Kebetulan
Sha sedang membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki oleh penulis Sdra Fathuri
Salehuddin semasa menulis kisah ini. Jadi di akhir kisah ini Sha selitkan
sedikit apa yang dibaca daripada buku tersebut.
Amalan
sedekah sangat besar ganjarannya di sisi Allah. Janji Allah seperti di bawah:
“Sesiapa berbuat kebaikan mendapat
sepuluh kali ganda amalannya. Dan sesiapa berbuat kejahatan dibalas seimbang
dengan kejahatannya. Mereka sedikit pun tidak dirugikan (dizalimi).” (Al-An’am
6:160)
Kawan-kawan,
jika ada kelapangan bacalah buku tersebut di atas. Banyak kisah dan ilmu yang
berguna untuk diamalkan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang kurang itu
dari diri Sha sendiri.
Selamat
membaca kisah ini. Terima kasih.
Salam 15 Ramadan
1435
Sha
BUDI SEBUKU
ROTI
HADIF MELEWATI SEBUAH KEDAI ROTI. Aroma roti yang bertebaran di udara menarik kaki Hadif mendekat. Hadif
memegang perut yang berbunyi. Perutnya lapar tiba-tiba. Duit yang dia ada untuk
disimpan buat membayar yuran SPMnya nanti. Wang itu pun hasil usaha dia
mengumpul tin dan botol kosong dan dijual semula. Dia mesti menyimpan wang yang
dia ada, itu azamnya.
Dia berdiri lama
di hadapan kedai roti. Dari cermin kaca macam-macam jenis roti yang enak
dipamerkan. Hadif telan liur.
Hadif segera
berpaling menuju ke arah basikal yang diletak tidak jauh dari situ. Beg-beg
berisi botol kosong dan tin kosong diikat kemas di pelantar basikal tuanya.
Dikuis tongkat basikal. Basikal yang dipegang didorong sedikit ke hadapan
sebelum dia menunggang basikal tua milik arwah datuknya.
Hadif tidak jadi
mahu mengayuh. Matanya terpaku ke arah seorang lelaki yang nampak seperti
menghadapi masalah. Hadif turun dari basikalnya. Ditongkat kembali basikal ke
tempat tadi. Dia berjalan menghampiri lelaki yang sebaya ayahnya mungkin.
Encik Manan
menggaru-garu kepalanya. Dia memandang ke arah longkang yang berjaring.
“Macam mana nak
ambil? Tayar ni macam mana nak pasang?” buntu fikiran Encik Manan.
“Assalamualaikum
tuan,” sapa Hadif.
“Waalaikumsalam,”
balas Encik Manan memusingkan badannya ke arah Hadif.
“Ada apa yang saya
boleh bantu?” soal Hadif.
“Begini nak, tadi
pakcik nak tukar tayar ni. Tayarnya pancit. Jadi pakcik letak skru tayar di
tepi ni. Entah macam mana pakcik terkuis semua skru tu. Semuanya dah jatuh ke
dalam longkang ni. Macam mana nak ambil? Dalam pula tu,” luah Encik Manan.
Hadif memanjangkan
leher melihat longkang yang dikatakan oleh Encik Manan. Dia memandang wajah
Encik Manan yang sudah berpeluh-peluh dibakar mentari. Kasihan sungguh.
Alhamdulillah
ilham dariNya.
“Saya nak beri
cadangan pada tuan,” ujar Hadif memandang tepat ke wajah Encik Manan.
Encik Manan
mengangguk tanda sudi mendengar cadangan Hadif.
“Kereta tuan ada
tiga lagi tayar. Apa kata tuan buka satu skru dari setiap tayar dan gunakan
untuk tayar ini,” kata Hadif dengan yakin. “Lepas tu tuan pandu ke kedai kereta
berdekatan dan beli skru tambahan.”
Wajah Encik Manan
serta-merta berubah riak. Bibirnya menguntum senyum.
“Ya Allah, kenapa
saya tidak terfikir seperti itu,” balas Encik Manan senyum sambil menepuk bahu
Hadif. Dalam hati Encik Manan memanjatkan syukur. Allah mengirimkan remaja ini
untuk membantunya. “Terima kasih nak. Siapa nama anak?”
“Nama saya Hadif. Sama-sama
tuan.” Hadif membalas ucapan terima kasih Encik Manan. “Saya minta diri
dahulu.”
“Tunggu Hadif,”
tahan Encik Manan. Dia segera menarik dompet di poket belakang. Dua keping wang
kertas berwarna merah diunjuk kepada Hadif.
“ Duit apa ni
tuan?” tanya Hadif.
“Sebab bantu
saya,” kata Encik Manan.
“ Tapi saya tak
boleh ambil wang ni. Saya tidak buat apa pun,” balas Hadif keberatan mahu
mengambil wang kertas yang berada di tangan Encik Manan.
“Anak dah bantu
saya selesaikan masalah saya tadi. Jadi ambillah duit ni buat belanja sekolah,”
tawar Encik Manan.
“Maaf tuan, saya
tak boleh ambil. Nanti mak saya marah,” tegas Hadif.
“Kalau macam tu,
awak ikut saya.” Encik Manan menarik tangan Hadif untuk mengikutinya.
Hadif terkejut
apabila Encik Manan melangkah masuk ke kedai roti tadi. Dia turut melangkah
masuk apabila Encik Manan tidak melepaskan pergelangan tangan kanannya.
“Awak pilihlah apa
yang awak nak,” pelawa Encik Manan.
Hadif seperti
tidak percaya mendengar kata-kata Encik Manan.
“Kali ni saya
harap awak tak tolak.” Encik Manan membuat keputusan. “Sekejap.”
Hadif memerhati
langkah kaki Encik Manan. Encik Manan bercakap dengan penjaga mesin daftar wang.
Pekerja tersebut menggangguk-anggukkan kepala.
Terkocoh-kocoh
Encik Manan kembali ke arah Hadif. “Maaf saya kena pergi dulu. Ada urusan penting.
Ambil ya mana yang awak suka.”
Hadif memerhati
langkah Encik Manan yang sudah pun beredar ke arah keretanya. Tidak lama
selepas itu, kereta yang dipandu oleh Encik Manan hilang dari pandangan.
‘Terima kasih ya
Allah untuk rezekiMu ini,” ucap Hadif.
Hadif hanya
mencapai sebuku roti. Dia berjalan ke arah cashier untuk membuat
bayaran. “Berapa harganya kak?”
“Percuma. Itu
pesan tuan punya kedai,” balas gadis yang menjaga mesin daftar wang. “Dia juga
minta saya berikan awak ini.”
Hadif memandang
wajah cashier di hadapannya dengan pandangan terkejut. “Pemilik kedai?”
“Ya Encik Manan owner
kedai ni,” sekali lagi cashier itu menjawab pertanyaan Hadif. “Tolong
terima hadiah Encik Manan. Kalau awak tak ambil nanti saya kena marah.”
Mahu tidak mahu
Hadif akur. Satu plastik berisi sekotak kek bertukar tangan.
“Kakak tolong
ucapkan terima kasih pada bos akak ya,” pesan Hadif.
Gadis itu
menggangguk sambil tersenyum.
*******
HADIF GEMBIRA MELIHAT AYAHNYA SUDAH
PULANG. Dia mengekori
ayahnya hingga ke bilik.
“Ayah tak ada
duit. Tak faham ke?” tempik Encik Malik dengan muka bengis. “Kalau susah-susah
sangat berhenti sekolah. Jangan nak susahkan aku.”
Hadif berundur
setapak ke belakang apabila suara kuat ayahnya menampar cuping telinga.
Cepat-cepat dia keluar dari bilik ayahnya. Emak yang berdiri di depan pintu
bilik hanya memandang sayu. Langkahnya laju menuju ke luar rumah. Dia berhenti
di anak tangga terakhir lalu duduk di situ.
Ligat fikirannya
mencari jalan. Dia mesti mencari wang untuk yuran SPMnya. Lama dia duduk
termenung di tangga. Yuran itu mesti dilangsaikan paling lewat hujung bulan hadapan.
‘Bagaimana?’
Suara riuh
kanak-kanak bermain di laman hadapan rumahnya diperhati. Dia melihat mereka
begitu gembira bermain sesama sendiri.
‘Seronoknya jadi
budak-budak. Masalah tak banyak,’ fikir Hadif.
Leka Hadif melihat
anak-anak kecil bermain tuju tin dengan selipar jepun.
“Eureka,”
jerit Hadif tiba-tiba. “Mak, Hadif keluar sekejap ya.”
Itulah detik mula
Hadif mengumpul wang untuk membayar yuran sekolahnya. Petang itu tempat pertama
yang dituju olehnya ialah ke sekolah. Dia mahu mencari Wak Seman yang bertugas
di sana. Mudah-mudahan ada rezekinya di sana. Selepas itu dia mahu berjalan
keliling kampung mencari tin-tin dan botol-botol kosong untuk dijual semula.
Begitulah
aktiviti pada siang hari pada hujung minggu, Hadif sanggup berbasikal hingga ke
bandar untuk mencari tin dan botol kosong. Pada sebelah malam dia sibuk
mentelaah pelajarannya. Dia mahu berjaya di dalam peperiksaan yang bakal didudukinya.
Dia percaya kejayaannya akan memberi sinar harapan buat dia dan keluarga. Dia
mahu mengubah hidup keluarganya. Itulah yang dipesan oleh emaknya sekian kali.
“Hadif, ilmu itu
penting untuk masa depan kamu. Kita bukanlah orang senang. Jadi mak nak kamu
belajar rajin-rajin. Itu sahaja bekal yang kamu ada untuk mendapat masa depan
yang lebih baik.” Puan Hasnah tidak pernah jemu memberikan nasihat kepada
anaknya.
Hadif pegang
pesanan emak. Hanya emaklah tempat dia bergantung. Emaknya menjahit baju dan
menjual kuih. Duit hasil titik peluh empat kerat emaklah dia mendapat wang saku
dan menabung sedikit-sedikit. Ayahnya selalu sahaja cakap tiada duit. Tetapi
Hadif tahu ayahnya banyak menghabiskan wang gajinya kepada isteri keduanya. Dia
sudah tidak berani mahu meminta wang daripada ayahnya. Biarlah dia bersusah
payah sedikit. Paling penting persekolahannya mesti diteruskan.
*******
TAHUN DEMI TAHUN BERLALU.
“Doktor Hadif ada
pesakit yang kritikal baru sahaja ditempatkan di unit kecemasan. Doktor diminta
ke sana.” Jururawat muda yang bertugas memanggil Hadif ke sana.
“Saya datang
sekarang. Kenapa dengan pesakit, Dina?” tanya Hadif sambil berjalan laju ke
arah wad kecemasan.
“Menurut
isterinya, pesakit tidak boleh bernafas,” jawab Dina.
“Asma?” tanya
Hadif lagi.
“Mungkin. Sekarang
dengan cuaca berjerubu sangat tidak baik untuk kesihatan,” kata Dina.
Tiba di unit
kecemasan, Hadif segera menjalankan tugasnya. Tindakan pantas seorang doktor
mampu menyelamatkan nyawa. Sedari kecil itulah cita-citanya.
“Apa cita-cita
Hadif?” tanya Cikgu Nuha.
“Doktor cikgu,”
jawab Hadif laju.
“Kenapa pilih
doktor?” Cikgu Nuha mahu tahu.
“Tugas doktor itu
sangat mulia. Mereka menyelamatkan nyawa. Selain itu saya mahukan yang terbaik
untuk emak saya, cikgu,” balas Hadif yakin.
“Bagus tu Hadif.
Cikgu doakan kamu berjaya capai cita-cita kamu,” ucap Cikgu Nuha.
*******
ENCIK MANAN MEMANDANG LAMA BIL YANG
BERADA DI TANGAN.
“Awak pasti ini bil rawatan saya?” soal Encik Manan kepada
jururawat yang bertugas.
“Ya encik. Memang
ini bil encik,” akui jururawat dengan tag nama ‘Faridah’.
Encik Manan
termenung seketika. Dia berfikir bagaimana mungkin kos rawatannya selama dua
hari di hospital itu PERCUMA seperti mana tertera di dalam bil yang
diterimanya.
“Boleh saya
bertemu doktor yang merawat saya?” tanya Encik Manan.
“Encik boleh
tunggu sebentar. Doktor Hadif sedang membuat lawatan ke wad. Sekejap lagi dia
akan lalu di sini,” balas Faridah dengan ramah. “Encik duduk dulu. Nanti saya
panggil encik.”
“Baiklah. Terima
kasih.” Encik Manan duduk di sebelah isteri yang menunggunya.
Sementara
menunggu, Encik Manan masih memikirkan siapakah yang begitu bermurah hati
membantunya. Dia mahu bertemu dan memberikan ucapan terima kasihnya.
“Faridah, pesakit
tu mana?” soal Hadif sebaik sahaja dia mendapat pesanan daripada Faridah
sebentar tadi.
“Itu di tempat
duduk di barisan terakhir dengan isterinya,” jawap Faridah.
“Assalamualaikum
Pakcik Manan,” sapa Hadif sebaik sahaja dia mendekati Encik Manan dan
isterinya. Tangan kanannya dihulur ke arah Encik Manan.
“Waalaikumsalam
doktor. Apa khabar?” soal Encik Manan sambil menyambut huluran tangan Hadif.
Hadif senyum.
Biasanya doktor yang bertanya khabar pesakit.
“Alhamdulillah
saya sihat pakcik. Pakcik macam mana hari ni?” tanya Hadif.
“Saya bertambah
baik, alhamdulillah,” balas Encik Manan. “ Doktor boleh saya tanyakan sesuatu?”
“Apa kata kita
ke bilik saya,” ajak Hadif seraya dia bangun dan berjalan seiring dengan Encik
Manan. Isterinya turut mengikut dari belakang.
Tiba di bilik
kerjanya, Hadif membuka pintu dan menjemput Encik Manan dan isterinya masuk.
“Duduklah
pakcik, makcik,” kata Hadif.
“Begini doktor,”
Encik Manan berjeda. Wajah Hadif ditatap lama.
“Ya pakcik.”
Hadif menunggu kata-kata Encik Manan seterusnya.
Encik Manan
mengeluarkan resit bil yang diterimanya.
Hadif sudah
tersenyum melihat tindakan Encik Manan.
“Kenapa pakcik?”
soal Hadif.
“Betulkah bil
ini bil rawatan saya, doktor?” tanya Encik Manan.
“Ya betul.” Hadif
pantas menjawab.
Encik Manan
belum berpuas hati dengan jawapan Hadif.
“Pakcik, ini
adalah balasan kepada sebuku roti yang pakcik beri pada saya dahulu,” ujar
Hadif.
“Sebuku roti?
Pakcik tak faham,” kata Encik Manan jujur.
“Pakcik tak
ingat saya Hadif?” tanya Hadif.
Encik Manan
menggeleng-gelengkan kepala. Wajah isterinya dipandang sekilas sebelum
pandangannya tepat ke muka Hadif.
“Pakcik ingat
tak kisah tayar kereta? Skru yang terjatuh ke dalam longkang?” Hadif cuba
mengingatkan Encik Manan insiden yang berlaku lebih daripada 15 tahun yang
lalu.
Berkerut wajah
Encik Manan. Dia cuba mengimbas kembali peristiwa 15 tahun yang lalu.
“Ya, ya pakcik
ingat,” wajah Encik Manan bertukar ceria. “Jadi anak ini Hadif yang bantu
pakcik pada petang itu. Terima kasih nak.”
Hadif menggangguk.
Dia senyum.
“Ya Allah.
Pakcik tak sangka akan bertemu lagi dengan anak.” Encik Manan merenung Hadif
yang kini sudah berjaya dalam hidupnya. Fahamlah dia kisah di sebalik bil rawatan
hospital yang diterimanya. Langsung dia mengucapkan syukur kepada Allah Yang Maha Besar.
Encik Manan
menceritakan kisah pertemuannya dengan Hadif kepada isteri yang sedari tadi hanya
diam mendengar.
“Mujur Hadif ni
datang tolong abang, jika tidak abang tentu tak dapat ke bank untuk urusan
pinjaman membesarkan kedai roti kita tu,” kata Encik Manan mengakhiri cerita
kepada isterinya.
Hadif sudah
mengenali Encik Manan saat dia memasuki unit kecemasan. Langsung dia teringat
budi baik Encik Manan padanya. Jadi sebagai balasan Hadif memberikan rawatan
percuma kepada Encik Manan. Sedaya upaya dia memberikan rawatan terbaik kepada
lelaki itu.
Hadif teringat
hadis yang pernah dibacanya yang ditulis oleh penulis Fathuri Salehuddin di
dalam bukunya Mudahnya Menjemput Rezeki menukilkan:
“Berinfaklah
wahai anak Adam, nescaca Aku akan memberi infak kepadamu.” (Hadis qudsi riwayat
Bukhari)
“Ada tiga
perkara yang sesiapa dapat mengumpulkan ketiga-tiga hal itu dalam dirinya, maka
dia telah dapat mengumpul keimanan secara sempurna. Iaitu memperlakukan orang
lain sebagaimana engkau suka dirimu diperlakukan oleh orang lain, memberi salam
terhadap setiap orang (yang dikenali mahu pun yang tidak dikenali), dan
mengeluarkan infak di jalan Allah, meski pun hanya sedikit.” (Riwayat Bukhari)
“Tiadalah
kurang harta sebab sebab bersedekah.” (Riwayat Muslim)
“...sesungguhnya
Allah memberi balasan kepada orang yang bersedekah.” (Yusof 12:88)
Terharunyaaa....
ReplyDeleteAmal kebaikan akan dibalas sengan kebaikan juga...
Thanks for sharing Kak sha..
Org dah lama nak beli buku tu... Tak beli2 lagi...
*dengan ;)
DeleteSama-sama Suha.
DeleteKebetulan minggu lepas ke kedai buku dan cashier yang bertugas suggest buku tu. Tak rugi beli. Isinya sangat baik.
Itulah... Kena cari jgk ni... Hehe
Delete:) buku yg bagus isinya..so harus dimiliki...
DeleteBest.. huhu..
ReplyDeleteTerima kasih (singgah, baca & komen)
Delete