kenapa you tak habiskan Fish and Chips you ni? Selalunya cepat je you clear kan your favourite meal ni,” Rezza hairan melihat Nur Iman yang hanya menguis ikan dori di dalam pinggan. Masih ada separuh lagi. French fries juga masih banyak.

“I sakit tekak. Tak tertelan rasanya,” Nur Iman memberi alasan.

“La iya ke? Kenapa I tak tau pun?” soal Rezza menatap mata bening Nur Iman.

“Mana you nak dengar apa I cakap tadi. You kan sibuk cakap pasal permintaan your dad tadi,” sengaja Nur Iman mencipta alasan seolah-olah Rezza yang terlepas dengar kata-katanya semasa dia mengkhabarkan keadaan kesihatannya tadi.

“Oh ada ya you cakap tadi. I tak perasan pula. Maafkan I,” ucap Rezza dengan mimik muka yang tampak risau.

“It’s ok Rezza. Sikit je ni,” kata Nur Iman sudah hilang semangat mahu berbual.

“You nak I teman pegi klinik?” tanya Rezza.

“Nanti kalau teruk I pergi klinik. Sikit je ni,” ucap Nur Iman.

“Hah! You nak tunggu teruk baru pergi klinik,” Rezza sudah membulatkan matanya.

“Rezza, kenapa pandang macam I buat silap besar saja. I ok ni. Jangan la you risau. I ok la. Sakit tekak je,” ujar Nur Iman di dalam tawa kecil.

“Mesti la I risau. You kan my best friend. Kalau apa-apa jadi kat you, I tentu risau. Please dengar cakap I, pergi klinik. Jom I temankan you,” pujuk Rezza lagi. Dia benar-benar berharap Nur Iman mendengar kata-katanya.

“I janji nanti I pergi sendiri. I janji,” ucap Nur Iman tidak mahu mengalah dengan pujukan Rezza.

“Ok. I pegang kata-kata you. I bukan apa, dah tau sangat. Kalau you cakap you sakit tekak, in two days time you mesti kena batuk. I dah masak dengan diri you. Tu yang I risau,” balas Rezza.

Nur Iman terdiam. Dia tahu Reeza benar-benar mengambil berat. Cuma dia sudah tidak betah berada di situ. Hatinya terasa bagai disiat-siat bila Rezza bakal menjadi milik orang. Dia yakin Rezza tidak akan pernah menghampakan permintaan abahnya. Sesungguhnya Rezza anak yang baik.

“Rezza I lupa la. I have to go. Mak I pesan belikan dia barang dapur. Bekalan dah habis,” dalih Nur Iman mahu segera berlalu.

“I teman you,” pinta Rezza.

“Eh tak apa. I pergi sendiri. Rezza bukan you ada janji dengan ‘dia’?” tanya Nur Iman.

“Pukul 4. Banyak masa lagi,” balas Rezza.

Nur Iman melirik jam di tangan kanan. Sudah pukul dua petang. Dia harus kembali ke pejabat. Namun fikirannya tidak ke situ. Dia mahu mencari satu tempat untuk dia bersendiri.

“Now dah pukul dua. Better you get going. Nanti jalan jammed, you juga yang susah. Complaint kat I, stress la, penat la,” Nur Iman mahu Rezza berlalu dari situ. Dia tidak mahu Rezza melihat air matanya menitis. Sudah tidak tertahan dia menahan rasa sakit di dada.

“Betul ni you tak nak I teman you,” Rezza bertanya buat kali kedua.

Nurul Iman mengangguk laju. “Dah baik you pergi sekarang. Area Ampang tu boleh tahan jammed petang nanti.”

“Ok Iman. I ke kaunter buat payment. You tunggu kejab. Jangan pergi dulu,” pesan Rezza.

Nur Iman mengangguk perlahan. Dia berjalan ke pintu keluar. Menunggu Rezza di situ.

“Come. I hantar you sampai the nearest bus stop. At least you senang ambil cab,” ucap Rezza.

Nur Iman sudah tidak mampu lagi menolak. Pintu kereta di tempat duduk hadapan sudah dibuka untuknya. Tidak mahu Rezza menunggu lama, akhirnya dia masuk juga ke dalam kereta.

“Iman ok ke I tinggalkan you kat sini?” tanya Rezza.

“Ok. Sini lebih senang dapat cab. Bas pun banyak,” jawab Nur Iman.

 Rezza memberi isyarat mahu berhenti di kiri jalan.

“Thanks Rezza.”

*******
Suasana sedikit mendung. Keadaan berangin. Tanda-tanda hari akan menerima hujan sudah ada. Namun kata orang mendung tidak bererti hujan.

Mendung di hati Nur Iman bakal membawa kepada tumpahnya si air mata. Sudah tidak tertanggung rasa sakit di dalam dada. Nur Iman sudah menangis seorang diri di bangku kayu itu. Dia tidak menyangka hatinya terasa sakit. Sungguh sakit bila kata-kata itu terbit dari mulut Rezza. Selama ini mereka berkawan baik. Atas dasar kawan. Mereka baik-baik saja.

Nur Iman baru menyedari selama ini hatinya pada Rezza. Namun dia tidak pernah sedar kerana ikatan persahabatan di antara mereka. Ikatan itu menutup hati Nur Iman untuk merasakan adanya rasa cinta. Namun bila mengetahui Rezza bakal bersama orang lain, hatinya tiba-tiba sahaja berasa sakit. ‘Adakah itu cinta?’ bisik Nur Iman.

Titis-titis hujan sudah mula menitik ke bumi. Betul-betul jatuh ke wajah Nur Iman. Dia mendongak ke langit. Pandangan matanya menyaksikan begitu banyak air hujan yang lebur mencair lalu jatuh ke wajahnya, malah seluruh pelusuk Taman Tasik Titiwangsa sudah pun dibasahi dengan air hujan. Nur Iman belum bercadang mahu bangun dari kerusi kayu itu meski pun hujan sudah pun turun dengan lebatnya.

Nur Iman duduk kaku di kerusi kayu itu. Seluruh tubuhnya sudah kuyup dek air hujan. Dia masih di situ. Tiada langsung tanda dia akan berganjak mencari tempat berteduh. Harapannya agar kesedihan yang melanda dirinya akan dibawa pergi oleh air hujan yang turun di petang itu.

Air mata yang ditahan merembes keluar. Air matanya bercampur titisan hujan. Nur Iman menangis semahunya. Saat perkenalannya dan Rezza terimbas kembali. Setiap detik mereka bersama terlayar di ruang matanya. Mengapa dia tidak sedar adanya rasa cinta yang menjalar selama ini. Mengapa bila saat Rezza sudah ditakdirkan bertemu insan lain, hatinya menjadi nanar. Nur Iman tidak mampu menjawab semua persoalan yang bermain di mindanya. Yang jelas dia sudah tidak terdaya menanggung rasa di dada.

Air hujan yang membasahi seluruh tubuhnya terasa seperti terhenti. Namun air hujan masih menitik membasahi bumi di mana-mana pandangannya jatuh. Terasa pelik. Nur Iman mendongak ke langit. Warna pelangi memayungi kepalanya. Lantas dia memaling ke arah tangan yang memegang payung itu.

Wajah lelaki itu tidak dikenalinya. Berbagai-bagai soalan menerpa benaknya. ‘Siapa lelaki ini? Mengapa dia ada di sini? Apa dia buat di sini? Mengapa dia buat macam ni?’

Nur Iman tidak mampu berkata walau sepatah. Perasaan sebak dan sedih hatinya menghalang dia untuk bersuara. Hanya matanya sahaja seolah-olah sedang berkomunikasi dengan pemilik payung warna pelangi. Mata mereka seperti memahami luahan masing-masing.

Nur Iman terpaku bila lelaki itu menghulurkan sehelai sapu tangan. Dia tidak bercadang mahu menerimanya. Sebaik terlihat anggukan dari lelaki itu, Nur Iman mencapai sapu tangan berwarna putih dengan jalur biru mengelilinginya. Perlahan-lahan dia mengesat wajahnya yang kehujanan dan basah dek air mata. Namun air mata sedihnya masih mengalir tanpa dapat ditahan. Lelaki itu yang berdiri dari tadi turut duduk di sebelah Nur Iman. Menemani Nur Iman. Tangan kanannya masih memayungi Nur Iman sementara tangan kirinya turut memegang sekaki payung lagi dan memayungi dirinya sendiri.

“Awak ok?” tanya lelaki itu selepas sekian lama kebisuan membelenggu mereka berdua.

Nur Iman hanya berpaling tanpa sepatah kata. Melihat air mata Nur Iman yang menitis, sudah cukup untuk menjawab pertanyaan lelaki itu.

“Jangan menangis lagi. Walau apa pun masalah awak, saya mahu awak lebih kuat. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Saya yakin ada hikmah di sebalik semua ini,” ucap lelaki itu tenang.

Nur Iman memandang lelaki itu tanpa berkelip. Kata-kata lelaki itu meresap ke sanubarinya. Terasa wujud keikhlasan dalam kata-kata lelaki itu.

“Kesatlah air mata awak,” ucap lelaki itu lagi.

Nur Iman mengesat pipinya. Air mata yang mengalir tadi semakin reda. Begitu juga hujan yang lebat tadinya. Hujan dan air mata Nur Iman seperti sudah berjanji. Sama-sama turun membasahi dan sama-sama berhenti mengalir.

“Saya nak pergi ni. Mari saya hantarkan awak pulang. Takkan awak nak balik macam ni. Basah kuyup,” pelawa lelaki itu. “Mari.”

Nur Iman ragu-ragu untuk menurut. Dia bukan kenal lelaki itu. Siapa tahu lelaki itu punya niat tidak baik. Dia harus berhati-hati. Namun melihat iras wajah lelaki itu yang redup memandangnya, Nur Iman bangun juga. Dia hanya mengikut perlahan mengekori langkah lelaki itu menuju ke CR-V milik lelaki itu yang diparkir tidak jauh dari situ.

Perasaan segan mula menyusuri hati Nur Iman.


“Tak apa. Jangan risau basah air hujan saja. Nanti saya keringkan,” kata lelaki itu seperti memahami dan mengetahui apa yang berada di dalam fikiran Nur Iman. Nur Iman sedikit tersentak. Terkejut bila kata-kata lelaki itu seperti menjawab persoalan yang berlegar di mindanya.

‘Ahli nujum ke apa lelaki ni,’ monolog Nur Iman.

“Masuklah,” kata lelaki itu yang sudah pun membukakan pintu kereta di tempat duduk penumpang.

Nur Iman masuk juga ke perut kereta. Sapu tangan dipegang erat.

“Saya Shakir, maaf lupa nak kenalkan diri tadi,” ucap lelaki itu sebaik duduk di kerusi pemandu sebelum dia menghidupkan enjin keretanya.

*******
Itulah kali terakhir Nur Iman bertemu lelaki itu. Masih kekal di ingatannya peristiwa yang berlaku dua tahun yang lalu. Di manakah lelaki itu. Nur Iman merenung sapu tangan milik lelaki itu yang masih berada di dalam simpanannya.

“Awak simpanlah sapu tangan tu. Mana tau ia boleh memberi khidmat kepada awak lagi suatu masa nanti,” ucap lelaki itu

Itulah punca sapu tangan itu masih disimpannya. Nur Iman masih ingat nama lelaki itu. ‘Shakir.’

Shakir maksudnya berterima kasih. Benar Nur Iman benar-benar bersyukur ditemukan dengan Shakir. Walaupun pertemuan mereka singkat, namun Nur Iman masih ingat kata-kata yang diberikan oleh lelaki itu. Kata-kata Shakir membantunya reda menerima dan melepaskan Rezza dari sudut hatinya.

Nur Iman selalu juga ke Taman Tasik Titiwangsa. Harapannya agar bertemu lagi dengan Shakir. Dia juga mahu memulangkan sapu tangan Shakir. Dia selalu ke tempat pertemuan mereka. Duduk di kerusi kayu itu. Sia-sia sahaja. Tiada kelibat Shakir di sana. Sudahnya Nur Iman seperti pungguk rindukan bulan. Tidak pernah dia berputus asa. Dia yakin dan percaya, pasti suatu hari nanti dia akan bertemu lagi dengan lelaki itu.

Hubungannya dengan Rezza juga masih baik. Malah isteri Rezza juga baik dengannya. Dia turut bahagia melihat kebahagiaan Rezza. Mencintai tidak semestinya memiliki. Nur Iman percaya itu. Dia juga gembira apabila Rezza menyatakan khabar gembira akan menimang cahaya mata.

“Iman, I ada berita gembira. Tak lama lagi I akan jadi ayah,” ucap Rezza di hujung talian. Berita gembira itu dikongsi oleh Rezza sebaik sahaja dia pulang dari menjalani pemeriksaan kesihatan isterinya.

“Tahniah Rezza. I’m happy for you,” ucap Nur Iman.

*******
“Iman tolong datang ke hospital sekarang,” pinta Rezza. “Wife I nak bersalin. I perlukan you kat sini.”

Nur Iman tergesa-gesa keluar. Pesanan ditinggakan pada Manisah, rakan sekerjanya. “Anis I keluar ke hospital sekejab. My friend masuk hospital. If ada sesiapa cari I, tolong ambil message ya. Thanks Anis.”

Nur Iman memandu laju ke Hospital Kuala Lumpur. Dia mahu segera tiba untuk memberikan sokongan kepada Rezza.

Tiba di hospital, Nur Iman bergegas mencari Rezza. Dari jauh dia nampak Rezza sedang berjalan mundar-mandir di hadapan bilik bersalin.

“Rezza,” panggil Nur Iman apabila dia semakin menghampiri Rezza. “Macam mana Nia kat dalam?”

“Ada komplikasi sikit. Baby songsang. I tak sanggup nak lihat keadaan Nia. Doktor memang minta I teman Nia kat dalam. Tapi I tak sanggup,” luah Rezza sambil meraup wajahnya.

“Rezza, she needs you now. Elok you temankan Nia. Dia perlukan sokongan you, husband dia. Takkan you nak biar dia bertarung nyawa seorang diri,” Nur Iman memujuk Rezza.

“Tapi..I tak sanggup tengok dia menanggung sakit macam tu,” Rezza sudah menitiskan air mata.

Nur Iman terdiam. Dia langsung tidak menyangka air mata lelaki di depannya menitis kerana seorang wanita. Wanita yang sedang menyabung nyawa melahirkan zuriat mereka ke dunia. Yakinlah Nur Iman Rezza benar-benar menyayangi wanita itu sepenuh hati.

“Encik Shakir,” panggil jururawat yang tiba-tiba keluar dari bilik bersalin isteri Rezza.

“Bukan, saya Rezza suaminya.”


“Puan Dania mahu bertemu Encik Shakir, jadi saya harap Encik Rezza dapat menghubungi Encik Shakir segera,” jururawat tersebut masuk kembali ke dalam bilik bersalin sebaik sahaja dia menyampaikan pesanan tersebut.

Nur Iman sedikit terkejut mendengar nama ‘Shakir’. Dia teringat Shakir yang pernah ditemui dua tahun yang lalu. ‘Pasti Shakir yang lain. Bukan dia seorang sahaja bernama Shakir dalam dunia ni,’ Nur Iman berkata sendiri.

“Rezza, siapa Shakir?” tanya Nur Iman sebaik sahaja Rezza berjaya menghubungi seseorang.

Rezza yang sedikit kusut mendongak memandang Nur Iman. “Shakir tu sepupu Dania. Bekas kekasih Dania. Tadi I call Mak Long Dania, minta dia bagi tau Shakir untuk datang sini.’

Nur Iman sudah terdiam. Dia tertanya-tanya apa perlunya kehadiran Shakir. Mengapa Dania mahu bertemu Shakir di saat-saat genting ini. Mengapa bukan Rezza yang dicari. Nur Iman tidak bertemu jawapan kepada soalan yang berlegar di fikirannya.

Masa berlalu pantas. Sudah tiga puluh minit berlalu. Rezza masih tidak tenteram di tempat menunggu. Sekejab-sekejab dia bangun mundar-mandir di hadapan pintu bilik bersalin. Sesekali dia cuba menjenguk melalui cermin kecil di pintu masuk ke bilik bersalin isterinya.

Nur Iman diam sahaja. Dia duduk di kerusi kayu di situ sambil memerhati tingkah laku Rezza. Walaupun berasa rimas melihat keaadaan Rezza seperti itu, dia faham pasti Rezza sedang risau menunggu berita isterinya dan anak yang bakal dilahirkan.

“Rezza,” panggilan seseorang yang sedang berlari-lari anak menuju ke arah Rezza.

“Shakir, thanks for coming.”

Nur Iman segera berpaling ke arah pemuda yang sedang bersalaman dengan Rezza. Matanya membulat. Seakan tidak percaya. Lelaki itu lelaki yang sama yang pernah dia temui dua tahun yang lepas. Sungguh dia bersyukur, bertemu juga dia dengan lelaki itu. Tidak terjangka akan bertemu Shakir di dalam situasi seperti ini. Nur Iman tidak berganjak dari kerusi yang didudukinya. Seperti kakinya digam di situ.

Shakir sempat menjeling ke arah Nur Iman. Dia masih ingat wajah berlinang air mata Nur Iman. Dia juga terkejut melihat Nur Iman di situ. Namun dia tidak sempat menegur gadis itu, bila Rezza segera menolaknya masuk ke bilik bersalin sepupunya, Dania.

*******
“Iman,” Shakir berjalan perlahan menghampiri Nur Iman. Dia duduk di sebelah Nur Iman. Situasi sama buat mereka berdua. Pertemuan pertama mereka juga di situ. Bezanya cuaca petang itu sungguh indah. Matahari petang redup bersama angin bertiup perlahan.

“Iman awak apa khabar?” tanya Shakir setelah sekian lama dia diam.

“Alhamdulillah saya sihat. Awak?” tanya Nur Iman pula.

“Saya baik-baik saja,” jawab Shakir sambil melirik ke arah Nur Iman. “Awak selalu ke sini?”

Nur Iman mengangguk.

“Awak tunggu saya?” tanya Shakir tanpa berselindung.

Nur Iman menoleh ke arah Shakir. Bibirnya mengukir senyum. Dia menganggukkan kepala.

Shakir terkesima. Dia tidak pernah menjangkakan gadis itu akan menunggunya. Perasaan bersalah kerana pergi tanpa berita menerpa di dalam sanubarinya.

“Ini sapu tangan awak,” kata Nur Iman sambil menghulurkan sapu tangan milik Shakir.

“Tak apa. Awak simpanlah. Mungkin sapu tangan ni akan terus berjasa kepada awak,” balas Shakir. Wajah Nur Iman direnung lembut. “Iman, maafkan saya.”

“Awak tak salah apa-apa dengan saya. Mengapa awak minta maaf?” tanya Nur Iman.

“Saya minta maaf buat awak tunggu saya. Saya sebenarnya ke luar negara menyambung pelajaran saya. Waktu itu saya sedang mengubat hati yang sedang berduka. Kekasih hati saya telah dijodohkan dengan lelaki lain. Jadi perkara terbaik yang mampu saya lakukan ketika itu adalah dengan membawa diri jauh dari sini. Saya tidak sempat menghubungi awak selepas pertemuan singkat kita petang itu. Malam itu juga saya sudah bertolak ke Jerman. Maafkan saya Iman,” luah Shakir tanpa dipinta.

Nur Iman terdiam. Fahamlah dia mengapa selama dua tahun ini dia tidak pernah bertemu Shakir. “Tak apa. Awak tidak bersalah dalam hal ini. Lagi pun awak tidak pernah berjanji apa-apa dengan saya kan.”

Shakir diam merenung ke kaki langit. Dia mahu menamatkan pergolakkan perasaan yang sentiasa mengganggu hatinya selama dua tahun itu. Semuanya dia tanggung sendiri kerana silapnya tidak meminta alamat emel atau nombor telefon Nur Iman. Kesibukkan belajar dan juga aktiviti hariannya sedikit sebanyak membantu dia bertahan.

“Iman, boleh saya tanya sesuatu?” Shakir bertanya lembut.

Nur Iman memandang Shakir. Dia hanya mengganguk.

“Mengapa awak datang ke sini?” soalan pertama dari Shakir.

“Sejujurnya saya menunggu awak,” jawab Nur Iman tenang.

“Tunggu saya? Sebab?” soalan kedua dari Shakir.

“Pertemuan pertama itu terlalu singkat. Saya tidak sempat ucapkan terima kasih kepada awak. Terima kasih untuk sapu tangan ini. Terima kasih juga untuk kata-kata awak yang menyedarkan saya. Kata-kata awak mengubah saya untuk lebih berlapang dada menerima ketentuan dariNya. Saya sedang kecewa ketika itu. Hadirnya awak menemani saya petang itu cukup bermakna buat saya,” luah Nur Iman.

Shakir gembira mendengar kata-kata Nur Iman. “Iman awak sudah bertemu orang yang mampu mengubat kekecewaan awak tu?”

“Ya sudah,” jawab Nur Iman ringkas.

Shakir terkedu. Dia kecewa mendengar kata-kata Nur Iman. Rasa kecewa itu jelas terpamer di raut wajahnya. Nur Iman turut sedar perubahan air muka Shakir. Nur Iman mengukir senyuman di bibir.

“Saya sangka saya sudah kehilangan lelaki itu. Dua tahun saya menunggu lelaki itu kembali kepada saya. Alhamdulillah lelaki itu sudah kembali dan dia ada bersama saya ketika ini. Saya tak mahu kehilangan dia buat kali kedua,” Nur Iman memberikan bayangan kepada Shakir siapa lelaki yang telah mengubat kekecewaannya.

Shakir seperti tidak percaya. Dia merenung Nur Iman. Dia mencari maksud kata-kata Nur Iman tadi. “Maksud awak..,”

"Ya,” balas Nur Iman sepatah.

Shakir bangun lalu melutut di depan Nur Iman.

“Nur Iman, izinkan saya menjadi pendamping awak, pelindung yang sentiasa ada di sisi awak, sahabat di kala awak perlukan bahu untuk bersandar, penyelamat ketika awak di dalam kesusasahan mahu pun kesedihan, izinkan saya menjadi pembimbing awak dan imam awak menuju Jannah,” lafaz Shakir bersungguh-sungguh.

Nur Iman sudah berasa sebak. Dadanya seperti dipalu. Dia berusaha menahan air matanya daripada tumpah.

“Nur Iman, sudikah awak menjadi isteri saya, teman saya hingga ke akhir hayat saya?” luah Shakir yang masih lagi melutut di depan Nur Iman.

Air mata Nur Iman sudah pun mengalir lesu. Sama seperti dua tahun yang lalu. Bezanya dahulu dia menangis sedih, kini dia menangis kerana gembira yang menyelubungi dirinya.

“Shakir, saya sudi. Sekali awak lamar saya, seribu kali saya akan terima awak,” balas Nur Iman sambil mengesat air mata gembiranya. Sapu tangan putih dengan jalur biru di sekelilingnya digunakan untuk mengesat si air mata.


“Kan betul. Sapu tangan ni tetap memberi khidmat kepada awak,” usik Shakir.

“Terima kasih Shakir untuk sapu tangan ni. Terima kasih juga kerana kembali ke dalam hidup saya,” ucap Nur Iman.

Alhamdulillah meniti di bibir Shakir. Dia gembira kepulangannya telah mengembalikan kegembiraan buat Nur Iman. Malah dirinya juga gembira apabila lamarannya diterima.

"Shakir, boleh saya tanya satu perkara?” tanya Nur Iman.

“Tanyalah,” balas Shakir.

“Mengapa arwah Dania mahu bertemu awak sebelum dia pergi meninggalkan kita semua?” tanya Nur Iman.

Shakir merenung lembut ke wajah Nur Iman. “Arwah Nia minta maaf kerana dia tidak pernah mempertahankan cinta kami. Sebelum dia menghembuskan nafas, arwah minta saya bantu Rezza menjaga dan memberikan kasih sayang buat zuriat tunggal yang bakal dia tinggalkan.”

“Shakir izinkan saya bantu awak menjaga amanah arwah Nia,” pinta Nur Iman.

Shakir senyum bahagia. Dia mengangguk sambil merenung Nur Iman. Shakir berdoa agar Allah satukan dia dan Nur Iman hingga ke hujung nyawa. Bersama menuju bahagia hingga ke Jannah.. aamiin.


TAMAT

8 comments:

  1. terima kasih abg Sazalee yang sudi singgah ke sini..

    ReplyDelete
  2. Bestttt.....tahniah....

    ReplyDelete
  3. terima kasih Balqis..teruskan membaca kisah-kisah yang bakal sha masukkan ke sini sedikit masa lagi... insya Allah

    ReplyDelete
  4. Replies
    1. Tq Puteri Lavender singgah sini.

      Setuju. Jodoh itu rahsia dan hanya DIA yang tahu.

      Delete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim