16 February 2014

Mr. Right Forever 7

“RIFQI, kau tunggu sini. Aku nak pergi cari kudapan kejap. Ilman pun lambat lagi ni. Jalan jammed katanya.” Irfan berlalu ke arah kedai serbaneka yang terdapat tidak jauh dari situ.

            Rifqi mengangguk. Matanya meliar mencari kerusi kosong sementara menunggu Ilman yang akan menjemput mereka nanti.

            ‘Perfect,’ Rifqi bergegas ke arah kerusi kayu panjang yang baru sahaja dikosongkan. Dia duduk bersandar dengan selesanya.

            Irfan kembali dengan satu plastik kecil berisi biskut Chipsmore dan air minuman . Dia duduk di sebelah Rifqi. Dihulur sebungkus biskut dan satu botol minuman kepada Rifqi.

“Tolong jaga barang aku. Aku nak ke gents sekejab.” Irfan segera melangkah ke tandas.

            “Okay,” balas Rifqi.

            Pada masa yang sama, Sarah baru sahaja tiba di LCCT, Sepang. Dia memasuki ruang parkir. Sarah memandu perlahan mencari ruang yang kosong. Dalam perjalanan tadi, dia menerima kiriman pesanan ringkas daripada Raina. Katanya penerbangan dari Alor Setar tertangguh selama satu jam akibat masalah teknikal pada pesawat. Ada baiknya dia menunggu di dalam. Panas berbahang jika dia mahu menunggu di dalam kereta. Oh! Tidak sanggup.

Selepas memarkir Proton Persona putihnya, Sarah berlalu ke dalam bangunan. Dia mencari jika ada tempat duduk kosong. Penat juga nak berdiri.

            ‘Ya Allah, kenapa hati ni berdebar-debar,’ guman Sarah.

            Sarah memerhati sekeliling. Tidak jauh dari tempat dia berdiri, ada satu kerusi kayu yang kosong. Ada seorang pemuda yang duduk berhampiran. Terdapat dua buah kerusi kayu di situ yang  mengapit satu meja kecil di tengah-tengah.

            Debaran di dada makin kencang. ‘Apa kena ni.’ Sarah meletakkan tangan di dada kirinya. Dia berharap agar debar di dada menghilang pergi. Sarah berjalan perlahan ke arah kerusi kosong yang tinggal beberapa langkah lagi. Sewaktu dia mahu duduk, pemuda di kerusi bersebelahan memanggung kepala. Mata bertentang mata. Pemuda itu senyum sambil menundukkan kepala kepada Sarah.

‘Tenanglah wahai hati,’ ucap Sarah di dalam hati. Bibirnya turut membalas senyuman pemuda tadi.

Dari ekor mata, Sarah sedar pemuda tadi masih lagi memandang ke arahnya. Sarah kalut sendiri. Tangan di dada diusap perlahan. Entah mengapa debar di dada makin menjadi-jadi. Dia tidak berani menoleh ke arah pemuda yang tersenyum manis padanya tadi. Bukan tidak pernah dia bertemu, malah bertentang mata dengan ramai pemuda tampan juga dia pernah. Entah mengapa aura pesona pemuda itu begitu kuat. Sarah hilang fokus.

“Tunggu siapa?” sapa pemuda itu ramah.

            Sarah senyum untuk mengusir debar di dada. “Saya tunggu kawan. Flight dia delay pula. Sepatutnya dah sampai ni.”

            Pemuda itu mengangguk.

            “Encik tunggu siapa?” soal Sarah pula. Dia lihat ada sebiji lagi beg sandang di sebelah pemuda itu. ‘Baru pulang bercutikah?’ Sarah membuat andaian sendiri. Takut pula Sarah mahu terlebih ramah. Buatnya pemuda itu bersama isterinya, lain pula jadinya.

            “Saya pun tunggu my friend to pick me up. Dia baru call, bagi tahu lambat sikit. Jalan jammed,”ujar pemuda itu.

            “Oh,’ balas Sarah sepatah.

            Masing-masing sudah diam. Sarah melirik jam di tangan kanannya. Dia mula resah menunggu. Padahal baru lima minit Sarah duduk di situ. Benarlah kata orang, penantian itu satu penyiksaan.

            “Awak,” panggil pemuda itu sambil menghulurkan bungkusan biskut Chipsmore ke arah Sarah.

Sarah ragu-ragu mahu mengambil sekeping biskut dari tangan pemuda itu. Wajah pemuda itu dipandang sekilas.

“Ambillah. Kita share. Saya makan seorang tak habis ni,” kata pemuda itu mengunjukkan bungkusan biskut.

Selepas dipelawa untuk kali kedua, Sarah mengambil juga sekeping biskut Chipsmore daripada pemuda yang memang manis senyumannya. Digigit biskut di tangan.

“Awak ambil la ya,” sekali lagi pemuda itu mempelawa sambil meletakkan bungkusan biskut di atas meja kecil di tengah-tengah mereka berdua.

Mereka berdua menikmati ranggupnya biskut tanpa kata. Masing-masing diam.

‘Sedaplah pula.’ Sarah sudah mencapai kepingan biskut yang entah ke berapa.

Tinggal hanya sekeping biskut. Tanpa sedar, kedua-dua tangan mencapai biskut yang sama.

“Maaf!” Serentak Sarah dan pemuda itu terkesima. Serta-merta mereka melepaskan biskut yang dipegang.

Rasa malu menyerbu ke muka. Bukan tidak pernah makan biskut. Tetapi dia jadi ralit menikmati biskut yang ditawarkan kepadanya. Tidak perasan langsung, dia sudah terlanjur makan beberapa keping biskut kepunyaan pemuda itu.

“Tak apa, awak ambillah,” kata pemuda itu.

“Oh tak apa. Awakkan tuan punya biskut. Lebih afdal awak yang makan biskut yang terakhir tu. Ada keberkatan di situ,” luah Sarah.

“Kalau begitu kita kongsi ya. Biar sama-sama mendapat keberkatan,” kata pemuda itu sambil mematahkan kepada dua bahagian biskut di tangan. Sebahagian biskut di tangan kanan diserahkan kepada Sarah dan sebahagian lagi masih di tangan kirinya.

Sarah malu sebenarnya tetapi atas dasar menghormati pemuda itu yang beria-ia mahu berkongsi biskut di tangan, Sarah mengambil juga separuh biskut yang dihulurkan kepadanya.

“Terima kasih, awak,” ucap Sarah malu-malu.

“Sama-sama,” ucap pemuda itu. Tampang wajahnya sungguh polos.

Tidak semena-mena Sarah tersedak. Pemuda tadi terkejut. Tindakan reflek yang cepat, dibuka tudung botol air. Segera diserahkan kepada Sarah. Tanpa banyak bicara Sarah menyambut huluran botol air mineral. Diteguk beberapa kali. Berair matanya menahan perit. Segera Sarah membuka tas tangan. Sehelai tisu dikeluarkan. Dia mengelap mata.

“Ada orang menyebut agaknya ni. Sampai tersedak,” ulas pemuda itu.

“Agaknya,” sambut Sarah. “Terima kasih.”

“Untuk apa?” tanya pemuda itu.

“Untuk ini,” kata Sarah sambil menunjukkan botol air mineral di tangan.

“Hal kecil sahaja. Kalau orang lain pun tentu mereka akan berbuat hal yang sama,” ternyata pemuda itu seorang yang merendah diri.

Sarah memandang wajah pemuda yang duduk mencangkung betul-betul di hadapannya. Jelas pemuda berkumis nipis itu mempunyai aura pesona yang membuatkan Sarah terpaku lama memerhati. Debaran yang dirasakan tadi kembali mengetuk dadanya. ‘Siapakah lelaki ini? Apakah dia turut merasa apa yang aku rasa?’

‘Awak okay?” soal pemuda itu.

“Ya, ya saya okay,” balas Sarah.

Pemuda itu sudah berdiri. Sarah mendongak.

“Terima kasih,” ucap Sarah sekali lagi.

Pemuda itu sudah mengangkat keningnya. “ Kali ini untuk apa pula?”

“Biskut yang saya habiskan tadi,” jawab Sarah sambil menunjukkan bungkusan biskut yang sudah kosong.

Terhambur tawa pemuda itu. Nada tawanya terasa asyik didengar. Bagikan muzik merdu di pendengaran Sarah. Dia terpana melihat tawa pemuda yang baru dikenalinya. Hanya satu minit diperlukan untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk mencintai seseorang tetapi untuk melupakan seseorang mengambil masa sepanjang hayat.

Nada dering You’re Still The One berkumandang.

“Hello Raina, waalaikumsalam. Ya aku dah sampai. Kau kat mana ni?” Sarah menjawab panggilan Raina. “Okay kau tunggu kat depan ni. Aku pergi ambil kereta.”

            “Saya gerak dulu,” ucap Sarah. “Kawan saya dah sampai.” Sarah menoleh ke arah pemuda di sebelahnya.

            “Baik. Ada jodoh kita jumpa lagi.” Pemuda itu senyum lagi.

            “In shaa Allah. Jumpa lagi,” ucap Sarah bersama senyuman di bibir.

            Mereka berpisah di situ. Akan adakah pertemuan seterusnya?

4 comments:

  1. akan adakah pertemuan seterusnya?
    yeayy!! mesti ada~ ;P

    ReplyDelete
  2. In sha Allah, kalau dah jodoh pasti bertemu (lagu Afgan)

    Macam mana la agaknya pertemuan mereka nanti? Hihikk Sha pula yang tanya soalan ni..

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim