20 December 2014

Mr. Right Forever 21

SAIFUL sudah bersiap. Pagi itu dia harus bertolak ke Nilai. Hari Isnin pasti lebih sibuk. Anak-anak mahu ke sekolah dan yang dewasa pula mahu ke tempat kerja. Dia tidak mahu terlewat tiba pada hari pertama kursus yang harus dihadiri. Jalan paling selamat keluar awal. Biar tiba awal, jangan terlambat.

            “Mama, Saiful gerak dulu ya. Takut lambat nanti.” Tangan si ibu dikucup. Pipi si ibu dicium kiri dan kanan.

            “Hati-hati bawa kereta tu Saiful. Jangan lupa makan bekal yang mama bagi tu,” pesan Datin Kharidah.

            “Baik ma.” Saiful sudah sedia maklum yang mamanya tanpa gagal akan menyediakan sarapan. Jika dia tidak sempat menjamah makanan air tangan mamanya, pasti makanan yang sudah siap itu dimasukkan ke dalam bekas dan dibekalkan kepadanya. Sejak dari zaman persekolahannya, memang itu yang Datin Kharidah lakukan. Seringkali dia menjadi mangsa usikan kawan-kawan di sekolah tetapi semua itu tidak dia hiraukan. Dia lagi berbangga mamanya menyediakan bekal untuk mereka adik-beradik. Wang saku yang diberikan oleh papa pula dia simpan. Menabung. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

            “Dah nak pergi?” soal Dato’ Shamsul yang muncul dari arah tangga.

            “Ya pa. Saiful takut jalan sesak pula kalau keluar lambat,” ujar Saiful bangun selepas siap memakai stoking. Tangan papanya dicium. Hal yang sama turut dia lakukan kepada papanya. Kedua-dua pipi papanya dikucup penuh kasih sayang.

            Drive safely ya,” pesan Dato’ Shamsul.

            “Baik pa. Sarah mana ma?” melingas mata Saiful mencari adik bongsunya.

            “Hah kenapa cari Sarah?” muncul Sarah lalu berdiri di sebelah mamanya. Pinggang mamanya dipeluk manja.

            “Saja tanya. Mana tau orang tu masih lena diulit mimpi. Semalam kan jumpa buah hati,” usik Saiful.

            “Abang ni,” rengek Sarah tidak puas hati diusik begitu di awal pagi. “Dah baik abang gerak sekarang. Nanti jalan sesak ha, siapa yang susah?”

            Sarah menghulurkan tangan ke arah Saiful. Walau pun sering menjadi mangsa usikan Saiful, Sarah tidak pernah berkecil hati. Air dicincang tidak akan pernah putus. Malah hubungan mereka adik-beradik sangat rapat.

            “Saiful gerak dulu mama, papa. And you, naughty…no..no..no…,” ucap Saiful sambil menggerakkan jari telunjuknya ke arah Sarah.

Sarah hanya mencebik membalas kata-kata Saiful.

            “Assalamualaikum.” Ucapan salam Saiful dibalas serentak oleh ahli keluarganya.

Selepas kelibat kereta yang dipandu Saiful hilang dari pandangan, barulah Dato’ Shamsul anak-beranak bergerak ke meja makan. Aroma sarapan yang sudah siap terhidang di meja menggamit selera mereka.

“Nasi dagang. Thanks ma,” ucap Sarah.

Datin Kharidah senyum. Dia tahu sangat makanan kegemaran anak gadisnya.

“Sayang, bila nak buat makanan kegemaran abang?” sengaja Dato’Shamsul membuat permintaan.

“Tengahari nanti sayang buat favourite meal abang ya. Abang jangan lupa balik makan pula,” janji Datin Kharidah. Sedaya boleh dia akan memenuhi permintaan suaminya. “Sarah tengahari balik makan tak?”

“Tak pasti la ma. Kalau tak banyak kerja, Sarah balik. Mana boleh miss papa’s favourite meal,” balas Sarah.

Datin Kharidah senyum lagi. Anak dengan suaminya memang berkongsi makanan kegemaran. Tidak susah memikat selera makan ahli keluarganya. Sarah dengan papanya tidak banyak kerenah dalam soal makanan.

“Tapi kalau Sarah tak dapat balik, I will give you a call ya ma,” ujar Sarah sambil menceduk kuah kari ikan tongkol ke pinggan.

“Okeylah kalau macam tu. No worry bahagian Sarah nanti mama simpankan,” kata Datin Kharidah.

Love you, mama,” ucap Sarah.

Bahagia hati Datin Kharidah. Kasih sayang anak-anak dan suami tidak pernah susut. Hatinya memanjat syukur ke hadrat Ilahi.

*******

SARAH senang hati pagi itu. Kiriman pesanan ringkas daripada Rifqi menceriakan harinya. Walau pun pesanan ringkas daripada Rifqi hanyalah memaklumkan dia telah tiba di tempat berkursus, Sarah diulit rasa gembira. Dia senyum sambil membalas salam rakan-rakan sekerja sewaktu mereka berpapasan. Di pertengahan laluan ke biliknya, Raina tiba lalu beriringan menuju ke bilik Sarah.

            “Hai ceria sahabat aku ni,” tegur Raina.

            “Pagi-pagi kena ceria. Baru rezeki masuk mencurah-curah. Ni mama aku bagi untuk kau.” Sarah menghulurkan bekas berisi nasi dagang.

            “Alhamdulillah, rezeki,” ucap Raina.

            Makanlah. Aku dah makan kat rumah tadi. Sarapan dengan mama dan papa,” kata Sarah.

            “Alah tak best la makan sorang-sorang,” kata Raina.

            “Kalau macam tu ajak Faris sekali. Ni mama sediakan bekal untuk Faris juga,” balas Sarah.

            “Ya Allah untungnya ada mama macam mama kau Sarah. Dah la pandai masak, penyayang pula tu. Aku dengan Faris dah macam anak mama kau kan. Kalau masak apa-apa, tak pernah lupa pada kami. Thanks Sarah,” ucap Raina.

            “Ala benda kecil je ni. Kita kan dah kenal lama. Mama pun dah kenal kau dengan Faris. Itu yang mama tak lupa pada you all.” Sarah senyum pada Raina.

            Bilik Sarah diketuk dari luar. Raina bangun membuka pintu. “Panjang umur awak.”

            “Ooo mengumpat I la tu, patutlah terbatuk-batuk I tadi,” kata Faris sambil melangkah masuk.

            “Tak baik tau cakap macam tu. Ni untuk you.” Sarah menghulurkan satu bekas sederhana besar kepada Faris. “From my mama.”

            “Nasi dagang.” Raina sudah tidak sabar mahu menikmati makanan yang dibawa oleh Sarah.

            “Really! Thank you Sarah. Please send my regards and thanks to aunty,” ucap Faris dengan senyuman di bibir.

            Sarah angguk. “Makan ya. I dah makan kat rumah.”

            “Sarah apa kata kita share. Jom makan sama.” Raina sudah mendekati Sarah. Tangan Sarah ditarik perlahan.

            Okay. I will accompany you, boleh? Sarah dah makan. Kenyang lagi ni.” Sarah senyum.

            “Kalau macam tu, tolong buat air boleh?” pinta Faris. “Air you buat sedap.”

            “Okey nak air apa?” tanya Sarah. Wajah dua orang sahabatnya itu dipandang bersilih-ganti.

            “Kopi O,” balas Raina dan Faris serentak.

            “Amboi sehati sejiwa nampak,” usik Sarah.

            Raina sudah malu-malu kucing. Faris senyum lebar.

*******

HAMPIR satu jam perjalanan yang ditempuh oleh Saiful. Mujur jalan yang ditempuh dari MRR2 hinggalah memasuki Lebuhraya Utara-Selatan tidak banyak kereta pagi itu. Dia tiba di Kampus Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi sedikit awal dari yang dijangka.

            “Makan dulu.”

            Aroma nasi dagang yang terkepung di dalam kereta benar-benar menggoda. Namun dek kerana tidak mahu terlewat ke tempat kursus niat mahu menjamah nasi dagang air tangan mamanya terpaksa dia tahan. Waktu masih awal. Tanpa berlengah dia mengeluarkan bekal yang dibawa tadi.

            Tok! Tok! Tok!

            “Ya Allah!” Saiful sudah mengurut dada.

            Suara tawa yang meletus kuat membuatkan Saiful menoleh ke sisi kanan. Wajah sahabatnya dipandang tanpa kelipan mata beberapa saat.

            “Saiful, are you okay?” risau pula Rifqi melihat wajah Saiful.

            “Iqi apa you buat kat sini?” itu soalan yang keluar dari bibir Saiful.

            “Kursus,” ringkas sahaja jawapan Rifqi.

            “Betul ke ni?” Saiful seakan tidak percaya.

            Rifqi senyum. “Awal kau sampai.”

            “Sengaja aku keluar awal tadi. Takut jammed.” Saiful membuka pintu kereta. Tangan kanannya dihulur ke arah Rifqi.

            Tangan Saiful disambut oleh Rifqi.

            “Eh! Jom makan sekali. Aku tadi ingat nak makan dalam kereta aja. But since you are here jom, we share my mum’s nasi dagang.” Saiful mempelawa.

            “Hmmm…sedap tu. Tapi aku pun ada bawa bekal juga. Macam kau tak tahu mak-mak kita kan.” Ada senyuman di hujung bibir Rifqi.

            Saiful tidak dapat menahan tawa. Lantas kenangan di zaman persekolahan menujah minda.

            “Kau ingat Samad,” tanya Rifqi.

            “Mamat nakal di sekolah kita tu. Siapa tak ingat,” balas Saiful.

            “Masa tu aku memang tak sengaja.” Rifqi senyum.

            “Ya aku tahu tu. Hari tu your first day di sekolah aku kan. Si Samad tu memang nakal. Suka menyakat. Nak membuli jer kerjanya. Nak-nak kalau budak baru. Semua nak dikacaunya. Tapi silap banyak la. Patah gigi juga kau kerjakan,” Saiful senyum mengingati peristiwa di sekolah mereka.

            “Apa nak buat. Ayah aku cikgu. Selalu la berpindah-randah. Dah macam nomad pun ada. Cuma tak duduk dalam khemah je kot,” ujar Rifqi.

            Saiful sudah ketawa kecil. “Itulah masa first day kau kat sekolah, beria mama aku suruh tengok-tengokkan kau,” kata Saiful dalam senyuman.

            “Kat kantin kan masa tu. Aku biasa la dengan bekal yang aku bawa dari rumah. Sekali dia datang, dia ambil sudu di tangan aku. Sabar lagi masa tu. Bila dia tumpahkan bekal nasi goreng mak aku tu, aku boleh tahan sabar lagi. Yang aku geram tu time aku nak kutip nasi goreng yang tumpah, boleh dia pijak tangan aku. Automatik tangan aku karate tulang keting dia,” ucap Rifqi mengimbas kenangan di zaman sekolah.

            “Aku turun lewat sikit pagi tu. Bila aku sampai je aku tengok Samad dah kena back hand dengan kau. Berdarah mulut. Yang buat aku gelak sakan time dia terluah sebatang gigi atas lantai,” berderai tawa Saiful.

            Rifqi turut ketawa.

            Start from that day, Samad berubah jadi budak baik lepas kena penangan kau tu. Bagus juga. Kalau tak asyik jadi kacang hantu je mamat tu,” luah Saiful.

            “Alhamdulillah la. Elok la dia berubah ke arah yang lebih baik. Tapi I was not proud of it. Menyesal pula aku back hand dia tu,” kata Rifqi memandang jauh ke kaki langit.

            “Kau tak sengaja kan,” pujuk Saiful.

“Saham kau pun mencanak naik. Masa tulah Marina muncul dalam hidup kau kan. Exactly selepas kejadian tu.” Saiful menyebut sepotong nama yang Rifqi mahu buang sejauh mungkin.

            “Eh! Cerita-cerita juga. Bila nak makan ni?” tanya Rifqi. Sengaja dia mahu lari daripada membincangkan kisah dirinya bersama Marina.

            “Yalah. Dah jom cari tempat untuk makan. Kalau kita bercerita saja tak kenyang. Perut pun dah lapar ni. Bau nasi dagang ni dari tadi lagi dok mengamit-gamit untuk dimakan.” Saiful sudah membuka pintu kereta. Bekas nasi dagang ditarik keluar.

            “Kalau bab makan, kau memang nombor satu kan. Dari dulu. Tapi satu yang aku pelik, kau tak gemuk. Maintain ja aku tengok,” kata Rifqi.

            Workout bro. Kalau tak macam mana nak maintain,” ujar Saiful.

Rifqi membuat isyarat bagus dengan ibu jarinya.

“Tu ada bangku.” Saiful melangkah pantas. Perut yang lapar harus diisi segera sebelum perut dimasuki angin.

Rifqi melangkah mengekori Saiful yang sudah beberapa langkah di hadapan.

“Iqi, cepat sikit. Masa berjalan ni. Kelas nak mula kejap lagi,” kata Saiful mengingatkan Rifqi.

“Aku makan laju. Kau je yang lambat. Zaman sekolah dulu memang aku yang tunggu kau habis makan kan. Tak ingat?” balas Rifqi.

Saiful senyum senget. Mengakui kata-kata Rifqi.

*******
MELIHAT dua orang lelaki yang cukup dikenalinya, di kawasan meletak kereta mengundang rasa senang di hati Marina. Tidak sangka pula mahu bertemu rakan sekolah di sini. Marina yakin Saiful dan Rifqi akan menghadiri satu kursus yang akan dikendalikan olehnya pada pagi itu. Dia senyum. Seminggu tempoh masa yang dia ada untuk mendekati Rifqi. Lelaki itu masih marah padanya. Dia tahu itu. Reaksi Rifqi di restoran tempoh hari mengesahkan kata hatinya.

            ‘Bagaimana mahu memujuk hati yang sedang marah?’

Marina tidak mahu mengganggu mood kedua-dua sahabat di zaman persekolahan dahulu. Biarlah mereka menikmati rezeki di tangan dengan aman.

‘Sekejap lagi jumpa juga.’

Marina melangkah menuju ke bilik kursus. Dia mahu membuat persediaan untuk kursus yang akan dikendalikannya. Langkah kakinya sekata sambil minda masih memikir strategi terbaik untuk mengambil hati Rifqi. Dia mahu menjernihkan keadaan. Jika Rifqi masih lelaki sama yang dikenalinya, dia tahu marah Rifqi cepat reda. Namun dia tidak boleh sewenang-wenangnya membuat andaian. Sekali air bah, sekali pasir berubah. Begitu juga dengan manusia. Edaran masa mampu mengubah hati manusia. Marina akur itu.

2 comments:

  1. Salam Kak sha ;)

    Dah lama xde update Mr.Right Forever ni... Hehe... Wahhhh akhirnya terjawab sikit siapa marina... Good2... Cpt2lah sambung Kak bila2 free... Hee~

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Suha...

      Terima kasih masih setia menunggu kisah ini. Insya-Allah...ari tu tulis ni dah lama..tapi tak ter'publish'. Ari ni baru ringan tangan ...hihikk sorry ya..buat Suha tunggu sambungannya.

      Delete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim