22 September 2013

CINTA Milikmu Selamanya Bab 1

“Ma dua hari lagi Ammara ada interview,” ucap Ammara sambil memeluk bahu ibunya.
 
Puan Marissa yang sedang menyiram bunga-bunga di kawasan rumahnya berhenti menyiram. Dia masih ingat betapa gembiranya Ammara tatkala menerima panggilan telefon yang memintanya hadir temuduga kerja.
 
“Abah kan dah sediakan pejabat untuk Ammara. Kerja dengan Abah kan senang,” pujuk Puan Marissa.
 
Ammara segera mengangkat kepala dari bahu ibunya.

“Ma sebelum Ammara kerja dengan Abah better Ammara kumpul pengalaman kan. Jadi bila Ammara kerja dengan Abah, tak adalah orang cakap anak Encik Ammar tak pandai buat kerja kan Ma,” Ammara memberikan pendapatnya.
 
“Kerja dengan Abah pun Ammara boleh dapat pengalaman kan. Ma lagi suka Ammara kerja dengan Abah. Ma bukan apa tak suka tau orang buli anak Ma ni,” balas Puan Marissa sambil mencuit hidung Ammara.
 
“Ma ke situ pula. Kita tengok siapa la yang berani sangat tu. Nak buli Ammara ya. Dia belum tau Ammara ada black belt Ma, tu yang berani.”
 
“Hahaha,” serentak Puan Marissa dan Ammara ketawa.
 
“Amboi suka benar nampak. Sampai ke dalam ayahanda dengar senda gurau anakanda dan adinda,” tegur Encik Ammar.
 
Ammara berpusing ke arah Encik Ammar. Bibirnya mengukir senyuman. Puan Marissa menutup pili air. Kedua-dua ibu dan anak berjalan ke kerusi kayu di bawah gazebo di tepi sudut kanan rumah berkembar semi-D milik Encik Ammar.
 
“Kanda lihatlah Anakanda Ammara ni. Sudah puas Dinda nasihatkan agar terima saja lamaran kerja dari Kanda itu, namun sedikit pun tidak terkesan. Dinda pinta agar Kanda pula nasihatkan Anakanda Ammara,” Puan Marrisa mengikut rentak bahasa suaminya.

“Wah Ma, Abah guna bahasa istana lagi. Mahu pujuk Ammara kah?” sambil menahan tawa Ammara duduk di sebelah Abahnya.
 
“Ok ‘ini serius’,” kata Encik Ammar.
 
“Hahaha,” serentak Ammara dan Puan Marissa sudah ketawa.
 
“Eh kenapa pula gelak ni. Kan Abah cakap ‘ini serius’,” ulang Encik Ammar.
 
“Abah macam mana Ammara tak gelak. Gaya Abah tu macam Wonderpets saja. Siap dengan tone suara gitu. Tak sangka pula Abah pun ikut cerita Wonderpets tu,” Ammara mengesat mata yang berair akibat terlebih tawa.
 
“Bagus la cartoon tu. Abah suka,” ucap Encik Ammar.
 
Di saat mereka bertiga bergurau senda, Kak Limah datang membawa minuman petang. Air teh panas dan cucur cempedak goreng. “Jemput minum Tuan, Puan, Cik Ammara.”
 
“Gracias Kak Limah,” ucap Ammara.
 
“De nada senorita Ammara,” balas Kak Limah.
 
Puan Marissa angkat kening ke arah suaminya. Dia sedia maklum Ammara dan pembantu rumahnya, Kak Limah minat menonton telenovela Latin.
 
Ammara menuangkan air ke dalam cawan lalu dihulur kepada Abahnya. Cawan kedua diletakkan di depan ibunya. “Minum Ma, Abah,” Ammara menjemput kedua orang tuanya minum. Cempedak goreng digigit separuh. Biji cempedak diletakkan di dalam piring cawan air teh. ‘Best.’
 
“Ammara betul ni tak nak kerja dengan Abah?” tanya Encik Ammar.
 
Ammara menganggukkan kepala sambil memejam matanya perlahan-lahan. Mulutnya masih penuh dengan cempedak goreng.
 
“Kan bagus Ammara kerja dengan Abah saja. Ringan sikit beban Abah,” kata Puan Marissa dalam nada yang lembut. Harapannya anak itu lembut hati.
 
“Bukan tak nak Abah, Ma. Macam Ammara cakap tadi, sebelum kerja di syarikat Abah, Ammara nak cari pengalaman kerja dulu. Nak rasa kerja dengan orang lain sebelum jadi bos,” sengaja Ammara menekankan perkataan bos.
 
“Ada hati nak jadi bos ya anak Abah ni,” usik Encik Ammar.

“Mestilah Abah. Itu sebabnya Ammara nak kumpul pengalaman, belajar selok belok bidang architecture ni and the most important Abah, Ammara nak mula dari bawah. Dengan cara tu bila Ammara berada di level pengurusan Ammara akan lebih faham isu-isu pekerja, cabaran dalam menjayakan sesuatu projek, memahami kerenah staf di bawah seliaan Ammara Abah. Penting kan semua tu. Kalau Ammara terus terima offer Abah tu, Ammara akan mula bekerja dengan jawatan yang tinggi. Ammara risau ada banyak perkara yang Ammara belum mahir. Dealing with senior staffs need wisdom kan Abah. Ammara mahu mereka menerima Ammara sebagai rakan sekerja yang mahir bukan sebab Ammara ni anak Abah,” Ammara menyuarakan pandangannya dengan panjang lebar.
 
Encik Ammar mengangguk perlahan. Dia gembira mendengar kata-kata Ammara. Nyata anak itu semakin matang. Enam tahun di luar negara telah mengubah Ammara menjadi seorang yang lebih bijak menyampaikan pendapat, gadis yang berdikari serta punya ketegasan bila membuat keputusan.
 
“Kalau dah itu keputusan Ammara, Abah tak akan paksa Ammara atau halang Ammara lagi. Abah doakan kejayaan Ammara.”
 
Puan Marissa tersenyum Dia juga akur dengan keputusan Ammara. Bila sahaja suaminya telah memberi restu pada anak sulungnya itu, Puan Marissa turut memberikan kebenaran serta mendoakan yang terbaik untuk Ammara.
 
“Abang minta tolong Tuan Syed. Senang la sikit Ammara dapat kerja tu,” cadang Puan Marissa.
 
“Eh jangan gitu Ma. Ammara nak dapatkan kerja tu atas usaha Ammara sendiri. Biar susah sikit, janji Ammara puas hati Ma, Abah.”
 
Puan Marrisa akur dengan permintaan Ammara. Teh di dalam cawan diteguk. Matanya menjeling suami di sisi. Encik Ammar juga diam sahaja. Di dalam hati Encik Ammar menyokong tindakan Ammara. Dia melihat ketegasan Ammara yang melambangkan sifat-sifat pemimpin yang baik telah tersemai dalam diri Ammara.
 
“Kalau itu yang Ammara mahu, Abah akan tunggu sampai Ammara setuju kerja dengan Abah dan gantikan Abah suatu masa nanti,” kata Encik Ammar.
 
“Insya Allah Abah,” ringkas sahaja jawapan Ammara.
 
“Mana Amri Mar,” tanya Encik Ammar.
 
“Petang-petang ni Amri pergi padang bola. Nak keluarkan peluh katanya.”
 
“Mar lain kali kalau Amri nak pergi main bola ingatkan dia ajak Abang sama.”
 
“Abang larat ke lagi nak sepak-sepak bola tengah padang tu,” tanya Puan Marissa sambil menjeling suami di sisi.
 
“Mar jangan pandang abang sebelah mata. Belum cuba belum tahu,” kata Encik Ammar.
 
“Mar bukan apa, cuma risau. Nanti lepas main bola mula la mengadu sakit sana, sakit sini. Salah urat la, sakit pinggang la,” balas Puan Marrisa.
 
Ammara teringat mahu beriadah bersama Abahnya. “Abah jom kta main badminton,” usul Ammara.
 
“Ok juga tu. Jom,” ajak Encik Ammar.
 
“Kejab ya Abah, Ammara ambil raket dengan net.”
 
Sementara menunggu Ammara, Encik Ammar melakukan sedikit aktiviti regangan. Jangan nanti tersalah urat seperti yang dikatakan oleh isterinya tadi.
 
Sekejab sahaja Ammara sudah keluar semula dengan dua batang raket, balang bulu tangkis dan jaring di tangan. Mujur juga ruang tepi rumah banglo mereka luas dapatlah disediakan ruang untuk beriadah.
 
Sebaik Ammara selesai mengikat jaring, Encik Ammar mengambil tempat dan bersedia dengan bulu tangkis. Puan Marissa menjadi penyokong. Penyokong suaminya sudah tentu. Servis permulaan dibuat oleh Encik Ammar. Ammara bersedia menunggu servis dari Abahnya.
 
Ammara bermain dengan berhati-hati. Dia tahu Abahnya mahir bermain badminton. Walapun usia abahnya hampir mencecah separuh abad, Abahnya masih cergas. Masih mampu membuat hantaran padu ke gelanggang Ammara. Puan Marissa memberikan sokongan buat suami. Terdengar suara Puan Marissa menjerit memberi semangat buat suaminya.
 
“Ma sokong Ammara la,” pujuk Ammara pada ibunya.
 
“Maaf sayang. Ma akan sokong my life partner,” kata Puan Marissa dengan senyuman.
 
“Kak jangan risau Am sokong Kakak,” sayup terdengar suara Amri mendekati gelanggang tempat Abah dan Kakaknya bermain badminton. Amri lantas duduk di sisi ibunya.
 
“Ok gitu la Am. Ni yang Akak sayang Am ni.”
 
Suasana aman bahagia dalam keluarga Encik Ammar. Keluarga yang penuh kasih sayang dan nilai-nilai keislaman. Hubungan erat mereka sekeluarga terbentuk bila Encik Ammar selaku ketua keluarga, pemimpin rumahtangga bijak mengemudi bahtera keluarganya. Encik Ammar sentiasa berusaha mendidik ahli keluarganya menuju ke arah keluarga bahagia dan keluarga sakinah. ‘Jadikanlah aku dan keluargaku di dalam rahmatMu sentiasa ya Allah,’ doa Encik Ammar setiap hari.
 
*******
 
Pagi itu Ammara bangun awal. Selesai mandi dia menunaikan kewajipannya terhadap Ilahi. Usai solat subuh, Ammara memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa di atas anugerah dan nikmat kehidupan yang diberi padanya. Kesempatan menikmati satu hari lagi nikmat hidup, suatu yang sungguh berharga.
 
Ammara bersiap sekemas mungkin. First impression itu penting. Pagi ini dia akan hadir satu temuduga. Yang pertama kali selepas dia kembali ke Malaysia. Rasa cemas pun ada. Namun dia sedaya upaya tenangkan diri. Puas hati dengan penampilannya, dia turun ke ruang makan.
 
Ibunya dan Kak Limah sudah siap memasak sarapan. Ammara membantu menyusun pinggan dan cawan di atas meja. Mangkuk mihun goreng diangkat ke depan. Kak Limah pula menggangkat teko berisi kopi o dan teh panas.
 
“Sedapnya bau,” tegur Amri.
 
Sudah menjadi kebiasaan keluarga Encik Ammar untuk bersarapan bersama-sama. Encik Ammar sangat menjaga pemakanan keluarganya. Dia akan pastikan anak-anaknya bersarapan dahulu sebelum ke mana-mana. Baginya sarapan itu sangat penting. Jadi tanpa gagal dia akan memastikan ahli keluarganya berkumpul dan menikmati sarapan berjamaah.
 
Tidak lama selepas itu Encik Ammar menyertai ahli keluarganya di meja makan. Apabila semuanya sudah sedia dihidangkan, Amri membaca doa makan. Bersyukur dengan hidangan rezeki dariNya.
 
“Ammara pagi ni pergi dengan Abah, Abah hantar. Arah yang sama kan,” ajak Encik Ammar.
 
“Tak apa Abah. Ammara drive sendiri.”
 
“Kalau gitu hati-hati bawa kereta. Elok keluar awal sikit. Interview pukul berapa?” soal Encik Ammar.
 
“Pukul sembilan abah,” Ammara melirik jam di tangan kanannya.
 
“Amri apa plan hari ni,” tanya Encik Ammar.
 
“Am kat rumah je ni Abah, teman Ma,” ucap Amri. Tangannya menyuap mihun goreng ke mulut.
 
Usai bersarapan, Encik Ammar dan Ammara berlalu ke kereta masing-masing. Ammara mencium tangan Abah dan Mamanya.
 
“Selamat berjaya sayang,” lafaz Puan Marissa saat dia mencium pipi anak sulungnya.
 
“Terima kasih Ma. Ammara pergi ya. Bye Ma, Amri assalamualaikum.”
 
Puan Marissa dan Amri menjawab salam dan masuk ke dalam rumah sebaik kereta Ammara dan Encik Ammar hilang dari pandangan mereka.
 
*******
 
Ammara tiba awal tiga puluh minit. Mujur di ruang menunggu terdapat tempat duduk. Kaunter pejabat juga masih kosong. ‘Belum sampai agaknya,’ fikir Ammara.
 
Deringan telefon di kaunter berbunyi nyaring. Ammara yang berada di situ serba salah. ‘Patut ke aku angkat?’ Ammara memandang telefon di atas meja. ‘Lega dah berhenti.’ Ammara kembali duduk.

Kringggg….sekali lagi bunyi nyaring telefon di atas meja kaunter itu berbunyi. Ammara resah. ‘Nak angkat ke tak ni. Mana orang kat kaunter ni?’
 
“Can someone please answer the phone,” seorang lelaki dengan laju melangkah masuk ke pejabat. Lelaki muda dengan gaya yang kemas dengan wajah yang sedikit garang berhenti di tepi kaunter.
 
“You yang duduk tercegat kat situ kenapa. Angkat telefon ni. Macam ni punya kuat telefon ni berdering awak tak dengar ke?”
 
Lelaki itu melangkah masuk ke biliknya tanpa memandang Ammara lagi. Ammara yang disergah begitu tergamam. ‘Salah aku ke? Tak sempat nak bagi tahu pun aku bukan staf kat sini.’
 
“Hello Harris Architects Sdn Bhd. May I help you?” Ammara mengangkat dan menjawab panggilan telefon yang berdering.
 
“Kira tolong inform my boss, Encik Shaiful yang I lewat sikit masuk office pagi ni. Kereta I ni buat hal pula pagi-pagi ni. Thanks Kira, nanti I belanja you lunch ya. Bye.”
 
Belum sempat Ammara bertanya lebih banyak, pemangil telah memutuskan talian. Ammara menulis pesanan yang diterima di atas kertas memo. ‘Ala macam mana ni tak sempat pula nak tanya nama pemanggil. Nak tulis apa di ruangan caller ni,’ Ammara mengerutkan dahi.
 
“Staf baru ke cik?” tegur seorang gadis berambut lurus separas bahu. “Saya Kirana. Selamat berkenalan.”
 
Ammara senyum sambil menyambut tangan Kirana. “Saya Ammara Ammar.”
 
“Cik Ammara dah jumpa bos ya. Dia minta Cik Ammara bantu saya di kaunter ke?” Kirana bertanya dengan ramah.
 
“Bukan Cik Kirana. Saya sebenarnya..” belum sempat Ammara menyatakan hal yang sebenarnya, kata-katanya telah dipintas oleh Kirana.
 
“Ok nanti saya ajar apa yang patut Cik Ammara tau pasal syarikat ni. So senang sikit kerja di kaunter ni. Sebab semua panggilan masuk akan masuk ke line ni. Then kalau ada clients call pun akan melalui sini dulu. Lepas tu baru kita transfer line. Tunggu kejab ya saya nak pegi ladies.”
 
Ammara tidak sempat menjelaskan apa-apa pada Kirana. Gadis itu pantas sekali bersuara. Tidak sempat langsung Ammara mencelah. Akibatnya dia disangka staf baru pula.
 
“Kira..,” panggil lelaki muda tadi. Dia terdiam bila dilihatnya Ammara berdiri di tempat Kirana. “Mana Kira? Awak staf baru ke? Tak pernah nampak pun sebelum ni? Baru mula kerja hari ini?”
 
‘Ya Allah banyaknya soalan. Sampai tak sempat aku nak jawab,’ desis Ammara di dalam hati.
 
“Tolong buat one copy senarai interviewee ini. Then awak ambil salinan tu. By 9.00 o’clock awak hantar sorang ke bilik temuduga ikut senarai nama ni ok,” lelaki itu memberi arahan.

Ammara tidak sempat menjawab bila sahaja senarai nama itu telah dihulur kepadanya. Lelaki itu juga dengan pantas berlalu masuk ke pejabatnya.
 
‘Agaknya semua orang di sini suka bercakap tapi tidak suka mendengar. Ya Allah sabarlah hati,” Ammara memujuk dirinya. Ammara memerhati jam dinding di sebelah kanannya. Sepuluh minit lagi pukul sembilan pagi. ‘Mana Kirana ni.’
 
Dua orang wanita dengan gaya eksekutif masuk ke ruangan menunggu. Ammara memberikan senyuman kepada mereka. Tidak lama selepas itu seorang lelaki berketurunan Tionghua melangkah masuk. Kelihatannya lelaki itu tergesa-gesa melangkah. Tangannya laju sahaja mengesat peluh yang berjejeran di dahi.
 
Ammara tiada pilihan dia masuk ke dalam pejabat mencari mesin pendua. Kelihatan mesin pendua itu diletakkan di hujung pejabat di bahagian kiri. Mujur juga Ammara pernah bekerja sambilan di sebuah kedai buku. Waktu itu dia sedang menunggu keputusan SPMnya. Dia sudah biasa menggunakan mesin pendua tersebut. Dia menekan butang ‘Start’ yang berwarna hijau. Satu salinan keluar di sebelah kanan Ammara. Salinan itu dicapai. Ammara berlalu ke bilik yang dimasuki oleh lelaki tadi.
 
Ammara mengetuk pintu bilik yang terpamer nama ‘Hafiz Ismail | Head Of Finance & Administration’. Sebaik mendengar suara dari dalam, Ammara memulas tombol pintu yang tertutup itu.
 
“Ini salinan yang asal.”
 
“Ya terima kasih, letak di situ,” jawab Encik Hafiz tanpa memandang wajah Ammara. Dia memberikan fokus pada dokumen di atas meja.
 
Ammara langsung tidak tersinggung. Dia faham mungkin memang benar lelaki itu sangat sibuk. Selepas meninggalkan salinan itu, dia segera beredar ke tempat Kirana.
 
“Awak pergi mana,” tanya Kirana sebaik sahaja Ammara muncul.
 
Ammara tidak terkata apa-apa. Dia menyerahkan salinan senarai nama calon temuduga pada pagi itu.
 
“Thanks awak,” ucap Kirana. Kirana membaca sepintas lalu nama calon untuk ditemuduga. Matanya tertancap pada nama kedua di dalam senarai di tangannya. Mulutnya terbuka. Dia memandang ke arah Ammara.
 
Ammara hanya mengangguk. Tidak berkata apa walau sepatah. Bibirnya menguntum senyuman. Fail hijau dan tas tangan yang ditinggalkan di atas meja Kirana dicapai. Dia berdiri di sudut paling hampir dengan Kirana.
 
“Maafkan saya Cik Ammara. Saya ingatkan Cik ni staf baru yang akan bantu saya. Bos ada bagi tahu saya ada staf baru akan bantu saya. Saya ingatkan Cik Ammara ni orangnya. Maafkan saya ya,” Kirana berkata sedikit cemas. Dia tidak sangka rupanya Ammara hadir untuk sesi temuduga pada pagi itu. “Cik Ammara duduk dulu ya.”
 
Sebelum Ammara mengambil tempat duduk dia menyampaikan pesanan yang diterima tadi.

“Tak apa Kirana. Saya ada terima satu pesanan melalui telefon. Tapi tak sempat nak ambil nama pemanggil. Pesanan saya dah tulis pada kertas memo tu,” beritahu Ammara sambil merujuk memo warna pink di meja Kirana.
 
“Sekali lagi terima kasih Cik Ammara. Cik dah bantu saya tadi,” kata Kirana.
 
“Sama-sama. Hal kecil saja tu Kirana,” balas Ammara lantas duduk di sofa yang disediakan di situ.

“Mr. Melvin Cheah. Sila masuk. Bilik yang kelima dari kanan ya,” panggil Kirana.

Lelaki Tionghua itu berlalu ke dalam bilik yang dimaksudkan. Ammara menunggu gilirannya. Dia tahu selepas ini gilirannya berdasarkan senarai nama yang dilihat tadi. Ammara cuba bertenang dengan membaca Al-Fatihah serta Ayat Kursi. Nafas ditarik dalam-dalam.
 
Lima belas minit berlalu, barulah Encik Melvin keluar dari bilik temuduga. Ammara lihat lelaki itu mengesat peluh di mukanya. ‘Buat aku takut je,’ desis Ammara perlahan.
 
Interkom di meja Kirana berkelip. Secepat kilat Kirana menekan butang untuk bercakap.
 
“Ya Encik Shaiful. Calon seterusnya ke?”

“Encik Zaim mana Kirana. Kalau dia masuk nanti minta dia masuk bilik interview. Ok la awak panggil next interviewee. Thanks,” jawab Encik Shaiful.
 
“Cik Ammara sila masuk,” panggil Kirana.
 
“Terima kasih Kirana,” ucap Ammara melangkah melepasi meja Kirana.
 
“Good luck Cik Ammara,” kata Kirana mengiringi langkah Ammara.
 
Ammara senyum dan mengangguk perlahan. Dia mara hingga ke pintu bilik temuduga. Sebelum masuk dia menarik nafas dalam-dalam. Pintu diketuk.
 
“Masuk.”

Ammara membuka pintu dan melangkah masuk dengan yakin. Matanya menangkap tiga susuk tubuh panel penemuduga yang duduk sambil memerhati setiap langkah Ammara.

“Assalamualaikum dan selamat pagi tuan, puan,” ucap Ammara.
 
Ucapannya dijawab serentak oleh panel penemuduga.
 
“Jemput duduk Cik Ammara.”
 
Sebelum duduk Ammara menyerahkan Curiculum Vitae dan fail berisi sijil serta dokumen diri yang penting. Ammara kemudiannya duduk berhadapan dengan tiga orang panel yang memerhatinya sedari awal dia melangkah masuk. Debar di dada tak usah cakaplah. Ammara sedaya upaya mengawal emosinya. Dia menarik nafas. Dia perasan sebuah kerusi yang paling hujung sebelah kanannya kosong. ‘Siapakah orangnya,’ monolog Ammara sendirian.
 
“Saya kenalkan diri saya dulu. Saya Ar. Hasan Bin Hamzah, yang di sebelah kanan saya Puan Lina Binti Abu Bakar dan di sebelah kiri saya Dr. Ar. Danny Ong. Saya yakin Cik Ammara jelas mengapa pihak kami memanggil Cik Ammara untuk sesi ini. Jadi sila perkenalkan diri Cik Ammara,” ucap Tuan Ar. Hasan selaku Ketua Panel Penemuduga.
 
Ammara memulakan bicara dengan ucapan bismillah. Dia juga berdoa agar Allah berikan kelancaran padanya dalam berkata-kata serta dipermudahkan urusannya pada hari itu.
 
“Nama saya Ammara Binti Ammar. Berasal dari Kuala Lumpur. Kelayakan akademik tertinggi saya adalah B. Arch. (Hons.) University Of Sheffield, United Kingdom. Saya minat melukis dan juga bersukan. Saya percaya apabila badan cergas maka minda kita juga akan menjadi cerdas. Saya pernah berkerja secara sambilan di sebuah kedai buku selepas saya menamatkan peperiksaan SPM saya. Selain itu pengalaman saya di bidang senibina adalah pengalaman kerja selama satu tahun di Firma Arkitek Norman Foster and Partners sebagai Pembantu Teknikal kepada Arkitek Senior. Saya yakin dengan pendedahan yang diperolehi itu, saya mampu menjalankan tugas sebagai seorang arkitek dengan jayanya.

“Mengapa Cik Ammara tidak terus bekerja di London. Saya pasti firma tersebut memberikan banyak pulangan yang lebih baik.”
 
Ammara telah menjangkakan akan ditanya soalan itu.

“Ya benar gaji dan peluang di sana lebih baik. Walaupun hujan batu di negara sendiri, itu lebih baik. Saya pulang ke Malaysia untuk memberi sumbangan kepada negara saya sendiri. Saya tidak mahu dilabelkan sebagai kacang lupakan kulit. Saya sedar saya berada di sana atas tiket pelajar tajaan dengan biasiswa dari kerajaan, jadi wajar saya pulang dan seterusnya membalas budi baik yang diberikan kepada saya selama ini.”

Puan Lina membelek satu persatu sijil yang dimiliki oleh Ammara. Sesekali anak matanya menerjah ke wajah Ammara. Dia memerhati raut tenang Ammara. Dengan postur dan bahasa badan yang positif Puan Lina mengukir senyum. Folio lukisan Ammara juga diperhati satu persatu. ‘Impress,’ satu perkataan muncul di benak Puan Lina.

“Mengapa Cik Ammara memilih bidang senibina sebagai satu kerjaya?”
 
Ammara menarik nafas lega. Soalan ini sudah acapkali diajukan kepadanya.

“Saya memilih bidang senibina sebagai kerjaya kerana saya merasakan kerjaya sebagai arkitek sangat mulia. Arkitek membantu manusia membina bangunan atau tempat perlindungan seperti rumah yang merupakan keperluan asas manusia. Senibina adalah gabungan seni dan sains. Jadi gabungan ini menghasilkan struktur bangunan yang kondusif untuk tempat tinggal, tempat kerja, ruang menunggu bas atau keretapi serta tempat untuk kita berehat dan berhibur bersama keluarga seperti taman tema atau taman bunga dan taman tasik. Saya mula memupuk rasa cinta pada senibina semasa saya di peringkat sekolah rendah lagi. Ianya berputik bila saya sering ke promosi jualan rumah. Abah saya selalu membawa saya ke pameran perumahan. Di situ saya akan lihat model-model rumah yang dipamerkan termasuk lanskap yang dicadangkan oleh syarikat pemaju. Sejak itu saya menanam azam untuk membina struktur bangunan hasil tangan saya sendiri.”
 
Ammara berbicara dengan petahnya sambil matanya memerhati setiap wajah di hadapannya silih berganti. ‘Eye contact penting ya,’ tekan Ammara dalam hati.
 
Ammara menyambung lagi hujahnya, “Sejak kecil saya suka melukis dan membina model rumah menggunakan kepingan LEGO. Model-model tersebut masih elok dan saya tidak pernah membukanya sehingga kini. Selain itu saya memilih senibina sebagai kerjaya kerana saya mahu menjadi seorang arkitek wanita muslimah berjaya. Rata-rata bidang senibina dipelopori oleh bangsa asing. Jadi timbul rasa ingin berada di dalam kelompok arkitek berjaya. Di samping itu, negara kita juga semakin maju dan pembangunan bergerak dengan pantas. Jadi di sinilah senibina akan menjadi satu bidang yang penting untuk diketengahkan. Sampai bila kita mahu melihat arkitek dari luar negara yang memonopoli bidang senibina. Saya yakin anak tempatan juga hebat. Saya tidak mahu ketinggalan di belakang mereka.
 
Tuan Ar. Hasan Bin Hamzah menganggukkan kepala. Tangan kirinya mencatat sesuatu di atas kertas putih A4. Puan Lina selaku pemerhati turut menangguk-angguk. Dr. Ar. Danny Ong yang diam sahaja pada mulanya, mula mengajukan soalan pada Ammara.

“Cik Ammara sangat bersemangat serta saya nampak passion in your attitude. So please tell me who are your idols?”
 
Ammara senyum. Dia sudah menjangkakan soalan ini akan ditanya. Ammara menarik nafas lega. “Secara jujurnya, saya tidak mempunyai idola yang tetap dalam bidang ini. Namun ini tidak bermakna saya tiada pendirian hidup. Saya kagum dengan arkitek yang mampu mereka bangunan yang unik dan turut mementingkan ciri-ciri keselamatan bangunan tersebut. Saya amat kagum dengan arkitek-arkitek yang berjaya membina dan mereka bangunan yang sangat unik dan tidak pernah difikirkan oleh orang lain tetapi dia berjaya merealisasikan bangunan itu tanpa memberikan risiko yang tinggi tentang keselamatan bangunan tersebut. Antaranya ialah arkitek Belanda yang mereka Canton Tower di Guangzhou China iaitu Mark Hemel and Barbara Kuit dan dibantu oleh salah satu firma arkitek antarabangsa dari London, UK.

“Assalamualaikum and good morning ladies and gentlemen. First of all, I’m sorry. I’m late. I had an unexpected matters this morning.”
 
“Oh it’s ok Zaim. Please take your seat. We’re in the middle of the interview with Miss Ammara.”

Ammara menahan debar di dada bila nama Zaim meniti di bibir Tuan Ar. Hasan Hamzah. Dia tidak ingin memandang gerangan lelaki yang bersuara di belakangnya. Dia menunggu lelaki itu duduk di kerusi yang masih kosong di sebelah Dr. Ar. Danny Ong. ‘Adakah dia,’ getus Ammara menahan rasa resah yang mula berlabuh.

“Hi Cik Ammara. Maafkan saya,” ucap Zaim lalu duduk di sebelah kanan hadapan Ammara.
 
Ammara mengangkat mukanya. Saat matanya bertembung pandang dengan Zaim, dia tergamam. ‘Mengapa bertemu di sini,’ Ammara bermonolog sendiri.

“Shall we continue?” tanya Tuan Ar. Hasan Hamzah sambil memandang semua panel penemuduga dan akhir sekali pandangannya jatuh ke wajah Ammara. Ammara hanya mengangguk dan senyum. Seboleh mungkin Ammara mengawal rasa gugup yang mula melanda hatinya. Terasa seperti sepasang mata itu asyik merenung wajahnya.

“Cik Ammara teruskan.”

Ammara menarik nafas dan kembali fokus.
 
“Saya turut kagum dengan arkitek tempatan seperti Tuan Azhar Sulaiman. Beliau juga adalah seorang pelakon, pengacara dan pereka set untuk filem serta drama. Beliau telah pun berjinak di dalam bidang seni sewaktu masih belajar lagi. Beliau bijak membahagikan masa antara pelajaran dan bidang seni. Itu memberi saya satu semangat untuk terus berjaya dalam hidup.
 
Zaim yang sedari tadi hanya memerhati, mula mencelah, “Cik Ammara minat berlakon?”
 
Ammara tidak menyangka soalan itu yang ditanya.
 
“Saya tiada bakat dalam bidang itu. Insya Allah saya lebih berminat dalam bidang senibina dan bukan seni lakon.”

Tuan Ar. Hafiz tersenyum mendengar kata-kata Ammara. Dia mengangguk. “Ada soalan akhir mungkin,” Tuan Ar. Hafiz memandang kesemua panel penemuduga silih berganti.
 
“Cik Ammara saya ingin tanyakan satu soalan berbentuk situasi. Sila fikir dengan tenang sebelum menjawab.”
 
Ammara terdiam. Matanya memandang tepat ke muka Zaim. Menanti soalan yang bakal ditanya.
 
“Begini antara nenek tua, doktor dan kekasih awak pilih siapa?” Soalan Zaim yang memerlukan Ammara memikirkan jawapan paling sesuai dengan situasi ketika itu.
 
Ammara terdiam. Tidak menyangka soalan berbentuk psikologi itu ditanya. Namun dia masih bertenang menunggu soalan tersebut habis dibacakan oleh Zaim.
 
“Situasinya di mana awak sedang menunggang motosikal di satu kawasan yang dilanda bencana banjir. Keadaan masa itu waktu malam. Ketiga-tiga mereka ini sedang menunggu bas bantuan yang akan mengambil mereka. Mereka bertiga adalah orang terakhir di situ. Nenek tua itu sedang sakit. Doktor itu pula pernah menyelamatkan awak sebelum ini dan yang terakhir seorang yang selama ini menjadi idaman hati awak.”
 
Ammara mendengar dengan teliti scenario yang dinyatakan oleh Zaim itu. Dia mula berfikir apakah akan dia lakukan jika berada di dalam suasana seperti itu.
 
Zaim menyambung lagi, “Awak cuma dibenarkan pilih seorang saja untuk membonceng bersama awak. Jadi soalan saya siapakah yang akan awak ajak dan apakah alasan untuk tindakan awak tu.”

Ammara terdiam. Mindanya masih ligat memikirkan jawapan paling sesuai untuk soalan Zaim itu.

Baru sahaja Ammara mahu memberikan jawapan, Zaim terlebih dahulu bersuara, “Awak tak perlu jawab. Sila tulis jawapan awak di kertas yang disediakan.”
 
‘Oh patut la ada kertas A4 kat depan aku ni,’ Ammara menarik sekeping kertas. Ammara mengeluarkan pena dari dalam tas tangan. Dia mula menulis jawapan yang sempat difikirkan.
 
Zaim mengambil jawapan yang siap ditulis oleh Ammara. Dia membaca sepintas lalu. Senyuman terukir di bibir Zaim.
 
Kertas jawapan diserahkan kepada Tuan Ar. Hafiz. Zaim membisikkan sesuatu kepada Tuan Ar. Hafiz. Kertas di tangan dibaca sepintas lalu.
 
“Baiklah ada apa-apa yang awak nak cakapkan sebelum kita akhiri sesi ini.”
 
“Terima kasih kerana saya diberi peluang menghadiri temuduga ni. Boleh saya tahu bilakah saya akan dapat keputusan temuduga ni.”
 
“Begini Cik Ammara. Pihak kami akan hubungi Cik Ammara dalam tempoh dua minggu. Sekiranya tiada jawapan, anggap sahaja Cik Ammara tidak berjaya di dalam temuduga ini.”
 
Ammara angguk tanda faham.
 
“Ada apa-apa lagi. Jika tak ada terima kasih.”
 
“Terima kasih kembali.” Ammara bangun dan mengambil semula fail yang berisi sijil-sijil kepunyaannya daripada Puan Lina. ‘Alhamdulillah dah selesai,’ bisik Ammara sambil berlalu keluar.
 
*******
 
“Zaim apa maksud you dengan soalan you tadi?” Puan Lina bertanya sebaik sesi temuduga hari itu berakhir.
 
“Sebelum I jawab, I nak tau kalau you yang ditanya dengan soalan itu, apa pilihan you?”
 
“Hmm I akan pilih lelaki idaman I la. Hmm tapi I kesian juga pada nenk tua tu. Dia sakit. Macam mana I nak buat pilihan. Dah la you kata boeh bawa sorang saja,” ulas Puan Lina.
 
Zaim senyum menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik. “Lina ini soalan yang memerlukan you fikir di luar kotak. You jangan create limitation bila I cakap you hanya boleh bawa seorang saja. Bila you think out of the box, you akan dapat selesaikan masalah ni tanpa rasa bersalah pada mana-mana pihak.”

“But how Zaim?”
 
“You find out Lina. Kalau you dapat beri jawapan yang I nak, I belanja you lunch,” pancing Zaim dalam senyuman sambil melangkah meninggalkan Puan Lina. Kakinya dihayun ke bilik kerjanya.
 
p.s.: Sha masih blom ada tajuk untuk kisah ini. Ada cadangan?

5 comments:

  1. best...watak utama ammara n zaim...sweet sngt...

    ReplyDelete
  2. Cdgn akak.....tajuknya......
    KISAH HATI.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih sdri ayu salina. Sha akan ambil cadangan ni untuk pertimbangan.

    ReplyDelete
  4. akak Ayu Salina, Sha terjumpa satu tajuk kompilasi cerita pendek 2013 dengan tajuk Kisah Dari Hati..

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim