03 January 2014

Cinta Milikmu Selamanya Bab 3

            “Assalamualaikum Eryna,” sapa Ammara ceria.

“Waalaikumsalam Ara,” Eryna sudah terjerit kuat apabila suara Ammara menerpa telinganya. Rindu sungguh dia pada sahabatnya itu.

“Apa khabar Ery?” soal Ammara.

“Aku sihat. Alhamdulillah. Kau apa khabar Ara? Ya Allah rindunya aku dengan kau,” luah Eryna.

“Aku pun alhamdulillah baik-baik saja. Cuba teka aku kat mana?” Ammara sengaja mahu membuat Eryna tertanya-tanya.

“Paris?” jawab Eryna laju.
             Ammara sudah ketawa di hujung talian. “Jom Eryna teman aku minum.”

“What!!! You are in Malaysia, aren’t you?” terjerit Eryna apabila dia baru tersedar Ammara sudah kembali ke tanahair.

Ammara menjarakkan sedikit telefon bimbitnya. Jeritan Eryna nyata membinggitkan telinganya. “Kenapa tak percaya?”

“Bukan tak percaya, kurang yakin saja,” balas Eryna sambil ketawa kecil.

“Oh ya, jangan lupa ajak Tihani sama. Aku rindu both of you tau,” Ammara mahu bertemu kedua-dua sahabatnya.

“Baik. Aku call Tihani kejap. Takut dia ada kelas tengahari ni. Apa kata kau datang office aku atau aku ambil kau. Then kita gerak sama-sama,” cadang Eryna.

I will pick you up Ery. Aku kat luar ni. Baru lepas attended interview,” kata Ammara.

“Oh ya ke, amboi cepatnya. Baru balik dah pergi temuduga kerja. Aku doakan kau dapat kerja tu Ara,” ucap Eryna gembira.

“Ery, kalau aku tak dapat pun tak apa. Boleh cuba lagi di tempat lain kan,” kata Ammara dalam nada perlahan.

“Eih kenapa pula macam tu?” soal Eryna ingin tahu.

“Nanti aku cerita ya, bila kita jumpa nanti,” janji Ammara.

“Baik. Aku tunggu kau. Kau tau kan datang sini. Jangan cakap kau dah lupa jalan-jalan di KL ni. Maklumlah duduk di negara orang lama,” usik Eryna.

“Ish mana ada. Ni Ammara la. Warganegara Malaysia sejati tau. Mana boleh lupa. Tempat jatuh kan lagi dikenang,” kata Ammara.

“Inikan pula tempat bercinta ya,” Eryna menyambung kata-kata Ammara tadi sambil ketawa.

“Aipp..mana kau dapat kata-kata tu. Rosak bahasa gini. Sambungannya, inikan pula tempat bermain la Ery,” Ammara membetulkan peribahasa melayu lama yang dia ucapkan tadi.

Sudahnya mereka berdua ketawa.

“Ok Ery kejap lagi aku sampai. Kau call Tihani. Bagi tau dia kau nak ambil dia pergi lunch. Tapi jangan bagi tau dia aku ada. Nak surprise kan dia,” pesan Ammara.

“Baik Cik Ammara, perintah dijunjung,” usik Eryna.

Ammara senyum mendengar kata-kata Eryna.

“Bye. Assalamualaikum,” ucap Ammara lantas mematikan talian.

“Waalaikumsalam Ara,” balas Eryna. Dia tersenyum gembira. Tidak sabar dia mahu bertemu Ammara. Walaupun mereka sering berhubung melalui Skype, namun pertemuan empat mata begini lebih seronok.
*******

“Saya belum fikir lagi soal itu. Andai kita ada jodoh, in shaa Allah tak ke mana. Lagipun sekarang ini saya sudah ada seseorang,” luah Ammara.

Zaim terkenang kembali peristiwa enam tahun lalu. Saat dirinya meluahkan hasrat hatinya pada Ammara. Hasrat murni yang mahukan Ammara sebagai isterinya yang sah.

“Masih terlalu awal untuk memikirkan hal itu. Saya baru 20 tahun. Saya yakin Sir barangkali dalam lingkungan 27 tahun. Kita masih muda,” tambah Ammara.

Penolakan secara baik daripada Ammara biar pun pedih, namun Zaim tetap hadapinya dengan senyuman. Tanda dia menghormati keputusan yang dibuat oleh Ammara.

Ammara menolak dengan baik tetapi sakit dan pedih hatinya masih belum hilang. Waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa pedihnya rasa di hati Zaim. Walau pun hasrat hatinya ditolak, namun dia tetap bersyukur kerana berani meluahkan hasrat tersebut kepada Ammara. Sekurang-kurangnya Ammara tahu perasaan yang tersimpan di hatinya. Itu kisah enam tahun yang lalu.

Kini, Ammara telah muncul kembali, muncul di tempat kerjanya. Hakikatnya, pertemuan semula dengan Ammara menimbulkan rasa teruja yang meluap-luap. Kali terakhir Zaim bertemu Ammara adalah pada hari terakhir minggu peperiksaan sebelum Ammara pergi tanpa berita. Dia hanya mendapat berita Ammara telah pun berangkat ke luar negara menyambung pelajarannya daripada Eryna. Ke mana dia tidak tahu. Ternyata Eryna dan Tihani, sahabat Ammara berpegang teguh untuk tidak membocorkan rahsia tempat pengajian Ammara.

Satu kejutan buatnya siang tadi. Tiada langsung terlintas di fikirannya yang Ammara akan hadir temuduga di tempat dia bekerja. Zaim tersenyum memikirkan Ammara bakal bekerja satu bumbung dengannya nanti. Berbunga rasa gembira di hatinya. Peluang kedua ini tidak akan dia sia-siakan. Dia perlu menjejak Ammara semula, janji Zaim pada dirinya sendiri.

Zaim keluar ke balkoni biliknya. Dia menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang menampar manja tubuhnya. Malam itu langit cerah. Berselerakan bintang-bintang yang berkelip memancar cahaya, sayup-sayup memukau pandangan. Hatinya dilanda rasa bahagia yang tiada taranya. Kemunculan Ammara siang tadi benar-benar memberi semangat buatnya untuk kembali mencuba nasib buat kali kedua. Dia tidak akan pernah berputus asa. Doanya, agar penantiannya akan membuahkan hasil yang dia harapkan sejak enam tahun yang telah pun berlalu.

Penantian selama itu cukup untuk membuatnya terseksa. Lebih menyakitkan apabila dia tidak dapat menjejaki ke mana Ammara menghilang. Apa yang dia tahu hanyalah Ammara telah pergi jauh darinya untuk mengenggam cita-cita. Dia yang tinggal di sini nanar separuh mati mengingati gadis itu.

Zaim mendonggak ke dada langit. Bayangan Ammara jelas terukir di dada langit. Dia tersenyum mengingatkan Ammara yang pernah menjadi pelajar terbaiknya sebelum ini. Waktu cepat berputar. Gadis manis itu sudah kembali. Dia terpana siang tadi melihat Ammara yang sedikit berbeza. Peribadi tegas jelas menonjol. Paling ketara, Ammara yang dikenalinya sudah menjadi seorang gadis matang sesuai dengan pengalamannya menempuh hidup di negara orang.

Zaim melepaskan nafas lega. Dia akan berusaha memenangi hati Ammara buat kali kedua. Cintanya tidak pernah padam. Cintanya hanyalah untuk Ammara. Namun apa caranya dia mahu mendekati gadis itu.

“Takkan lari gunung dikejar. Kalau dah jodoh tak ke mana kan,” ucap Zaim dalam nada berbisik seraya dia kembali masuk ke kamarnya. Dia percaya hari-hari seterusnya akan membawa sinar bahagia.

Zaim merebahkan tubuhnya ke atas tilam empuk. Dia berbaring mengadap siling. “Ammara,” nama itu meniti di bibir Zaim. Tidak sedar bilakah akhirnya dia terlelap sambil bayangan wajah Ammara berada di ruang matanya dan kekal di mindanya.

6 comments:

  1. sangat suka kisah ni...teruskan kak..i will support u love it Zaim...herm

    ReplyDelete
  2. :) thanks for your support... sangat Sha hargai :)

    nantikan sambunganya..

    ReplyDelete
  3. sis... i wish that this is in the form of hard copy... best sket nak baca...

    teruskan ye sis...

    ReplyDelete
  4. Thanks Suha...mudah2an doa Suha agar cerita ini dibukukan tu menjadi kenyataan...aamiin :)

    in sha Allah Suha, akan diteruskan..

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim