23 February 2013

Cerpen: Oh No..Tolong

“Mama cuti sekolah ni Zara nak balik kampung aki boleh tak?” aku menghampiri mama yang sedang duduk membaca Majalah Wanita di ruang tamu. Aku turut duduk di sebelah mama.


Puan Zahra, mamaku tersenyum manis. “Betul ke ni nak balik kampung aki. Selalunya Zara menggelak tak nak balik kampung aki. Bosan la, banyak nyamuk la, panas la. Kenapa pula kali ni Zara nak balik kampung aki?” soal mamaku ingin tahu.

Aku terdiam. Benarlah kata Mama. Aku tidak ada jawapannya. Aku diam sahaja.

Melihatkan aku diam sahaja, Mama bersuara,” Kalau betul Zara nak balik kampung aki, nanti mama bagi tau papa ya. Kita balik sama-sama. Minggu depan cuti sekolah kan.”

Aku gembira mendengar kata-kata mama. “Ya ma. Cuti sekolah dah mula minggu depan.”

*******




“Aki,” aku berlari keluar dari kereta Honda Accord Papa.

Aki yang sedang menarah rumput di sudut kanan rumah menoleh. Bibir aki mengukir senyum buat aku, cucu perempuan aki yang manja ini.

“Zara, cucu aki,” aku salam tangan aki dan tunduk mencium tangan aki.

“Mana Opah?” aku bertanya sambil meninjau Opah di sekeliling kawasan rumah. ‘Tak nampak pun,’ aku berkata di dalam hati.

“Opah kat dalam jom masuk.” Aku yang masih di dalam dukungan Aki mengangguk sahaja.

“Abah,” tegur Papa dan Mama. Mereka turut bersalaman dengan Aki dan turut mencium tangan aki.

“Zara turun sayang. Kesian aki. Tak larat dukung Zara lama-lama. Zara bukan budak kecil lagi tau. Dah anak dara sunti tau.” Mama mengingatkan aku.

“Tak apa la Zahra. Mari masuk. Mak kamu ada di dalam. Mahu buat kuih peria katanya,” Aki berjalan masuk dengan aku masih didukung oleh aki.

“Hah ya ke abah.” Papa teruja bila mendengar Opah sedang membuat kuih kesukaan papa.

Sampai di dapur aku lihat opah sedang mengguli tepung pulut yang telah pun berubah warna kepada hijau.

“Opah,” aku sudah menjerit memanggil opah. Opah yang sedang mengguli tepung terus berhenti bila saja aku cucunya berlari mendapatkannya. Cepat-cepat opah mencuci tangan.

“Bila sampai ni, cucu opah yang cantik ni,” habis pipi kanan dan pipi kiriku dicium opah. Aku turut berada di dalam pelukan opah. Bahagianya.

“Baru je kami sampai mak,” papa dan mamaku meluru ke arah Opah. Tangan Opah, papa dan mama salam. Opah turut memeluk papa, anak sulung aki dan opah. Selepas itu opah memeluk mama pula, satu-satunya menantu perempuan opah.

“Mak buat apa ni?” soal Mama.

“Mak nak buat kuih peria. Ni mak tau kamu nak balik mak buat la sikit.” Opah berkata dalam senyuman. “Kamu masuk la bilik tengah tu. Mak dah kemas tadi.”

“Terima kasih mak,” ucap papa.

“Apa yang wangi ni opah,” aku bertanya sambil hidung aku kembang kempis menghidu aroma wangi di sekitar dapur opah.

Opah senyum melihat gelagat aku. “Zara ni bau daun pandan. Tadi opah dah kisar daun pandan. Lepas tu opah tapis dan ambil airnya. Ni yang tepung ni jadi hijau.”

“Oh gitu ya opah,” sahut aku sambil melihat opah menceduk inti kelapa lalu dimasukkan ke dalam tepung tadi. Selepas itu aku lihat opah letakkan tepung tadi di atas acuan yang diperbuat dari tali rafia yang telah dijalin menjadi bentuk seperti bunga pinang. Kemudian opah memulas tepung tadi dalam acuan tu. Cantik saja adunan tepung dan inti kelapa itu berbentuk lonjong dengan jalur-jalur seperti peria sebenar. Aku ralit memerhati opah. Kuih peria yang sudah siap dimasukkan ke dalam pengukus. Opah ulang lagi sampai penuh kuih peria dalam periuk kukus.

“Sepuluh minit lagi masak la kuih peria ni,” kata opah sambil meneruskan kerja-kerja membuat kuih peria. Aku duduk di situ menemani opah.

“Mak boleh saya tolong mak,” mama berkata sambil berdiri di sisi Opah.

Opah senyum pada mama. Kemudian opah tunjuk pada mama cara-cara menyediakan kuih peria. Mama kulihat teruja mencuba dengan tunjuk ajar dari opah.

“Opah zara pun nak tolong opah,” aku bersuara manja.

“Tak usah la. Zara tolong opah makan kejab lagi ya sayang,” kata opah sambil meneruskan kerjanya.

“Oh tentu saja boleh opah,” aku menjawab dalam nada gembira.

Opah berlalu ke arah rak pinggan. Jug air tinggi Opah capai. Air panas di dalam termos opah tuang ke dalam jug yang dah diisi sebuk teh dan gula. Opah kacau air teh panas itu mengikut arah lawan jam.

“Zara tolong opah ambil cawan dan piring kat rak pinggan tu sayang,” pinta opah lembut.

Aku menghala ke arah rak pinggan di sebelah sinki tepi tingkap. Dulang sederhana kecil aku capai. Sambil mengira jari aku mula mengambil lima biji cawan dan lima piring. Aku susun di atas dulang. ‘Hati-hati Zara oi,’ aku sempat bermonolog sendirian semasa menggangkat dulang ke meja makan tempat mama sedang membuat kuih peria.

“Pandai cucu opah. Pergi naik atas panggil aki dengan papa. Kita minum sama-sama,” arah opah.

Aku laju sahaja mendaki tangga batu rumah opah. Derap kakiku jelas kedengaran. “Opah aki dengan papa tak ada pun,” aku menjerit dari tengah rumah.

“Aki kan cakap mau kutip pucuk paku tadi Zara,” mama mengingatkan aku. "Aki kat belakang rumah dengan papa la tu. Cuba Zara pegi ke belakang,” usul mama.

Aku lihat itu kuih peria terakhir hasil tangan mama. Sudah siap. Semuanya cantik tersusun di dalam loyang sebelum dikukus. ‘Pandai mama aku. Aku bangga.’

Rumah Aki banyak tangga. Dari tengah rumah aku berlari menuruni anak-anak tangga batu di bahagian hadapan rumah separa batu separa kayu milik aki.

*******

“Rajinnya abah tanam semua ni,” papa memerhati tanah belakang rumah aki yang dipenuhi tanaman berupa sayur-sayuran dan pokok buah-buahan. Ada cili padi, terung, bendi, daun kunyit, serai, limau purut, limau kasturi, daun kucai, kacang panjang,  dan pokok jagung. Terdapat juga pokok ubi kayu, pisang awak, rambutan, belimbing dan pokok betik.

“Rajin apanya, ni lah hasilnya bila berbudi pada tanah Zikri. Jimat tak payah beli di pasar.“

Aki laju sahaja memetik pucuk paku di sekeliling kebun. Secekak sudah pucuk paku di tangan aki. Papa mengikut aki memetik pucuk paku.

“Di kampung macam-macam boleh buat kan. Bercucuk tanam sudah pasti. Bela ayam itik lagi. Kalau ada hasil yang lebih boleh juga sedekah pada jiran atau jualkan di pasar kan abah.”

“Ha betul la tu. Hari-hari keluar peluh. Badan pun sihat,” tambah aki.

Bunyi tapak kaki berlari-lari anak menuju ke arah kebun sayur aki.

“Papa, aki,” jerit Zara.

“Buat apa ke sini. Banyak nyamuk. Pacat pun ada,” sengaja aki cakap seperti itu.

“Hah ya ka aki. Mana? Mana?” Zara sudah melompat setempat. Bimbang jika seekor pacat melekat di kakinya.

Aki dan papa sudah mula ketawa melihat reaksi Zara.

“Papa dengan aki saja ya kenakan Zara. Tak nak kawan papa dengan aki,” tutur Zara seperti merajuk. Nada rajuk yang dibuat-buat.

“Zara tak nak kawan dengan papa ya. Tak apa papa boleh kawan dengan aki, opah dan juga mama,” balas Encik Zikri sambil menjeling aki. Sengaja mengusik anak tunggalnya.

Aki ketawa mendengar kata-kata Zikri. “Ala cucu aki. Dah besar pun nak merajuk lagi.” Aki mendekati Zara. “Zara datang sini kenapa? Jom kita masuk. Dah la tu Zikri. Banyak juga ni,” ajak aki.

Aki, Zara dan Encik Zikri berjalan menghala ke pintu dapur. Opah dan Mama masih di dapur. Mama sedang mencuci semua peralatan yang telah opah gunakan tadi. Opah pula sedang mengangkat loyang terakhir yang berisi kuih peria dari periuk kukus.

“Mari duduk sini. Kita makan sama-sama. Panas-panas ni sedap,” pelawa opah.

“Zara cuci tangan dulu sayang,” arah Puan Zahra.

Zara mencelup jari-jari kecilnya ke dalam mangkuk berisi air. Selepas itu dicapai sebiji kuih peria. “Oppps panas.”

Puan Zahra mengampil piring kecil dan sudu. Kuih peria dimasukkan ke dalam piring tersebut lalu dipotong kepada dua bahagian menggunakan sudu tadi. Piring berisi kuih peria dihulur kepada Zara yang duduk di sebelah Puan Zahra, “Ambil ni. Cepat sikit sejuk.”

“Sedapnya,” Zahra menguyah perlahan.

Encik Zikri juga sudah mengambil kuih peria yang ketiga. Puan Zahra menjeling suaminya.

“Mak sedapnya. Lama tak makan kuih ni. Kat KL tak pernah jumpa kuih ni mak,” kata Zikri sambil menggigit kuih peria di tangan.

“Mak nanti beri resepinya. Boleh la Zahra buatkan untuk abang.”

*******

“Opah buat apa ni,” aku bertanya bila melihat opah sedang mengopek bawang.

“Nak masak la Zara.”

Aku lihat mama sedang menyiang ikan. Ikan bawal. “Ada apa-apa yang boleh Zara tolong,” aku menawarkan bantuan.

“Tak payah la sayang. Zara duduk je kat situ ya,” Opah menegah aku menolongnya di dapur.

“Zara tolong cuci pinggan boleh ke?”

“Zara nak tolong ya. Kutip semua pinggan dengan cawan tu letak di sinki. Lepas tu Zara tolong cucikan. Boleh tak?” tanya mama.

Aku terus buat apa yang mama minta. “Ok mama.”

Tengahari itu mama dan opah memasak bersama-sama. Ikan bawal mama masak berlada. Sedap. Opah pula tolong sediakan bahan. Aku lihat mama yang masak tadi. Patut la opah sayang mama. Aku tau opah sayang mama sebab mama tahu ambil hati opah di dapur. Pucuk paku yang aki ambil di kebun tadi mama masak lemak dengan ikan bilis. Wah aku tengok papa menambah nasi tiga kali. Pedas sikit kuahnya tapi aku tetap berselera makan. Berpeluh juga aku dibuatnya. Aki menjaga makannya. Kencing manis katanya. Tak boleh makan nasi banyak. Aki banyak makan sayuran. Pucuk paku masak lemak itu menambat selera aki.

“Zara tolong mama cuci pinggan boleh tak,” sekali lagi mama minta bantuan aku.

“Baik mama.”

Sementara aku mencuci pingan, aku lihat mama menjerang air. Mahu buat kopi katanya. Aki, opah dengan papa ada di atas. Sedang berbual-bual kosong. Aku siap mencuci pinggan dan menunggu mama membuat kopi.

“Jom naik atas,” ajak mama. Aku mengekori mama.

*******

“Jangan nakal-nakal ya. Hujung minggu ni papa datang ambil Zara ya,” pesan papa.

Sebelum papa dan mama memasuki kereta, aku bersalaman dengan keduanya. Papa dan mama bersalaman dengan aki dan opah.

“Kami balik dulu. Zara elok-elok ya kat sini,” pesan mama pula.

Aku hanya angguk sahaja sambil pegang tangan opah.

“Tata Papa Ma,” aku melambai tangan pada keduanya.

*******

Dua hari dah aku kat kampung. Seronok rupanya tinggal di kampung. Pagi-pagi aku ikut aki dengan nenek berkebun. Kutip hasil kebun opah paling aku suka. Bendi dah boleh petik kata opah. Aku petikkan untuk opah. Selalunya aku tau makan bendi je. Kali ni aku petik dari pokoknya. Bunga terung pula cantik dengan warnanya yang keungu-unguan.

Aki pula sedang mermerhati pokok betiknya. Ada sebiji yang dah pun masak kekuning-kuningan.

“Betik ni dah masak.” Aki letak betik di tepi.

“Aki wanginya bau buah nangka ni,” aku memegang buah ‘nangka’ yang berbalut kain itu.

Opah dah ketawa. Aki pula dah tersenyum lebar. Aku jadi pelik kenapa pula opah dan aki ketawa.

“Zara tu buah cempedak.” Aki mendekat lalu membuka sedikit kain yang membalut buah cempedak itu. Aku lihat aki mengetuk-ngetuk kulit cempedak.

“Dah masak ke bang,” tanya opah.

“Dah ni. Bau pun dah semerbak ni.”

“Boleh kita goreng kejab lagi ya Zara.”

Aku tersenyum gembira. Sarapan cempedak goreng la jawabnya pagi ni.

Tiba terasa seperti ‘sesuatu’ di bahagian jari kaki kanan ku. Aku menunduk. Ada ‘sesuatu' berwarna hitam. Aku cuba buang. ‘Eh apa ni lembik saja.’

“Oh no. Aki tolong. Opah tolong,” aku sudah menjerit dengan nyaringnya bila aku tersedar rupanya seekor pacat telah pun kenyang berada di antara jari-jari kaki kanan aku.

Opah dan aki sedikit terkejut mendengar jeritan aku. Mereka berdua bergegas mendapatkan aku.

“Aki cepat la. Zara takut.”

“Kenapa ni Zara?” tanya opah yang nyata cemas saat dia tewrdengar aku menjerit tadi.

Aku menunjukkan pacat yang terselit di jari kaki ku itu.

“Hahaha. Zara ni buat aki terkejut saja. Ingatkan apa tadi. Kejab ya,” aki menarik pacat yang sudah kenyang itu.

“Aki abis la darah Zara.”

“Ish tak la Zara. Pacat ni ambil darah kotor je. Elok untuk Zara.”

“Hah elok ke kena gigit dengan pacat. Opah jom la masuk. Zara tak nak la duduk sini lama-lama. Nanti ada lagi pacat gigit Zara.”

“Ye lah. Mari masuk,” opah memimpin tangan aku.

Sampai di dapur aku bergegas ke bilik air. Membersihkan luka gigitan pacat tadi.

“Tolong! Opah,” sekali lagi aku menjerit. Aku baru nampak seekor lagi pacat berdekatan buku lali kaki kanan aku. ‘Oh no, lepas ni aku tak nak lagi pegi kebun. Banyak pacat,’ aku berkata dalam hati.

*******

Tinggal dengan opah dan aki ni seronok. Ada macam-macam aktiviti. Kalau petang lepas zuhur tu aku ikut Opah pegi belajar mengaji.  Seronok sangat. Sebelah malam pula sebelum maghrib aku ikut aki dan opah ke surau. Tak jauh pun dari rumah aki. Berjalan kaki tak sampai pun sepuluh minit. Kalau azan memang dengar dengan jelas. Solat maghrib dan isyak berjamaah di surah. Mendengar kuliah maghrib sementara menunggu masuk waktu isyak. Aku seronok sangat.

Aku kenal la juga tiga empat orang kanak-kanak yang hampir sebaya dengan aku. Paling aku ingat Aina yang duduk selang tiga buah rumah dari rumah aki dan opah. Dia juga yang kenalkan aku dengan kawan-kawan yang lain. Sebelah petang aku ikut Aina bermain tengteng atau batu seremban. Paling aku ingat main galah panjang dan main tuju tin yang ala-ala bowling saja pada aku. Aku tak tau pun ada permainan ni semua. Kata opah ni semua permainan rakyat. Budak-budak di bandar macam aku mungkin tak tau. Kami lebih terdedah dengan permainan komputer. Baru aku terasa rugi. Dulu aku paling tak suka balik kampung.

Sekarang baru aku ada idea nak tulis karangan yang Cikgu Fatihah bagi sebelum cuti sekolah bermula tempoh hari. Aku senyum sendiri.

“Zara apa yang senyum sorang-sorang tu?” tegur opah lalu duduk di sisi aku. Opah meletakkan sepiring ubi kayu rebus dan sepiring kelapa parut. Sepiring lagi ubi rebus yang berwarna keperang-perangan.

“Ubi ni makan dengan kelapa ni ke opah?”

“Ya. Cuba Zara rasa,” opah menghulurkan piring kecil berisi ubi kayu rebus dan sedikit kelapa parut.

“Sedap la opah. Yang ni apa pula?” aku bertanya sambil menunjuk ke piring di hadapan opah.

“Ha yang itu ubi rebus sira dengan gula merah. Mesti Zara tak pernah cuba kan,” ucap aki menyertai opah dan aku di ruang tamu.

“Aki tak boleh makan sangat yang itu. Manis tak elok untuk kesihatan aki,” ucap opah.

“Tapi kenapa opah masak juga kalau aki tak boleh makan?” aku bertanya lagi.

“Sebab opah nak jamu cucu opah la. Jadi Zara kenal makanan kampung. Sini tak ada ‘kepci-kepci’ tu,” jawab opah.

“Apa tu opah ‘kepci’?”

“Ala ayam goreng yang macam dalam tv tu la Zara.”

“Hahaha,” aku sungguh-sunguh gelak bila baru aku faham opah maksudkan KFC tadi tu.

“Zara baik-baik tersedak nanti,” tegur aki bila saja aku hampir tercekik ubi rebus tadi.

*******
“Bagus Zara. Karangan awak ni Cikgu suka. Cikgu boleh rasa seperti cikgu yang berada dalam kisah yang kamu tulis ni. ”

Aku tersenyum gembira bila Cikgu Fatihah memuji karangan aku di hadapan kelas. Tak sia-sia aku balik kampung aki. Malah aku jadi rindu dengan aki dan opah. Di kampung aku belajar macam-macam dari aki dan opah. Paling aku tak lupa bila aki bawa aku menjala ikan di sungai.  Itu pengalaman yang tak mungkin aku dapat di mana-mana.

Aku juga teringat pada Aina. Teman sepermainan aku di kampung. Kami sempat bertukar alamat. Aku akan poskan surat kepada Aina lepas balik dari sekolah nanti.

“Oh no. Aku tertinggal surat yang siap aku tulis semalam kat rumah. Tolong.

7 comments:

  1. haha..rajin je zara ni..
    ini semua pengalaman Sha ke? hihi2..(sebab susah nk tulis semua ni kalau bkn berdasarkan pengalalaman kita sendiri, itu pndpt sy lah, kalau sy tak berapa reti hihi...)

    :)

    ps; main galah pjg memang best!!!

    ReplyDelete
  2. :) sha pun suka karakter zara ni comel, rajin & manja..

    kisah kebun tu sha ambil dari kebun sayur mak. bila balik kampung tengok ada bendi, cili padi, terung yang mak tanam. so sha & adik-adik cakap 'ni baru real farmville' hihikk..

    serba sedikit pengalaman sha masa kecil dulu..di sekolah ada masa main tengteng, batu seremban, galah panjang, tuju tin. jadi sha masukkan ke dalam kisah ni

    hihik..setuju main galah panjang memang best..

    ReplyDelete
  3. hahaha.. baca sal pacat teringat kisah masa buat trekking hutan dulu.. ahha.. kaw bawah byk sgt pacat.>.<

    comel je si zara tu..kekekekek =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. kes pacat ni bukan takut tapi geli kak...

      zara yang comel..

      Delete
  4. berdua bersatu xhabis lagi.. =) sikit je lagi... ^^ hehexD *xleh klik shoutbox..kenapa ekh akk? >.<

    ReplyDelete
  5. Lieza,

    kalau masuk hutan..pacat confirm ada..hmm tengok nasib la kena ke tak..

    :)sha pun suka watak zara..comel..

    dok tunggu kisah seterusnya: berdua bersatu..

    ReplyDelete
  6. lieza,

    eh yer ker..shout box tak leh klik eih..sha klik ok..something wrong somewhere ni..

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim