21 September 2013

Kasihmu 40

“Jadi keluarga Haji Luqman datang rumah kita?” soal Puan Asyiqin.
 
“Insya Allah jadi Umi. Semalam ada dia call di office Een,” Shaheen mengesahkan kehadiran Luqman sekeluarga.

Puan Asyiqin menuang air kopi ke dalam cawan. Cawan berisi kopi panas diletakkan di hujung meja. Shaheen kembali ke meja makan dengan kuah lodeh yang masih berasap. Encik Suffian masih di laman sedang menyiram pokok-pokok bunga anggerik milik Puan Asyikin.
 
“Abang mari kita sarapan sama-sama. Een dah siapkan,” Puan Asyiqin memanggil suaminya.
 
“Yalah. Sekejab abang tutup paip air,” kata Encik Suffian.
 
Puan Asyikin menunggu suaminya di muka pintu. Sebaik Encik Suffian melangkah masuk, mereka berjalan ke meja makan beriringan.
 
“Amboi Umi, Abi siap berpimpin tangan,” usik Shaheen.
 
Puan Asyikin tersenyum melirik ke arah suaminya.
 
“Een berkasih sayang ni bukan hanya masa bercinta saja,” pesan Encik Suffian. “Masa bercinta tak boleh berpimpin tangan, dosa tau. Jadi bila dah ada ijab dan qabul, dah jadi pasangan suami isteri yang sah, lebih manis bila berpimpin tangan. Kasih sayang akan jadi lebih erat. Hubungan lebih mesra.”
 
Shaheen senyum memandang Abi dan Uminya.
 
“Een nanti ingat ya pesan Abi tadi. Bercinta selepas berkahwin lebih manis. Bukan tak boleh bercinta sebelum berkahwin. Cuma Een kena jaga batas-batas dalam pergaulan. Islam menganjurkan rasa berkasih sayang sesama kita,” sambung Puan Asyiqin.
 
Shaheen senyum mendengar kata-kata nasihat dari Abi dan Uminya.
 
“Abi macam mana kita nak tunjukkan perasaan kita pada orang yang kita sayang?” tanya Shaheen sambil tangannya menghulurkan mangkuk berisi lontong ke arah Abinya.
 
“Sebelum Abi jawab kita baca doa makan dulu ya,” kata Encik Suffian.
 
Semua menadah tangan. Usai bacaan doa, Encik Suffian meneguk kopi. Matanya terpejam menikmati aroma kopi yang harum dan rasa kopi yang manis-manis pahit.
 
“As usual sedapnya kopi. Siapa buat ni?” tanya Encik Sufian.

“Anak dara abang la yang buat,” balas Puan Asyiqin.

“Pandainya. Dah boleh kahwin ni Een. Kalau zaman Abi dulu, kepandaian membuat kopi ni satu kelebihan tau pada mana-mana anak dara sunti. Cepat je orang masuk meminang,” kata Encik Suffian.
 
“Ala Abi ni, ke situ pula,” Shaheen malu diusik begitu.
 
“Betul kata Abi tu Een,” sokong Puan Asyiqin.
 
“Oh ya teringat Abi. Betul ke ibu bapa Haji Luqman datang ke Malaysia,” tanya Encik Suffian.
 
“Betul Abi. Een terserempak dengan mereka dua hari lepas di Mid Valley,” jawab Shaheen.
 
“Katanya mereka nak singgah rumah kita bang,” kata Puan Asyiqin.
 
“Hmm bagus juga tu. Boleh berkenal-kenalan,” balas Encik Suffian.

“Mulanya Bu Kartika ajak kita ke rumah Haji Luqman. Tapi Een segan la. Itu yang Een jemput mereka ke rumah kita. Bolehkan Abi,” tanya Shaheen.
 
“Boleh apa salahnya,” balas Encik Suffian. Tangannya menyuap nasi impit ke mulut.
 
Puan Asyiqin mengambil kotak tisu. Sehelai tisu ditarik keluar. Hujung bibir Encik Suffian dilap. Shaheen memerhati tindakan Uminya. Dia yakin Uminya sangat sayangkan Abinya. Dia tahu perkahwinan Abi dan Uminya atas dasar cinta. Mereka berdua berkenalan semasa menyertai sukan antara universiti. Abinya di Universiti Malaya manakala Uminya di Universiti Sains Malaysia. Walaupun berjauhan, jodoh mereka kuat. Hingga ke hari ini Shaheen melihat kebahagiaan dan kemesraan kedua orang tuanya. Lantas dia berdoa di dalam hati agar ditemukan dengan pasangan yang baik.
 
“Bila mereka nak datang tu Een?” tanya Encik Suffian.
 
“Kata Luqman hujung minggu ni. Hari Sabtu Abi,” kata Shaheen.
 
“Elok la tu. Een pun tak kerja kan hari tu,” Puan Asyiqin mencelah.
 
“Ya Umi,” Shaheen senyum.

“Boleh la tolong Umi masak,” sambung Puan Asyiqin lagi.
 
“Boleh sangat Umi,” balas Shaheen.
 
“Amboi seronok nampak. Macam nak sambut mertua je,” usik Encik Suffian.
 
“Abi ni,” Shaheen sudah muncung bibirnya. Puan Asyikin sudah ketawa mendengar kata-kata suaminya. “Een dengan Luqman tu tak ada apa-apa la Umi. Kami rakan niaga je.”
 
“Sekarang memang la tak ada apa-apa. In future, who knows kan,” Encik Suffian masih dalam nada mengusik.
 
“Aamiin. Umi pun berkenan dengan Haji Luqman tu. Baik budaknya,” sokong Puan Asyiqin.
 
Shaheen sudah merah mukanya. Malu diusik Abi dan Uminya. Sudahnya dia tunduk menceduk nasi impit ke mulut. Kuah lodeh disudu ke mulut. Tidak berani lagi dia mahu bersuara. Bimbang disakat lagi oleh Abi dan Uminya.
 
“Abang belum jawab soalan Een tadi,” Puan Asyiqin mengingatkan suaminya.
 
“Soalan yang mana?” tanya Encik Suffian.
 
“Cara nak tunjukkan kasih sayang pada Haji Luqman,” giliran Puan Asyikin pula mengusik Shaheen.
 
“Umi,” Shaheen sudah bulat matanya memandang Uminya. Tidak sangka diusik begitu. Cepat-cepat dia meneguk air kopi buat mengusir debar di dada.
 
Encik Suffian sudah ketawa besar. Puan Asyiqin juga tertawa sama.
 
“Een, Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Jadi Een kena ingat rasa cinta dan kasih sayang tu daripada Allah. Anugerah dariNya. Hargailah ia. Konsep kasih sayang dalam Islam ni luas Een,” luah Encik Suffian.
 
“Maksud Abi,” Shaheen menyoal sambil menghirup kopi di cawan yang sudah pun suam-suam kuku.

“Banyak cara nak tunjukkan kasih sayang ni Een. Bukan hanya dengan cara belaian, sentuhan dan layanan yang mesra sahaja tapi melalui kata-kata yang sopan, ucapan yang manis dan sedap didengar. Selain tu kasih sayang ni tak terhad sesama manusia saja. Haiwan dan tumbuhan juga makhluk Allah yang wajar kita sayang. Alam sekitar juga,” sambung Encik Suffian.
 
“Kita dapat menzahirkan kasih sayang melalui senyuman, pujian, penghargaan dan pujukan,” Puan Asyiqin mencelah. “Selain tu amalan kasih sayang ni boleh juga dilihat daripada sikap saling bekerjasama, bantu-membantu, bersyukur atas kegembiraan orang lain, bersimpati dengan kesedihan orang lain serta bertegur sapa sesama kita.”
 
Shaheen menganggukkan kepala. Lantas senyuman terukir di bibir bila teringatkan si Putih. Putih sudah semakin pulih. Meski pun lukanya masih belum betul-betul kering. Putih tetap saja aktif bila dilepaskan bebas di dalam rumah. Shaheen rajin melayan Putih. Sayang pula dia pada Putih.

“Bukan itu saja Een. Bila kita saling kasih mengasihi, berkongsi suka duka dan saling ziarah menziarahi, kita sebenarnya sedang menghidupkan amalan berkasih sayang. Sama juga dengan apa yang akan berlaku hujung minggu ni,” Encik Suffian sudah tersenyum memandang Een.
 
“Kenapa dengan hujung minggu ni Abi,” Shaheen bertanya.
 
“Dah lupa la tu,” Puan Asyikin bersuara perlahan.
 
“Kan hujung minggu ni keluarga Haji Luqman nak datang rumah kita. Itu satu cara menyemarakkan kasih sayang dan memanjangkan silaturrahim sesama kita,” ulas Encik Suffian.
 
“Oh ya. Een lupa,” Shaheen bersuara sambil memegang kepalanya. Dia senyum.
 
“Apa menu hujung minggu ni,” tanya Encik Suffian mengubah topik perbualan.
 
“Apa pendapat abang? Nak buat nasi berlauk atau nasi ayam, atau kita masak nasi tomato?” tanya Puan Asyiqin.
 
“Abang tak kisah. Yang penting menyenangkan sayang,” ucap Encik Suffian.
 
“Een nak masak apa nanti?” tanya Puan Asyiqin memberi peluang pada Shaheen mengutarakan pendapatnya.
 
“Umi kita buat nasi berlauk la. Kenalkan makanan Melayu pada Bu Kartika. Masa Een di rumahnya dulu, dia hidangkan masakan Padang. Macam mana? Apa komen Umi?” Shaheen menyatakan pilihannya.
 
“Umi ok je. Sebab yang nak masak nanti Een. Umi jadi assistant je,” ucap Puan Asyiqin sambil menjeling ke arah suaminya.
 
“Hah!” Shaheen tergaman. Dia kena masak.
 
“Een nak masak menu apa weekend ni?” tanya Puan Asyiqin.
 
Shaheen memandang wajah Uminya. Dia mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Aii tak kan jungkit bahu je Een. Bakal mak dengan abah mertua nak datang ni,” usik Encik Suffian.
 
“Abi ni,” Shaheen segan diusik begitu. Wajahnya sudah merah menahan malu.
 
“Een kena tunjuk skill masak. Baru bakal suami berkenan,” giliran Puan Asyikin pula menggiat Shaheen.
 
“Luqman tu tak ada pun cakap gitu. Malu la Een kalau dia dengar kata-kata Umi dengan Abi ni,” Shaheen sudah memuncungkan bibirnya.
 
“Elok la dia dengar Een,” Encik Suffian membalas kata-kata Shaheen.
 
“Mana tau masin mulut Umi. Dapat Umi menantu tahun ni. Umi memang berkenan dengan Haji Luqman tu. Baik budaknya,” Puan Asyikin melahirkan hasrat hatinya.
 
“Ya. Abi pun berkenan dengan Haji Luqman,” akui Encik Suffian.
 
Shaheen sudah diam. Dia malu untuk mengakui hatinya juga sudah terpaut dengan peribadi Luqman. Orangnya memang baik seperti mana kata-kata Umi dan Abinya. “Umi, Abi jangan sampai Luqman tau apa yang kita bincangkan ni. Malu Een.”
 
“Tak usah la malu Een. Tak ada salahnya perempuan memikat lelaki. Asalkan kita tahu menjaga batas-batas dalam perhubungan. Nak Abi tolong Een?” tanya Encik Suffian tanpa berselindung.
 
Puan Asyikin sudah senyum lebar. Wajah malu-malu Shaheen direnung lama. Dia yakin anak gadisnya sedang menyembunyikan gelora di hati. Dia sudah tahu isi hati anaknya bila dilihat dari cara Shaheen memberi reaksi. ‘Nantilah,’ fikir Puan Asyiqin. Dia mahu bertanya sendiri daripada Shaheen. Dia mahu mendengar dari mulut anaknya sendiri.
 
“Abi jangan sampai Luqman tahu ya. Janji… Abi tak akan cakap hal ni dengan Luqman,” Shaheen memujuk Abinya.
 
Encik Suffian hanya mengangkat kening. Dia tersenyum melihat wajah gelisah Shaheen.
 
“Dah-dah isu ni. Kesian pulak saya tengok Bang. Kang nangis pulak anak kita ni. Ni isu nak masak apa belum selesai. Apa cadangan Abang?” Puan Asyiqin menukar topik perbualan.
 
Encik Suffian menggosok dagu lekuknya. Dia memandang wajah isterinya. “Kita masak Siakap Goreng Tiga Rasa, Masak Lemak Cili Padi Pucuk Paku dengan Sambal Belacan dan Ulam-ulam. Boleh?”
 
“Hmm ok juga tu. Kita hidang nasi berlauk,” Puan Asyiqin bersetuju dengan cadangan suaminya.
 
“Errr tapi Umi, Abi…Luqman elergik ikan,” Shaheen bersuara.
 
“Amboi tau juga Een apa bakal suami boleh makan dan apa yang dia tak boleh makan. Bagus la tu,” Encik Suffian kembali mengusik anak gadisnya.
 
Shaheen terdiam. Alamak! Dia sudah tertangkap.
 
“Macam mana Een tau?”tanya Puan Asyikin.
 
Serba salah Shaheen mahu menceritakan pertemuannya dengan keluarga Luqman baru-baru ini.
 
Encik Suffian sudah berdehem. Shaheen senyum simpul melihat wajah Uminya yang sedang menunggu jawapannya.
 
“Umi ingat tak last weekend kan Een ke MidValley. Een terserempak dengan Luqman dan keluarganya. Kebetulan waktu tu lunch time. Jadi Luqman ajak Een makan tengahari dengan kedua orang tuanya. Itu yang Een tau,” kata Shaheen.
 
“Oh gitu kisahnya,” kata Encik Suffian menyembunyikan senyuman.
 
“Kalau macam tu kita tambah la satu menu lagi,” kata Puan Asyikin.
 
“Luqman suka makan ayam goreng. Kita buat ayam goreng berempah boleh tak Umi?” tanya Shaheen memandang wajah Uminya.
 
“Elok la tu. Kebetulan ya. Hmm.. ayam goreng,” ucap Encik Suffian sambil menggangkat kening ke arah isterinya.
 
“Abi nak kenakan Een la tu,” tebak Shaheen.
 
Encik Suffian sudah senyum lebar.
 
“Boleh sangat Een. Ni permintaan Umi, Een yang kena buat dari A sampai Z boleh? Kiranya air tangan Een la nanti,”pinta Puan Asyikin.
 
“Errk! Umi..macam mana ni, Een mana pandai buat ayam goreng berempah tu,” Shaheen sudah merengek memandang wajah Uminya.
 
“Yang tak pandai tu boleh belajar Een,” tambah Encik Suffian.
 
“Jangan la gelabah sangat Een. Nanti Umi jadi assistant chef Een,” pujuk Puan Asyiqin. “Umi bagi tau la macam mana nak buat. Een jangan risau sangat ya.”
 
Shaheen menggangguk lemah.

“Abang nanti kita pergi beli barang tu sama-sama ya. Jumaat tu ok la kan,” Puan Asyiqin memberi cadangan.

“Boleh,” ringkas sahaja Encik Suffian membalas.

*******
 
“Assalamualaikum,” Haji Halim memberi salam.
 
“Waalaikumsalam,” jawab tuan rumah menyambut huluran tangan Haji Halim dan Haji Luqman.
 
“Jemput masuk,” Puan Asyiqin menyambut tetamu jauh. Dia menghulur salam kepada Bu Kartika yang manis berkerudung merah. Sesuai dengan kulitnya yang putih mulus.
 
Bu Kartika menghulurkan sebakul buah-buahan tempatan kepada Puan Asyiqin.
 
“Ya Allah. Kenapa susah-susah ni. Bawa buah tangan?” tegur Puan Asyiqin.
 
“Ngak repot in. Sedikit aja ni,” balas Bu Kertika.

Shaheen yang berdiri di belakang Puan Asyiqin menguntum senyum lalu menghulurkan tangan. Bersalaman dengan Bu Kartika. Usai bersalaman, Shaheen berlalu ke ruang dapur bersama bakul bersaiz sederhana yang diisi dengan buah-buahan.

“Sila, jemput duduk,” Encik Suffian berjalan mendahului tetamu ke ruang tamu.

“Apa khabar Pakcik, Makcik?” Luqman memulakan perbualan.

“Alhamdulillah, kami baik-baik saja,” jawab Encik Suffian turut mewakili isterinya.

“Ini Papa saya, Haji Halim dan ini Mama saya, Hajjah Kartika,” Luqman memperkenalkan kedua ibu bapanya. “Mama, Papa ini Encik Suffian dan Puan Asyikin, orang tuanya Shaheen.”

“Salam kenal. Maaf ya kalo kedatangan kita ini merepot in anda berdua,” kata Bu Kartika berbahasa.

“Oh tidak. Kami berbesar hati Hajjah sekeluarga singgah ke sini,” balas Puan Asyikin.

“Berapa lama bercuti di sini?” Encik Suffian bertanya.

“Bukanlah bercuti sebenarnya, tapi lebih kepada pulang melawat keluarga, sanak-saudara di sini. Maklumlah saya sudah lebih dua puluh tahun menetap di Jakarta,” kata Haji Halim.
 
“Haji asal dari mana?” tanya Encik Suffian.
 
“Ibu bapa saya asal dari Sungai Besar, namun saya membesar di Gombak. Tapi sekarang ini parents saya kembali ke Sungai Besar. Jaga rumah arwah nenek dan arwah datuk saya di sana,” jawab Haji Halim.
 
“Edwardian?”
 
“Ya. Mana tau?” tanya Haji Halim.
 
“Tu,” Encik Suffian menuding jari ke arah rantai kunci yang digunakan oleh Haji Halim.

Haji Halim senyum. Mindanya terkenang kembali zaman persekolahannya di sekolah tertua di Taiping. “Encik Suffian batch mana?”
 
“Saya masuk ke KE tahun 1976. Terkenang zaman sekolah dulu buat saya senyum sendiri,” ucap Encik Sufian.
 
“Oh maknanya, Encik Suffian ni junior saya la. Tahun 1976 saya dah pun naik sekolah menengah,” kata Haji Halim.
 
“Magni Nominis Umbra,” laung Encik Suffian dan Haji Halim serentak.
 
Puan Asyiqin dan Bu Kartika tersentak. Terkejut mendengar suara suami masing-masing. Luqman terdiam melihat gelagat Papanya dan Encik Suffian.
 
Shaheen segera menjengah ke ruang tamu. Dia sedikit terkejut mendengar jeritan Abinya tadi. Di tangannya penuh dengan hidangan buah-buah tempatan dan air jambu merah. Puan Asyiqin membantu Shaheen meletakkan piring berisi buah betik dan mangga di atas meja kopi. Shaheen menuang air jambu merah ke dalam gelas. Gelas yang sudah berisi air diletakkan di hadapan tetamu yang datang.
 
“Jemput makan, jemput minum,” Encik Suffian dan Puan Asyiqin mempelawa hampir serentak.

“Sehati sejiwa nampaknya,” usik Haji Halim.

Puan Asyiqin sudah senyum simpul.

Shaheen duduk di sebelah Uminya. Dia sudah pun menyiapkan hidangan di meja makan. Cuma menunggu isyarat Abi dan Uminya sahaja. Encik Suffian dan Haji Halim masih lagi rancak berbual perihal kisah-kisah zaman persekolahan mereka di King Edward VII Primary School di Jalan Stesyen, Taiping.
 
“Abang, jemputlah Haji Halim ke meja. Kita makan tengahari sama-sama,” kata Puan Asyiqin .
 
“Maaf. Leka bersembang, lupa pula nak ajak makan. Mari-mari, Haji, Hajjah ke ruang makan,” Encik Suffian bangun lalu berjalan perlahan mendahului tetamu ke meja makan.

“Amboi banyaknya menu. Maaflah kalau kedatangan kami menyusahkan,” kata Haji Halim mengulangi kata-kata isterinya tadi.

“Tak adalah susah Haji. Ini kalau bukan kedatangan Haji sekeluarga pun, masak dan makan ni tetap kena masak, kena makan. Bila Een cakap Haji sekeluarga nak datang ni, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan,” balas Encik Suffian.
 
“Terima kasihlah. Sudi menerima kami bertandang,” ucap Haji Halim.
 
Semua mata tertumpu kepada Shaheen yang sedang mengisi nasi ke pinggan. Tiba di pinggan Luqman, Shaheen mula terasa debaran di dada. Dia menarik nafas bagi mengusir gelora di hati.
 
Encik Suffian menggangkat tangan tanda mahu membaca doa. Doa dibaca sebaik sahaja Shaheen duduk di kerusi berdekatan dengan Luqman. Mereka mengaminkan bacaan doa makan.
 
“Jemputlah Haji, Hajjah, Luqman, jangan segan. Ni memang masak untuk suruh makan. Bukan suruh tengok,” kata Encik Suffian berseloroh.
 
“Depan rezeki tak boleh malu,” balas Haji Halim. “Rugi. Lapar nanti.”
 
Shaheen senyum melihat kemesraan Abinya dan Haji Halim. Walau pun baru pertama kali bertemu, mereka boleh jadi mesra.
 
“Oh maaf,” kata Shaheen perlahan apabila tangannya berlaga dengan tangan Luqman yang juga mahu mengambil ayam goreng berempah.
 
Encik Suffian dan Puan Asyiqin sudah senyum. Bermakna.
 
“Luq ini favouritenya ayam,” kata Bu Kartika.
 
“Oh ya,” kata Puan Asyiqin pura-pura tidak tahu. “Kalau gitu makan la lebih sikit Luqman. Itu Een yang masak.”
 
Luqman memberikan senyuman. “Maaf,” Luqman pula memohon maaf. Kali kedua Shaheen dan Luqman sama-sama mahu mencapai ayam goreng berempah.
 
“Een, angkat ayam tu masukkan ke dalam pinggan Luqman,” Puan Asyiqin bersuara memberi cadangan.
 
Shaheen memandang ke wajah Uminya yang duduk bersebelahan denggannya. Melihat Uminya menganggukkan kepala Shaheen memandang wajah Luqman.
 
“Awak nak yang mana?” tanya Shaheen.
 
“Mana-mana pun boleh,” Luqman menjawab perlahan.

“Drumstick boleh?” tanya Shaheen. Melihat Luqman hanya menggangguk, Shaheen mengambil peha ayam lalu diletak ke dalam pinggan Luqman.

Di meja makam mereka tidak banyak berbual. Hanya sesekali, Bu Kartika sibuk bertanya resepi menu yang disediakan.
 
“Haji tambah nasi,” Encik Suffian menghulurkan mangkuk nasi tambah ke arah Haji Halim.

Haji Halim senyum. Mangkuk nasi disambut. Nasi diceduk ke pinggan. “Mama?”
 
“Makasih Pa,” balas Bu Kartika bila suaminya menyendukkan nasi ke pinggan.
 
Shaheen memerhati kemesraan Haji Halim dan Bu Kartika. DIa senang hati melihat kasih sayang yang dipamerkan. Dia juga gembira kerana Abi dan Uminya juga begitu.
 
“Luqman tambah nasi,” kata Puan Asyiqin.
 
“Ya Makcik,” ucap Luqman mengambil mangkuk nasi daripada Mamanya.
 
Shaheen berdebar juga. Dia menunggu sahaja komen yang bakal didengarinya. ‘Takkan nak tanya, sedap tak masakan saya? Buat malu jer.’
 
“Sha dikit aja makannya,” tegur Bu Kartika.

“Biasa la Hajjah. Orang muda diet,” pintas Puan Asyiqin.
 
“Ngga perlu kok. Orang muda harus makan. Energy need gitu. Kalian itu lagi banyak mikiran soalnya kerja. Makannya harus healthy food. Lebih bagus homemade cooking seperti ini,” komen Bu Kartika.
 
“Saya pun setuju Hajjah,” sokong Puan Asyiqin. “ Masak sendiri lebih jimat. Paling penting ikatan kekeluargaan tu. Kita berkumpul dan makan bersama-sama.”
 
Haji Halim dan Encik Suffian sama-sama menggangguk.
 
“Luq hulurkan nasi tu pada Sha,” kata Bu Kartika.
 
“Thank you,” ucap Shaheen selepas mangkuk nasi dicapai daripada huluran Luqman.
 
“Selamat datang,” balas Luqman.
 
“Hah!” bulat mata Shaheen.
 
“Yalah. Dah awak cakap thank you. Saya balas la selamat datang,” Luqman menahan tawanya.
 
Berkerut wajah Shaheen. Dia masih tidak faham maksud di sebalik kata-kata Luqman.
 
Haji Halim sudah ketawa kecil. Bu Kartika, Encik Suffian dan Puan Asyiqin juga.
 
“Maaf ya Sha. Luqman ini suka sekali bercanda,” ucap Bu Kartika.
 
Shaheen masih terpingga-pingga. DIa tidak faham maksud kata-kata Luqman tadi. ‘Malulah nak tanya sekali lagi.’

*******
 
“Banyak sekali,” tegur Bu Kartika sambil melihat pokok-pokok bunga anggerik di laman.
 
“Sikit-sikit lama-lama jadi bukit,” balas Puan Asyikin. “Hajjah juga suka bunga anggerik?”
 
Bu Kartika mengangguk.
 
Semua sudah kenyang dengan hidangan makan tengahari cuma menunggu masuk waktu zuhur. Mereka duduk di meja yang berada di pergola di sisi rumah. Mengambil angin di situ. Cuaca sedikit panas namun masih selesa duduk di bawah bebayang pergola yang menabiri sinaran mentari.

Shaheen masuk ke bilik tetamu. Dua helai kain pelikat dikeluarkan dari almari. Sepasang telekung juga diambil bersama tiga lagi sejadah. Dia siap membentangkan sejadah. Sebentar lagi masuk waktu. Dia siapkan lebih awal. Abi dan Uminya masih lagi berbual dengan keluarga Luqman di luar.

“Een kita solat sama-sama. Tolong Umi keluarkan sejadah, telekung dan kain pelikat untuk keluarga Luqman,” pesan Puan Asyiqin.
 
“Sudah Umi. Dah siap,” balas Shaheen.
 
“Terima kasih sayang,” ucap Puan Asyiqin.
 
Zuhur hari itu diimamkan oleh Encik Suffian. Lebih afdal tuan rumah yang menjadi imam. Suasana kekeluargaan semakin terserlah.
 
*******
 
“Een tolong Umi,” pinta Puan Asyiqin.
 
Tolong apa Umi?” soal Shaheen.
 
“Buatkan kopi boleh?” tanya Puan Asyiqin. “ Jangan lupa ya chocolate chips muffin Een tu, hidangkan sekali ya.”
 
Shaheen senyum. Dia menggangguk sebelum berlalu ke dapur. Laju tangannya mencapai bekas berisi serbuk kopi. Balang gula dicapai. Teko diisi air panas. Tangannya mengacau larutan air kopi bersama gula. Shaheen mencapai pula dulang. Lincah tangannya menyusun piring dan cawan. ‘Een jangan lupa muffin tu,’ Shaheen mengingatkan dirinya sendiri. Siap.
 
Shaheen menuju ke luar rumah. Di bawah pergola Abi dan Uminya melayan tamu bersembang. ‘Tentu kering tekak dah tu,’ Shaheen membuat andaian. Langkah dihayun dengan hati-hati sambil menatang dulang.
 
Shaheen meletakkan hidang kek muffin coklat bersama kopi panas. Selepas menuang air kopi ke dalam cawan, Shaheen mahu kembali ke dalam rumah. Segan dia mahu duduk bersama orang-orang tua. Bimbang dikatakan mahu mendengar orang tua bersembang.
 
“Sha ayuh minum sama-sama,” Bu Kartika mengajak Shaheen duduk bersama mereka.
 
Tidak jadi Shaheen mahu melangkah masuk. Dia duduk di sebelah Uminya.
 
“Sebentar ya,” tiba-tiba Luqman bangun menuju ke luar pagar. Tidak sampai lima minit Luqman kembali. Luqman duduk semula di kerusi berhadapan dengan Shaheen. “Ni untuk awak.”
 
Shaheen tersentuh. Buku yang dicari sudah pun berada di depan mata. “Err..terima kasih,” ucap Shaheen.
 
“Sama-sama,” ringkas sahaja jawapan Luqman. “Awak simpan la buku Bila Allah Menduga Kita ni, saya dah habis baca. Kalau awak dah habis baca, awak boleh pass pada orang lain juga. Saya izinkan. So ilmu dalam buku ni dapat disebarkan.”
 
“Thank you Luq,” ucap Shaheen.

“Selamat datang Sha,” balas Luqman buat kali kedua.

Kedua orang tua Shaheen dan Luqman sudah ketawa mendengar perbualan mereka. Shaheen sudah terdiam. Malu.

“Oh ya kami sebenarnya ada permintaan,” kata Haji Halim.
 
“Silakan,” balas Encik Suffian.

“Begini…kami akan pulang ke Sungai Besar dalam dua tiga hari lagi. Jadi saya dan isteri berbesar hati jika Shaheen boleh ikut kami balik kampung bersama. Kami mahu menemukan Shaheen dengan Ibu saya. Mungkin Suffian dan juga Asyiqin tertanya-tanyakan kenapa kami mahu Shaheen ikut kami,” Haji Halim berpaling ke arah Bu Kartika.
 
Bu Kartika mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya lalu dihulur kepada Puan Asyikin. Sedikit terkejut bercampur hairan di benak Puan Asyiqin. Gambar lama itu diserahkan kepada suaminya. Reaksi sama turut terlakar di wajah Encik Suffian.
 
“Siapa gadis ini,” tanya Puan Asyikin.
 
“Arwah merupakan anak saudara isteri saya, wajahnya saling tak tumpah seperti Shaheen. Jadi itu sebabnya kami mahu membawa Shaheen menemui Ibu saya,” terang Haji Halim.
 
Fahamlah Encik Suffian dan Puan Asyikin.
 
“Sebenarnya saya tiada halangan, tapi agak kurang manis anak gadis bertandang ke rumah pihak lelaki. Jika benar Haji dan Hajah benar-benar berharap, saya ada satu permintaan,” balas Encik Suffian berlapik.
 
“Katakanlah,” Haji Halim bersuara tenang.
 
“Jika tak menjadi halangan, izinkan Afzan ikut sama temani Een di sana nanti. Afzan itu sahabat baik Een,” pinta Encik Suffian.

Kelihatan Haji Halim dan Bu Kartika lega mendengar permintaan yang dikemukakan oleh Encik Suffian.

“Kalau gitu, saya setuju. Kami pun kenal Afzan,” sambung Haji Halim.

Shaheen yang mengikuti perbualan Abi dan Haji Halim hanya diam. Dia tidak sangka Abinya akan memberi kebenaran untuk dia melawat kampung Luqman. Hatinya teruja namun dalam masa sama hatinya berdegub laju. Teruja mahu pulang ke kampung yang dia tak punya dan berdebar mahu bertemu nenek Luqman. Entah bagaimana penerimaannya nanti.
 
“Kalau gitu kami akan maklumkan bila kami akan berangkat. Kami akan singgah ke sini untuk ambil Shaheen dan Afzan nanti,” kata Haji Halim.
 
Encik Suffian dan Puan Asyiqin mengangguk tanda setuju.

2 comments:

  1. ci sha x de n3 baru ke..rindu kt hj luq n sha

    ReplyDelete
  2. Next n3 masih dalam proses penulisan, insya Allah Sha akan post ASAP :)

    Terima kasih singgah sini dan mengikuti kisah Hj Luq & Shaheen.. mereka ucap terima kasih juga..

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim