14 February 2016

Aina Izz Zara vs Adam Najmi 4

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Rakan-rakan Pembaca,
 
Maaf sangat-sangat, lately ni Sha ambil masa yang lama untuk update entry kisah-kisah di blog Sha ni. Ada sebabnya. Selain memberi priority terhadap kerja hakiki, Sha juga sedang menyiapkan manuskrip penuh Mr. Right Forever (MRF). Sha rancang untuk menamatkan kisah MRF di blog sahaja, tetapi ada perancangan lain yang menyusul apabila terdapat permintaan agar kisah ini dihantar untuk penilaian daripada penerbit. Selain MRF, Sha juga sedang menyiapkan satu lagi manuskrip untuk tujuan penilaian juga. Jadi doakan perancangan ini berjalan lancar dan Sha diberi keazaman yang kuat untuk menyiapkan kedua-dua manuskrip ini. Jika ada rezeki, semoga MRF melepasi penilaian penerbit. Insya Allah. 
 
For now selamat membaca kisah Aina. Jika ada kekurangan di mana-mana, silalah tinggalkan komen dan cadangan untuk Sha baiki. Terima kasih.

Salam sayang,
Sha Hashim
14 Februari 2016
 
@}-;--- @}-:--- @}-;---


MATA yang tertutup rapat perlahan-lahan dibuka. Udara pagi disedut dalam-dalam. Tangan di sisi diangkat tinggi. Nikmatnya dapat menggeliatkan badan.       

“Aina, bangun. Dah pukul berapa ni?” laungan Puan Mariam sayup-sayup sahaja kedengaran di telinga.

“Alhamdulillah. Aku masih bernyawa pada hari ini. Semoga semua urusanku pada hari ini dipermudahkan olehMu ya Allah,” mulut Aina mengucap syukur kepada Yang Maha Esa.


Aina menarik selimut yang menutupi separuh daripada badannya. Dia bangun perlahan-lahan sambil menjulurkan kaki ke lantai. Dia duduk di birai katil. Perlahan-lahan dia bangun.

Cadar yang senget-bengget dibetulkan. Ditarik di semua bucu. Bantal ditepuk-tepuk beberapa kali sebelum disusun di kepala katil. Selimut merah jambu dilipat memanjang dan dihamparkan di hujung katil. Lebihan selimut dimasukkan ke bawah tilam. Cadar ditarik sekali lagi agar kemas. Aina berdiri di hujung katil. Puas hati.

Tangan kanannya mencapai tuala yang tersangkut di dinding. Rasa menggantuk masih bersisa. Automatik belakang tangan menutup mulut yang menguap besar.

“Mak!” spontan Aina menjerit dek kerana terkejut apabila pintu biliknya dikuak dari luar.

“Ya emak ni, kenapa? Nampak hantu ke?” tegur Puan Mariam.

Aina tersengih memandang emaknya.

“Dah jangan nak berangan. Cepat pergi mandi, solat. Jangan nanti kau lambat pergi kerja, emak yang kausalahkan,” jeling emaknya.

Aina senyum sungging mendengar bebelan emaknya. Dia melangkah keluar dari bilik. Tujuannya ke bilik mandi. Kalau berlama-lama lagi di situ, pasti telinganya akan terdengar lagi bebelan emaknya.

*******

AINA melangkah laju ke meja makan di dapur. Emak dan abahnya belum menjamah sarapan. Mereka berdua menunggu Aina untuk bersarapan bersama-sama.

            “Mari duduk. Makan dulu.”

            “Maaf mak. Bukan tak nak makan, tapi orang dah lambat ni.”

            Aina mengambil bekas Tupperware. Dia menyenduk mee goreng. Telur mata dimasukkan juga ke dalam bekas yang sama.

            Encik Ainuddin melirik jam di dinding. Dia faham laluan ke tempat kerja anaknya itu sememangnya sibuk. Jika tidak keluar awal, pasti tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

            “Kalau ya pun minumlah dulu,” gesa Puan Mariam.

            Aina duduk juga. Dia mencapai cawan yang dihulur oleh emaknya. Air teh panas suam itu dicicip perlahan-lahan, sambil itu matanya melirik pergelangan tangan kanannya. ‘6.45.’

            “Terima kasih mak. Air yang sedap. Sure mee goreng ni pun sedap tapi orang makan kat pejabat la nanti.”

Aina segera memasukkan bekas makanan dan botol air ke dalam beg kain. Dia bangun menuju ke arah abahnya lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Kemudian tangan dihulur ke arah emaknya pula.

            “Mak, abah orang pergi dulu ya,” ucap Aina melangkah meninggalkan ruang makan.

            “Elok-elok bawa kereta tu Aina,” pesan abahnya.

“Baik abah.”

*******

AINA tiba di pejabat awal 20 minit.

            Breakfast dulu. Lapar dah ni.’

            Tas tangan disimpan di dalam laci. Beg kain warna biru diusung ke pantri.

            Sebaik melangkah masuk ke pantri, Aina mengurut dada melihat Najmi baru sahaja duduk di kerusi mengadap pintu masuk. Sangkanya lelaki itu belum sampai ke pejabat.

            “Assalamualaikum Aina. Come have a seat. Boleh sarapan sama-sama,” ramah Najmi memanggil.

            ‘Rasa macam nak lari je. Ish kalaulah boleh jadi halimunan kat sini.’

            “Waalaikumsalam.”

            Aina meletakkan beg berisi makanan di atas meja betul-betul di hadapan Najmi. Dia menuju ke rak pinggan. Sebiji mug dicapai. Kabinet separas ketinggiannya dibuka. Bekas berisi uncang kopi dikeluarkan. Diambil satu uncang sebelum bekas ditutup dan diletak kembali ke tempatnya. Bekas gula pula dikeluarkan. Sudu dalam bekas berdekatan rak pinggan dicapai. Satu sudu gula diceduk dan dimasukkan ke dalam mug. Aina capai mug dan menuju ke arah dispenser air lalu menekan butang merah. Serta-merta aroma kopi menerawang ke seluruh pelusuk pantri. Dikacau perlahan-lahan air kopi yang berasap di dalam mug di tangan. Aina menyedut dalam-dalam semerbaknya aroma kopi. Dia suka bau itu.

            “Dah siap ke?” tegur Najmi.

            Aina senyum sendiri. Dia melangkah ke meja makan. Dia duduk di kerusi di sebelah kiri Najmi. Kedudukannya membolehkan Aina melihat sesiapa sahaja yang melalui pintu pantri.

            “Aina bawa bekal apa?”

            “Mee goreng.”

            “Masak sendiri ke?”

            “Mak yang masak?”

            “Kenapa bukan Aina yang masak?”

            Aina rimas. ‘Banyak pula soalan dia. Tak nak jawab boleh tak?’

            “Untunglah ada emak tolong masak. Saya ni mak dah tak ada,” lirih bunyinya nada suara Najmi.

            ‘Dia ni buat dialog touching pula.’

            “Nak buat macam mana sarapan roti je pagi ni.”

            Aina diserbu rasa bersalah. Yakin dia tidak mampu menelan jika bosnya masih di situ.

            “Encik Najmi nak rasa? Mee goreng air tangan emak saya ni,” ucap Aina mempelawa Najmi makan sama.

            Tanpa berfikir panjang. “Boleh juga.”

Aina ingin bangun untuk mengambil piring dan sudu tetapi segera ditahan oleh Najmi.

“Tak payah susah-susah. Saya share dengan Aina je.”

Bulat mata Aina memandang Najmi. “Hah! Tak nak la.”

“Kata nak bagi rasa. Semulut pun cukuplah.”

‘Jangan dia minta suapkan sudah.’

Baru sahaja hal itu melintas di minda Aina, Najmi membuat permintaan yang Aina tidak sanggup tunaikan.

“Encik Najmi suap sendirilah. Kejab saya ambil garfu dan piring.”

Najmi senyum meleret. Dia sekadar mengusik. Dia ingin melihat sejauh mana keberanian Aina. Dari situ dia sudah membuat penilaian.

Benar Najmi hanya mengambil sekali suapan sahaja mee goreng masuk ke mulut. Sebaik sahaja habis dikunyah lalu diteguk air milonya sehingga habis, Najmi bangun menuju ke sinki. Piring, garfu dan mug turut dibawa bersama. Semuanya dicuci bersih.

“Pagi ni saya ada presentation. So saya masuk dulu,” sambil menghadiahkan seulas senyuman, Najmi beredar dari situ.

Aina tidak sempat berkata apa-apa. Langkah Najmi diperhatikan sahaja.

‘Lega. Segan juga nak makan dengan bos berdua je. Janganlah jadi lagi macam ni,’ doa Aina di dalam hati. ‘Bos dah pegi baru feel nak makan.’

Aina tidak mengambil masa yang lama untuk makan. Selesai makan, semua bekas yang digunakan dicuci dan diletakkan di rak pinggan. Di pintu masuk dia disapa oleh Sofi yang baharu tiba. Kelihatannya Sofi sedikit kelam-kabut.

“Hai Aina. Dah makan ke?”

Aina membalas bersama seulas senyuman. “Dah.”

“Aina jangan lupa ya pagi ni ada morning briefing. Kat bilik mesyuarat,” pesan Sofi memaklumkan kepada Aina rutin setiap pagi Selasa.

Aina menggangguk. Dia sudah tahu sementelah telah dimaklumkan oleh Puan Idayu semalam. Yang dia tidak tahu giliran siapakah pada pagi itu.

“Siapa punya turn Sofi?” Aina mengekori Sofi masuk ke pantri.

“Our boss la.”

“Encik Najmi?”

“Aah. Pagi ni giliran dia.”

Aina angkat kening. Seulas senyum terukir di bibirnya.

“Aina I need a favor. Tolong ambil cawan dan piring. Susun atas meja. Then masukkan kuih ni dalam piring. Nasi lemak ni kau susun je dalam dulang. Dulang kat atas fridge tu,” pinta Sofi. “Nature’s call.”

Sofi bergegas keluar dari pantri. Aina pantas memenuhi permintaan Sofi. Dia membuka kabinet dan mengeluarkan cawan dan piring. Disusun di sebelah kiri di atas meja makan. Dulang dicapai lalu bungkusan nasi lemak dikeluarkan satu persatu dan diletakkan di dalam dulang.

“Assalamualaikum. Selamat pagi Aina. Sorang je ke?”

Aina menjawab salam. “Taklah Kak Hanim. Sofi dah sampai, dia ke toilet.”

“Dah buat air?”

Aina menggelengkan kepala. “Belum.”

“Selalunya selepas morning briefing semua staf akan makan sama-sama. Pagi ni giliran bos. So nasi lemak dengan kuih ni dia yang belanja. Air je kita kena buat sendiri.”

“Assalamualaikum.”

Serentak Aina dan Hanim menjawab salam Puan Lydia.

I pergi meeting room tadi but no one there,” kata Puan Lydia.

“Kejab lagi ramai la tu. Lepas buat air ni, kami ke sana,” ujar Hanim. “Aina pergilah dulu dengan Puan Lydia. Nanti akak menyusul.

Aina akur. “Okay.”

Ketika Aina tiba di bilik mesyuarat, bilik itu masih kosong. Puan Lydia menekan suis lampu dan penghawa dingin. Tidak lama mereka menunggu. Bilik mesyuarat mula dipenuhi staf lain. Ramai di antaranya tidak Aina kenali. Dia memaniskan muka dan melemparkan senyuman.

“Kak Hanim,” panggil Aina.

Hanim mengambil tempat duduk di sebelah Aina.

“Pukul berapa mula?” bisik Aina pada Hanim yang duduk di sebelahnya.

“Tunggu bos sampai. Semua dah ada bolehlah mula.”

Muncul Najmi di muka pintu.

‘Panjang umur. Baru je Kak Hanim sebut, terus sampai,’ omel Aina.

Najmi memerhati sekeliling. Yakin semua staf telah pun berada di situ, dia memulakan majlis. “Semua dah ada ni. So kita mulakan dengan Ummul Kitab.”

Suasana sunyi. Semua staf terkumat-kamit membaca surah Al-Fatihah. Cik Leela dan Puan Lilian diam bertafakur sebagai tanda menghormati majlis.

“Alhamdulillah, pagi ni kita dapat berkumpul dan menikmati satu hari lagi dengan begitu banyak nikmat kurniaan daripadaNya. Syukur juga kita diberi kesihatan yang baik untuk berada di sini. Hari ini giliran saya untuk menyampaikan sedikit perkongsian untuk peringatan kepada diri saya sendiri dan juga untuk makluman semua.” Najmi berjeda seketika.

Sekali lagi Najmi memandang satu persatu wajah staf seliaannya. Pandangannya berhenti di wajah Aina.

“Okay saya nak sentuh isu hubungan sesama manusia. Setiap yang berlaku tentu ada sebabnya dan sudah tertulis. Kita tidak boleh hidup sendiri. Kita perlukan orang lain dalam kehidupan seharian kita. Contohnya, suatu  pagi seorang lelaki ditahan oleh seorang gadis yang dalam kesusahan. Walau pun tidak kenal gadis itu, atas dasar kemanusiaan, lelaki itu tetap membantu gadis yang tidak dikenalinya.”

Aina kaku di tempat duduk. ‘Kenapalah contoh itu yang dia bagi. Janganlah dia cerita kisah aku semalam,’ doa Aina dalam hati.

Najmi menyambung lagi. “Isu yang sama berlaku di pejabat. Setiap orang ada pengalaman pertamanya. Daripada tidak tahu jadi tahu. Jangan segan untuk bertanya. Minta bantuan apabila perlu. Yang tahu jangan pula lokek ilmu. Ilmu ni jika kita sebarkan, memberi manfaat bukan hanya kepada orang yang menerima ilmu tetapi pemberi ilmu juga mendapat manfaat. Apabila matinya anak Adam, tiga perkara yang dibawa. Salah satunya ialah ilmu yang bermanfaat. Jadi sikap tolong-menolong itu perlu. Kita bekerja dalam satu kumpulan. Saya harap kita semua dapat bekerja dalam suasana yang harmoni. Tempat kerja dah macam rumah kedua. Hampir separuh hari kita berada di tempat kerja. Saya mahu kita semua bekerja dalam suasana yang tenang dan jauh dari stres. Bekerja dengan mood ceria setiap hari.”

Najmi diam seketika. Dia menarik nafas.

“Sebelum saya tutup sesi morning briefing pagi ni, mari kita berkenalan dahulu dengan seorang staf baharu kita,” anggukan Najmi sebagai tanda untuk Aina tampil memperkenalkan diri.

Banyak mata memandang ke arah Aina. Dia kaku di tempat duduk. Tiada langsung dijangka Najmi akan menyebut namanya.

“Aina, come introduce yourself.”

Hanim mencuit Aina di sebelahnya. Aina bangun dan berdiri. Dia memberikan senyuman sebelum memperkenalkan namanya.

“Asal mana? Sebelum ni kerja di mana?”

“Asal Banting. Ni first job saya.”

“Dah berpunya ke belum?”

Belum sempat Aina membuka mulut, Najmi terlebih cepat mencelah. “Okay terima kasih Aina.”

“Amboi cepat bos memintas,” usik Puan Lydia. Staf seramai lapan orang serentak ketawa.

Najmi senyum manis. “Kita tutup majlis dengan tasbih kifarah dan surah Al-Asr.”

“Kawan-kawan macam biasa breakfast bos belanja. Jemput makan di pantri,” suara Sofi mengingatkan semua staf.

Imran mendekati Aina. “Jom Aina.”

Aina terdiam disapa tiba-tiba begitu.

“Amboi Imran cepat bertindak nampak. Ajak Aina je ke?” usik Hanim.

Imram senyum lebar. “Kak Hanim jom.”

Najmi memerhati dari jauh langkah Aina ditemani Imran.

2 comments:

  1. Amboi nak potong jalan bos kaa Imran? Takmo takmo

    ReplyDelete
  2. Ha.. Imran jangan nakal ya, Eifa dah cakap takmo2 tu...

    ReplyDelete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim