06 May 2013

Kasihmu 30

“Assalamualaikum Abi.”

“Waalaikumsalam. Een kenapa ni? Siapa yang menangis tu? Een ok ke tak ni?”

Bertubi-tubi pertanyaan Encik Suffian lontarkan. Hatinya jadi risau.

“Abi, Een ok. Een nak minta kebenaran Abi pergi ke Perlis.”

“Perlis? Ada apa ni Een, Abi jadi risau pula.”

“Keluarga Ijan kemalangan. Mak Ijan baru call tadi. Jadi Een risau pula nak biarkan Ijan drive sorang diri. Jadi Een temankan Ijan boleh ke Abi?”

“Een yang drive? Hati-hati ya. Baik, Abi benarkan. Sampaikan salam Abi pada keluarga Ijan bila sampai nanti.”

“Tak Abi. Rayyan, sahabat Haji Luqman yang drive. Haji Luqman pun ada ni. Terima kasih Abi. Insya Allah Een sampaikan. Dah sampai sana Een call Abi lagi.”

“Een, bagi Abi cakap dengan Rayyan atau Haji Luqman.”

Shaheen menghulurkan telefon bimbitnya kepada Luqman.

"Assalamualaikum Pakcik. Luqman ni.”

“Ya nak Luqman, Pakcik nak pesan ni. Hati-hati ya. Jauh perjalanan tu. Jika ada apa-apa, cepat-cepat hubungi Pakcik.”

“Baik Pakcik. Saya akan ingat pesan Pakcik tu. Terima kasih ingatkan saya.”

“Baiklah. Ingat ya pesan Pakcik. Pakcik serahkan anak pakcik dan Ijan, yang dah macam anak Pakcik juga pada kamu. Tolong jaga mereka.”

“Baik Pakcik. Saya akan jaga mereka seperti saya menjaga diri saya sendiri. Kalau gitu kami bergerak sekarang ya Pakcik. Assalamualaikum.”

Luqman menyerahkan kembali telefon bimbit kepada Shaheen. Dia menghadiahkan senyuman.

“Maaf ya Luq. Abi memang macam tu,” luah Shaheen.

“Oh tak apa. Saya faham. Dia tentu bimbang melepaskan anak gadisnya jalan jauh. Insya Allah saya janji akan jaga awak dan Ijan seperti mana yang saya janji dengan Abi awak Sha.”

“Bolehlah gerak sekarang,” kata Shaheen.

Rayyan di tempat duduk pemandu tetap fokus memandu. Tiada sebarang ucapan yang keluar dari bibirnya. Namun di fikirannya berlegar-legar nama ‘Een’ yang didengari dari mulut Shaheen tadi. ‘Adakah gadis ini gadis kecil yang sama yang pernah dia kenali dulu?’ guman Rayyan. 

Rayyan memandu ke Persiaran Mahogani ke arah Jalan PJU5/22. Dari situ dia membelok ke kanan ke Persiaran Surian. Sekali lagi Rayyan membelok ke kanan memasuki Persiaran Kenanga. Rayyan memandu di lorong kiri. Dia memandu terus sambil memerhati papan tanda yang menunjukkan arah susur keluar ke Lebuhraya Utara-Selatan. Dari susur keluar tersebut, masih ada 6.4 kilometer sebelum mereka memasuki Lebuhraya Utara-Selatan.

“Kita singgah di kawasan rehat Tapah ya, mungkin nak ke tandas atau singgah makan di sana” cadang Rayyan. 

“Saya ok saja. Awak yang memandu Rayyan. Elok berhenti jika awak letih atau mengantuk. Tak kisah la kat mana-mana R&R pun. Saya ikut saja.”

“Betul kata Sha tu Rayyan. Kalau penat, aku boleh ganti,” Luqman pula memberikan pendapat.

“Ok,” balas Rayyan ringkas.

Perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan terasa sungguh lama. Biarpun ketika itu Rayyan sudah pun memecut laju kepada had laju maksima. Sudah lebih tiga jam mereka di atas jalan.

“Rayyan, kita berhenti dulu di R&R Sungai Perak. Kita solat jamak Zuhur dan Asar kat situ,” usul Luqman.

“Ok. Aku pun nak isi minyak juga ni,” balas Rayyan.

Tiba di Kawasan Rehat Sungai Perak, Rayyan mengambil susur keluar di sebelah kiri. Dia memandu perlahan. Dia menuju ke arah Stesen Minyak Petronas dahulu. Selepas itu dia mencari tempat meletak kenderaan. Mereka berempat berjanji untuk kembali berkumpul di kereta semula pada pukul 5.00 petang.

“Afzan, awak nak makan? Tengahari tadi awak makan roti bakar dengan mushroom soup je kan. Awak nak saya belikan something untuk awak?” tanya Rayyan.

Afzan hanya menggeleng. Dia benar-benar tiada selera. Hatinya mahu segera kembali ke Arau. Bertemu insan kesayangannya. ‘Ya Allah moga Abang tak ada apa-apa. Jagakan dia untukku Ya Allah,” doa Afzan di dalam hati.

“Hmm kami ke surau dulu. Nanti jumpa kat sini semula ya,” usul Shaheen.

Mereka berempat menaiki eskalator menuju ke tingkat atas. Shaheen berjalan di sisi Afzan. Sahabatnya itu dipimpin untuk memberi kekuatan dan semangat kepadanya. Sampai di surau, Afzan duduk bersandar di dinding. Dia seolah-olah hilang punca saat mendapat perkhabaran buruk tengahari tadi. Namun cepat-cepat dia beristigfar. Segera dia beralih ke tempat wuduk. Selepas itu sepasang telekung yang berada di situ dicapai. Sejadah berwarna coklat juga dicapai lalu dibentang bersebelahan dengan Shaheen yang sudah pun masuk rakaat kedua solatnya. Usai menunaikan solat Jamak Takhir dan Qasar, Afzan dan Shaheen kembali ke tempat yang mereka janjikan untuk bertemu Rayyan dan Luqman. Dari jauh kelibat Rayyan dan Luqman sudah pun mereka kenalpasti.

“Elok kita makan dulu. Setahu saya kat sini menu paling best nasi lemak rendang tok,” ajak Luqman. Dia juga risau akan keadaan Afzan.

“Jom Ijan. Kalau tak nak makan banyak, kita makan sikit,” pujuk Shaheen pula.

Afzan tidak sampai hati pula menolak. Dia tahu, sahabatnya tentu risau akan dirinya.

“Awak berdua duduk sini. Biar kami pergi ambil makanan. Sha, teman Afzan ya,” pesan Rayyan.

“Nak minum apa?” soal Luqman pada Afzan dan Shaheen.

“Air barli.”

“Sama juga dengan Sha,” jawab Afzan.

Shaheen memegang tangan Afzan. Dia memberikan senyuman buat sahabatnya itu. Dia yakin jika dia yang berada di tempat Afzan sekarang, pasti Afzan juga akan melakukan hal yang sama.

Sepuluh minit kemudian, Rayyan dan Luqman tiba dengan empat hidangan nasi lemak rendang tok dan empat gelas minuman.

Kali ini Luqman pula mengambil tempat Rayyan sebagai pembaca doa. Selepas itu mereka makan. Aroma nasi lemak yang masih panas ditambah dengan rendang tok, resipi paling popular di Perak, mereka makan tanpa bersuara. Afzan menyuap sedikit nasi lemak ke mulut. Lambat-lambat dia mengunyah.

‘Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dia makan walau sikit,’ ucap Rayyan hanya di hati.

Mereka meneruskan perjalanan menuju ke Arau, Perlis. Perjalanan lancar sahaja. Lagi pula sekarang bukan musim cuti sekolah. Jadi lebuhraya berada dalam keadan terkawal. Simpang keluar ke Kamunting telah pun mereka lepasi.

Rayyan dan Luqman hanya diam membisu. Rayyan memandu dengan tenang. Sesekali dia melirik ke cermin pandang belakang. Wajah Afzan dilihat sekilas.

Rayyan mahu sahaja bertanya siapakah ‘Abang Bai’ yang ditangisi oleh Afzan. Namun niatnya dipendamkan sahaja. Bimbang jika mengundang rasa sedih yang lebih hebat kepada Afzan.

“Afzan, awak tidurlah sekejab. Dah sampai nanti kami kejutkan awak,” pujuk Luqman. Luqman faham bagaimana perasaan Afzan. Dia juga pernah mengalami situasi yang sama.

Shaheen menarik Afzan bersandar ke bahunya. Dia berharap Afzan dapat melelapkan mata barang sekejab.

Afzan diam sahaja. Air matanya masih setia menuruni pipi. Diseka air mata perlahan-lahan sambil menutup mata. Harapannya agar bila mata dibuka, semuanya seperti sediakala.

Sepanjang perjalanan mereka kurang bercakap. Masing-masing melayan perasan gundah sama seperti Afzan. Rayyan menekan punat radio. Berkumandang celoteh DJ Radio Hot FM. Kepetahan Sharifah Aleya petang itu mengundang senyum di bibir Rayyan.

“Hmm kat Hentian Rehat Gurun nanti saya kena berhenti kejab, isi minyak. Mungkin boleh kita solat jamak dulu dan makan kat sana,” kata Rayyan memecah kesunyian.

*******
Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang lapan jam tiba di destinasinya. Mereka tiba di Arau, Perlis sekitar jam 8.00 malam. Sebaik tiba di laman rumah Abang Bai, sudah ramai sanak saudara dan jiran-jiran berkumpul. Afzan segera meluru naik ke atas rumah. Langkah kakinya terhenti bila terlihat sekujur tubuh terbaring kaku di ruang tamu. Matanya segera mengalirkan air mata. Rasa tidak percaya masih beraja di hati.

Ramai sanak-saudara serta jiran-tetangga sudah berkumpul mengelilingi jenazah. Ayat-ayat suci bersahut-sahutan. Afzan menguatkan semangat melangkah menghampiri sekujur tubuh yang diselubungi dengan kain batik lepas. Dia duduk bersimpuh di hujung kepala. Tangannya menggigil ketika penutup kepala jenazah dibuka. Mulutnya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Air matanya sudah tidak dapat ditahan lagi. Dia menangis semahunya di sisi jenazah.

Puan Rohani yang menyedari kepulangan Afzan segera berada di sisi anaknya. Anak itu dipeluk erat. “Jan sabaq. Allah lebih menyayangi Abang Bai. Biaq dia pi dengan tenang,” pujuk Puan Rohani. Matanya juga bergenang dek air mata.

“Jan pi ambik ayaq semayang. Sedekahkan Al-Fatihah buat Abang Bai. Tak mau menangih lagu ni. Kesian jenazah,” pujuk Mak Su Rubiah, adik kepada Puan Rohani.

Afzan bangun sambil mengesat air mata yang menuruni pipi. Langkah dibawa ke bilik air. Usai mengambil wuduk, dia kembali ke ruang tengah rumah. Dia duduk di hujung kepala jenazah lalu mula membaca ayat-ayat suci. Sambil itu, dia mengesat hujung mata dengan lengan baju kurungnya. Bacaan diteruskan walau diiringi esakan kecil.

Luqman, Rayyan dan Shaheen berada di luar rumah. Mujur Encik Ghazali yang lalu-lalang di hadapan rumah menyedari kehadiran Shaheen.

“Sha, kawan Ijan ka ni?” tanya Encik Ghazali meminta kepastian.

“Ya betul Pakcik.”

“Terima kasih la tolong hantaq Ijan ni. Pakcik tak tau nak kata apa.”

“Oh ini Rayyan dan ini Luqman, kawan sekerja Ijan Pakcik. Ini Pakcik Ghazali, bapa Afzan,” Shaheen memperkenalkan mereka.

Rayyan dan Luqman lantas menghulurkan tangan bersalaman dengan Encik Ghazali.

“Maaflah Pakcik dapat layan anak semua. Tapi jemputlah masuk.”

“Pakcik, boleh Sha tau apa sakit Abang Bai?”

“Benda nak jadi kan. Semalam dia kena langgaq kat simpang depan nu. Tapi tak dak luka apa haih. Jadi kami semua pun dok ingat semua ok la. Tup-tup pagi sat ni, hidung berdarah, lepas tu muntah darah. Bawak pi hospital. Doktor habaq pendarahan dalam.”

“Oh,” sambut Luqman, Rayyan dan Shaheen serentak.

“Jangan segan la nuh. Buat macam rumah sendiri. Pakcik nak pi rumah Tok Imam sat. Nak jemput esok mai tolong urus jenazah. Nak jemput dua tiga orang lagi.”

“Kalau gitu, kami hantar pakcik?” pelawa Rayyan.

“Hmm buleh jugak la. Jom pi la. Sha pi naik ataih la nuh. Makcik semua dok ada.”

“Baik Pakcik.”

Sementara di atas rumah, bacaan surah Yassin tidak berhenti dialunkan oleh semua yang hadir. Afzan juga masih berteleku di situ. Shaheen naik dan duduk mendekati Afzan. Serta-merta Afzan terus memeluk Shaheen. Air matanya tumpah lagi.

“Kak Izan,” sapa seorang gadis kecil molek.

Afzan menoleh bila mendengar namanya disebut.

“Kak Izan, ini surat dari Abang. Dia minta serahkan pada Kakak jika apa-apa berlaku padanya,” huluran surat bersampul putih daripada adik bongsu Abang Bai disambut oleh Afzan dengan tangan yang menggigil.

“Terima kasih, Amilia.”

*******

Assalamualaikum Izan Kusayang,

Di saat Sayang membaca warkah ini, Abang telah pun pergi menemuiNya. Maafkan Abang jika selama ini terdapat salah dan silap yang mungkin menggores hatimu. Maafkan Abang.

Izan kusayang,
Abang pinta janganlah ditangisi pemergian Abang. Kesatlah air matamu Sayang. Usahlah bersedih. Abang mahu Sayang redhakan pemergian Abang. Ini janji yang sudah pun ditakdirkan olehNya. Setiap makhlukNya pasti menemui mati.

Sesungguhnya Abang sudah tahu ajal akan menjemput Abang sejak lebih tiga bulan yang lalu. Sayang masih ingat waktu Abang menghubungimu. Waktu itu Abang maklumkan yang Abang terasa seperti getaran yang seakan-akan menggigil seluruh badan. Abang sempat bergurau denganmu, jika Abang pergi dahulu sebelummu, bagaimana? Abang masih ingat reaksi Sayang. Kata Sayang, ‘Abang jangan merepek.’

Sayang,
Abang dapat merasakan ajal Abang makin hampir. 40 hari sebelum ini, Abang rasa bahagian pusat berdenyut-denyut. Kata orang, ketika itu daun yang tertulis nama Abang telah gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah Subhanahu Wa Taala. Bila gugurnya daun yang tertulis nama Abang, maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya. Abang tahu ketikat itu malaikatmaut mula mengikuti Abang sepanjang masa. Walaupun rasa takut turut mengekori Abang, namun Abang telah bersedia. Abang buang jauh-jauh rasa takut dan gentar.

Sayangku Izan,
Masih ingat seminggu yang lalu Abang kembali sihat dari demam yang hampir dua minggu Abang tanggung. Tiada selera makan pun waktu itu tetapi selepas itu alhamdulillah Abang mula berselera makan sebaik sahaja baik dari demam. Abang ingat lagi, hampir setiap hari Sayang telefon Abang. Terima kasih Sayang kerana sentiasa mengambil berat akan kesihatan Abang di sini. Abang sungguh sayang padamu Izan. Hubungan kita sejak kecil membuatkan kasih sayang Abang padamu tidak pernah berkurangan walau secebis. Malah rasa kasih sayang Abang semakin membara saban hari.

Izan sayang,
Abang semakin hampir dijemput olehNya pada tiga hari yang lalu. Abang dapat merasakan denyutan di tengah-tengah dahi. Walaupun Abang tidak pernah memberitahu sesiapapun hal ini, namun bapamu sungguh peka. Dia menegur Abang. Katanya mengapa Abang nampak seperti lain dari hari biasa. Katanya mata Abang kurang sinarnya. Adakah Abang sakit? Abang tidak mampu memberikan apa-apa sebab. Abang sekadar senyum bagi setiap pertanyaan bapamu.

Sayang,
Semalam sesudah waktu Asar, Abang diberi satu lagi tanda yang kematian Abang makin hampir. Satu denyutan di sebelah belakang di kawasan ubun-ubun Abang rasakan. Abang yakin masa Abang makin suntuk. Abang tahu Abang tak akan sempat menemui Asar petang ini. Cuma Abang tidak tahu bagaimana caranya Abang akan menemui ajal Abang. Walau bagaimanapun Abang sudah bersedia. Sayang, usah menangis. Abang tidak mahu Sayang terus bersedih. Abang harapkan agar Sayang sudi menghadiahkan Abang bacaan ayat-ayat suci buat bekal Abang di sana. Kesatlah air matamu. Usah menangis Sayang. Semasa hidup Abang sudah tidak tega melihatmu menangis, ini kan pula selepas ketiadaan Abang.

Sayang,
Semalam Abang kemalangan kecil. Tiada kecederaan yang serius. Abang harap apa yang Abang rasakan sebelum ni bukanlah tanda-tanda kematian Abang. Sayang jangan risau ya.

Namun Abang ada sedikit pesanan buat Sayang. Jika ditakdirkan Abang pergi buat selama-lamanya, Abang mahu Sayang kuatkan semangat, terima dengan redha ketentuan dariNya. Abang akan lebih tenang nantinya. Sayang, Abang juga mahu Sayang buka pintu hati Sayang buat insan lain yang bernama lelaki sebagai peneman dan pelindung Sayang. Jika Abang pergi dahulu, Abang tak mungkin dapat berada di samping Sayang bila Sayang sangat perlukan seseorang di kala susah mahu pun di kala senang. Janganlah kerana Abang, Sayang mengunci rapat hati Sayang buat mana-mana lelaki baik yang menghulurkan kasih sayang tulus buat Sayang. Abang yakin akan ada lelaki lain yang lebih baik buat Sayang. Abang sangat yakin. Sayang, janganlah menangis.

Abang juga mahu ucapkan terima kasih. Sayang menerima Abang seadanya. Kasih sayangmu sungguh membuatkan Abang bahagia. Andai tiada jodoh antara kita, Sayang usah bersedih. Mencintai tidak semestinya memiliki. Jadi Abang harap Sayang akan teruskan kehidupan Sayang tanpa Abang nanti.

Sayangku Izan,
Abang mahu Sayang tahu, walau apa pun yang berlaku, kasih sayang Abang sentiasa untuk Sayang, Tiada gantinya. 

Abang juga mahu mohon maaf terlebih dahulu. Jika Abang pergi, Abang tidak sempat menunaikan janji untuk mengikat tali pertunangan kita. Sayang tahu kan, kita hanya merancang, tetapi perancangan Allah tentu lebih sempurna buat kita hambaNya. Jangan menangis Sayang. Abang tak mungkin dapat mengesat air matamu lagi.

Sayang, izinkan Abang mengundur diri. Sebentar lagi sudah masuk waktu Zuhur. Abang mahu menemuiNya. Terasa rindu untuk bertemu denganNya. Sebelum Abang akhiri warkah kasih ini, Abang benar-benar berharap agar Sayang terus tabah dan kuat untuk harungi semua ini.

Sekian sahaja buatmu sayangku Izan.

Salam penuh kasih ,
Amirul Mukmin Bin Abdullah


Air mata Afzan yang mengalir tadi tidak dapat ditahan lagi. Empangan air matanya pecah juga. Satu ngongoian kecil jelas kedengaran. Shaheen yang berada di sebelah Afzan, memeluk sahabatnya itu. Harapannya agar Afzan sedikit terpujuk dan redha menghadapi ujian dariNya.

Shaheen sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu memujuk Afzan yang sedang dilanda sedih. Walau pun Abang Bai itu bakal tunangnya Afzan, dia yakin kasih sayang yang dipupuk sejak kecil pasti membuatkan Afzan sedih begini bila lelaki kesayangannya pergi buat selama-lamanya.

“Sabarlah Ijan,” itu sahaja yang mampu Shaheen katakan demi menenangkan Afzan.


5 comments:

  1. Sangat menyentuh hati...memang nampak macam situasi yg biasa yg boleh terjd pada sesiapa sekalipun tp nk menerima & bersabar dgn dugaan ini sgt memakan emosi...semoga Afzan tabah menghadapinya :( itulah kalau dah sampai masa..mati itu pasti...dan juga bukan jodoh afzan dgn abg bai(suka nama penuh abg bai :))

    n3 kali ini sgt menyentuh jiwaku yg halus ini..hi2..i'll wait for the next n3 :)

    ReplyDelete
  2. jangan sedih yer Cik Shiroe.. kehidupan diwarnai dengan happy, sedih, susah, senang,& dll kan..

    hal-hal berkaitan hati ni ambil masa untuk sembuh...

    kes abg bai tu berlaku pd seorg ahli keluarga sha. lps kena langgar tu ok je..balik rumah.. buat keje mcm biasa...pg accident.. tghari meninggal. xder langsung kesan luka kat luar ni.. luka dalam lagi bahaya




    ReplyDelete
  3. sha pun suka nama Amirul Mukmin ni. Terserempak dgn nama ni sbb student kat kat sini. muka baik..innocent + polos jer. specky lagi..

    ReplyDelete
  4. woah...kiranya wujudlah Amirul Mukmin ni yer? hi2..krm salam kat dia ;) hihi gurau jer
    Serius Sha? Bahaya betul..bahaya yg kita tak nampak...dah sampai masa dia...semoga rohnya dicucuri rahmat..

    ReplyDelete
  5. hihikk insya Allah..

    aamiin..kalau jatuh ke accident ke walau x nampak luka..pegi klinik buat check up..takut pendarahan dalam

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim