05 October 2012

Kasihmu 13

Selesai menunaikan solat secara Jamak Taqdim, Afzan dan Shaheen bersiap untuk jalan-jalan sekitar ibukota Jakarta. Di ruang tamu, Haji Halim dan Luqman telah pun menunggu.

“Biasa kan Pa. Orang perempuan kalau bersiap lamanya,” komen Luqman.

Haji Halim senyum mendengar komen Luqman. “Sebagai lelaki kita harus sabar. Dah memang itu lumrah seorang wanita,” tegur Haji Halim lembut.

Luqman terdiam. Dia mengakui kebenaran kata-kata Papanya itu. ‘Kalau lama sangat boleh ke sabar?’ kata hati Luqman yang tidak terluah. Dia memusing-musingkan rantai kunci di jari telunjuk.

“Papa esok tiket flight ke Semarang atau terus ke Solo?” tanya Luqman meminta kepastian.


“Papa booking Jakarta – Semarang. Bila sampai Semarang, Luq amik teksi ya. Ambil teksi Golden Bird. Mahal sikit la. Kalau teksi lain bayaran sekitar Rp. 200.000 -. Rp. 300.000 berbanding Rental Mobil (Golden Bird) sampai Jepara Rp. 400.000. Di Jepara Luq boleh menginap di Jepara Indah Hotel.”

“Baik Pa. Jam berapa flightnya Pa?”
“Penerbangan pertama awal pagi besok Luq.”

Haji Halim memerhati jam di dinding. Jarum jam menghampiri pukul 2.30 petang. Seketika kemudian Bu Kartika, Afzan dan Shaheen telah pun berkumpul di ruang tamu. 

“Jom gerak. Luq drive ya,” usul Haji Halim.

 “Bisa diatur Pa,” jawab Luqman diiringi senyuman. 

‘Alhamdulillah,’ ucap Haji Halim melihat anaknya kini sudah mampu tersenyum. 

“Kita mau ke mana ni,” tanya Luqman bila semua sudah pun berada di dalam perut Avanza.

Afzan dan Shaheen hanya diam. Mereka mengikut sahaja ke mana mereka akan dibawa jalan-jalan pada petang itu.

“Langsung ke Thamrin City Luq,” pinta Bu Kartika. “Jam segini pasti macet terus nih.”

Luqman memandu ke arah yang ingin dituju. Walaupun jalan sesak, perjalanan masih lancar. Afzan dan Shaheen memandang kiri kanan jalan raya. Kesesakan jalan raya tak ubah seperti di Kuala Lumpur. Di sini kesesakan jalan raya disebut macet. Kosa kata baru buat Afzan dan Shaheen.

Shaheen memerhati ada sahaja penduduk sekitar yang pandai mengambil peluang dari keadaan macet tersebut dengan berjualan di tengah-tengah kesibukan lalu lintas. Rupanya ini pemandangan biasa bila lampu isyarat merah menyala. Di saat kenderaan berhenti.

“Sha lihat tu,” Afzan menuding jari ke arah seorang lelaki yang sedang mengendong dapur kecil.

“Apa yang dibuat dengan dapur tu Pakcik,” tanya Shaheen dengan nada ingin tahu.

“Oh.. lelaki tu jual tauhu bakar. Bila ada yang mahu beli, dia akan sediakan panas-panas,” Haji Halim turut memerhati lelaki yang berjalan di kiri jalan.

“Oh,” terluncur kata-kata berunsur kagum di hati Shaheen.

Perasaan kasihan bertamu di hati Shaheen. Apabila mata melihat ada anak-anak kecil naik turun kenderaan, menyanyi di jalanan dan mengusung barang-barang berat untuk dijual di lampu-lampu isyarat. Macam-macam cara dilakukan dalam mencari rezeki. Semuanya dilakukan demi sesuap nasi barangkali. Yang penting halal. Di saat itu timbul perasan syukur di hati Shaheen. Kehidupan di Malaysia jauh lebih baik. Perjalanan di bumi Jakarta membuka mata Shaheen untuk menginsafi diri. Menyedarkan Shaheen masih ada insan lain yang lebih sukar kehidupan mereka. Apa pun hidup mesti diteruskan.

Menurut Bu Kartika di Thamrin City barang-barangnya lebih murah, suasananya lebih selesa dan jalan pun tidak sesak berbanding di Tanah Abang. 

“Di Thamrin City bisa aja lihat Pusat Busana Muslim terbesar di tengah kota Jakarta. Selain terluas, Pusat Busana Muslim ini bisa berikan kenyamanan saat berbelanja. Lokasinya juga sangat strategis dan mudah dijangkau,” terang Bu Kartika.

Luqman hanya tenang di tempat duduk pemandu. Tiada sepatah kata keluar dari mulutnya. Matanya memandang ke hadapan. Dalam keadaan jalan yang macet, Luqman hati-hati mengendalikan Avanza hijau milik Haji Halim.

Sampai di hadapan tangga pintu utama Mall, Luqman memberhentikan kenderaan. Katanya dia akan memarkir kenderaan dan akan mengikut dari belakang. 

Haji Halim, Bu Kartika, Afzan dan Shaheen berjalan melepasi pintu mall. Afzan dan Shaheen memandang sekeliling. Kedai-kedai busana muslimah menangkap mata. Haji Halim dan Bu Kartika menuju ke arah eskalator menuruni ke tingkat bawah.

Mereka menjengah satu dua gerai busana muslim. “Di sini banyak sekali busana muslim dan kain batik tempatan. Kainnya juga bagus,” ucap Bu Kartika sewaktu tangannya memegang sehelai telekung yang tergantung di dalam gerai.

Afzan dan Shaheen hanya senyum. Mereka berdua hanya sekadar mahu melihat bagaimana suasana mall di Thamrin City.

“Maaf Mbak. Supirnya bisa ngga jadi tourist guide kalian berdua?” tiba-tiba Luqman muncul lalu menyertai Afzan dan Shaheen.

 “Bisa kok,” balas Afzan dengan loghat Indonesianya. Shaheen tersenyum mendengar kata-kata Afzan.

Mereka berlima sampai di lantai kedai-kedai busana muslimah dan kedai-kedai telekung. Di sini lantai itu maksudnya aras atau tingkat. Shaheen mulanya tiada mood shopping. Matanya sekadar memandang set penyangkut baju berwarna warni yang belum pernah dilihat di Malaysia. Bu Kartika, Shaheen dan Afzan singgah di satu kedai menjual telekung dan tudung labuh. Haji Halim dan Luqman menunggu di luar. 

Shaheen tertarik melihat corak dan design telekung yang terdapat di situ. Akhirnya selepas tawar-menawar dengan bantuan Bu Kartika Shaheen membeli tiga helai telekung yang berkerawang penuh berwarna biru cerah buat Umi dan merah hati buat Aida. Sudah pasti warna merah muda menjadi pilihan Shaheen. Afzan pula rambang mata memilih tudung dek harganya yang ternyata murah. Anak tudung cantik-cantik hanya berharga kurang lebih RM1.50 sahaja. Akhirnya Afzan memilih 2 helai tudung labuh. Satu warna biru dan satu lagi berwarna merah burgundi. Sepuluh anak tudung menjadi milik Afzan selepas puas memilih.

Semasa berjalan-jalan, Afzan dan Shaheen masing-masing membeli sehelai palazzo batik dan sehelai skirt labuh kain kapas jersi. Haji Halim dan Bu Kartika setia menemani Afzan dan Shaheen meronda hampir ke semua kedai yang berada di situ. Luqman hanya mengikut dari belakang. Di tangan Luqman terdapat satu beg kertas sederhana besar. 

Afzan tersenyum puas. “Amboi banyak shopping cik kak,” usik Afzan.

“Dulang paku serpih, mengata orang dia lagi lebih,” balas Shaheen memandang beg-beg kertas di tangan Afzan. 

“Aku tak tahan tengok. Semua cantik-cantik. Murah pulak tu. Tak boleh lama kat sini. Entah apa lagi yang aku nak beli lepas ni.” ngomel Afzan.

“Nak minum dulu ke sebelum kita bergerak keluar,” tanya Haji Halim pada semua. Semuanya menggelengkan kepala. Masing-masing masih kenyang. Hidangan tengahari yang disediakan oleh Bu Kartika masih terasa penuh di dalam perut. Lantas langkah masing-masing dituju ke arah lif.

“Sebentar Papa. Mama mau ke toilet sebentar,” kata Bu Kartika.

“Mari Sha temankan,” Shaheen menawarkan diri menemankan Bu Kartika. Afzan turut berjalan di sebelah Bu Kartika.

Sementara menunggu, Haji Halim dan Luqman duduk di atas bangku PVC berhampiran lif.

“Beli apa Luq,” tanya Haji Halim.

“Sepasang kebaya labuh Pa.”

“Buat siapa?”

Luqman tidak menjawab. Dia hanya senyum memandang Haji Halim. 

Sepuluh minit kemudian, Bu Kartika , Afzan dan Shaheen melangkah ke arah Haji Halim dan Luqman yang sabar menunggu. Mereka berlima memasuki lif. Afzan memandang Shaheen. Dalam tak ada mood shopping, berangkutan juga beg-beg shopping. Dia senyum.

Sampai di lantai parkir, mereka menuju ke arah Avanza hijau yang berada tidak jauh dari pintu keluar mall. Avanza beransur meninggalkan Thamrin City. Tiada kelihatan langsung orang Malaysia. Berbeza kalau di Pasar Tanah Abang menurut Haji Halim. Ramai pembeli dari Malaysia akan singgah di Tanah Abang. Walhal sini lagi selesa. Pilihan barangan pun boleh tahan murah. Apapun rasanya kepelbagaian barangan berlebih lagi di Pasar Tanah Abang menurut Haji Halim lagi. 

“Kalo ngga mau suasana kelibut ramai berulang bersentuhan bahu melalui lorong-lorong kecil antara gerai dan tenang lebih bagus kok shopping di Thamrin City Mall aja,” Bu Kartika menyampaikan pendapatnya.

Sejurus Avanza keluar melepasi simpang tiga dari perkarangan parkir bangunan Thamrin City Mall, Luqman menunjukkan kepada Afzan dan Shaheen satu bangunan besar berwarna hijau pucuk pisang di sebelah kanan dari bangunan Thamrin City Mall.

Bu Kartika beritahu Afzan dan Shaheen, “Itu lah bangunan Pasar Tanah Abang.”

“Eh dekat je dengan Thamrin City Mall ni,” kata Shaheen teruja. Sebelum itu Shaheen terbayangkan Pasar Tanah Abang seperti bazar. Rupa-rupanya satu bangunan besar empat tingkat menguasai pandangan Tanah Abang sekitar situ. Terlayar di mata Shaheen Bangunan SOGO di Malaysia.

Sekitar pukul 3 petang, jalan raya mulai macet atau pun jammed kata orang Malaysia. Afza dan Shaheen kurang member perhatian kepada jalan yang sesak. Sebaliknya mereka lebih memberi perhatian kepada bangunan di sepanjang kiri dan kanan jalan.

Avanza terus bergerak menuju ke Manteng. Sampai di simpang lampu isyarat, Luqman memberhentikan kenderaan. Lampu Isyarat berwarna merah ketika itu. Tiba-tiba datang seorang wanita mendukung anak dari tepi jalan mengetuk tingkap kenderaan di sebelah kerusi Afzan. Terkejut dengan ketukan di tingkap menbuatkan Afzan dan Shaheen sama-sama terjerit kecil. Luqman di tempat duduk pemandu sudah ketawa besar. Raut wajah Afzan dan Shaheen yang terkejut sungguh membuatkan Luqman ketawa.

Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, Luqman segera menekan pedal minyak. Avanza meluncur perlahan sementelah keadaan jalan yang macet.

“Luq kita singgah di Masjid Agung Sunda Kelapa. Kita solat Asar di sana,” arah Haji Halim.

“Baik Pa,” Luqman akur.

Sebaik sampai di perkarangan Masjid Agung Sunda Kelapa, terlihat sebuah taman permainan kanak-kanak di dalam kawasan masjid.

“Ayuh,” ajak Bu Kartika sewaktu mengambil beg telekung yang memang dibawa setiap kali keluar ke mana-mana.

“Kami dah solat jamak di rumah tadi Tante,” Afzan memaklumkan kepada Bu Kartika.

“Nah pegang ini,” Luqman menyerahkan kunci Avanza ke tangan Shaheen. Shaheen senyum menyambut kunci dari tangan Luqman. Cepat-cepat Luqman beredar mengikuti langkah kedua orang tuanya masuk ke dalam masjid.

Selepas memastikan Avanza telah dikunci, Afzan dan Shaheen berjalan menuju ke arah taman permainan kanak-kanak yang tersedia di situ.

“Bagusnya. Masjid di sini bukan sahaja sebagai tempat beribadah tapi tempat pertemuan sosial masyarakat setempat,” Afzan memandang sekitar taman permainan tersebut.

“Seharusnya begitulah Ijan.”

Mereka berdua duduk di atas buaian yang mengadap masjid. Mereka memandang ke arah masjid besar tanpa kubah. Menaranya berbentuk seperti perahu. ‘Unik,’ bisik hati Shaheen.

“Masjid ni lain dari yang lain kan. Bentuk bangunan macam perahu. Pelik pun ada,” omel Afzan sambil pandangan di hala ke arah Shaheen.

“Tentu ada sebab bangunan masjid ni direka seperti perahu,” ulas Shaheen. 

Dari jauh sayup-sayup kedengaran suara kanak-kanak bertadarus. Terasa aman serta tenang berada di perkarangan masjid. Suasana yang sedikit redup menambahkan lagi keselesaan berada di taman permainan tersebut. Ditambah lagi dengan tiupan angin yang menyegarkan. 

“Eh Sha jom ke sana,” ajak Afzan tatkala kelibat Luqman dilihat berjalan menuju ke arah Avanza hijau.

Shaheen bangun mengikuti langkah Afzan. Tidak jauh dilihat Haji Halim berjalan seiring dengan Bu Kartika. 
“Ke mana kita lepas ni Afzan. Aku dah penat sebenarnya. Tadi shopping sakan,” Shaheen nyata keletihan.

“Sha tadi tu bakar kalori la,” ucap Afzan. Kata-katanya mengundang tawa Shaheen. Luqman yang berada berhampiran terpingga-pinga. 

“Mbak ada yang bisa di share?” tanya Luqman berjalan mendekati Afzan dan Shaheen. Sebaik sahaja Luqman berdiri tidak jauh darinya, Shaheen mengembalikan kunci Avanza. 

“Ayuh semua,” panggil Haji Halim.

 “Mau ke Bandung,” tanya Bu Kartika. Afzan dan Shaheen hanya senyum.

 “Ma kita pulang dulu ya. Lagian besok aku sama mereka mau travel ke Jepara. Jadi ini malam mau istirehat kok. Moga besok kita semua fresh,” cadang Luqman.

“Ya benar juga tu Ma,” Haji Halim menyokong kata-kata Luqman.

“Ya udah. Kalau gitu Mama ikut aja,” balas Bu Kartika. “Tapi janji lho kalian berdua harus kok ke rumah Tante sebelum pulang ke Malaysia. Bisa kita jalan-jalan lagi,” kata-kata Bu Kartika yang ditujukan kepada Afzan dan Shaheen.

“InsyaAllah Tante,” jawab Afzan dan Shaheen serentak.

Tiba-tiba kenderaan bergerak sangat perlahan.

“Bisa ngga kita ke Restoran Nasi Padang Selera Bundo di depan sana. Udah lama aku ngga ke sana. Pingin bangat sama nasi Padang. Enak kan Ma,” Luqman bersuara meminta pandangan yang lain.

Sejurus saja keluar dari kereta Haji Halim minta sembunyikan sedikit beg-beg shopping dari pandangan melalui luar tingkap. Haji Halim juga memesan agar jangan tinggalkan backpack dengan kamera DSLR dalam kereta. Juga beg dengan iPad.

Sebelum masuk ke dalam restoran, Luqman singgah di gerai buah di luar restoran. Selain buah mangga, Luqman turut membeli buah langsat. 

Di dalam restoran, Haji Luqman, Bu Kartika, Afzan dan Shaheen memilih untuk duduk di meja panjang 10 kerusi di sebelah pembahagi dinding antara ruang makan dan ruang mempamerkan lauk-pauk dalam kabinet kaca.

Seperti biasalah di restoran Nasi Padang, sejurus saja kita menduduki kerusi meja makan, laju pekerja-pekerja restoran hidangkan lauk-pauk berpiring-piring. Antara lauk-pauk yang terhidang ialah Rendang Daging, Ayam Goreng, Sambal Hati Daging Campur Petai, Sayur Daun Singkung (Pucuk Ubi) dan Sambal Ijo. 

Bayar bil lauk-pauk yang dimakan sahaja. Walaupun hanya ambil seketul daging, tetap dikira harga satu piring. Juga budaya kedai makan di sini setiap hidangan dengan segelas teh O percuma. 

Restoran Nasi Padang Selera Bundo menyajikan makanan yang sedap. Sampaikan mereka meminta sepinggan lagi nasi tambah. Afzan yang sudah jatuh cinta dengan Sambal Ijo tetap berselera walaupun pedasnya sangat ketara.

“Pedas ya amat, tapi sedap.” Begitulah kata-kata Afzan sewaktu menyuap nasi ke mulut. Sebelah tangan lagi mengesat tisu ke hidung.

Selesai makan, Haji Halim menyelesaikan bayaran makanan enak mereka petang itu. Perjalanan seterusnya lebih kepada mencari jalan mengelak macet. Avanza berlegar sana sini mengelak jalan macet. Alhamdulillah tidaklah terperangkap dalam situasi beratur meluncur perlahan bagai siput kerana Luqman pandai cari jalan. Mereka selamat tiba di rumah sewaktu azan maghrib berkumandang. Masing-masing bergegas menyucikan diri dan seterusnya menunaikan tanggungjawab masing-masing mengadap Ilahi. Luqman mengimamkan kedua ibu bapanya di bilik solat sementara Afzan dan Shaheen menunaikan solat jamak maghrib dan isyak di bilik mereka.

4 comments:

  1. Sambal ljo tu dibuat drpd apa? Bunyi mcm sedap aje? hihi..

    Sha travel ke Indo ke atau duduk kat situ buat satu jangka masa ke atau berkursus?

    Nape dengan Luq ya? Hihi

    Mood: Cbuk nk tahu hal org :)

    ReplyDelete
  2. :) Kalau suka pedas memang best la kot.

    ni resepinya:

    BAHAN-BAHAN:-
    5-6 Biji lada hijau
    5-6 Biji cili padi hijau
    Bawang merah
    2 Biji lada merah
    (kalau nak kasi kalerful. optional eh tak guna pun tak pe..sebab namanya sambal ijo kan)
    sehelai daun limau purut
    1 Biji tomato hijau (kat sini guna yang hampir nak masak) dihiris
    1 sudu gula
    Sedikit garam
    Sedikit air
    Minyak untuk menumis

    CARA-CARANYA:-
    1.Tumbuk kasar lada hijau,cili padi,lada merah dan bawang.
    2.Tambah tomato dan lenyek-lenyek.
    3.Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk tadi serta daun limau purut.
    4.Bila minyak dah naik,tambah garam dan gula.

    Cik Shiroe, ni dari hasil pembacaan dan pertanyaan pada kawan yang berada di indonesia. Sha tak pernah pegi Indonesia

    Luq bersedih di atas pemergian seseorang.

    Cik Shiroe, bukan sibuk tapi ambil tahu..hihikk

    ReplyDelete
  3. WOW!!!!!! Tq sha...sy akn cuba kongsi resepi ni dgn my mum..nak buat sndiri tkt xkena rase..hihi..sgt2 terharu..tq sbb sudi kongsi menu ni

    Serius sha? Cara sha tulis tu mcm sha pulak yg pergi indo..sungguh sy xtipu ni...you impressed me! Seriously you did a really good work

    ReplyDelete
  4. Sama-sama Cik Shiroe..nanti dah cuba resepi roger2 sha yer..sambal ni resepi dari padang indo..

    terharunya rasa, TQ Cik Shieroe yang sudi membaca & memberikan komen. Sha amat hargainya..

    insya Allah mungkin suatu masa nanti akan sampai di indo

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim