13 July 2014

Budi Sebuku Roti

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

            Kebetulan Sha sedang membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki oleh penulis Sdra Fathuri Salehuddin semasa menulis kisah ini. Jadi di akhir kisah ini Sha selitkan sedikit apa yang dibaca daripada buku tersebut.

            Amalan sedekah sangat besar ganjarannya di sisi Allah. Janji Allah seperti di bawah:

“Sesiapa berbuat kebaikan mendapat sepuluh kali ganda amalannya. Dan sesiapa berbuat kejahatan dibalas seimbang dengan kejahatannya. Mereka sedikit pun tidak dirugikan (dizalimi).” (Al-An’am 6:160)

            Kawan-kawan, jika ada kelapangan bacalah buku tersebut di atas. Banyak kisah dan ilmu yang berguna untuk diamalkan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang kurang itu dari diri Sha sendiri.

            Selamat membaca kisah ini. Terima kasih.

Salam 15 Ramadan 1435

Sha     

BUDI SEBUKU ROTI

HADIF MELEWATI SEBUAH KEDAI ROTI. Aroma roti yang bertebaran di udara menarik kaki Hadif mendekat. Hadif memegang perut yang berbunyi. Perutnya lapar tiba-tiba. Duit yang dia ada untuk disimpan buat membayar yuran SPMnya nanti. Wang itu pun hasil usaha dia mengumpul tin dan botol kosong dan dijual semula. Dia mesti menyimpan wang yang dia ada, itu azamnya.

            Dia berdiri lama di hadapan kedai roti. Dari cermin kaca macam-macam jenis roti yang enak dipamerkan. Hadif telan liur.

‘Baik pergi cepat. Lama-lama kat sini makin lapar jadinya.’

Hadif segera berpaling menuju ke arah basikal yang diletak tidak jauh dari situ. Beg-beg berisi botol kosong dan tin kosong diikat kemas di pelantar basikal tuanya. Dikuis tongkat basikal. Basikal yang dipegang didorong sedikit ke hadapan sebelum dia menunggang basikal tua milik arwah datuknya.

            Hadif tidak jadi mahu mengayuh. Matanya terpaku ke arah seorang lelaki yang nampak seperti menghadapi masalah. Hadif turun dari basikalnya. Ditongkat kembali basikal ke tempat tadi. Dia berjalan menghampiri lelaki yang sebaya ayahnya mungkin.

Encik Manan menggaru-garu kepalanya. Dia memandang ke arah longkang yang berjaring.

            “Macam mana nak ambil? Tayar ni macam mana nak pasang?” buntu fikiran Encik Manan.

            “Assalamualaikum tuan,” sapa Hadif.

            “Waalaikumsalam,” balas Encik Manan memusingkan badannya ke arah Hadif.

            “Ada apa yang saya boleh bantu?” soal Hadif.

            “Begini nak, tadi pakcik nak tukar tayar ni. Tayarnya pancit. Jadi pakcik letak skru tayar di tepi ni. Entah macam mana pakcik terkuis semua skru tu. Semuanya dah jatuh ke dalam longkang ni. Macam mana nak ambil? Dalam pula tu,” luah Encik Manan.

            Hadif memanjangkan leher melihat longkang yang dikatakan oleh Encik Manan. Dia memandang wajah Encik Manan yang sudah berpeluh-peluh dibakar mentari. Kasihan sungguh.

            Alhamdulillah ilham dariNya.

            “Saya nak beri cadangan pada tuan,” ujar Hadif memandang tepat ke wajah Encik Manan.

            Encik Manan mengangguk tanda sudi mendengar cadangan Hadif.

            “Kereta tuan ada tiga lagi tayar. Apa kata tuan buka satu skru dari setiap tayar dan gunakan untuk tayar ini,” kata Hadif dengan yakin. “Lepas tu tuan pandu ke kedai kereta berdekatan dan beli skru tambahan.”

            Wajah Encik Manan serta-merta berubah riak. Bibirnya menguntum senyum.

            “Ya Allah, kenapa saya tidak terfikir seperti itu,” balas Encik Manan senyum sambil menepuk bahu Hadif. Dalam hati Encik Manan memanjatkan syukur. Allah mengirimkan remaja ini untuk membantunya. “Terima kasih nak. Siapa nama anak?”

            “Nama saya Hadif. Sama-sama tuan.” Hadif membalas ucapan terima kasih Encik Manan. “Saya minta diri dahulu.”

            “Tunggu Hadif,” tahan Encik Manan. Dia segera menarik dompet di poket belakang. Dua keping wang kertas berwarna merah diunjuk kepada Hadif.

            “ Duit apa ni tuan?” tanya Hadif.

            “Sebab bantu saya,” kata Encik Manan.

            “ Tapi saya tak boleh ambil wang ni. Saya tidak buat apa pun,” balas Hadif keberatan mahu mengambil wang kertas yang berada di tangan Encik Manan.

            “Anak dah bantu saya selesaikan masalah saya tadi. Jadi ambillah duit ni buat belanja sekolah,” tawar Encik Manan.

            “Maaf tuan, saya tak boleh ambil. Nanti mak saya marah,” tegas Hadif.

            “Kalau macam tu, awak ikut saya.” Encik Manan menarik tangan Hadif untuk mengikutinya.

            Hadif terkejut apabila Encik Manan melangkah masuk ke kedai roti tadi. Dia turut melangkah masuk apabila Encik Manan tidak melepaskan pergelangan tangan kanannya.

            “Awak pilihlah apa yang awak nak,” pelawa Encik Manan.

            Hadif seperti tidak percaya mendengar kata-kata Encik Manan.

            “Kali ni saya harap awak tak tolak.” Encik Manan membuat keputusan. “Sekejap.”

            Hadif memerhati langkah kaki Encik Manan. Encik Manan bercakap dengan penjaga mesin daftar wang. Pekerja tersebut menggangguk-anggukkan kepala.

            Terkocoh-kocoh Encik Manan kembali ke arah Hadif. “Maaf saya kena pergi dulu. Ada urusan penting. Ambil ya mana yang awak suka.”

            Hadif memerhati langkah Encik Manan yang sudah pun beredar ke arah keretanya. Tidak lama selepas itu, kereta yang dipandu oleh Encik Manan hilang dari pandangan.

            ‘Terima kasih ya Allah untuk rezekiMu ini,” ucap Hadif.

            Hadif hanya mencapai sebuku roti. Dia berjalan ke arah cashier untuk membuat bayaran. “Berapa harganya kak?”

            “Percuma. Itu pesan tuan punya kedai,” balas gadis yang menjaga mesin daftar wang. “Dia juga minta saya berikan awak ini.”

            Hadif memandang wajah cashier di hadapannya dengan pandangan terkejut. “Pemilik kedai?”

            “Ya Encik Manan owner kedai ni,” sekali lagi cashier itu menjawab pertanyaan Hadif. “Tolong terima hadiah Encik Manan. Kalau awak tak ambil nanti saya kena marah.”

            Mahu tidak mahu Hadif akur. Satu plastik berisi sekotak kek bertukar tangan.

            “Kakak tolong ucapkan terima kasih pada bos akak ya,” pesan Hadif.

            Gadis itu menggangguk sambil tersenyum.

******* 

HADIF GEMBIRA MELIHAT AYAHNYA SUDAH PULANG. Dia mengekori ayahnya hingga ke bilik.

“Ayah tak ada duit. Tak faham ke?” tempik Encik Malik dengan muka bengis. “Kalau susah-susah sangat berhenti sekolah. Jangan nak susahkan aku.”

            Hadif berundur setapak ke belakang apabila suara kuat ayahnya menampar cuping telinga. Cepat-cepat dia keluar dari bilik ayahnya. Emak yang berdiri di depan pintu bilik hanya memandang sayu. Langkahnya laju menuju ke luar rumah. Dia berhenti di anak tangga terakhir lalu duduk di situ.

            Ligat fikirannya mencari jalan. Dia mesti mencari wang untuk yuran SPMnya. Lama dia duduk termenung di tangga. Yuran itu mesti dilangsaikan paling lewat hujung bulan hadapan.

‘Bagaimana?’

            Suara riuh kanak-kanak bermain di laman hadapan rumahnya diperhati. Dia melihat mereka begitu gembira bermain sesama sendiri.

            ‘Seronoknya jadi budak-budak. Masalah tak banyak,’ fikir Hadif.

            Leka Hadif melihat anak-anak kecil bermain tuju tin dengan selipar jepun.

            Eureka,” jerit Hadif tiba-tiba. “Mak, Hadif keluar sekejap ya.”

            Itulah detik mula Hadif mengumpul wang untuk membayar yuran sekolahnya. Petang itu tempat pertama yang dituju olehnya ialah ke sekolah. Dia mahu mencari Wak Seman yang bertugas di sana. Mudah-mudahan ada rezekinya di sana. Selepas itu dia mahu berjalan keliling kampung mencari tin-tin dan botol-botol kosong untuk dijual semula.

Begitulah aktiviti pada siang hari pada hujung minggu, Hadif sanggup berbasikal hingga ke bandar untuk mencari tin dan botol kosong. Pada sebelah malam dia sibuk mentelaah pelajarannya. Dia mahu berjaya di dalam peperiksaan yang bakal didudukinya. Dia percaya kejayaannya akan memberi sinar harapan buat dia dan keluarga. Dia mahu mengubah hidup keluarganya. Itulah yang dipesan oleh emaknya sekian kali.

            “Hadif, ilmu itu penting untuk masa depan kamu. Kita bukanlah orang senang. Jadi mak nak kamu belajar rajin-rajin. Itu sahaja bekal yang kamu ada untuk mendapat masa depan yang lebih baik.” Puan Hasnah tidak pernah jemu memberikan nasihat kepada anaknya.

            Hadif pegang pesanan emak. Hanya emaklah tempat dia bergantung. Emaknya menjahit baju dan menjual kuih. Duit hasil titik peluh empat kerat emaklah dia mendapat wang saku dan menabung sedikit-sedikit. Ayahnya selalu sahaja cakap tiada duit. Tetapi Hadif tahu ayahnya banyak menghabiskan wang gajinya kepada isteri keduanya. Dia sudah tidak berani mahu meminta wang daripada ayahnya. Biarlah dia bersusah payah sedikit. Paling penting persekolahannya mesti diteruskan.

*******

TAHUN DEMI TAHUN BERLALU.

            “Doktor Hadif ada pesakit yang kritikal baru sahaja ditempatkan di unit kecemasan. Doktor diminta ke sana.” Jururawat muda yang bertugas memanggil Hadif ke sana.

            “Saya datang sekarang. Kenapa dengan pesakit, Dina?” tanya Hadif sambil berjalan laju ke arah wad kecemasan.

            “Menurut isterinya, pesakit tidak boleh bernafas,” jawab Dina.

            “Asma?” tanya Hadif lagi.

            “Mungkin. Sekarang dengan cuaca berjerubu sangat tidak baik untuk kesihatan,” kata Dina.

            Tiba di unit kecemasan, Hadif segera menjalankan tugasnya. Tindakan pantas seorang doktor mampu menyelamatkan nyawa. Sedari kecil itulah cita-citanya.

            “Apa cita-cita Hadif?” tanya Cikgu Nuha.

            “Doktor cikgu,” jawab Hadif laju.

            “Kenapa pilih doktor?” Cikgu Nuha mahu tahu.

            “Tugas doktor itu sangat mulia. Mereka menyelamatkan nyawa. Selain itu saya mahukan yang terbaik untuk emak saya, cikgu,” balas Hadif yakin.

            “Bagus tu Hadif. Cikgu doakan kamu berjaya capai cita-cita kamu,” ucap Cikgu Nuha.

*******

ENCIK MANAN MEMANDANG LAMA BIL YANG BERADA DI TANGAN.

            “Awak pasti ini bil rawatan saya?” soal Encik Manan kepada jururawat yang bertugas.

            “Ya encik. Memang ini bil encik,” akui jururawat dengan tag nama ‘Faridah’.

            Encik Manan termenung seketika. Dia berfikir bagaimana mungkin kos rawatannya selama dua hari di hospital itu PERCUMA seperti mana tertera di dalam bil yang diterimanya.

            “Boleh saya bertemu doktor yang merawat saya?” tanya Encik Manan.

            “Encik boleh tunggu sebentar. Doktor Hadif sedang membuat lawatan ke wad. Sekejap lagi dia akan lalu di sini,” balas Faridah dengan ramah. “Encik duduk dulu. Nanti saya panggil encik.”

            “Baiklah. Terima kasih.” Encik Manan duduk di sebelah isteri yang menunggunya.

            Sementara menunggu, Encik Manan masih memikirkan siapakah yang begitu bermurah hati membantunya. Dia mahu bertemu dan memberikan ucapan terima kasihnya.

            “Faridah, pesakit tu mana?” soal Hadif sebaik sahaja dia mendapat pesanan daripada Faridah sebentar tadi.

            “Itu di tempat duduk di barisan terakhir dengan isterinya,” jawap Faridah.

“Assalamualaikum Pakcik Manan,” sapa Hadif sebaik sahaja dia mendekati Encik Manan dan isterinya. Tangan kanannya dihulur ke arah Encik Manan.

“Waalaikumsalam doktor. Apa khabar?” soal Encik Manan sambil menyambut huluran tangan Hadif.

Hadif senyum. Biasanya doktor yang bertanya khabar pesakit.

“Alhamdulillah saya sihat pakcik. Pakcik macam mana hari ni?” tanya Hadif.

“Saya bertambah baik, alhamdulillah,” balas Encik Manan. “ Doktor boleh saya tanyakan sesuatu?”

“Apa kata kita ke bilik saya,” ajak Hadif seraya dia bangun dan berjalan seiring dengan Encik Manan. Isterinya turut mengikut dari belakang.

Tiba di bilik kerjanya, Hadif membuka pintu dan menjemput Encik Manan dan isterinya masuk.

“Duduklah pakcik, makcik,” kata Hadif.

“Begini doktor,” Encik Manan berjeda. Wajah Hadif ditatap lama.

“Ya pakcik.” Hadif menunggu kata-kata Encik Manan seterusnya.

Encik Manan mengeluarkan resit bil yang diterimanya.

Hadif sudah tersenyum melihat tindakan Encik Manan.

“Kenapa pakcik?” soal Hadif.

“Betulkah bil ini bil rawatan saya, doktor?” tanya Encik Manan.

“Ya betul.” Hadif pantas menjawab.

Encik Manan belum berpuas hati dengan jawapan Hadif.

“Pakcik, ini adalah balasan kepada sebuku roti yang pakcik beri pada saya dahulu,” ujar Hadif.

“Sebuku roti? Pakcik tak faham,” kata Encik Manan jujur.

“Pakcik tak ingat saya Hadif?” tanya Hadif.

Encik Manan menggeleng-gelengkan kepala. Wajah isterinya dipandang sekilas sebelum pandangannya tepat ke muka Hadif.

“Pakcik ingat tak kisah tayar kereta? Skru yang terjatuh ke dalam longkang?” Hadif cuba mengingatkan Encik Manan insiden yang berlaku lebih daripada 15 tahun yang lalu.

Berkerut wajah Encik Manan. Dia cuba mengimbas kembali peristiwa 15 tahun yang lalu.

“Ya, ya pakcik ingat,” wajah Encik Manan bertukar ceria. “Jadi anak ini Hadif yang bantu pakcik pada petang itu. Terima kasih nak.”

Hadif menggangguk. Dia senyum.

“Ya Allah. Pakcik tak sangka akan bertemu lagi dengan anak.” Encik Manan merenung Hadif yang kini sudah berjaya dalam hidupnya. Fahamlah dia kisah di sebalik bil rawatan hospital yang diterimanya. Langsung dia mengucapkan syukur kepada Allah Yang Maha Besar.

Encik Manan menceritakan kisah pertemuannya dengan Hadif kepada isteri yang sedari tadi hanya diam mendengar.

“Mujur Hadif ni datang tolong abang, jika tidak abang tentu tak dapat ke bank untuk urusan pinjaman membesarkan kedai roti kita tu,” kata Encik Manan mengakhiri cerita kepada isterinya.

Hadif sudah mengenali Encik Manan saat dia memasuki unit kecemasan. Langsung dia teringat budi baik Encik Manan padanya. Jadi sebagai balasan Hadif memberikan rawatan percuma kepada Encik Manan. Sedaya upaya dia memberikan rawatan terbaik kepada lelaki itu.

Hadif teringat hadis yang pernah dibacanya yang ditulis oleh penulis Fathuri Salehuddin di dalam bukunya Mudahnya Menjemput Rezeki menukilkan:

“Berinfaklah wahai anak Adam, nescaca Aku akan memberi infak kepadamu.” (Hadis qudsi riwayat Bukhari)

“Ada tiga perkara yang sesiapa dapat mengumpulkan ketiga-tiga hal itu dalam dirinya, maka dia telah dapat mengumpul keimanan secara sempurna. Iaitu memperlakukan orang lain sebagaimana engkau suka dirimu diperlakukan oleh orang lain, memberi salam terhadap setiap orang (yang dikenali mahu pun yang tidak dikenali), dan mengeluarkan infak di jalan Allah, meski pun hanya sedikit.” (Riwayat Bukhari)

“Tiadalah kurang harta sebab sebab bersedekah.”  (Riwayat Muslim)

“...sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang yang bersedekah.” (Yusof 12:88)

7 comments:

  1. Terharunyaaa....
    Amal kebaikan akan dibalas sengan kebaikan juga...

    Thanks for sharing Kak sha..
    Org dah lama nak beli buku tu... Tak beli2 lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama Suha.

      Kebetulan minggu lepas ke kedai buku dan cashier yang bertugas suggest buku tu. Tak rugi beli. Isinya sangat baik.

      Delete
    2. Itulah... Kena cari jgk ni... Hehe

      Delete
    3. :) buku yg bagus isinya..so harus dimiliki...

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih (singgah, baca & komen)

      Delete

This Blog Is Protected. Copyright 2009 © Design By Cik Sha Hashim