Suasana terasa tenang. Laman rumah yang luas. Sawah bendang
terhampar saujana mata memandang. Shaheen tersenyum menikmati panorama kampung.
Udara desa yang segar. Sedikit sebanyak mengingatkan Shaheen akan Mak Ngah
Sofinya. ‘Apa khabar agaknya Mak Ngah,’ Shaheen bertanya sendiri. Rasa rindu
yang bertamu sedikit terubat bila matanya menjamu suasana desa.
“Seronok kan ada kampung,” luah Shaheen.
Afzan senyum. “Tak apa Sha, lepas ni kau ada la kampung. Best ni,”
balas Afzan.
“Sha, Afzan mari naik,” pelawa Haji Halim. “Ini la rumah Opah Luqman.”
Shaheen berpaling mengadap Haji Halim yang sudah pun naik ke beranda
rumah kayu. Senyum dihadiahkan kepada Haji Halim yang sebaya Abinya.
“Baik Pakcik," Shaheen melangkah menaiki tangga kayu di
hadapannya dengan hati-hati. Beg pakaiannya tadi sudah diangkat oleh Luqman.
“Ibu apa khabar?” sapa Haji Halim sebaik Opah Halimah muncul dari
dalam rumah. Tangan ibunya disalam dan dicium. Lantas dipeluk tubuh ibunya.
Pipi ibunya dikucup kiri dan kanan. “Rindunya Lim dengan ibu.”
“Alhamdulillah Ibu baik-baik saja. Beginilah sihat orang tua Lim,”
balas Opah Halimah. Dia mencium dahi Haji Halim. “Allah… lama kamu tak balik.
Nasib baik la ada Akim ni rajin datang menjengguk ibu.”
Giliran Bu Kartika bersalaman dengan ibu mertuanya. Dia turut
memeluk ibu mertuanya. “Ini untuk ibu,” Bu Kartika menghulur sepasang jubah dan
sepasang batik Jawa kepada Puan Halimah.
“Allah…terima kasih Tika. Kenapa susah-susah ni?” kata Opah Halimah.
“Nga la Ibu,” balas Bu Kartika. “Ayah mana Ibu?”
“Ayah kamu keluar ke kedai. Beli barang dapur,” ucap Opah Halimah.
Sebaik terlihat Shaheen, “Alisa, cucu Opah,” laung Opah Halimah
menerpa ke arah Shaheen.
Shaheen tergaman. Dia terkejut bila tubuhnya dipeluk kemas. Opah
Halimah mencium kedua-dua pipi Shaheen. Wajah Shaheen direnung penuh rasa kasih
dan rindu.
“Apa khabar cucu Opah? Lama tak jenguk Opah,” sapa Opah Halimah
selepas puas merenung wajah Shaheen.
Haji Halim yang menyaksikan reaksi ibunya tidak terkata apa-apa. Dia
faham. Ibunya sangat rindukan arwah Alisa, cucu perempuan yang paling manja.
Afzan juga diam. Matanya memerhati sahaja tindakan Opah Luqman.
Timbul rasa sayu di hatinya. Bayangan Arwah Abang Bai menerpa di ruang mata.
Rasa sayu yang mula bertamu diusir jauh. Dia tidak mahu menitiskan air mata
lagi.
“Opah, ini Sha, kawan Akim, yang ini pula Afzan” Luqman mendekati
Opahnya sambil memeluk bahu Opahnya.
Opah Halimah masih menilik wajah Shaheen. ‘Saling tak tumpah,’ bisik
hati tuanya.
“Maafkan Opah ya cu. Opah tak sengaja,” ucap Opah Halimah menarik
tangan Shaheen dekat dengannya. “Mari duduk sini.”
Shaheen ikut duduk di kerusi rotan di sisi Opah Halimah. Dari tadi
Opah Halimah tidak melepaskan tangan Shaheen. Sedikit terubat rasa rindu yang
sekian lama menebal di dada.
“Ayuh minum semua,” tiba-tiba sahaja Bu Kartika muncul bersama satu
dulang besar berisi air minuman dan juga kerepek pisang. “Luq, tolong ambilkan
Oma air putih. Mama udah siap in.”
“Baik Mama,” Luqman bangun menuju ke dapur. Tidak lama selepas itu
Luqman kembali semula dengan segelas air suam buat Opah Halimah.
Bu Kartika duduk di sebelah Opah Halimah.
“Jemput makan Afzan, Shaheen. Jangan malu,” kata Haji Halim.
Afzan yang duduk di sebelah Shaheen senyum. Afzan dan Shaheen
mencapai cawan berisi air teh panas. Dicicip dengan hati-hati. Kerepek pisang
diambil lalu dikunyah perlahan. Shaheen masih terasa dirinya diperhatikan lalu
dia menoleh ke arah Opah Halimah.
“Opah buat apa tadi?” Shaheen bertanya.
“Opah tengah asingkan biji-biji kekabu tadi. Elok buat waktu pagi.
Tak ada la kekabu ditiup dek angin,” jawab Opah Halimah.
“Banyak kekabu tahun ni Ibu?” tanya Haji Halim. Terimbas kembali
kenangan semasa kecil. Sama-sama membantu ibunya memproses kekabu.
“Banyak juga. Dah lebih enam kampit Ibu jual,” kata Opah Halimah.
“Oh banyak tu Ibu. Sekampit ada 20 kilo kan,” ucap Haji Halim.
Opah Halimah mengangguk. “Itu pun ada lagi tu yang belom gugur
semua.”
Shaheen dan Afzan sama-sama melanggut memerhati pokok-pokok kekabu
yang sedang lebat berbuah.
“Nanti Akim tolong Opah yer,” Luqman menawarkan diri membantu.
“Esok tolong Opah angkat semua kampit tu. Hantar ke kedai Mak Biah,”
pinta Opah Halimah.
“Baik Opah,” kata Luqman sambil mengangkat tangan separas dahinya.
Dah macam tentera pula lagaknya.
“Opah jahit bantal?” soal Afzan.
“Ada juga. Bantal kekabu ni lagi selesa. Itu yang Opah buat sendiri.
Kalau ada yang nak beli Opah jual je,” balas Opah Halimah.
“Patutlah banyak bantal yang dijemur depan tu,” tambah Shaheen.
“Sha, itulah antara sumber pendapatan yang menyara kami sekeluarga.
Kalau musim hujan, tak boleh nak menoreh. Sawah pula ada musimnya. Jadi pokok
kekabu ni banyak jasanya,” luah Haji Halim.
Afzan dan Shaheen mengangguk. Sungguh pengalaman melalui semua itu
tidak pernah dirasai. Rasa seronok dapat berkunjung ke kampung Luqman segera
bercambah di hati. ‘Mujur Abi benarkan aku ke sini. Menikmati suasana kampung.’
“Ibu nak ke belakang. Kutip pucuk paku. Boleh buat kerabu. Kamu anak
beranak rehatlah dulu. Tengahari ni kita makan masak lemak nangka,” kata Opah
Halimah bangun menuruni tangga kayu.
“Sha ikut Opah boleh?” tanya Shaheen.
“Hmm marilah. Baik-baik turun tangga,” kata Opah Halimah.
Afzan turut mengekori Shaheen turun ke tanah.
“Opah, Akim pun nak ikut,” tergesa-gesa Luqman meletakkan cawan di
meja. Laju sahaja dia menuruni tangga. Mengejar kelibat Opahnya.
Haji Halim dan Bu Kartika tergeleng-geleng kepala melihat gelagat
anak teruna mereka. “Baik-baik Luq, usah ribut-ribut,” pesan Bu Kartika.
*******
“Opah tanam semua ni?” tanya Afzan.
“Opah dengan Tokki yang tanam. Pagi-pagi berkebun. Elok keluarkan
peluh. Kalau tak dapat pagi, petang-petang Opah dengan Tokki habiskan masa kat
sini,” jawab Opah Halimah.
“Rajinnya Opah,” kata Shaheen.
“Tak rugi berbudi pada tanah ni Cu. Hilang rasa penat bila tanaman
keluarkan hasil,” kata Opah Halimah.
Opah Halimah mengutip pucuk paku. Laju tangannya bekerja. Secekak
pucuk paku sudah pun berada dalam gengaman Opah Halimah. “Nah pegang ni,” Opah
Halimah menghulurkan pucuk paku yang dikutip kepada Afzan. Opah Halimah masih
lagi mengutip pucuk paku yang tumbuh meliar di belakang rumahnya.
“Opah kata nak buat masak lemak nangka. Nak Akim tolong Opah ambil
nangka tu?” tanya Luqman.
“Ha elok kamu masuk dalam ambil parang, senang kerja Opah,” balas
Opah Halimah.
“Opah ni pokok apa,” tanya Shaheen.
“Baik-baik Cu. Pokok ni berduri. Ini namanya pokok delima,” jawab
Opah Halimah.
“First time tengok pokok delima. Macam ni rupanya,” ucap Afzan.
Shaheen dan Afzan mendonggak sedikit melihat pokok delima yang
dikatakan oleh Opah tadi. Pokoknya tinggi dan kecil sahaja tapi berbuah banyak.
Lebih kurang 30 biji juga. Afzan mengira bilangan buah yang berbalut.
“Apa yang lucu sangat tu Afzan?” soal Shaheen.
“Ni ha sekali pandang dah macam pokok krismas pun ada,” balas Afzan.
Shaheen tergelak mendengar kata-kata Afzan.
“Amboi apa yang seronok sangat tu?” tegur Luqman. Di tangannya
sebilah parang kecil.
“Ni ha tengok pokok krismas,” jawab Shaheen.
“Mana-mana?” Luqman tertoleh-toleh mencari pokok krismas.
Serentak Opah Halimah, Afzan dan Shaheen menghamburkan tawa. Luqman
menggaru kepala.
“Kamu ni Akim, mana ada pokok krismas kat kebun Opah ni. Itu ha
pokok delima tu, cuba kamu tengok. Ada rupa pokok krismas kata kawan kamu ni,”
Opah Halimah berkata sebaik reda tawanya.
“Oh ingat apa la tadi,” Luqman puas hati dengan jawapan daripada
Opah Halimah. “Opah ni nak ambil yang mana?”
“Nak buat masak lemak ambil nangka muda tu Akim. Ambil yang atas tu
sikit. Yang itu Opah tak sampai,” kata Opah Halimah.
Luqman senyum. Segera dia memangkas nangka muda yang dimaksudkan
oleh Opahnya.
“Baik-baik getah nangka tu. Kena baju susah nak hilang,” pesan Opah
Halimah.
“Ya Opah,” sahut Luqman.
“Lisa, tolong Opah petik cili padi tu,” kata Opah Halimah. “Tu ambil
raga plastik tepi perigi tu. Letak cili dalam tu.”
Shaheen tidak berkata apa-apa. Dia tidak berkecil hati. Dia faham
Opah Halimah tentu rindukan arwah. Tanpa banyak soal, Shaheen memetik cili
padi.
“Aaah,” tiba-tiba Shaheen menjerit.
“Kenapa?” Luqman sudah berada di sisi Shaheen.
“Tu,” Shaheen menunjuk ke arah ulat bulu berwarna hitam oren
sederhana besar di balik daun cili. Terjerit dia bila tangannya tersentuh benda
lembik tadi.
Segera Luqman mencuit ulat bulu. Jatuh ke tanah ulat bulu tadi.
Segera dikuis jauh dari pokok cili.
“Hmm dah ok. Ulat bulu je. Kena tangan ke? Kalau tak nak gatal,
lurut tempat kena ulat bulu tu kat rambut,” kata Luqman. “Jangan sentuh tempat
lain nanti merebak gatalnya.”
Shaheen membulatkan matanya memandang Luqman. Afzan sudah ketawa.
“Betul apa saya cakap,” Luqman terpingga-pinga melihat gelagat Afzan
dan Shaheen.
“Betul la apa awak cakap tu sayang. Tapi rambut saya dalam tudung ni
ha. So macam mana?” soal Shaheen.
Afzan menyambung tawa.
“Sayang?? Sedap pula awak panggil saya macam tu,” Luqman sudah
senyum lebar.
‘Aku panggil dia sayang ke tadi.’ Shaheen terdiam. Malu menerpa.
Merah wajahnya. “Macam mana ni?” soal Shaheen.
“Macam mana apa?” soal Luqman kembali.
“Ni nak hilangkan gatal kena ulat bulu tadi,” kata Shaheen menukar topik.
"Kalau tak malu, awak gosok je tangan awak kat rambut saya,” balas
Luqman.
Shaheen terkejut mendengar kata-kata Luqman. Afzan kembali ketawa.
“Ha Ijan tak abis gelak lagi ke? Putus saraf gelak nanti,” usik
Luqman. “Dah simpan sikit untuk esok.”
Tawa Afzan makin galak. Bukan berhenti, bersambung lagi ada.
Shaheen mendekati Luqman. Ragu-ragu dia mahu menggosok tangannya ke
rambut Luqman.
“Saya offer sekali je. Kalau tangan awak gatal saya tak tanggung
ya,” ucap Luqman bila Shaheen teragak-agak menggosok tangan ke rambutnya.
“Betul ke ni,” kata Shaheen sambil melurut tangannya ke rambut
Luqman. Terasa lembut rambut menyentuh telapak tangan Shaheen. Darah menyerbu
ke muka. Merah wajah Shaheen menaham malu.
Opah Halimah yang memerhati tidak jauh dari situ hanya tersenyum.
Teringat dia pada arwah Alisa.
“Eh Ijan apa yang hitam kat ibu jari tu?” soal Shaheen memerhati ke
kaki Afzan.
“Mana Sha?” soal Afzan pula.
“Tu kat kaki kanan kau?” jawab Shaheen.
“Aaaaa pacat,” giliran Afzan pula menjerit. Opah Halimah tersenyum
melihat gelagat Afzan dan Shaheen.
Sekali lagi Luqman segera mendekati Afzan dan Shaheen. “Kenapa ni?”
“Tu pacat…aaaa tolong. Gelilah,” Afzan seperti terkena histeria.
Shaheen mula memeriksa kakinya. Dia mengangkat sedikit seluar jeans
yang dipakai. Puas hati tiada. Shaheen sudah menjauh dari kawasan berumput dan
semak.
Luqman segera menarik pacat yang sedang enak menghisap darah.
‘Sebelum betul-betul histeria baik aku cabut cepat.’
“Dah ke belum?” tanya Afzan.
“Dah,” jawab Luqman ringkas.
“Cukup la ni. Jom masuk. Tunggu Tokki balik, kejab lagi sampai la
tu,” ajak Opah Halimah. “Mai tolong Opah sedia bahan masak.”
Shaheen dan Afzan menolong Opah Halimah membawa pucuk paku, cili
padi dan belimbing buluh. Luqman membawa nangka muda dan pisang abu yang sudah
kekuningan.
“Opah nanti boleh ajar Sha masak nangka ni,” Shaheen berhasrat mahu
belajar memasak dari Opah Halimah.
“Boleh Cu. Nanti kita masak sama-sama,” balas Opah Halimah senang
hati.
“Ijan pun Opah. Nak belajar buat masak lemak nangka,” kata Afzan.
“Ni resepi dari arwah nenek Opah. Nangka masak lemak ikan masin,”
kata Opah Halimah.
Mendengar nama resepinya saja sudah membuatkan Afzan dan Shaheen
kecur liur. Tidak sabar mahu menuntut ilmu memasak dari Opah Halimah.
“Opah panjang umur Tokki. Baru sebut dah sampai tu,” kata Luqman
sebaik mendengar bunyi enjin motosikal Honda Tokkinya. Honda antik keluaran
tahun 1980. Lampu berbentuk bulat. Masih elok motosikal Tokki. Motosikal itu
dijaga dengan baik. Enjinnya pun tak pernah meragam.
Luqman sudah berjalan laju ke depan. Rindu dia pada Tokki.
*******
“Opah buat macam ni ke?” soal Shaheen. Tangannya sudah penuh
berlumur minyak. Gara-gara mahu elakkan getah nangka melekat di tangan dan
pisau.
“Dah elok la tu, pi cuci. Lepas tu masuk dalam periuk. Kena rebus
sampai empuk. Letak garam sikit,” pesan Opah Halimah.
“Opah buat apa tu?” Luqman turut turun ke dapur.
“Opah nak sediakan bahan kisar masak lemak. Akim tolong Opah ambil
serai kat luar. Dua batang cukuplah,” pinta Opah Halimah.
“Baik Opah,” Luqman sudah mencapai sebilah pisau. Dia keluar dari pintu dapur mencari serai.
“Opah dah siap,” Afzan menghulurkan satu bekas berisi santan kepada Opah Halimah.
“Terima kasih Cu,” ucap Opah Halimah.
“Kalau ya pun cuci la dulu serai tu Akim,” tegur Opah Halimah bila
dua batang serai itu dihulur kepadanya.
Opah Halimah sudah bersedia untuk mengisar kunyit hidup, bawang
besar, bawang putih dan cili merah. Sebelum bahan-bahan itu dikisar Opah
Halimah memasukkan sedikit air. Opah Halimah segera mengisar bahan-bahan tadi.
Siap dikisar lalu dituang ke dalam mangkuk. Mesin pengisar diletak ke dalam
singki. Mangkuk tadi diletak bersama bahan-bahan lain. Ada ikan masin kurau,
serai, santan, garam, asam keping, air dalam sukatan tiga cawan dan minyak
masak. Opah Halimah susun bedekatan tempat memasak. Mudah. Gaya dah macam chef
terkenal nak memasak sahaja.
“Opah kata nak ajar kami masak?”
Afzan sudah pun berdiri di sisi Opah Halimah.
Opah Halimah senyum. Dia gembira
dikelilingi anak cucu. Meriah rasanya. Jika sebelum ini hanya dia berdua sahaja
dengan suaminya.
“Ni Opah nak tunjuk,” Opah Halimah
mahu mula memasak.
Shaheen mendekati Opah Halimah. Dia
jadi teruja. Belajar masak dengan orang lama. Air tangan Opah Halimah pasti
sedap.
Mula-mula Opah Halimah masukkan
minyak masak. Lebih kurang satu senduk. Kata Opah Halimah api jangan kuat
sangat. Kalau kuat sangat nanti hangus.Tidak sempat bahan-bahan kisar tadi naik
minyak.
“Sha hulurkan pada Opah santan tu,”
pinta Opah Halimah. “Bila dah pecah minyak baru kita masukkan santan. Kacau
perlahan-lahan.”
“Opah boleh ke tukarkan santan
dengan susu?” tanya Shaheen.
“Boleh juga. Kan orang sekarang nak
jaga badan. Tak nak makan bersantan. Tapi Opah lagi suka kalau letak santan.
Rasanya lebih asli,” terang Opah Halimah.
Selepas itu Opah Halimah capai serai
yang telah diketuk. Dimasukkan kedua-dua batang serai tadi ke dalam periuk.
“Serai ni nak bagi wangi.”
Afzan dan Shaheen menganggukkan
kepala.
“Lepas ni masukkan apa Opah?”tanya
Shaheen.
“Ikan masin kurau tu ambil,” kata
Opah Halimah. "Sebelum tu tolong Opah asingkan masak lemak ni untuk Akim."
Afzan mengambil satu mangkuk lalu dihulur kepada Opah Halimah. Opah Halimah menceduk masak lemak nangka. Mangkuk tersebut dihulur kepada Afzan.
“Biar Sha tolong Opah masukkan dalam
periuk,” Shaheen memasukkan ikan masin dengan hati-hati. Tidak mahu kuah
bersantan terpercik ke tangan. “Sha tolong Opah kacau ya.”
Senduk di tangan Opah Halimah
dihulur kepada Shaheen. Dia mengacau perlahan isi ikan di dalam periuk.
“Boleh la masukkan air,” arah Opah
Halimah.
Afzan membantu Shaheen memasukkan
air ke dalam periuk. Shaheen mengacau perlahan.
“Bila nak masukkan nangka ni Opah,”
tanya Shaheen.
“Dah boleh dah. Ha masukkan sekali
nangka tu,” jawab Opah Halimah.
“Garam ni Opah?” soal Afzan.
Opah Halimah menghulurkan bekas
garam. Asam keping juga dihulurkan kepada Afzan. “Masukkan garam dengan asam
keping tu. Kacau sebati. Biar kuah mendidih sekejab dah boleh tutup api. Tak
payah lama-lama. Kan nangka ni dah kita rebus tadi. Dah empuk kan,” kata Opah
Halimah. Dia gembira dapat menurunkan resepi masakan kepada Afzan dan Shaheen.
“Oh,” jawab Afzan dan Shaheen
serentak.
“Amboi sedapnya bau,” tegur Luqman.
Dia sudah berdiri di tepi Opahnya. “Siapa masak?”
“Cuba rasa ok tak?” Shaheen menghulurkan sedikit kuah masak lemak
yang dicedok ke dalam piring kecil kepada Luqman.
Berasap kuah masak lemak berwarna sedikit kuning itu. “Awak masak ke
ni?”
“Kenapa? Tak sedap ke?” berkerut wajah Shaheen mendengar pertanyaan
Luqman tadi.
Afzan dan Opah Halimah juga sedang menunggu jawapan Luqman.
“Sedap. Macam Opah buat,” Luqman berkata jujur. “Betul ke awak
buat?”
Shaheen tidak berani mengaku. “Taklah. Saya tolong Opah je. Ni Opah
yang masak.”
Opah Halimah sudah senyum simpul. Dia tidak berkata apa-apa. Tidak
mahu merosakkan mood cucu-cucunya. Luqman senyum penuh makna.
“Opah kerabu pucuk paku tu Opah jangan lupa ya,” pesan Luqman.
“Kalau tak ada, makan tak kenyang Akim nanti.”
“Opah tau. Kamu kalau tak tanya kerabu pucuk paku, bukan kamu
namanya,” usik Opah Halimah.
“Mestilah. Kerabu Opah paling best in the world tau. Tak ada kat
tempat lain,” ucap Luqman sambil memeluk bahu Opahnya. Kepala dilentokkan ke
bahu Opahnya.
Opah Halimah senyum dipuji cucu kesayangannya. Gembira rasa hati.
Shaheen memerhati sahaja lagak manja Luqman. Dia senyum.
*******
“Akim pergi panggil Tokki, Papa dengan Mama kamu. Kita makan
tengahari sama-sama,” arah Opah Halimah.
Afzan dan Shaheen sudah pun menyiapkan meja makan. Mereka berdua
tidak membenarkan Opah Halimah mahu pun Bu Kartika membantu walau pun sudah berkali-kali
Opah Halimah melarang.
“Malu Opah, tetamu pula yang tolong hidang,” ucap Opah Halimah.
“Opah biarlah kami berdua yang tolong Opah. Bukan selalu kan,” pujuk
Shaheen.
“Patutnya tuan rumah layan tetamu,” luah Opah Halimah lagi sekali.
“Tak apalah Opah. Lagi pun bukan susah pun. Ni kan kerja orang
perempuan,” kata Afzan pula.
“Dah la tadi kamu berdua tolong Opah masak,” kata Opah Halimah.
“Jangan risau la Opah. Kami berdua dengan senang hati nak buat.
Nanti entah bila pula Sha dengan Ijan nak datang sini kan,” kata Shaheen sambil
memegang tangan Opah Halimah.
Opah Halimah senyum. Dia gembira dengan kedatangan cucu barunya.
“Amboi seronok nampak,” tegur Luqman.
“Ha jealous la tu,” usik Afzan. Sengaja Afzan memeluk bahu Opah
Halimah.
Opah Halimah rasa bahagia. Sudah lama rumahnya tidak semeriah ini.
Gurau senda bersama cucu-cucunya.
“Ibu masak apa ni? Sedapnya bau,” Haji Halim menyedut aroma masakan
ke rongga pernafasannya.
“Ini lauk kegemaran kamu dengan Luqman la,” balas Opah Halimah.
“Masak lemak nangka dengan ikan masin ya,” teka Haji Halim.
Opah Halimah menggangguk.
“Ni kerabu pucuk paku dengan kerang pun ada. Akim kejab lagi entah
berapa pinggan yang dimakannya?” usik Tokki Ibrahim.
“Tokki ni. Jangan la pecah rahsia. Malu Akim,” ucap Luqman seperti
orang berbisik ke telinga Tokki.
“Mah ambilkan Abang air suam,” pinta Tokki kepada isterinya.
“Tokki ni air suam Tokki,” Shaheen sudah pun menghulurkan air suam
kepada Tokki.
“Amboi cepatnya. Kalah kedai mamak. Minta je terus sampai,” kata
Tokki dalam nada mengusik.
Mereka semua sudah tergelak besar. Shaheen tersenyum malu. Dia
teringat pesanan Opah Halimah sebentar tadi. Tokki hanya minum air panas suam.
“Eh kenapa berdiri lagi tu. Duduklah Ijan, Sha. Kita makan
sama-sama. Sejuk lauk ni tak sedap pula,” kata Tokki yang sudah duduk di meja
bulat.
Luqman mengangkat tangan lalu membacakan doa makan. Habis doa
dibaca, Haji Halim mengambil sepotong buah betik. Pinggan buah dihulur kepada
Bu Kartika di sebelahnya.
“Manis,” kata Bu Kartika.
“Ini pokok kat belakang rumah ni. Ayah kamu tanam,” Opah Halimah
berkata sambil menjeling ke arah Tokki.
“Ai Akim, senyap je,” Tokki sengaja menegur Luqman yang sedang asyik
dengan kerabu pucuk paku.
“Sedih la Tokki,” kata Luqman. “Tak boleh makan masak lemak tu. Ada ikan.”
“Ala lupa saya. Kejab ya,” Shaheen sudah bangun menuju ke dapur.
Tidak lama, Shaheen kembali dengan semangkuk masak lemak nangka. Bezanya yang
ini tidak dicampur ikan masin.
Luqman sudah senyum gembira. “Ha macam ni baru Akim berselera nak
makan,” luah Luqman girang.
“Macam mana tau Akim tak makan ikan?”Tokki bertanya hairan.
“Sebelum ni kami pernah keluar makan sama-sama. Itu yang Sha tau,”
Haji Halim yang menjawab.
kelakar baca part luq suh Sha gosok tangan kena ulat bulu tu ke rambut
ReplyDeletehihikk petua tu dah betul..tu jer caranya...lurut kat rambut luqman
ReplyDeletebergenang mata baca part Opah teringat arwah alisa, then ijan pulak teringat arwah abg bai..sedih baca
ReplyDeleteterima kasih membaca sambil menghayati kisah ini...teruskan menyokong kisah ini.
ReplyDeletemana ye chapter baru... dah byk kali bukak...tapi masih 42...mana 43..(-:
ReplyDelete:) chapter 43 dah pun sha upload, just sha lupa nak masukkan link Kasihmu 43.. tq sdr/i remind sha..
ReplyDeleteSelamat membaca ya.. :)