01 May 2013

Kasihmu 28 ii

Back to our main reason being here,” ucap Luqman.

“Pihak kami dah baca draf MoU tu. Buat masa ini kami tiada masalah untuk menjadi orang perantara dengan perusahaan di sana. Lagi pula Luq sudah biasa dengan prosedur dan proses birokrasi di sana. Cuma yang menjadi halangan pengetahuan pihak kami agak terbatas tentang produk itu sendiri. Jadi sebelum pihak kami bersetuju untuk menandatangani MoU ini, mungkin boleh Jati Holding sediakan satu fail on your product, I mean raw product,” ujar Rayyan.

“Ya lagi pula pihak kami lebih kepada traveling agencies. Tapi itu tidak menghalang kita untuk bekerjasama kan,” rumus Luqman.


Afzan dan Shaheen bersetuju dengan kata-kata Luqman dan Rayyan. ‘Betul juga kalau tak tahu berkenaan kayu jati macam mana nak uruskan hal-hal berkaitan perabot jati nanti,’ Shaheen mengiyakannya di dalam hati.

“Betul juga kan. Kalau kurang kenal macam mana nak jatuh cinta kan,” ucap Rayyan sambil menjeling ke arah Shaheen dan Luqman.

Afzan di sebelah Rayyan sudah tersenyum. Dia yakin Rayyan tentu setuju jika mereka bekerjasama menyatukan Luqman dan Shaheen.

“Rayyan, Luqman apa maksud Al-Hamra?” tiba-tiba soalan itu terbit dari bibir Shaheen.

Rayyan sudah memandang Luqman. Luqman terdiam mendengar pertanyaan itu.

“Ya saya juga nak tahu apa maksud Al-Hamra Tours And Travel? Afzan juga menunggu untuk mengetahui maksud di sebalik nama syarikat milik Luqman.

“Al-Hamra ni syarikat milik Luqman. Saya dan Luqman sama-sama uruskan syarikat ni. Sebagai sahabat, permintaan Luqman supaya kami sama-sama uruskan syarikat ni tidak dapat saya kata tidak. Saya sangat gembira bekerja di Al-Hamra,” Rayyan menceritakan permulaan terbentuknya Al-Hamra. “Paling gembira bila musim haji.”

Luqman masih diam di tempat duduknya. Tidak bercadang untuk menyampuk kata-kata Rayyan.

“Musim haji?

“Ya. Musim haji. Saya dan Luqman sentiasa ternanti-nanti bila tibanya musim haji.”

“Mengapa?” soal Shaheen pula.

“Setiap tahun bila tiba musim haji, Luqman dan saya akan membuat permohonan kepada Lembaga Tabung Haji untuk menjadi sukarelawan atau menjadi mutawwif di sana. Alhamdulillah pengalaman itu sangat indah rasanya. Pengalaman pertama kali di sana, masya Allah sungguh tak akan saya lupa,” ucap Rayyan.

Luqman senyum mendengar kata-kata Rayyan. Dia sudah mendengar kisah itu sewaktu Rayyan pulang ke tanah air lima tahun yang lalu. Sewaktu mula-mula Rayyan menyertai Al-Hamra dan tahun itu juga dia diterima menjadi mutawwif di bawah kelolaan Lembaga Tabung Haji. Sebelum diterima Rayyan perlu melalui berbagai kursus yang dijalankan oleh Lembaga Tabung Haji.

“Bila kita berjauhan dari tanah air, kita akan rindu mak ayah. Kesian saya tau, saya anak yatim piatu,” seloroh Rayyan mahu mengusir gundah yang mula menghampiri.

Afzan dan Shaheen memandang Rayyan. Mereka tidak sangka Rayyan sedikit beremosi pada pagi itu.

Rayyan menyambung kata-katanya, “Bukan anak kecik sahaja yang akan rindu mak ayah tapi anak-anak dewasa pun rindu akan mak ayah. Jadi bila musim haji tahun tu saya berjaya ke sana sebagai mutawwif, saya sangat gembira. Gembira kerana Allah telah menjemput jemaah-jemaah haji yang umurnya sebaya dengan mak ayah saya. Itu pun jika mereka masih ada. Saya gembira sangat sebab Allah beri peluang kepada saya untuk memberikan layanan terbaik kepada mereka, tetamu-tetamu Allah di Mekah.”

“Jadi itu kah sebabnya awak join syarikat Luq?” tanya Afzan.

Rasa sebak turut menyapa ruang hati Afzan. Shaheen juga diam. Dia juga sedang mengawal perasaannya. Terharu juga mendengar pengalaman yang dilalui oleh Rayyan dan Luqman. Sungguh mulia kerja yang mereka lakukan. Semoga mereka mendapat keberkatan hidup, doa Shaheen.

“Saya join Al-Hamra sebab my best buddy ni.”

“Oh. Tapi awak belum cerita apa maksud Al-Hamra,” ucap Afzan masih ingin tahu kisah wujudnya syarikat Al-Hamra.

Rayyan memandang Luqman. Dia tidak tahu bagaimana perasaan Luqman ketika itu. Luarannya dia nampak tenang sahaja.

“Biar saya ceritakan,” Luqman bersuara dengan tenang.

Rayyan memerhati Luqman. Dia harap Luqman akan segera melupakan kisah silamnya dan meneruskan hidup baru. Sudah terlalu lama sahabatnya itu diselubungi kesedihan. Lapan tahun cukup lama bagi Rayyan. Jika anak kecil, sudah di tahun dua di sekolah rendah bagi tempoh selama itu.

“Syarikat tu saya tubuhkan sebagai tanda saya mengingati dirinya biar pun dia sudah dikandung tanah,” kata Luqman sambil memandang lantai.

Shaheen sudah dapat menangkap maksud kata-kata Luqman. Dia tahu semua ini ada kaitan dengan arwah Alisa.

“Luqman jika awak keberatan atau rasa tidak selesa  untuk ceritakan kepada kami, tak apa. Lupakan saja,” pujuk Shaheen. Dia tidak mahu Luqman mengenang kembali sejarah hidup yang sepatutnya sudah Luqman lupakan.

“Ermm tak apa. Saya ok,” jawab Luqman senyum kepada Shaheen.

Afzan yang mendengar kata-kata Luqman diserang rasa bersalah. Dia tersilap bertanya soalan itu. Apa kan daya, terlajak perahu boleh diundur. Tapi kalau terlajak kata, hidup perlu diteruskan.

“Al-Hamra tu adalah singkatan nama saya dan arwah. ‘Al’ itu maksudnya Alisa dan ‘Ham’ itu nama saya Hakim. Manakala ‘ra’ pula bermaksud Radhiallahu Anhu yang maksudnya ‘Moga Diredhai Allah Ke Atasnya. Arwah juga menyukai warna merah, Hamra itu maksudnya merah,” Luqman mengucapkan kata-kata itu sambil menutup mata. Ingatannya kembali kepada Arwah Alisa sewaktu hayatnya.

“Al mahu ngak lepas kita nikah kita ke Tanah Suci. Ngak usah kok honeymoon segala. Aku lagi senang kita ke Mekah saja.”

“Bagus deh ide itu Mas. Lagian itu kan Rukun Islam. Rukun kelima. JIka kita punya kesempatan waktu juga punya ongkos yang cukup, mengapa ngak kita tunaikan kewajiban kita. Alisa setuju kok Mas.”

“Luqman,” panggil Rayyan.

Panggilan Rayyan menyedarkan Luqman di mana dia berada sekarang. Nafasnya ditarik perlahan.

“Selepas pemergian arwah, saya ke Tanah Suci. Kembali dari Tanah Suci saya tubuhkan Al-Hamra. Harapan saya agar dengan adanya Al-Hamra saya dapat bantu lebih ramai jemaah haji yang menunaikan ibadah mereka. Insya Allah dengan izinNya.”

‘Jadi itu punca Luqman ke Tanah Suci mengerjakan haji di usia muda.’ Teka Shaheen. ‘Alhamdulillah di usia muda sudah dijemput Allah sebagai tetamuNya. Aku bila agaknya akan ke sana.’

"Hmm 'ra tu boleh juga membawa maksud Rayyan kan," ujar Rayyan mahu menceriakan kembali suasana sedikit muram tadi.

“Maafkan saya. Saya nak turun ke kereta sekejab. Ada barang tertinggal,” ucap Luqman meminta diri sebentar.

“Sila,” balas Shaheen.

Tinggal Afzan, Rayyan dan Shaheen di ruangan itu. Masing-masing cuba meletakkan diri mereka di tempat Luqman. Berat juga beban yang ditanggung oleh Luqman, fikir mereka.

“Rayyan maaf saya tak tahu kisah ni semua,” ucap Afzan dalam nada kesal.

“Hmm tak apa. Saya yakin Luqman boleh handle ujian ni. Jika tidak dia tak akan sampai ke tahap ini. Saya tahu dia seorang yang tabah,” ucap Rayyan.

Kebisuan berada di sekeliling mereka. Afzan, Rayyan dan Shaheen tidak bersuara. Masing-masing menunggu Luqman kembali.

“Assalamualaikum. Saya dah balik,” sapa Luqman. Gayanya seperti di dalam lakonan di dalam drama Jepun atau Korea saja.

Serentak mereka bertiga menjawab salam Luqman. Masing-masing lega melihat kemunculan Luqman.

Luqman kembali dengan satu beg kertas di tangan. “Ini untuk awak ,” ucap Luqman sambil menghulurkan beg kertas di tangan kepada Shaheen.

Shaheen sedikit terkejut. Dia tidak sangka Luqman akan menghulurkan beg kertas itu kepadanya.

“Apa ni?” tanya Shaheen malu-malu hendak mengambil beg kertas yang diunjukkan oleh Luqman.

Afzan dan Rayyan sudah senyum. Mereka yakin putik putik bunga cinta  bakal berkembang sedikit masa lagi.

No comments:

Post a Comment

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim