20 May 2013

Kasihmu 31

“Abang, siapa call?”
 
“Een call. Katanya dia ke Perlis.”
 
“Buat apa dia ke sana?
 
“Meneman Afzan. Ada saudaranya kemalangan.”
 
“Innalillahi wainnailaihirojiun,” ucap Puan Asyikin.
 
“Een bimbang nak biarkan Afzan balik Perlis sendiri. Jadi Abang benarkan Een ke sana.”
 
“Elok la macam tu. Sekurang-kurangnya ada kawan teman. Jauh tu nak sampai Perlis. Hmm ini mahu malam nanti baru sampai,” Puan Asyikin membuat telahan.

“Abang nak bincang something dengan Iqin ni,” kata Encik Suffian.
 
“Bincang hal apa?”
 
“Kita pergi tunaikan haji.”
 
“Ya ke ni Bang? Elok la tu.”
 
“Abang fikir elok kita bawa Een sama. Kalau Iqin tak kisah Abang nak bawa Kak Ngah Sofi sama-sama kita. Dia pun tak ada mahram lain selain Abang.”
 
“Oh baguslah tu Abang. Iqin tak kisah.”
 
“Duit Abang pun cukup untuk kita tampung Kak Ngah Sofi sama. Abang dah pun check dengan Tabung Haji. Just nak tunggu panggilan saja. Kalau ada rezeki kita anak beranak tahun ni, Insya Allah.”
 
“Elok la tu Bang. Iqin ikut saja. Baik bagi Abang, baik juga untuk Iqin.”
 
Encik Suffian senyum memandang isterinya. “Een tak ada ni, Iqin kena la tolong Abang rawat Putih. Selalu Een yang rajin melayan Putih.”
 
“Aah la Bang. Sayang sungguh Een pada Putih tu. Balik kerja itu yang diterpa dulu. Putih pun macam tau je bila masa Een nak sampai. Ditunggunya Een. Elok je Iqin tengok dia bangun duduk tepi pintu sangkar dia tu,” balas Puan Asyikin.
 
“Kucing pun tau berkasih sayang ni Iqin. Tau kenang budi. Abang pun dah jatuh sayang pada Putih,” ucap Encik Sufian dengan senyuman menghiasi bibirnya.
 
“Kalaulah Mak Mah ada,” keluh Puan Asyikin terkenangkan pembantu rumahnya.
 
“Iqin ni. Elok la Mak Mah bersara. Dia pun dah tak berapa nak larat lagi. Dia dah kerja kat rumah kita ni sebelum Een lahir lagi. Mak Mah tu dah macam keluarga kita kan,” kata Encik Suffian.
 
“Iqin bukan apa Bang, kalau Mak Mah ada tak adalah sunyi rumah ni. Ada juga teman Iqin berbual. Een pun tak ada ni.”
 
“Iqin rindu Mak Mah ya,” teka Encik Sufian.
 
“Abang kita pergi melawat Mak Mah?” ajak Puan Asyikin.
 
“Elok juga tu. Abang pun dah lama tak jumpa Pak Akob. Apa khabar agaknya mereka sekeluarga,” kata Encik Suffian. “Amat pun dah sambung belajar kan.”
 
“Boleh juga, lepas tu kita langsung ke rumah Kak Ngah Sofi. Boleh bincang dengan Kak Ngah Sofi pasal ibadah haji tu,” usul Puan Asyikin.
 
Encik Suffian mengangguk.
 
*******
Urusan jenazah sudah selamat semuanya. Afzan masih lagi berada di rumah keluarga arwah Abang Bai. Dia masuk ke bilik arwah. Di situ dia duduk menangis. Hatinya terasa rindu.
 
“La Ijan. Awat dok tang ni. Jom pi depan. Mak Long sedih la tengok Ijan macam ni. Risau Mak Long.”
 
Mak Long Khadijah susah hati melihat keadaan Afzan. Tangisan yang berlanjutan. Makan tidak mahu. Bercakap pun kurang. Mak Long Khadijah faham kesedihan yang dilalui oleh anak saudaranya. Malah dia selaku ibu yang menjaga Amirul apatah lagi. Luluh hatinya. Sangkanya dia yang akan pergi mengadap Ilahi lebih dahulu. Rupanya anak yang ditatang bagai minyak yang penuh dijemput Ilahi lebih awal. Dia redha. Biarlah Amirul pergi dengan tenang.
 
Mak Long Khadijah masih berdiri di sisi Afzan. Hati tuanya menjadi gusar memikirkan keadaan Afzan. Pasti anak saudaranya masih terkejut. Majlis pertunangan anaknya bersama Afzan tidak sampai sebulan saja lagi. Semua persiapan hampir lengkap. Malah keluarga terdekat dan jiran di sekeliling rumah sudah dimaklumkan akan perkara itu.
 
“Jan, sudah la. Jangan menangis lagi. Mak Long sedih tengok Jan macam ni. Allah lebih sayangkan Abang Bai.”
 
“Mak Long kenapa Abang tinggalkan Ijan,” sayu suara Afzan bertanya, dengan esakan yang meruntun hati Mak Long Khadijah.
 
“Ijan, ini sudah ketentuanNya. Sudah sampai masanya Abang pergi dari kita semua. Ijan kena terima semua ni. Abang dah tak ada.”
 
Mak Long Khadijah sudah duduk bersimpuh di sisi Afzan. “Sudah la Ijan. Jangan menangis lagi. Kalau Abang Bai ada, tentu dia tak suka tengok Ijan macam ni.”
 
“Mak Long boleh Ijan ambil sehelai baju Abang Bai?” pinta Afzan dengan linangan air mata.
 
“Ambil la Ijan.”
 
Afzan melangkah ke almari baju. Baju melayu warna hijau serindit diambil lalu didakap kemas. Air matanya merembes lagi bila teringat baju itu. Kenangan dia membeli kain bersama-sama Arwah. Sepasang dibuat baju melayu dan empat meter lagi dibuat baju kurungnya.
 
“Ijan, tolong Mak Long di depan. Malam ni nak buat makan-makan anak-beranak sikit.”
 
Afzan mengekori Mak Long Khadijah. Berlama-lama dia di bilik arwah, pasti hatinya dipagut sedih. Dia mahu jadi lebih kuat serta tabah. Namun ada ketikanya dia lemah. Tewas dek rawan di hati. Air mata cepat-cepat dikesat dengan hujung jari. ‘Pergilah air mata.’
 
Di ruang tamu semua perabot sudah pun dikeluarkan. Tinggal karpet sahaja memenuhi seluruh ruang. Shaheen sedang membersihkan kapet menggunakan penyapu lidi.
 
“Sha..,” panggil Afzan.
 
Shaheen berpaling. Afzan berada tidak jauh darinya. Shaheen senyum. Wajah Afzan diperhatikan. Jelas terlakar kesedihan di wajah itu.
 
“Kesian kau. Datang sini kena buat kerja ni semua,” Afzan bersuara.
 
“Tak apa. Dari aku duduk saja, baik aku tolong apa yang patut. Aku suka bab-bab mengemas ni. Serahkan padaku,” ucap Shaheen dengan lagak seperti filem Labu Labi.
 
Afzan sudah tertawa. Shaheen senang hati melihat Afzan begitu. Dia juga risau bila Afzan bersedih. Emosi Afzan kini sukar diramal. Dia boleh sahaja menangis tiba-tiba. Apabila kenangan bersama arwah bertandang di lubuk hatinya, emosi Afzan mudah sekali terusik. Air mata bagaikan peneman paling akrab dengannya kini.
 
“Mana Luq dan Rayyan?”
 
“Mereka ada di luar. Masak.”
 
“Hah! Ya Allah, biar benar.”
 
“Jangan la kau risau Ijan. Pandai la mereka bawa diri,” pujuk Shaheen.
 
Dari tingkap yang terbuka luas, Afzan menjenguk ke luar. Dia nampak dengan jelas, Rayyan sedang menggoreng ayam. Bukan sedikit. Satu kawah besar untuk majlis tahlil tengahari nanti. Luqman pula sedang sibuk memotong sayur. Ada kobis, kacang buncis dan lobak merah.
 
“Kan aku dah cakap, mereka berdua ok saja. Jangan risau ya,” sekali lagi Shaheen memujuk Afzan.
 
“Sha, terima kasih,” ucap Afzan sambil memegang tangan Shaheen.
 
“Sama-sama. Tapi untuk apa ya?” tanya Shaheen.
 
“Teman aku, aku beruntung ada sahabat seperti kau Sha. Selalu ada saat aku perlukan sokongan.”
 
“Ijan kau dah macam keluarga aku tau. Kita bukan baru kenal. Jadi ni semua perkara kecil bagi aku. Ini masa kau. Aku?? Belum tahu kan. Jadi selagi kau sahabat aku, aku akan sentiasa ada untuk kau Ijan.”
 
Afzan lantas memeluk Shaheen. Dia sungguh-sungguh bersyukur ditemukan dengan seorang sahabat sebaik Shaheen.
 
“Ok dah-dah. Tak nak sedih-sedih lagi ya. Jom kita sambung kemas rumah ni,” kata Shaheen.
 
“Sha, maafkan aku,” ucap Afzan sayu.
 
“Untuk apa?’ tanya Shaheen. Tangannya erat memegang tangan Afzan.
 
“Sebab aku, kau susah-susah hantar aku. Sebab aku juga, tentu banyak kerja-kerja di pejabat yang tertangguh. Maafkan aku,” Afzan meluahkan rasa bersalahnya.
 
“Ijan jangan cakap macam tu. Kau sahabat aku. Aku tak kisah semua tu. Kerja di pejabat tu, jangan kau risau ya. Abi aku akan uruskan. Abi aku kirim salam pada kau Ijan.”

“Oh waalaikumsalam. Kau dah bagi tahu Abi kau, kau sekarang di Perlis? Teman aku di sini?”
 
Shaheen angguk. Bibirnya menguntum senyuman manis. “Semalam aku dah call Abi. Bagi tau yang aku mungkin di sini sehari dua ni. Teman kau,” luah Shaheen.
 
“Betul ni Abi kau tak marah?”
 
Shaheen menggeleng-gelengkan kepalanya.
 
“Sha, kaulah sahabat aku yang paling aku sayang. Sahabat aku dunia akhirat. Semoga Allah sentiasa merahmatimu Sha, aamiin.”
 
“Aamiin. Thanks Ijan, aku juga mendoakan yang terbaik untuk kau. Aku berdoa agar rahmatNya sentiasa mengiringimu, aamiin.”
 
Afzan terharu mendengar kata-kata Shaheen.
 
“Rasanya kat depan ni dah siap kemas. Vakum pun dah. Jom ke rumah sebelah. Tengok apa yang boleh kita tolong kat sana,” usul Shaheen cuba mengalih perhatian Afzan dari terus-terusan beremosi sedih.
 
“Kejab aku simpan penyapu dengan hampagas ni.”
 
Afzan mencari Mak Longnya. Dia mahu memaklumkan yang dia mahu pulang ke rumah neneknya. Rumah Mak Long dan Mak Toknya dekat sahaja.
 
“Ok aku tunggu kat sini.”
 
Tak sampai lima minit, Afzan kembali. DIa berjalan beriringan dengan Shaheen menuju ke dapur rumah neneknya. Dari tengah rumah suara riuh di dapur jelas kedengaran. Suara-suara sanak-saudara serta jiran tetangga yang sukarela menghulur bantuan menyediakan bahan memasak untuk jamuan makan selepas majlis tahlil tengahari nanti.
 
“Ha elok la hampa mai. Ijan tolong mak sat. Nyok tu parut sat. Sat-sat ni kawan hang tu dah siap chop nyok dah. Tu semua dah basuh dah. Tinggai nak parut ja,” Puan Rohani mengarahkan anaknya memarut kelapa. “Satu tu buat santan, hat satu lagi tu buat kerisik.”
 
“Baik Mak,” balas Afzan. Afzan laju sahaja mengangkat sebesen besar kelapa tua yang sudah siap dibelah dua. Ada dua besen semuanya. Shaheen menggangkat besen kedua.
 
“Sha yang ni biar aku buat. Kau jangan risau ok.”
 
“Betul ni? Banyak juga ni,” Shaheen ragu-ragu.
 
“Tak apa. Guna mesin la. Cepat ni,” balas Afzan.
 
Afzan menghidupkan suis mesin memarut kelapa. Hati-hati Afzan memarut kelapa. Dia tidak mahu jarinya pula terparut sama andai dia tidak berhati-hati. Walau pun pernah jarinya luka dek mesin memarut kelapa, tidak pernah serik dia menggunakan mesin tersebut. Berlainan dengan Puan Rohani. ‘Seriau’ kata orang utara. Dia jadi serik bila jarinya menjadi mangsa mesin memarut kelapa suatu masa lalu.
 
“Makcik ada yang boleh Sha tolong?” Shaheen menawarkan bantuan.
 
“Tolong kupaih kentang ni. Pisau kat ataih rak pinggan,” Puan Rohani senyum kepada Shaheen.
 
Shaheen mengambil satu besen sederhana besar lalu diisi air. Pisau kecil diambil dan dimasukkan ke dalam besen. Besen berisi air dibawa ke meja. Shaheen mula mengupas kentang. Kentang yang sudah dibuang kulit dipotong suji lalu dimasukkan ke dalam besen berisi air tadi.
 
“Ijan apa yang Rayyan dan Luq buat tu?” tanya Shaheen. Matanya menangkap kelibat Rayyan dan Luqman yang sedang mengusung dulang-dulang besar ke tempat memasak. Selepas itu dia melihat dua orang sepupu Afzan menyusul dengan mengangkat satu rak aluminium bertingkat ke khemah memasak.
 
Afzan menjenggukkan kepalanya ke muka pintu. “Oh tu semua peralatan untuk masak nasi. Yang dulang-dulang tu untuk letak beras.”
 
“Hah! Masak nasi dalam dulang. Iya ke ni Jan? Aku tak pernah tengok pun orang masak nasi dalam dulang,” Shaheen teruja. “Yang itu apa pula?”
 
Sekali lagi Afzan memalingkan wajahnya ke muka pintu. “Tu penutup rak bertingkat tadi,” balas Afzan.
 
Shaheen masih meneruskan kerja-kerja mengupas kentang walau pun matanya masih asyik memerhati kaum lelaki yang sibuk mengusung peralatan memasak.
 
“Kejab lagi kita pegi tengok. Aku siapkan dulu parut kelapa ni.”
 
“Eh tak apa ke ni? Kentang ni nak siap dah. Ni bawang-bawang, cili kering,” Shaheen gusar mahu meninggalkan kerja yang baru sedikit disiapkannya.
 
Afzan senyum.
 
“La tak pa aih. Pi la tengok. Bukan senang nak jumpa lagu ni kat KL. Lagi pun makcik segan tetamu dok di dapoq. Semua-semua ni tok sah dok risau sangat la. Sikit ja ni. Tak pa pi la tengok,” Puan Rohani memberi keizinan.
 
“Mak hat nak buat kerisik ni goreng kat luaq ka kat dalam ni?”
 
“Pi di luaq la. Kawah semua dok di sana.”
 
Afzan mengangkat sebesen kelapa yang sudah diparut.
 
“Makcik yang satu lagi ni nak diperah ambil santan kan?” tanya Shaheen.
 
“Ha betui. Yang tu pi bagi kat Pakcik di luaq. Dia nak masak gulai kawah daging dengan kentang ni.”
 
Shaheen mengangkat sebekas lagi kelapa parut lalu mengekori Afzan yang sudah pun keluar dari dapur.
 
“La awat dok susah-susah ni. Segan Pakcik tetamu dok buat kerja ni,” tegur Pakcik Ghazali.
 
“Tak susah la Pakcik. Sikit je ni,” balas Shaheen.
 
“Sha mari sini. Ni la cara nak masak nasi kukus,” Afzan menunjukkan kepada Shaheen satu kawah besar yang diletakkan besi bertingkat.
 
Shaheen memerhati dengan rasa teruja. Pertama kali dia melihat sebegini unik cara memasak nasi dengan mengukusnya.
 
“Kerja-kerja ni sesuai tuk orang lelaki Sha. Berat nak angkat pelengat ni,” kata Afzan.
 
“Pelengat? Apa tu?” tanya Shaheen.
 
“Ni la pelengat. Alat memasak nasi kukus ni dipanggil pelengat,” balas Afzan.
 
Rayyan dan Luqman sedang sibuk mencuci beras. Satu besen besar berisi beras yang hampir 20 kilo banyaknya.
 
“Apa bezanya masak macam ni?” soal Shaheen.
 
“Hat ni nasik masak sama rata. Tak dak kerak. Nasik pun wangi pasai buh daun pandan,” Pakcik Ghazali menjawab soalan Shaheen.
 
“Pakcik, ni nak letak dalam dulang ni ke?” Luqman bertanya sebaik sahaja sebekas besar beras siap dicuci bersama Rayyan.
 
Dua tiga orang sepupu Afzan senyum melihat gelagat Rayyan, Luqman dan Shaheen yang sungguh nampak pelik pertama kali menyaksikan cara memasak nasi secara kukus menggunakan dulang bertingkat. Mereka terus menyiapkan unggun api. Satu kawah berisi air sudah pun terletak elok di atas tungku yang di bawahnya dibuat unggun api. Pelengat 10 tingkat yang diperbuat daripada aluminium itu diletakkan di tengah-tengah kawah. Pelengat yang berbentuk seperti rak bertingkat itu diletakkan dengan dulang atau talam yang berisi beras dan air.
 
“Ijan mai tolong ni buh beras dalam talam ni,” pinta Encik Ghazali.
 
Afzan dan Shaheen mencuci tangan.
 
Mereka berdua sama-sama mengagihkan beras ke dalam dulang. Luqman dan Rayyan yang dari tadi berada di khemah memasak sudah berpeluh-peluh. Namun mereka berdua masih bersemangat membantu.
 
“Luqman, Rayyan agak-agak dalam dua kilo beras dalam satu talam. Sorang pi ambik air guna getah tu isi dalam talam,” arah Pakcik Ghazali. “Ijan tu daun pandan ikat-ikat buh dalam kawah ayaq tu.”
 
Luqman berjalan ke hujung meja. Tali getah yang bersambung ke kepala paip diambil lalu dihulur kepada Rayyan. Sekali lagi dia ke hujung meja membuka kepala paip. Rayyan sudah bersedia memasukkan air ke dalam dulang yang sudah siap berisi beras.
 
“Pakcik banyak mana nak letak air ni,” soal Rayyan.
 
“Bagi lebih sikit dari paras beras na,” pesan Encik Ghazali.

Rayyan angguk tanda faham. Setelah semua dulang diisi air, Luqman menutup paip. Dia kembali ke meja lalu mengangkat dulang tersebut dengan hati-hati lalu disusun ke pelengat bertingkat. Rayyan dan tiga sepupu Afzan juga turut mengangkat dulang-dulang tersebut setiap seorang.
 
“Ijan pi ambik tiga empat pelepah pisang,” arah Encik Ghazali.
 
Afzan berjalan ke belakang rumah. Tidak sampai sepuluh minit Afzan sudah kembali dengan daun pisang.
 
“Daun pisang tu hang pi bagi kat mak hang. Kot-kot nak buat pelengat pisang ka ubi ka, ada gunanya ni,” pesan Encik Ghazali.
 
“Nah Pak,” Afzan menghulurkan pelepah pisang yang sudah dibersihkannya kepada Bapanya.
 
“Pelepah tu untuk apa Pakcik?” tanya Luqman ingin tahu.
 
“Pelepah ni guna dia nak bagi perata beras dalam talam. Tak buleh la guna kayu. Takut satgi terpelantin pulak talam tu. Haru,” ucap Encik Ghazali dalam tawa kecil.
 
“Pernah jadi ke Pakcik,” Rayyan bertanya.
 
“Awat tak pernah. Tu yang tau. Kalau tak jadi tak tau la jugak. Ni semua belajaq dari pengalaman. Lagu ni la Rayyan, Luqman, Sha kami di kampung,” balas Encik Ghazali.
 
Rayyan, Luqman dan Shaheen sudah tersenyum mendengar kisah nasi kukus terpelanting dari kawah. Mesti kecoh kan. Mereka membayangkan nasi yang bertaburan di atas tanah. Sayang sungguh. Jika bukan rezeki mereka, perkara itu tidak mustahil boleh berlaku.
 
“Madi, Amjad elok-elok angkat penutup pelengat tu, jangan sampai terbalik satgi,”pesan Encik Ghazali yang memantau kerja-kerja mengukus nasi.
 
Sebaik penutup pelengat yang diperbuat daripada zink tahan panas siap diletakkan menutupi rak pelengat tadi, Encik Ghazali meletakkan kain basah di sekeliling pelengat dan dipadatkan dengan menggunakan pelepah pisang tadi.
 
“Kenapa kena letak kain basah tu Pakcik?” Shaheen pula bertanya.
 
“Ni tak mau bagi wap dalam pelengat tu keluaq. Lagi satu tak mau ayaq menggelegak tu terpercik-terpercik.”
 
“Oh,” baru Shaheen faham logiknya kain basah itu diletakkan di situ. “Berapa lama baru masak nasi ni, Pakcik?”

“Dalam 45 minit,” kata Encik Ghazali.
 
Shaheen mengangguk-anggukkan kepalanya.
 
“Madi, tengok-tengok api sama. Buang kayu api sikit lagi, api jangan kuat sangat,” Encik Ghazali menginggatkan anak buahnya.
 
“Pak sementara tunggu nasi masak, ni nak goreng buat kerisik,” kata Afzan.
 
“Ha pakai tang tu,” Encik Ghazali satu lagi tempat masak yang masih ada bara-bara api di situ.
 
Tanpa disuruh, Rayyan mengangkat satu kuali besar lalu diletakkan di atas tungku. Afzan mengambil besen berisi kelapa dan ingin menuangkan semua kelapa parut ke dalam kuali tadi.
 
“Biar saya tolong awak,” Rayyan menawarkan diri memegang bekas berisi kelapa parut.
 
Encik Ghazali yang memerhati tidak berkata apa-apa. Namun di hati kecilnya sudah terdetak sesuatu.
 
“Rayyan ambilkan saya sodek tu,” pinta Afzan.
 
“Sodek? Yang mana?” tanya Rayyan dengan wajah berkerut.
 
“Tu yang itu, yang orang guna semasa goreng ikan tu,” balas Afzan.
 
“Oh ini sodek ya namanya,” Rayyan senyum.
 
“Ijan ni hat nak buat santan ka?” tanya Encik Ghazali.
 
“Ha. Mak kata Pak nak santan. Masak gulai kawah daging dengan kentang.”
 
“Pakcik, mari saya tolong,” Shaheen berlalu ke arah meja. Satu jug diisi air. Lalu air tadi dimasukkan ke dalam besen berisi kelapa parut.
 
“Nah ni bekas untuk santan. Ni penapisnya,” Luqman menghulurkan kedua-duanya kepada Shaheen.
 
“Luq, tolong saya. Ambilkan air,” pinta Shaheen sambil menghulurkan jug warna biru tadi kepada Luqman.
 
Luqman mengisi air ke dalam jug tersebut dan kembali ke sisi Shaheen.

“Nak saya tolong awak,” tanya Luqman.
 
“Oh, tak apa. Sikit saja ni,” balas Shaheen.
 
Encik Ghazali memerhati sahaja gelagat mereka berempat. Hatinya kuat mengatakan mereka memang sesuai dengan pasangan masing-masing. Namun mulutnya tidak berani menzahirkan apa yang berada di hatinya. Dia tidak mahu kerana tersilap kata, mungkin sahaja ada yang berkecil hati atau tersinggung nanti. Namun dia sentiasa berdoa yang terbaik untuk anaknya. Malah doanya turut dipanjangkan kepada Shaheen, Luqman dan Rayyan. Aamiin.
 
“Pakcik, cukup ke santan banyak ni?” soal Shaheen.
 
Encik Ghazali datang menghampiri Shaheen. “Tambah ayaq lagi. Bagi santan ni jadi setengah bekaih ni,” kata Encik Ghazali.
 
“Baik Pakcik,” Shaheen angguk.
 
“Amjad pi tengok perabah semua dah siap ka dengan dagin, pi tanya kat Makcik Ani hang,” arah Encik Ghazali.
 
“Perabah?”
 
“Perabah tu bahan masak macam bawang yang dah siap dimayam, cili yang dah pun dikisar, serbuk kari semua tu Rayyan,” kata Afzan.
 
“Oh. First time dengar perkataan tu,” akui Rayyan malu-malu. Dia senyum juga “Kalau perabih tu tau la.”
 
Afzan tersenyum mendengar kata-kata Rayyan.
 
Amjad kembali dengan semua bahan-bahan untuk memasak gulai daging.
 
“Ada lagi ke?” Shaheen bertanya kepada Amjad.
 
“Ada satu penapih dagin dengan serbuk kari,” balas Amjad. “Tak apa Kak. Sat saya pi ambik.”
 
Amjad kembali ke dapur mengambil bahan-bahan lain untuk memasak.
 
“Makcik hang dok buat apa?” Pakcik Ghazali menyoal Amjad.
 
“Dok bancuh ayaq kopi. Satgi Amjad pi ambik. Ada kerepek pisang.”
 
“Ha elok la tu. Kering tekak. Pekena ayaq segelas dua,” balas En Ghazali.
 
“Tolong ambil bekas nak letak kelapa goreng ni,”Afzan bersuara. Tangannya masih lagi ligat mengacau kelapa yang sudah keperang-perangan di dalam kuali.
 
“Nah,” unjuk Rayyan.
 
“Oh yang ni tak boleh. Kena bekas kering. Nanti tak jadi la kerisik saya, awak,” kata Afzan sebaik sahaja tangannya menyentuh bekas yang sedikit basah itu.
 
“Ok ni saya dah lap sampai kering,” sekali lagi Rayyan menghulurkan bekas yang sama.
 
“Thanks, awak,” ucap Afzan. Afzan cepat-cepat menyenduk semua kelapa yang siap digoreng. Bimbang dia jika hangus bila lambat diangkat. Pasti kerisiknya nanti berasa sedikit pahit.
 
“Jom la masuk Sha. Panas kat sini,”ajak Afzan.
 
Shaheen mengekori Afzan yang sudah pun melangkah menuju ke pintu dapur. Sementara menunggu nasi masak, Encik Ghazali mengarahkan anak-anak buahnya untuk mula memasak gulai kawah daging.
 
(Di dapur)
 
“Mak buat apa tu?” sapa Afzan.
 
“Ni nak potong buah tembikai. Tu kuih baulu dah susun dalam pinggan. Nak pi bagi kat Pak hang di luaq. Kesian depa kerja panaih-panaih. Kering mulut dah aih,” balas Puan Rohani.
 
Afzan mengambil satu dulang besar dan satu dulang kecil. Disusun piring-piring kuih baulu, kerepek pisang dan buah tembikai ke dalam dulang besar manakala di dalam dulang kecil diletakkan piring dan cawan serta gelas. Air kopi panas dan satu jug air sirap diletakkan bersama. Tanpa diminta Shaheen mengangkat dulang kecil mengekori Afzan ke khemah memasak.
 
“Pak ni ayaq. Minum na. Luqman, Rayyan, Amjad, Madi mai jemput minum,” Afzan mempelawa semua yang berada di situ untuk minum dahulu. Sesudah itu Afzan dan Shaheen kembali ke dapur.
 
Di dapur Puan Rohani sedang memasang plug mesin pengisar. Tujuannya mahu mengisar kelapa goreng tadi.
 
“Mai Ijan tolong Mak,” Afzan menawarkan diri.
 
“Makcik ada apa-apa yang saya boleh bantu?”
 
“Makcik segan la tetamu dok menolong di dapoq ni,” balas Puan Rohani.
 
“Apa nak segannya Makcik. Dari saya duduk-duduk saja, baik saya tolong Makcik kan. Lagi ramai yang menolong cepat la kerja siap kan,” ucap Shaheen.
 
“Betui la tu. Kalau lagu tu, ni Makcik nak minta Sha tolong Makcik kupas buah nenas, timun, bawang besar dengan tomato. Ni nak buat acar timun dengan nenas,” kata Puan Rohani.
 
“Cik Ani, Pakcik minta belanga besaq. Nak buh ayam masak merah,” tiba-tiba sahaja Madi terpacul di muka pintu.
 
“Mai ambik kat bilik belakang. Makcik tak larat nak angkat. Hampa muda-muda lagi. Mai-mai,” ajak Puan Rohani berlenggang ke bilik belakang yang dijadikan stor menyimpan alatan memasak.
 
“Ijan, nenas ni nak potong macam mana?” tanya Shaheen.
 
Afzan yang belum selesai mengisar kelapa goreng berjalan ke tempat Shaheen.
 
“Macam ni,” Shaheen memerhati Afzan memotong nenas kecil-kecil.
 
“Ok noted. Hmm ada empat biji lagi ni,” Shaheen senyum kepada Afzan.
 
“Mak ramai ka jemput orang tahlil tengahari ni?” Afzan bertanya pada emaknya.
 
“Macam biasa la. Orang surau, jiran-jiran dekat-dekat ni. Sedara mara kita yang ada.”
 
“Mak awat tak buat kat rumah Mak Long?”
 
“Pak hang kata elok buat kat rumah Mak Tok. Mak Long hang mesti penat nak kelola masak-masak ni semua. Tu yang Pak hang sanggup nak masak. Nasib baik la Mak Long hang setuju.”
 
“Oh, kiranya ni tahlil pukul 10 satgi terus makan tengahari ya Mak. Kata nak buat malam tak jadi ka?” tanya Afzan lagi.
 
“Ha lagu tu la. Malam satgi buat makan-makan rumah Mak Long hang. Dia jemput adik beradik ja. Pak hang masak lebih tu sat lagi nak pi hantaq rumah Mak Long. Kira buat tahlil di rumah Mak Tok ni sekali dengan tahlil Tok Abah. Kat rumah Mak Long tu saja la nak kumpui adik-beradik. Makan ramai-ramai.”
 
Shaheen hanya mendengar perbualan Afzan dan Emaknya. Dia meneruskan kerjanya. Masih ada timun dan tomato yang belum siap dipotong. Timun dan tomato sudah semestinya dipotong nipis-nipis.
 
 
 
 
 

6 comments:

  1. Wahhh...terbaik ar sha...sy pun xpernah tgk atau tahu cara nasi tu dimasak..1st time ni..kredit tuk semua gambar tu....menarik sha :)

    Ps: sweet jer couple2 tu tlg menolong :)

    ReplyDelete
  2. :) menarik kan..masak dalam kuantiti banyak gitu la Cik Shiroe..sha pun sebenarnya x pernah lagi tengok masak nasi gitu.

    Just share sebab Ijan orang Perlis jadi ni cara masak di Perlis. Kredit to http://kunadzri.blogspot.com/2009/04/nasi-pelengat-perlis.html sebenarnya. Terima kasih sangat-sangat.

    ReplyDelete
  3. haah..menarik sgt sha!! nanti sy nk skodeng blog tu :)

    ReplyDelete
  4. :) sila2 skod ke blog tu..ada info menarik di sana..

    ReplyDelete
  5. salam...
    menarik.. first time tgk nasi dimasak cara ni..

    ReplyDelete
  6. salam,

    ya unik kan...lain tempat lain caranya. hope perkongsian ni memberi info berguna buat semua :)

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim