21 May 2014

My Angel Part 3 (Akhir)



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Semua,

Terima kasih masih lagi sudi mengikuti kisah My Angel ini. Seperti yang Sha nyatakan di Part 2 yang lepas, Sha akan kongsikan situasi yang berlaku sewaktu menulis kisah ini. Paling nyata perasaan takut yang dirasai.

Pertamanya alhamdulillah kisah ini berjaya disiapkan (hihik terasa macam sesi interview dalam NLKO pula..). Cerpen ini adalah yang tercepat Sha siapkan. Idea yang datang mudah sahaja melintas. Idea keseluruhan kisah ini Sha dapat pada hari kedua (semalam). Waktu tu tengah nak bersiap nak pergi kerja. Sampaikan meremang bulu tengkok. Sejujurnya masa Part 1 tu Sha belum ada tajuk. Just taip mengikut kata hati. Entah macam mana terkeluar dialog yang diucapkan oleh ‘Angel’. Jadi untuk mudahkan cerita, Sha gunakan tajuk My Angel. Petang tu balik rumah Sha teringat satu lagu lama nyanyian Shaggy tajuknya Angel. One of my favourite song sebenarnya hihikk…Pada ketika itu Sha memikirkan untuk lari dari kebiasaan, klise kata orang. Tak nak buat kisah si gadis yang patah hati bertemu seseorang semasa membawa diri yang lara. Berjodoh la pulak…jadi bila idea yang datang itu membawa kepada penamat yang mungkin tidak diduga, Sha jadi bersemangat menaip.

Dalam pada Sha mengambarkan Puan Dalina yang sangat tenang, Sha sendiri sudah bergenang mata ni nak menaip. Mulanya Sha ingin membuat plot Encik Ehsan dan Angel menemui ajal mereka dalam kejadian kebakaran. Tapi bila Sha fikirkan keadaan mayat yang dah rentung di tempat kejadian, lagi la Sha tak sampai hati nak tulis. Jadi itu yang Sha buat kisah lemas di laut.

Apa pun setiap kejadian itu pasti ada hikmah yang tersembunyi. Ada yang ingin disampaikan sebagai pengajaran dan tauladan. Sekiranya ada sebarang kekurangan, Sha mohon maaf ya. Sekiranya ada persamaan dengan sesiapa di luar sana, itu hanyalah kebetulan.

Sorry ya..dah panjang la pula Sha membebel. Semoga terhibur membaca kisah ini.

Salam sayang,
Sha

 
MY ANGEL Part 3 (Akhir)

‘ALAHAI MASA INILAH KAU NAK PUTUS,’ QISHA MEMARAHI SANDAL YANG DIPAKAI. Baju kurung pesak gantung yang dipakai sudah cantik, alih-alih berselipar jepun. Selipar jepun warna hijau itu disarung juga.

            ‘Nasib baik ada selipar jepun ni. Kalau aku berkaki ayam lagi haru,’ ujar Qisha memujuk diri.

            Besar-besar Qisha melangkah. Sudah lebih tiga puluh minit dia lewat. Puncanya dia terlelap. Sedap tidur selepas makan tengahari. Qisha hanya tersedar saat azan Asar dilaungkan. Mahu ke surau berjamaah juga dia tidak sempat. Sudahnya dia jadi lewat ke majlis doa selamat yang dianjurkan oleh pihak resort.

Majlis sudah pun bermula separuh jalan. Dalam kalut-kalut Qisha melangkah masuk ke dalam surau dan mencari ruang duduk yang selesa buat dirinya. Dia melemparkan senyuman kepada wajah-wajah yang kebanyakannya dikenalinya yang rata-rata merupakan para petugas resort. Ada juga wajah-wajah asing di dalam majlis itu Dia menghulurkan tangan bersalaman kepada para tetamu yang ada sebelum melabuhkan punggung ke lantai. Ayu dia duduk bersimpuh.

Semua yang ada sudah menadah tangan mengaminkan doa. Qisha turut melakukan hal yang sama. Majlis yang tadinya dipimpin oleh seorang lelaki yang agak berumur kini diserahkan kembali kepada pihak resort. Kelihatan Encik Fahmi, yang menjadi jurucakap bagi pihak resort.

“Terima kasih Tuan Haji Mansor Ali yang telah memimpin bacaan Yassin dan menyempurnakan majlis doa selamat tadi. Saya mewakili Pengarah Urusan Resort D’Hati, Puan Dalina Amir dan ahli keluarga serta warga kerja resort mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua yang hadir. Dengan ini saya turut menjemput tuan, puan untuk menikmati jamuan minum petang di perkarangan surau. Dijemput semua,” kata Encik Fahmi mengakhiri majlis petang itu.

‘Baru duduk. Tak sempat panas pun tempat aku duduk ni,’ omel Qisha. Namun dia turut bangun mengekori langkah tetamu yang lain.

Qisha menunggu giliran keluar dari surau. Di hadapannya seorang anak kecil sebaya Angel. Ringan sahaja mulutnya menyebut nama si kecil. Bahu si kecil disentuh lembut.

“Eh maaf. aunty salah orang,” ucap Qisha apabila si kecil yang disangkanya Angel rupanya bukan.

Qisha perasan seorang pekerja resort yang berada di sebelahnya memandang lama ke wajahnya. Qisha sekadar menghadiahkan senyuman kepada wanita itu.

Qisha berjalan perlahan-lahan. Selipar jepun yang dipakai cuba ditutup dengan kain baju kurungnya yang sedikit labuh.

‘Ala Qisha, jangan nak gelabah sangat. Bukan orang tengok pun selipar yang kau pakai, buat relaks sudah,” kata minda sedar Qisha. ‘Jalan macam biasa, jangan nak buat kawad kaki pula kat sini.’

Qisha menghampiri meja hidangan. Matanya dijamu dengan hidangan yang sememangnya menjadi kegemarannya. Tangannya sudah mencapai mangkuk untuk mengisi mi bandung. American Chocolate Cake dijeling tajam. Pulut kuning pun ada dimakan sama ada dengan kuah durian atau rendang ayam.

‘Eh Qisha bukan kau memang kuat makan ke?’ kata Qisha di dalam hati.

‘Jangan gelojoh sangat,’ pesan minda Qisha.

Selesai mengambil mi bandung, Qisha menuju ke meja yang menyediakan minuman panas. Teh O panas menjadi pilihan. Kemudian Qisha berpaling mencari kerusi kosong. Langkahnya dibawa menghampiri sebuah meja yang berada di sudut kiri meja hidangan.

“Cik tertinggal ini di meja makan tadi,” seorang pekerja resort menghulurkan kunci chalet yang didiami Qisha.

“Oh…terima kasih.” Qisha tidak pasti bagaimana dia boleh tercicir kunci penting itu.

Qisha menikmati hidangan dengan berselera. Ketika makanan yang disuap buat kali kedua, ingatannya kembali ke rumah. Teringat akan masakan ibunya. Rindu pula pada ibu dan ayah. Qisha sempat termenung memikirkan apa yang sedang dibuat oleh kedua-dua orang tuanya.

‘Esok lusa aku baliklah,’ kata Qisha. Dia meneruskan suapan.

Qisha sedikit terkejut apabila seorang petugas resort datang ke mejanya dan meletakkan satu piring berisi kek dan kuih-muih.. Rupanya bukan hanya dia seorang yang menerima potongan kek tetapi semua tetamu lain juga. Segera Qisha mengucapkan terima kasih.

“Cik tumpang tanya, ada nampak seorang kanak-kanak lebih kurang empat tahun usianya bernama Angel yang menginap di resort ini?” soal Qisha kepada petugas resort yang berada di sebelahnya.

“Maksud cik, Angelina?” soal petugas dengan tag nama Liana di dada kirinya.

Qisha hanya mengangguk. Jelas terdapat perubahan kepada wajah Liana apabila mendengar soalan Qisha tadi.

“Sekejap ya, saya panggilkan ibu Angelina,” kata Liana meninggalkan Qisha.

Qisha diam memerhati langkah Liana yang berjalan ke meja yang tidak jauh dari mejanya. Kelihatan seorang wanita dengan riak terkejut sambil menutup mulut berpaling ke arah Qisha.

‘Ah…dah kenapa pula ni. Ini yang buat aku suspen,’ ujar Qisha sambil mengurut dada.

Wanita yang dikatakan ibu kepada Angelina bangun dan berjalan menuju ke arah meja Qisha. “Assalamualaikum cik. Boleh saya duduk?”

“Waalaikumsalam. Duduklah puan,’ balas Qisha.

“Saya Dalina, ibu kepada Angel,” kata Puan Dalina memperkenalkan diri. “Boleh saya tahu macam mana cik..err kenal Angel?”

“Puan boleh panggil saya Qisha,” balas Qisha.

Puan Dalina kelihatan tenang saat berbicara dengan Qisha.

“Saya minta maaf. Saya tiada niat mahu mengganggu keluarga puan. Saya pertama kali berjumpa Angel tiga hari lepas di kawasan pantai. Ketika itu Angel bersama dengan suami puan, Encik Ehsan,” jawab Qisha jujur.

Puan Dalina senyum. Qisha berasa pelik apabila ditanya soalan begitu.

“Tapi hari ni saya tak nampak pula Angel atau Encik Ehsan. Semalam mereka yang ingatkan saya untuk hadir ke majlis ni. Saya dan Angel berada di pantai petang semalam sehinggalah matahari terbenam. Tidak lama selepas itu Encik Ehsan joined us.” Qisha menerangkan hal sebenar yang berlaku.

“Qisha, nanti saya akan terangkan semuanya. Jemputlah makan dahulu. Sekejap lagi Qisha datang ke pejabat saya,’ kata Puan Dalina tenang. “Saya minta diri dahulu.”

Qisha serba salah. Mahu mengikut atau tidak. Bimbang juga jika pertemuannya dengan Angel dan Encik Ehsan mengundang kemarahan Puan Dalina. Qisha memerhati sahaja langkah Puan Dalina yang semakin jauh meninggalkan mejanya.

‘Kenapa nak takut. Kau tak buat salah kan Qisha,’ pujuk hati Qisha.

Qisha segera menghabiskan baki makanan yang terhidang. Dia tidak mahu Puan Dalina menunggu kedatangannya.

*******

TOK!TOK!TOK!

“Masuk,” suara Puan Dalina jelas kedengaran.

Qisha memulas tombol pintu dan melangkah masuk pejabat Pengarah Urusan Resort D’Hati.

“Ya Qisha, jemput duduk.” Puan Dalina ramah menyambut kedatangan Qisha. Di tangannya terdapat sebuah fail berwarna hijau.

Fail hijau yang dipegang Puan Dalina diserahkan kepada Qisha. Qisha lambat-lambat menyambut fail tersebut.

“Bukalah,” kata Puan Dalina.

Qisha membuka fail di tangan. Debaran usah cakap. Laju degup jantungnya. Matanya membaca baris demi baris ayat-ayat yang tertulis di dalam keratan akhbar. Akhir sekali dua foto kecil yang turut dimasukkan ke dalam berita tersebut dipandang lama.

Qisha sudah menutup mulutnya yang sudah terlopong. Puan Dalina hanya menganggukkan kepala.

MAYAT DUA BERANAK LEMAS BELUM DITEMUI

“Tapi puan saya bertemu dan bercakap dengan Angel dan Encik Ensan tiga hari lepas. Kali terakhir saya berjumpa mereka petang semalam.” Qisha seperti tidak percaya.

“Qisha, arwah telah pergi buat selama-lamanya sudah empat tahun. Jadi setiap tahun saya akan mengadakan majlis doa selamat di sini pada tarikh kejadian mereka hilang di laut.”

Qisha terdiam. Konflik dalamannya mula bertindak balas. Bermacam-macam emosi yang hadir. Bermacam-macam soalan yang bermain di mindanya. ‘Persoalannya kenapa aku nampak mereka? Kenapa aku? Macam mana ini boleh berlaku?’

Soalan-soalan ini tidak mampu Qisha jawab. Namun dia segera beristighfar, dan mengingati kebesaran Allah. Jika Allah berkehendakkan sesuatu itu berlaku, maka berlakulah ia.

Puan Dalina membiarkan Qisha melayan emosinya. Dia mahu Qisha bertenang dahulu sebelum dia menjelaskan semuanya.

“Qisha bukanlah orang pertama yang pernah bertemu Angel dan suami saya Ehsan selepas kejadian tu. Malah kembar Angel turut mengaku sering melihat Angel di kawasan pantai,” kata Puan Dalina.

“Angel mempunyai kembar?” soal Qisha.

“Ya. Badrinshah Emir Bin Ehsan.”

Puan Dalina masih tenang.

“Puan, jika tidak keberatan, boleh terangkan bagaimana kejadian ni boleh berlaku?” soal Qisha yang benar-benar ingin tahu kisah yang berlaku kepada anak dan suami Puan Dalina.

Puan Dalina dilihat merenung lama. Mungkin sedang mengimbas kembali detik kejadian.

“Pada hari kejadian kami empat beranak sedang berkelah di pantai. Angelina Edlin atau kami lebih senang memanggilnya Angel dengan Badrin bermain bola tidak jauh dari gigi pantai. Ketika itu saya dan suami mungkin sedikit leka berbual. Angel tersepak bola ke arah laut. Akibat rasa bersalah, Angel nekad mahu mengambil bola yang sudah hanyut dibawa ombak. Badrin cuba menahan. Yelah budak-budak kan.” Kata Puan Dalina berjeda seketika.

“Apa yang berlaku puan?” soal Qisha.

“Angel sudah meredah air laut. Melihat Angel cuba mendapatkan bola, Badrin menyusul. Mujur juga ada yang menjerit melihat Angel sudah separuh dada di dalam laut. Jadi suami saya segera berlari dan menarik Badrin. Kemudian suami cuba menyelamatkan Angel. Mungkin sudah ajal mereka berdua kebetulan pula ombak besar menghempas ke arah Angel. Dia sudah terkapai-kapai di dalam laut. Ketika itu saya dan Badrin di pantai sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Dari jauh kami nampak Ehsan berjaya memaut Angel. Namun kuasa air yang kuat ketika itu, mereka berdua tenggelam-timbul hinggalah hilang dari pandangan mata. Pihak bomba turut datang menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Namun hasilnya tidak memihak kepada kami.”

“Maafkan saya puan,” ucap Qisha bersimpati dengan tragedi yang berlaku ke atas ahli keluarga Puan Dalina.

“Selepas kejadian itu, saya berhenti kerja dan mengusahakan resort keluarga Ehsan ini dengan dibantu oleh adik Ehsan, Fahmi dan isterinya Marina. Saya mahu berada dekat dengan mereka. Kerana walau pun jasad mereka tidak ditemui, saya yakin mereka masih ada di sana. Saya reda dengan semua ini,” kata Puan Dalina. Riak wajahnya sungguh tenang.

“Semoga mereka tenang di sana,” hanya itu yang mampu Qisha ucapkan. “Puan boleh saya bertemu dengan kembar Angel?”

“Boleh sekejap ya. Badrin agak pemalu jika dibandingkan dengan Angel. Tapi dia sahajalah pengubat rindu saya kepada arwah.” Puan Dalina sudah bangun dan menuju ke luar bilik. Sekejap sahaja Puan Dalina sudah kembali bersama seorang kanak-kanak lelaki yang tingginya mencecah bahu Puan Dalina. Maklumlah Puan Dalina kecil sahaja figuranya.

“Salam kakak,” arah Puan Dalina.

Badrinshah berjalan malu-malu mendekati Qisha. Tangan dihulur. Mereka bersalaman. Qisha hampir menitiskan air mata melihat Badrin di depan mata. Jika Angel masih hidup pasti si kecil itu juga sudah sebesar Badrinshah.

“Sekolah darjah berapa ni?” soal Qisha ramah.

Badrin hanya mempamerkan senyuman manisnya. Dia duduk rapat di sebelah Puan Dalina.

“Jawablah kakak  tanya tu,” kata Puan Dalina.

“Darjah dua,” malu-malu soalan Qisha dijawab oleh Badrinshah.

“Oh ya Qisha selepas ni jangan serik datang menginap di sini lagi,” pesan Puan Dalina. “Saya dan keluarga dengan tangan terbuka menerima kedatangan Qisha lain kali.”

“Insya-Allah. Saya suka berada di sini,” akui Qisha dengan senyuman di bibir.

Qisha yakin pengalamannya sepanjang berada di D’Hati Resort tidak akan mampu dia lupakan. Dia akan ingat pertama kali dia disapa si kecil pada petang dia menangis seorang diri di pantai. Si kecil yang comel. Si kecil yang bijak dan petah berkata-kata. Si kecil yang pandai mengambil hati. Kesedihan yang dialaminya telah dibawa pergi oleh Angel.

Kini Angel akan sentiasa di hati Qisha. Al-Fatihah.



TAMAT



p.s Maaflah ya, kalau penamatnya bukan seperti yang diharapkan. Sebarang komen amat dialu-alukan. Terima kasih semua yang  mengikuti kisah ini hingga ke akhirnya. Love you all.

5 comments:

  1. Kak sha, thanks sambung dalam masa yang singkat... Sedih tapi tak mustahil untuk berlaku...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama Suha :) .

      Semua boleh berlaku dengan izinNya..

      Delete
    2. Yup... So true... Oh, org pun suka lagu angel jgk... My all-time favourite... Heee~

      Delete
    3. :) samalah kita nampaknya..meh together we sing the song...

      Delete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim