09 June 2013

Kasihmu 34

“Rayyan kau dah habis fikir?” Luqman bertanya.
 
Rayyan yang sedang memandu memandang sekilas kepada Luqman. Dia masih senyap. Tiada kata yang keluar dari bibirnya.
 
“Rayyan saya harap awak tau apa yang awak cakapkan semalam. Saya tak nak sebab awak kasihankan Ijan, awak bertindak macam ni,” Shaheen pula mencelah.
 
“Cinta bukan sebab kasihan atau simpati Rayyan,” ucap Luqman bila dilihatnya Rayyan masih diam.
 
Rayyan menarik nafas panjang. Matanya masih lagi memandang jauh ke hadapan. Lebuhraya yang lenggang pagi itu sungguh menyenangkan Rayyan.

“Apa bekal yang Cik Perdana bagi tadi ya. Aku teringat nasi lemak tadi tu. Sedap tapi aku segan la nak tambah untuk kali ketiga,” balas Rayyan.
 
“Rayyannn,” jerit Shaheen.
 
Rayyan sudah ketawa besar. Luqman menggeleng-gelengkan kepalanya.
 
“Kita serius bertanya, boleh pula makanan yang difikirkannya,” kata Luqman.
 
“Jangan marah ya kawan-kawan. Serius sekarang ni saya asyik teringat-ingat nasi lemak tadi. Memang kena dengan selera saya la Sha,” balas Rayyan.
 
“Teringat nasi lemak ke teringat tuan yang masak nasi lemak?” soal Shaheen senyum lebar.
 
“Eh mana tau ni,” Rayyan memandang cermin pandang belakang. Imej Shaheen diperhatikan sambil mengenyit mata.
 
“Rayyan sejak bila awak terjatuh suka dengan Ijan? Jumpa pun baru dua tiga kali je kan,” soal Shaheen ingin tahu.
 
Luqman menoleh ke arah Rayyan. Dia juga ingin tahu jawapan kepada soalan Shaheen tadi.
 
“Bila ya,” Rayyan masih mahu berteka-teki.

“Malu la tu,” usik Luqman.

“Ijan tu sahabat baik saya. Saya tak mahulah dia kecewa lagi buat kedua kalinya. Hatinya masih lagi bersedih dengan pemergian Arwah Abang Bai. Cinta pertama akan selamanya berada dalam hati seorang perempuan Rayyan,” Shaheen meluahkan rasa hatinya.

“Ya betul tu Rayyan. Saya juga faham situasi Ijan. Nasib kami hampir sama. Jadi saya harap janganlah dipersiakan dia jika benar ada jodoh di antara kalian berdua,” Luqman pula memberikan nasihatnya.
 
“Saya serius dalam hal ni. Saya tak main-main. Kata-kata saya semalam bukanlah sebab simpati atau kasihan. Tapi ianya lahir dari hati saya sendiri,” luah Rayyan sedang matanya masih lagi fokus kepada pemanduan di lebuhraya.

“Rayyan, saya harap awak bersabar dengan Ijan buat masa ini. Hatinya masih lagi rapuh. Sedih yang ditanggung itu ambil masa juga untuk sembuh. Walau apa pun Ijan memang perlukan sokongan daripada kita semua,” kata Shaheen .

“Ya saya faham tu. Itulah sebabnya saya mahu meneruskan majlis pertunangan itu. Sekurang-sekurangnya saya boleh menjadi pendamping Ijan di kala ini. Saya mahu berada di sisinya dalam apa juga keadaan,” Rayyan sudah pun membuat keputusan nekad.
 
“Macam mana awak boleh suka Ijan, sebelum ni kalau jumpa nak gaduh je,” tanya Shaheen.
 
Rayyan sudah tersenyum. Dia teringat kembali detik perkenalan kurang mesranya beberapa bulan yang lalu. Afzan waktu itu nampak comel bila dia memarahi gadis itu yang nyata tidak bersalah sebenarnya. Gadis itu tidak sempat membela diri. Selepas menghamburkan amarahnya, dia meninggalkan gadis itu. Dia sengaja mempercepatkan langkah walaupun suara panggilan gadis itu sungguh jelas didengarinya. Pertemuan keduanya di rumah sahabatnya Hadif sedikit sebanyak memberi harapan buat dia mendekati gadis itu.
 
“Rayyan kenapa diam saja ni. Senyum sorang-sorang,” Luqman menegur.
 
“Waktu di rumah Hadif tu saya dah pun terdetik sesuatu di dalam hati. Tapi waktu itu Ijan masih marah dengan saya. Jelingan dia tu yang sentiasa buat saya ingat. Comel sangat,” luah Rayyan sambil tersenyum.
 
“Itu la kata orang tua-tua, ‘dari mana datangnya sayang, dari mata turun ke hati’. Memang sesuai dengan kau ni Rayyan,” usik Luqman.
 
“Amboi pandainya dia,” balas Rayyan. Hatinya dijalari rasa bahagia. Namun rasa berdebar tetap ada. Selagi belum menerima kata putus daripada Afzan, hatinya tidak tenang.
 
“Dengar ya Rayyan,
 
                    ‘Dari mana punai melayang
                     Dari kota turun ke kali
                     Dari mana datangnya sayang
                     Dari mata turun ke hati’
 
Kata-kata Shaheen mengundang senyuman di wajah Luqman. Dia turut menyambung pantun yang dibacakan oleh Shaheen.
 
                    “Padang Panjang dilingkar bukit,
                      Bukit dilingkar kayu jati;
                      Kasih sayang bukan sedikit,
                      Dari mulut sampai ke hati.”
 
“Amboi ni komplot ke apa. Dua-dua berpantun bagai nak kenakan saya ya,” Rayyan memerhati cermin pandang belakang dan seterusnya menjeling ke sisi.

Luqman dan Shaheen sudah ketawa. Suka mereka melihat reaksi Rayyan.
 
“Tak apa. Ada lori ada bas, lain kali saya balas,” ucap Rayyan tidak mahu kalah dengan pantun dua keratnya.
 
Apa lagi makin kuat Luqman dan Shaheen ketawa bila mendengar pantun Rayyan.

“Luq betul ke parents awak nak datang sini?” tanya Shaheen.

Rayyan berasa lega bila mendengar pertanyaan Shaheen. Sekurang-kurangnya dia tidak lagi menjadi mangsa usikan mereka berdua. Dua lawan satu. Memang tipis la harapan nak menang.
 
“Ya betul. Insya Allah dua hari lagi sampai la. Saya kena la balik rumah. Kemas rumah sikit. Rumah orang bujang Sha,” kata Luqman.
 
“Itu la Luq. Dah suruh cari orang rumah tak mahu. Kan kena kemas sorang-sorang,” giliran Rayyan mahu mengusik Luqman.

“Apa kaitan kemas rumah dengan orang rumah? Bukan tak biasa. Tak ingat masa kat Aussie dulu, siapa yang mengemas rumah?” ucap Luqman membela diri.
 
Rayyan sudah senyum meleret. Dia paling malas mengemas. Sudahnya Luqman akan mengemas. Sungguh dia bersyukur mempunyai sahabat seperti Luqman. Orangnya tidak berkira langsung. Hal-hal kecil seperti itu dibuat tanpa sebarang keluhan mahu pun rungutan. Dulu di rumah sewa mereka sewaktu belajar di Australia dia dan Hadif paling malas mengemas rumah. Namun kredit harus diberikan kepada Hadif kerana dia pakar dalam bab memasak.

“Beruntunglah suri hidup awak nanti Luq. Boleh awak bantu dia mengemas,” ujar Shaheen.
 
“Bukan awak ke yang untung nanti Sha,” Rayyan sengaja mengusik Shaheen.
 
“Untung?” Shaheen tidak dapat menangkap maksud kata-kata Rayyan.
 
“Yalah awak untung la dapat bakal suami yang pandai mengemas,” kata Rayyan. Wajah Shaheen dipandang melalui cermin pandang belakang. Dia senyum bila terpandang Shaheen yang sudah membulatkan matanya.

“Wah-wah ada hati nak mengusik Sha ya,” Shaheen sudah membongkok ke depan.
 
Luqman di sebelah Rayyan juga sudah memalingkan muka mengadap Rayyan.
 
“Oppps sorry. Saya salah cakap ya,” Rayyan sengaja buat-buat takut dengan Luqman.
 
“Ha tau tak apa,” balas Shaheen.

“Berapa lama mereka kat sini?” Shaheen bertanya bagi mengusir lebih banyak usikan Rayyan jika dilayan kata-katanya.
 
“Depend la. Biasanya bila balik sini Papa akan balik kampung. Jengguk Opah dan juga saudara mara yang lain. Paling-paling hampir sebulan juga Papa dan Mama akan berada di Malaysia,” jawab Luqman.
 
“Kalau gitu sampaikan salam Sha pada mereka berdua,” ucap Shaheen.
 
“Insya Allah Sha,” ringkas sahaja jawapan Luqman.

“Boleh tak kita berhenti sekejab di Kawasan Rehat Gunung Semanggol. Saya nak ulang makan nasi lemak,” pengakuan jujur daripada Rayyan.

“Ok la Sha kita berhenti la kejab. Ni ada orang teringin nak sambung makan nasi lemak,” ucap Luqman.
 
“Ok roger,” balas Shaheen.
 
Rayyan senyum puas hati. “Boleh juga singgah nak pergi tandas ke apa ke,” kata Rayyan. “Jauh lagi perjalanan kita ni.”
 
Perjalanan lebih daripada dua jam membawa Luqman, Rayyan dan Shaheen hingga ke Kawasan Rehat Gunung Semanggol. Sebaik tiba, Shaheen menghubungi Encik Suffian.
 
“Assalamualaikum Een,” sapa Encik Suffian sebaik sahaja mengangkat panggilan telefon anaknya.

“Waalaikumsalam Abi. Sha dah on the way balik ni. Sekarang kami berhenti di R & R Gunung Semangol,” Shaheen memaklumkan di mana dia berada.

“Macam mana dengan Afzan?” tanya Encik Suffian.

“Afzan ok Abi. Biasa la perkara baru berlaku. Dia memang sedih la. Tapi alhamdulillah dia semakin baik Abi. Een suruh dia cuti je. Bila dah ok baru masuk kerja,” kata Shaheen .

“Elok la tu. Biar la dia rehat. Tenangkan diri,” sokong Encik Suffian.
 
“Abi, Ummi apa khabar?” tanya Shaheen.
 
“Alhamdulillah Ummi sihat. Ni Ummi kat dapur. Melayan si Putih,” kata Encik Sufian.
 
“Alahai rindu pula pada Putih. Macam mana dia Abi,” soal Shaheen.
 
“Macam tu la. Cuma dua hari Een tak ada ni, dia tak mahu makan. Dia pun rindu Een agaknya,” balas Encik Suffian.

“La ya ke? Then luka dia macam mana?” soal Shaheen lagi.

“Dah makin kering nampaknya luka tu. Tapi yang luka berlubang tu belum bertangkup betul lagi. Terendak lampu tu pun masih tersarung kat kepala Putih,” selepas berkata begitu Encik Sufian sudah ketawa kecil.
 
Shaheen juga ikut ketawa. Luqman di sisi tidak dihiraukan. Luqman lalu membuat isyarat minum kepada Shaheen. Rayyan pula sedang menunggu mereka berdua.

“Abi, Een stop sini dulu ya. Sampaikan salam Een pada Ummi,” Shaheen mahu menamatkan perbualan dengan Abinya.
 
“Baiklah Een. Sampaikan salam Abi pada Haji Luqman dan kawannya tu. Dah sampai KL nanti ajak mereka tu singgah rumah ya,” pinta Encik Suffian.

“Baik Abi Insya Allah. Assalamualaikum,” ucap Shaheen sebelum talian dimatikan.

Luqman masih menunggu Shaheen.

“Maaf Luq buat awak tunggu saya. Abi saya kirim salam. Mana Rayyan?” soal Shaheen.

“Waalaikumsalam. Hmm tak apa. Bukan susah pun. Tunggu sebelah awak je,” balas Luqman. “Rayyan dah kat dalam tu. Tak sabar nak makan nasi lemak katanya.”
 
“Parah dah kawan kita tu,” ujar Shaheen mengukir senyum.

Luqman terpaku melihat senyuman Shaheen. Wajah itu ditatap lama. Sungguh hatinya menjadi rindu pada arwah Alisa. Dalam dia melayan rasa rindu pada Arwah Alisa, Allah telah mengirim seseorang yang hampir seiras dengan Arwah. Dia mengucap syukur di dalam hati. Namun dia belum cukup bersedia untuk meluahkan rasa hatinya pada Shaheen. Semuanya disimpan sahaja di sudut hati.

“Ayuh ke sana,” ajak Luqman menuju ke meja yang diduduki oleh Rayyan.
 
“Sorry la ya kawan-kawan. Tak sabar tunggu both of you. Saya dah makan dulu,” ucap Rayyan apabila Luqman dan Shaheen sudah mengambil tempat.

“Tak apa la Rayyan. Kami faham. Sila-sila nikmati nasi lemak utara air tangan pujaan hati,” balas Shaheen. "Oh ya Abi saya kirim salam pada awak Rayyan."

Luqman sudah tersenyum mendengar kata-kata Shaheen.
 
“Sha awak nak minum apa? Saya nak pegi order ni,” tanya Luqman.
 
“Air Barli. Kalau tak ada air tu, apa-apa pun boleh,” kata Shaheen. “Thanks Luq.”

Shaheen mencapai bekas yang diisi dengan nasi lemak. Satu bekas diletakkan di tempat Luqman. Bekas berisi sambal tumis ikan bilis dicapai. Sambal ikan bilis diceduk dan dimasukkan ke dalam bekas nasi lemak. Timun dan telur rebus turut dimasukkan ke dalam bekas di depan mata.

“Eh Sha kenapa tak makan lagi. Semua dah ready dalam bekas tu,” tegur Rayyan.

“Sha tunggu Luq,” balas Shaheen.
 
Rayyan senyum sambil mengangkat kening. Nasi lemaknya sudah pun habis. Air teh tarik dihirup perlahan.
 
“Kenapa?” soal Shaheen bila dia sedar Rayyan memandangnya dengan senyuman.
 
“Sha dengan Luq ada apa-apa yang saya tak tau?” Rayyan menjawab soalan Shaheen dengan soalan juga.
 
Shaheen terpempan. Dia tiada jawapan untuk soalan itu.

“Seriously both of you look great together. Serasi bersama cam kata Ajai dan Nurul,” tambah Rayyan.
 
“Merepek la awak ni Rayyan,” sangkal Shaheen malu-malu.
 
“Apa salahnya. Luqman tu single lagi. Orangnya pun baik. Untung awak dapat suami macam tu,” Rayyan melobi Luqman di depan Shaheen. Hajatnya agar terbuka hati Shaheen menerima Luqman.

“Jangan la cakap macam tu. Dengar dek Luq nanti, apa kata dia. Malu Sha,” kata Shaheen.
 
“Malu tapi mau ke apa ni?” Rayyan masih lagi cuba mencungkil isi hati Shaheen.

“Awak ni. Tak baik tau cakap gitu. Siapalah saya di mata Luqman,” ujar Shaheen.

“Ni sebut-sebut nama saya, ada apa ya,” tiba-tiba Luqman muncul dengan dua gelas minuman.

Shaheen terkejut disapa Luqman begitu. Rayyan sudah senyum melihat reaksi Shaheen yang sedang menyembunyikan rasa terperanjatnya.
 
“Sha ni tak sabar tunggu air dia. Sampai makan pun tak mau. Nak tunggu kau Luq,” Rayyan sengaja mengusik Shaheen.
 
“Eh kenapa tak makan dulu. Awak tunggu saya ke? Maaf lambat sikit. Ramai orang kat tempat air tu tadi. Kena la tunggu turn,” Luqman menjawab sambil matanya tertancap ke wajah Shaheen yang sudah menekur lantai.
 
“Tak ada la. Rayyan ni saja nak kenakan Sha,” kata Shaheen sambil membuat isyarat mata ke arah Rayyan agar tidak terus mengusiknya di depan Luqman.
 
“Both of you enjoy the meal ya. Saya nak ke tandas sekejab,” lantas Rayyan berlalu ke arah tandas. Sengaja dia memberi alasan itu.
 
Rayyan mencari tempat duduk yang sedikit terlindung dari pandangan Shaheen dan Luqman. Namun matanya masih dapat melihat dengan jelas gelagat Shaheen dan Luqman. Dia menyaksikan Luqman mengangkat tangan membaca doa makan. Selepas itu barulah Shaheen makan. Dia yakin Shaheen adalah gadis yang tepat buat Luqman. Namun dia tidak pasti bagaimana dia mahu menyatukan mereka berdua.

3 comments:

  1. Ahaa...dan babak cinta lu n een pun bermula..ngeh3...suka Rayyan :)

    ReplyDelete
  2. :)tunggukan sambungannya..Luq yg masih belum bersedia melepaskan kenangan bersama arwah dan een yang malu untuk mengaku suka..so cam mana?

    apa pun debaran di dada rayyan lebih hebat..afzan masih bersedih..

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim