20 April 2013

Kasihmu 27

“Aida ada apa-apa yang urgent untuk hari ni?” tanya Shaheen sewaktu melewati meja kerja Aida.

“Tak ada Cik Sha,” Aida memerhati Shaheen yang kelihatan seperti kelam kabut petang itu.

“Jadual saya esok macam mana?”

“Erm esok Cik Sha ada pertemuan dengan Tuan Haji Luqman dan Encik Rayyan di sini. Pukul sembilan pagi. Then pukul sebelas ada discussion dengan Cik Afzan dan juga Puan Adelia. Petang Cik Sha free and easy,” Aida melaporkan jadual kerja Shaheen untuk esok hari.

“Kalau gitu saya nak ke klinik dan terus balik rumah. Doktor Zaiton dah call saya tadi. If anything lepas saya balik, just give me a call ya Aida. I don’t mind. Ambil mesej penting. Esok saya akan follow-up.”

“Baik Cik Sha.” Aida berasa pelik. ‘Cik Sha tak sihatkah? Tengok ok je.’ “Err Cik Sha tak sihat ke?” meletus juga pertanyaan itu sebelum Shaheen berjalan masuk ke biliknya.

“Oh bukan saya yang sakit Aida. Tapi seekor kucing yang tiba-tiba muncul di rumah saya. Keadaannya sangat teruk dengan luka yang dah pun bernanah. So saya dengan Abi dan Ummi hantar that cat to a veterinary clinic. Kena admitted tuk keluarkan nanah and cuci lukanya tu.”

“Alahai ngeri pulak saya dengar. Jadi ni nak pergi ambil kucing tu ya, hati-hati di jalan raya ya Cik Sha.”

Shaheen mengangguk. “Thanks Aida. Kalau awak nak balik awal petang ni, saya izinkan,” ucap Shaheen lalu melangkah masuk ke biliknya. Beg tangan dicapai lalu berlalu keluar. “Daa Aida. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam Cik Sha,” Aida tersenyum melihat kelibat Shaheen menghilang.

*******
Shaheen mencari tempat parkir berdekatan dengan Klinik Dr.Pet. Sudah dua kali dia berpusing di situ. ‘Tak apa la. Jalan sikit.’ Shaheen memakir Perdana miliknya di hujung lorong. Sebaik menekan punat kunci, dia berjalan pantas ke arah klinik.


Pintu klinik ditarik ke luar. Serentak bunyi loceng yang tergantung di pintu berbunyi. Petugas di kaunter menyapa Shaheen dengan senyuman.

“Assalamualaikum. Saya datang nak ambil kucing. Doktor Zaiton yang call saya tengahari tadi,” Shaheen menyapa.

“Waalaikumsalam. Kucing yang warna putih ni kan,” kata Hani sambil berlalu ke arah Putih yang berada di dalam kurungan.

Shaheen menahan tawa. Si Putih yang berada di dalam kurungan mula mengiau bila Shaheen makin mendekat. ‘Purple you.’ Collar protection yang mengelilingi leher Putih membuatkan Shaheen senyum lagi. Malah ditahan agar tidak meletus tawa. Suara mengiau Putih perlahan sahaja. ‘Alahai kesiannya,’ bisik Shaheen.

“Ya betu la tu. Ini kucing yang saya hantar tempoh hari. Macam mana keadaannya?”

“Dah ok lepas kuarantin, just kena jaga masa untuk cuci luka tu dan makan ubat,” kata Hani memandang wajah Shaheen.

“Cuci luka ni? Saya takut la,” luah Shaheen.

“Tak apa. Saya ajar Cik,” pujuk Hani. “Mari saya tunjukkan.”

Hani berjalan semula ke kaunter pendaftaran. Di situ telah tersedia satu plastik kecil berisi ubat-ubatan Putih. Hani mengeluarkan satu alat seperti picagari. Bezanya tiada jarum penyuntik.

“Luka Putih ni ada ada dua tempat dah pun dijahit. Tapi luka yang besar tu tak boleh jahit sebab dah bernanah. Takut lambat sembuh dan berterusan bernanah,” Hani menerangkan situasi Putih kepada Shaheen.

Shaheen mendengar dengan teliti sambil mengangguk. Sesekali Putih di dalam sangkar ditoleh sekilas. Rasa kasihan menyelinap ke lubuk hati Shaheen.

“Sekeliling tempat luka tu kami dah cukur bulunya. Senang Cik nak cuci lukanya nanti. Satu lagi, kami terpaksa pasangkan collar protection sebab tak nak Putih jilat luka dia.  Biasanya kucing akan jilat luka untuk tujuan membersihkan luka tu. Yang kurang eloknya kalau Putih terus menjilat luka tu, takut akan kena infection ataupun terkena penyakit kulit pula lepas tu. Kalau itu berlaku, then Cik kena la bawa Putih untuk rawatan susulan,” Hani menerangkan lagi dengan panjang lebar.

“Oh bahaya juga ya. Putih macam tak selesa je pakai collar protection tu,” Shaheen membuat ulasan.

“Ya memang pun. Pagi tadi Putih merajuk tak nak makan sebab kami pasang collar tu. Lepas tu my mum buka sekejab collar tu. Baru dia makan. Lepas makan saya pasang semula collar tu.”

“Oh ya ker? Pandai juga ya kucing merajuk. Doktor Zaiton tu your mum ke?” komen Shaheen sambil tersenyum.

“Kucing pun macam manusia juga Cik. Bezanya tak boleh bercakap je la. Adakalanya kucing ni faham bila masa tuan dia sedih, happy atau dalam kesusahan,” balas Hani pada komen Shaheen. “Ya itu ibu saya. Saya pun ambil vet. Baru tahun dua. Bila free saya bantu my mum di klinik ni,” sambung Hani.

“Oh ya ke. So macam mana dengan Putih nanti. Saya tak pernah bela kucing and jadi nurse untuk kucing. Takut pula saya nak buat di rumah,” Shaheen menyuarakan kebimbangannya.

“Kalau Cik tak yakin nak buat sendiri, boleh saja bawa ke sini. Tapi ada caj yang dikenakan,” ujar Hani.

Shaheen tidak memikirkan soal bayaran yang akan dikenakan. Di mindanya memikirkan masa yang dia ada untuk membawa Putih ke klinik untuk mencuci luka. ‘Oh gi mana ni,’ Shaheen ligat berfikir.

“Macam ni la Cik. Saya tunjukkan cara nak bersihkan luka Putih dan suntik ubat ke dalam luka putih ya. Kalau Cik masih tak confident nak buat sendiri di rumah, Cik datang la bawa Putih ke sini,” Hani bersuara dengan yakin.

“Hah! Kena suntik ubat dalam luka tu ke,” Shaheen sudah berkerut dahi. Rasa ngeri bermain di dalam mindanya.

“Ya kena guna syringe ni untuk masukkan ubat ni dalam luka Putih. Luka yang dah berjahit tu pula Cik guna cotton bud sapu dengan ubat lorexane ni and ada ubat makan juga. Yang ni kena bagi 2 kali sehari,” kata Hani.

Shaheen memerhati ubat-ubat Putih. Satu botol ubat berwarna biru yang akan disuntik ke dalam luka, satu bekas kecil ubat luka untuk disapu, serta satu paket pil yang seperti panadol tapi saiz yang sedikit kecil berwarna putih.

“Makanan untuk Putih bagaimana,” tanya Shaheen.

“Cik boleh beli di pasaran makanan kering macam Whiskas, Friskies, Prodiet, Smart Heart, Blackwood, Regal, Muezza dan ada banyak sebenarnya. Kalau di sini my mum dah hasilkan satu diet makanan yang sesuai untuk kucing. Cik boleh tengok di rak kat depan tu."

Shaheen memusing ke belakang lalu menuju perlahan ke arah rak kayu yang penuh tersusun makanan kucing. Ada yang jenis biskut kering dan juga makanan basah yang telah ditinkan. Shaheen berkira-kira untuk memilih makanan pejal kering. Lebih mudah untuk disediakan. Akhirnya Shaheen memilih satu bungkusan makanan kucing yang dikatakan oleh Hani. Tertulis nama PetFood pada bungkusan. Walau tidak dikenali jenamanya, dengan apa yang Hani terangkan tadi, Shaheen mengambil jenama tersebut untuk percubaan. Jika Putih makan dengan berselera lepas ni bagus la. Kesihatan Putih menjadi keutamaan Shaheen ketika ini.

“Sangkar kucing ni macam mana pula?” soal Shaheen lagi.

“Sangkar yang standard macam ni RM80.00. Kalau yang macam ni pula RM120.00,” jawab Hani.

“Hmm kalau macam tu saya ambil yang ini saja. Senang nak monitor Putih nanti. Kalau kat luar takut dia merayau tak balik-balik pula,” kata Shaheen.

“Ya la Cik. Elok la dia dikurung buat sementara waktu. Harapnya luka tu cepat sembuh,” Hani menyambung.

Hani memasukkan semula semua ubatan Putih ke dalam plastik. Kemudian dia ke arah kiri bilik. Mengambil sangkar baru untuk Putih. Setelah dipasang dengan sempurna, Hani membuka sangkar yang menempatkan Putih lalu Putih diangkat dengan hati-hati. Putih kini telah pun bertukar sangkar. Diam sahaja di dalam sangkar. Jelas wajahnya yang seperti sedang menahan emosi rajuk gara-gara dipakaikan collar protection oleh Hani pagi tadi.

“Berapa bilnya,” tanya Shaheen.

“Semuanya RM325.00.”

Shaheen mengeluarkan enam keping wang kertas lima puluh ringgit dan tiga keping wang sepuluh ringgit. Wang bertukar tangan. Hani memasukkan wang yang diterima ke dalam mesin daftar wang. Baki wang dikembalikan kepada Shaheen. Satu resit dikeluarkan atas nama Putih. ‘Betul-betul macam manusia,’ omel Shaheen di dalam hati.

“Terima kasih Hani. Saya pergi dulu. Assalamualaikum,” ucap Shaheen. Sangkar Putih diangkat perlahan-lahan. ‘Wah boleh tahan berat juga sangkar ni,’ getus Shaheen sendirian semasa mengangkat sangkar yang diperbuat daripada besi.

“Ya sama-sama Cik. Jika ada apa-apa, boleh call kami di sini. Waalaikumsalam,” balas Hani.

*******

Shaheen meletakkan sangkar Putih di tempat duduk penumpang di sisi Shaheen. Shaheen menarik kerusi rapat ke depan dengan menarik pelaras kerusi agar sangkar Putih tidak melorot jatuh semasa Shaheen memandu nanti.

“OK Putih. Masa untuk balik ke rumah. Home sweet home,” ucap Shaheen pada Putih yang mula mengiau sebaik sahaja Shaheen menghidupkan enjin Perdananya.

Shaheen memandu dengan berhati-hati. Putih di sisi dilirik. Putih sudah duduk di sudut sangkar dengan kepalanya menunduk ke lantai sangkar. Rasa kasihan melihat gelagat Putih.

“Maaf ya Putih. Ni untuk kebaikan awak yer,” bicara Shaheen pada Putih. Serta merta Putih menoleh ke arah Shaheen. Lagaknya seperti faham dengan apa yang Shaheen ucapkan sebentar tadi. Indahnya rasa kasih sayang walau  pun hanya yang memberikan itu seekor haiwan yang juga makhlukNya. Shaheen menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Dia mahu segera sampai ke rumah.

*******

“Assalamualaikum,” Shaheen melangkah masuk ke dalam rumah dengan sangkar Putih di tangan kanannya. Langkah diatur hingga ke dapur. Puan Asyikin sedang memasak di dapur.

“Assalamualaikum Ummi,” ucap Shaheen sekali lagi.

“Waalaikumsalam sayang. Awal balik hari ni,” tegur Puan Asyiqin. Puan Asyiqin menyambut tangan Shaheen yang bersalam dengannya.

“Een pergi ambil Putih ni Ummi,” Shaheen meletakkan sangkar Putih tidak jauh dari ruang dapur.

“Hahaha,” Puan Asyiqin sudah ketawa melihat Putih.

“Kenapa Ummi?”

“Ni kenapa terendak lampu tersarung di kepala si Putih ni. Dah la warna ungu. Ya Allah, kesian Ummi tengok. Macam tak selesa je,” Puan Asyiqin meluahkan kata-katanya.

“Ha itu la. Een pun tadi tak tahan nak gelak. Tapi kesian pula tengok. Ni untuk protection Ummi. Nak elak Putih jilat luka dia tu.”

Shaheen berjalan ke ruang tamu. Shaheen mengeluarkan bekas seramik yang dihadiahkan oleh Dr. Azis semasa membantunya membuat jurnal di zaman pelajarnya dahulu. Seramik itu dibeli oleh Dr. Azis sewaktu melawat Negara China. Sebagai menghargai bantuan Shaheen, bekas seramik berwarna merah yang terdiri daripada dua mangkuk kecil dan satu piring panjang dihadiahkan kepada Shaheen. Mangkuk kecil diisi air dan piring panjang itu diisi dengan makanan untuk Putih. Sebaik sahaja Shaheen memasukkan makanan dan minuman ke dalam sangkar, Putih laju sahaja menuju ke arah makanan dan minuman. Melihatkan kepayahan Putih untuk makan, Shaheen membuka collar protection Putih. Baru la lega hati Shaheen melihat Putih makan dengan baik. Setelah puas makan, Putih suakan lidahnya menjilat air di dalam bekas seramik. Shaheen memakaikan kembali collar protection kepada Putih. Susah juga mahu memakaikannya bila Putih mengundur ke belakang.

“Ummi tolong pegang Putih. Een nak pakaikan collar ni,” pinta Shaheen.

Puan Asyiqin mendekati Putih. Selepas berjaya dipakaikan collar tersebut, Putih duduk diam di dalam sangkar. Luka di tengah-tengah belakang Putih diamati. Sudah tiada nanah yang keluar. Namun masih ada air bisa yang meleleh keluar. Terdapat kesan keruping berwarna sedikit kekuning-kuningan yang melekat di sekeliling luka Putih. Air bisa yang telah mengering. Rasa kasihan turut membaluti hati kecil Puan Asyiqin.

“Abi mana Ummi,” tanya Shaheen.

“Abi kat belakang tadi. Merumput.”

“Oh. Ummi, Een naik atas dulu. Nak mandi dan solat Asar,” kata Shaheen.

“Kejab lagi turun ya kita makan sama-sama. Ummi tengah masak kuih seri muka ni.”

“Wah sedap tu. Thanks Ummi. Masakkan kuih kesukaan Een,” Shaheen yang mahu melangkah ke bilik, berpatah semula memeluk Puan Asyiqin sebagai tanda sayangnya pada wanita yang telah banyak bersusah payah melahirkannya dan menjaganya dari kecil. Pipi Puan Asyikin dicium. Kiri dan kanan.

“Amboi dua beranak ni. Jealous Abi tau macam ni,” tegur Encik Suffian yang baru masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur.

“Abi pun Een sayang tau,” Shaheen menghulur tangan bersalaman dengan Encik Suffian. Tangan itu dikucup. Encik Suffian seperti biasa mengucup ubun-ubun Shaheen.

“Een dah ambil kucing hari tu?”

“Dah Abi. Tu Putih.”

“Alahai kesiannya dia,” ucap Encik Suffian lantas menghampiri sangkar Putih. Putih lantas bangun berdiri mengadap Encik Suffian sambil mengiau perlahan. Sayu saja bunyinya. Putih mengesel-gesel badannya di tepi sangkar. Encik Suffian mengusap badan Putih dari luar sangkar. ‘Cepat sembuh ya,’ doa Encik Suffian.

“Een naik dulu ya. Kejab lagi Een turun.”

“Abi pun nak mandi dulu ni. Melekik badan.”

Puan Asyiqin memerhati kedua-dua insan paling disayangi dan paling penting dalam hidupnya. Dia berdoa di dalam hati agar suami dan anaknya sentiasa dirahmati Allah. Doanya lagi agar mereka sekeluarga sentiasa bahagia dan dilimpahi kasih sayang. Aamiin.

Sementara menunggu suami dan anaknya, Puan Asyiqin mencapai teko. Gula dan uncang teh dimasukkan ke dalam teko. Dicapai termos berisi air panas. Dituang air panas ke dalam teko. Wap air panas menjulang naik ke atas. Teko yang berisi gula, uncang teh dan air panas dikacau perlahan. Teko air teh o panas diangkat ke meja makan. Dia kembali ke dapur. Loyang berisi seri muka yang sudah pun  sejuk diangkat lalu dipotong. Kuih seri muka disusun ke dalam piring.

“Ummi buat apa tu?” Shaheen menjengah Umminya di dapur.

“Ummi dah siap potong kuih ni nak bawa ke depan la.”

“Oh tak apa. Biar Een bawakan untuk Ummi.”

Puan Asyiqin mencapai dulang lalu diletak di atas meja di dapur. Tiga biji cawan dan tiga biji piring disusun di atas dulang. Ruang yang masih kosong itu diletakkan piring berisi kuih seri muka.

Shaheen mengangkat dulang ke meja makan. Puan Asyiqin mengekori dari belakang. Cawan kosong tadi diisi dengan air teh o panas lalu diletakkan di hadapan Umminya, juga untuk Abinya.

Encik Suffian menuruni tangga menuju ke meja makan. Namun begitu langkahnya diterus ke dapur.

“Kesian Putih kat dapur,” ucap Abi lalu diletakkan Putih yang berada di dalam sangkar di ruang tepi meja makan. Putih duduk diam di dalam sangkar.

Shaheen dan Puan Asyiqin senyum mendengar kata-kata Encik Suffian.

“Mari bang, makan,” ajak Puan Asyiqin.

Encik Suffian melabuhkan punggung di kerusi paling hujung. Isteri di kirinya dan anak di kanannya. Tangan diangkat. Doa dibaca. Shaheen dan Puan Asyiqin mengaminkan doa yang dibaca oleh Encik Suffian.

“Sedapnya Ummi,” puji Shaheen.

“Abi nanti tolong Een cuci luka Putih boleh?” pinta Shaheen.

“Een nanti sama-sama kita buat ya,” balas Encik Suffian selepas air teh dicicip perlahan.

“Kenapa agaknya kucing ni, sampai luka teruk macam ni. Kesian saya tengok,” ulas Puan Asyiqin.

“Gaduh agaknya Ummi,” Shaheen membuat telahan.

Encik Suffian mengambil seketul lagi kuih seri muka lalu digigit sedikit. ‘Sedap.’

“Ya la Ummi. Kesian kan. Tentu sakit sangat. Entah kucing siapa la agaknya ni,” kata Shaheen.

“Een tak kisah la kucing siapa. Yang penting kita bantunya untuk terus hidup. Malah Islam sangat-sangat menganjurkan kita berbuat baik dan menaruh belas kasihan terhadap binatang. Kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah rahmat bukan sahaja kepada manusia, tetapi kepada binatang, tumbuh-tumbuhan bahkan rahmat kepada sekalian yang wujud di alam semesta. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya ayat 107),” terang Encik Suffian.

Shaheen mendengar kata-kata Abinya tanpa mencelah. Sesekali dia menghirup teh yang telah pun suam-suam kuku.

“Abi boleh ceritakan kisah-kisah berbuat baik kepada haiwan di zaman Rasullullah SAW?” pinta Shaheen.

“Een kenal tak Abdul Rahman bin Sakhr. Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal.”

“Siapakah beliau Abi. Een tak tahu,” jawab Shaheen polos.

“Abu Hurairah, Een kenal tak?”

Laju sahaja Shaheen mengangguk tanda mengenali sepotong nama itu. “Beliau terkenal dengan gelaran bapa kucing kecil yang diberikan oleh Nabi SAW kan Abi.”

“Ya betul tu. Malah gelaran ini paling disukai oleh Abdul Rahman kerana Nabi SAW sendiri yang memberikan gelaran itu. Kisah Abdul Rahman ini sangat besar hikmahnya. Ianya berlaku semasa Abdul Rahman dalam perjalanan ke Masjid Nabawi. Dalam perjalanan, beliau menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau merasa kasihan kepada anak kucing tersebut, lalu mengambil dan meletaknya dalam baju besar beliau.”

“Apa yang berlaku selepas itu Abi,” tanya Shaheen.

“Apabila tiba di masjid, beliau bertembung dengan baginda Rasulullah SAW. Lalu baginda bertanya kepada Abdul Rahman, apa yang ada di dalam bajunya. Lalu beliau menjawab, “Anak kucing yang kehilangan ibu. Aku kasihan kepadanya.”

“Sejak itu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan gelaran Abu Hurairah, ya Abi?”

“Ya begitulah Een. Banyak hikmah dari riwayat hidup Abu Hurairah ini. Antaranya beliau telah mencontohi kepada kita betapa bagusnya akan amalan berbuat baik kepada kucing. Amalan ini adalah amalan yang disukai oleh baginda sendiri.”

“Abi apakah lagi keistimewaan Abu Hurairah ini?”

“Abu Hurairah ini seorang penghafal hadis-hadis Nabi SAW. Beliau merupakan penghafal hadis terbanyak dan turut dikenali sebagai Gudang Ilmu.”

“Wah hebat sekali orangnya,” ulas Shaheen.

“Untuk pengetahuan Een, Abu Hurairah ini bukan lah seorang yang kaya dari segi harta tetapi beliau kaya dari segi jiwa. Masanya paling banyak diluangkan dengan Rasulullah SAW. Beliau adalah sahabat yang paling suka bergaul dengan Rasulullah SAW. Sebab itu la beliau banyak meriwayatkan hadis nabi.”

“Seronoknya Abi dapat bergaul bersama Rasullullah. Walau pun baginda sudah tiada di dunia ini, namun baginda sentiasa diingati sehingga ke akhir zaman kan Abi.”

“Masyarakat Barat juga turut mengakui bahawa baginda mempunyai pengaruh terbesar kepada manusia sehinggakan baginda diletakkan di tangga teratas dalaam senarai 100 orang paling berpengaruh dan paling kuat dalam sejarah manusia. Ummi dah lupa nama pengarangnya,” tambah Puan Asyiqin.

“Buku The 100 karya Michael H. Hart Ummi,” balas Shaheen.

“Nabi Muhammad SAW sangat tinggi sifat kasih sayang baginda. Begitu juga dengan para sahabat Nabi SAW yang juga terkenal dengan sifat kasih sayang,” kata Puan Asyiqin.

“Kucing ni haiwan kesayangan baginda kan Abi,” ucap Shaheen.

Encik Suffian mengangguk mengiakan kata-kata isteri dan anaknya.

“Sungguh tebal sifat kasih sayang baginda pada kucing. Ada satu lagi kisah di saat baginda hendak mengambil jubahnya, dilihat seekor kucing sedang tidur di atas jubah baginda. Tidak mahu mengganggu tidur si kucing, baginda memotong belahan lengan yang ditiduri kucing tersebut. Masya Allah,” ucap Encik Suffian.

Shaheen mendengar kisah yang dinyatakan oleh Abinya. Entah bagaimana mahu dia gambarkan perasaaan yang menjalar di sanubarinya saat mendengar kisah yang berlaku kepada Rasulullah SAW. Baginda ternyata dikurniakan dengan sifat-sifat terpuji. Baginda seorang yang penuh dengan sifat penyayang, pengasih dan pemaaf. Malah banyak lagi kisah-kisah kehebatan baginda yang boleh dijadikan contoh tauladan kepada kita umat Islam. Perlahan-lahan Shaheen mengucapkan selawat kepada Nabi junjungan sebagai tanda ingatan dan kecintaan kepada baginda Rasulullah SAW.

Ya Allah! Berilah Shalawat kepada Muhammad dan Keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau telah memberi shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan berilah berkat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Di dalam alam semesta ini hanya Dikau sahajalah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia!

2 comments:

  1. Salam Sha...satu n3 yg menarik penuh dengan info, sejarah & teladan..walaupun saya ni geli dgn kucing & keturunannnya tp itu tak bermakna sy xbleh hadam or tak suka info atau cerita yg berkaitan dgnnya :)I'll always wait for the next n3

    ps: Minggu lps ada tgk citer Andai Itu Takdirnya TV3 di mn satu babak itu ada menunjukkan nelydia menggunting kain yg kebetulan seekor kucing sedang tidur di atasnya semata-mata tak nak kucing itu tersedar..rupa2nya itu adalah satu teladan yg ditunjukkan Rasullah saw. Tq sbb kongsi citer ni..sungguh sy xtau :)

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam Cik Shiroe,terima kasih memberi komen dan mengikuti kisah ini.

    Ya sha pun ada tengok cerita tu. Part Nelydia gunting kain untuk elakkan kucing tu terjaga. Sedih juga kisah dalam Andai Itu Takdirnya.

    Sha sekadar berkongsi secebis kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Moga-moga daripada kisah ini dapat memberi bukan sahaja pengetahuan, malah turut menjadi tauladan buat kita semua. Betapa hebatnya umat Islam. Dan sha berharap agar dengan cara ini dapat mewujudkan rasa kecintaan kepada Rasullullah SAW.

    Yang baik itu dari Allah, yang kurang/kelemahan itu dari diri sha sendiri.

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim